Friday, October 22, 2010

Masih Jua Kupendamkan Perasaan Ini - 3

"Assalamualaikum...."
Aku sedikit terdongak. Seorang anak muda bert-shirt lusuh dan berseluar track yang digulung ke paras lutut berdiri di sebelahku. Di tangannya, ada bekas kecil berisi siput pantai yang masih berlumpur. Kakinya yang sedikit berlumpur, dilunjurkan penuh hati-hati di sebelahku.
"Waalaikumussalam......err.....macam kenal",ujarku perlahan diiringi gelak nakal di celah-celah keriuhan suasana jeti kala itu. "Tak ingat ke ? ", tanya anak muda itu, agak ramah. Siapa ya, detik hatiku pantas, mengarahkan otak supaya berfikir agar mampu untuk mengingati anak muda yang sudah menginjak ke alam dewasa ini. Air muka yang tenang itu memang sedikit mengingatkan aku pada seseorang, tapi...siapa agaknya, dan hatiku berbisik lagi, cuba mengingati lelaki di sebelahku yang masih tenang melihat redupnya mentari petang itu.

"Datul balik bercuti ke?" Panggilan itu, nama itu, seingatku memang hanya seorang insan selain
ahli keluargaku dan sanak saudara yang memanggil dengan nama itu. Tapi, takkanlah. Sepuluh tahun bukanlah satu jangkamasa yang agak lama untuk mengubah keseluruhan bentuk fizikal seorang manusia. Masa itu, aku baru menginjak ke sekolah menengah. Baru bergelar remaja.

"Sakit ke ?", pertanyaan itu membuatkan aku berpaling. Bola sepak yang sudah kusam warnanya segera ku tendang perlahan. Aku meraba dada yang agak senak. Kuat juga tendangan itu.

"Tak..sikit aje...terima kasih.." Sejak kejadian itu, aku dan abang Amirul agak rapat. Tak aku sangka,
tubuh kecilnya tidak menunjukkan yang dia pelajar tingkatan empat. Hampir setahun lebih bersamanya, menganyam kenangan manis sebagai remaja, sementelah abang Hakimi juga mengenali abang Amirul, membuatkan aku mudah bermanja dengannya. Dia ibarat abang kedua, ibarat seorang bodyguard yang akan menjadi penjagaku ketika berada di sekolah.

Namun, keputusan peperiksaannya yang agak memberangsangkan memisahkan kami berdua. Dia ditawarkan pengajian luar negara dalam bidang
kejuruteraan, itu yang aku tahu. Mulanya, ada juga dia mengutus sepucuk dua surat, menitip ingatan agar aku belajar bersungguh-sungguh. Tapi, aku yang jarang membalas surat-suratnya. Kalau dia
sudah mengirim tiga pucuk surat, tipis juga harapannya untuk melihat aku menulis untuknya. Aku memang malas menulis surat, tapi kalau
menerima surat, alangkah seronoknya.

Tapi, sekilas, aku melirik wajah itu semula. Wajah yang tenang, dan kelihatan dia lebih tinggi dariku. Dulu aku hanya separas telinganya. Kini, apatah lagi. Cuma, diakah Amirul?

"Kenapa pandang macam tu? Macam nak makan orang aje....", teguran itu membuatkan aku cepat-cepat melarikan pandanganku ke arah anak-anak
kecil yang masih bermain dengan selut dan lumpur berhampiran jeti.

"Indah ya suasana kampung. Dulu masa kecil-kecil, jarang dapat menghayati keindahan yang begini. Rasa seronok bermain aje.....", aku cuba menukar topik. Dalam debar yang tidak keruan, aku cuba menafikan kelainan perasaan yang mula wujud.

"Memang indah. Siapa sangka budak selekeh berhingus dulu sekarang dah jadi gadis cantik juga...abang pun tak sangka. Ingatkan salah orang
tadi. Yala...Mak Utih cakap, Datul sibuk. Kalau balik pun, setakat sehari dan dah balik semula ke bandar....", tukasnya penuh makna. Rupanya, dalam diam, ada yang menanti kepulanganku. Nakalnya fikiranku, mula berfikir untuk jadi senakal di zaman remaja.

"Tak juga. Kadang-kadang sengaja menghabiskan masa dengan melepak dengan kawan-kawan. Takut nanti diajuknya Datul anak manja emak pula.
Cuma, sesekali, memang banyak juga kerja. Maklumlah, baru aje dapat kerja.....", aku cuba berlagak biasa. Tidak mahu terlalu over dalam
mengatur ayat.

"Seronok kerja di KL?...ehhh..apa kat tudung tu...?", dia mula menyentuh kepalaku, dan menarik seekor anak lipas yang entah dari mana datangnya.
"Sejak bila bela lipas ni....?",aku hanya menjuihkan bibir pada pertanyaannya.
"Takkanlah Datul nak bela lipas....iskkk, entah-entah dia datang dari bawah jeti ni kot...",cepat-cepat aku bangun dan mengibas-ngibaskan baju kurung labuhku. Dia pun segera bangun mengikut gerakku.
"Jom....duduk kat batu tepi hutan bakau tu...redup sikit. Sini dah panas....", diatur langkahnya perlahan, dengan harapan aku akan mengikutnya. Aku hanya tersenyum kecil, dan segera membontotinya.

"Datul ingat ke pada abang ni?", terasa pertanyaan itu menyentuh tangkai hatiku. Mana mungkin aku tidak mengingatinya. Dia penyemarak semangatku untuk belajar, dan setiap surat kirimannya menjelang peperiksaan besar kujadikan bekal dan nasihat yang bermakna. Cuma, mungkin Amirul ragu-ragu, kerana sedikit pun aku tidak membalas surat-suratnya. Hinggalah aku menjejakkan kaki ke tangga universiti, tiada lagi surat kirimannya. Mungkin kerana aku tidak pernah memberikan
alamatku padanya. Tapi, itu kisah 3 tahun lepas. 3 tahun dia menyepi, 3 tahun juga aku masih dengan sebuah penantian. Tak sangka dapat berjumpa semula saat ini.

"Datul tak ingat nama abang.......maaf...",terluncur laju ayat itu dari bibirku. Tiba-tiba dia tergelak, agak kuat. Aku merenungnya hairan.
"Seronok apa ni?" Dia merenungku sedikit tajam. Tawanya masih bersisa, tapi dia cuba menahannya. Lambat-lambat, dia ersuara,"Memang abang dah jangka...Datul tak ingat langsung pada abang....", dan dia seolah-olah merenung di kejauhan. Apa agaknya keterangan yang perlu diberikan padanya. Namun, dia tetap dengan gelaknya. Tetap dengan senyumnya yang tidak putus. Tetap dengan nyanyian kecilnya, dan aku masih mengharapkan dia mengulangi pertanyaan yang sama, supaya mudah memberikan jawapan yang lebih menggembirakan dia.

Namun, harapan cuma tinggal harapan. Pun begitu, aku tidak pulang ke rumah dengan tangan yang kosong, kerana Pak Sudin membekalkan aku dengan seplastik sotong kegemaranku yang masih segar. Walaupun begitu, kepulanganku membawa secebis hati yang kosong, kerana tidak mampu menggembirakan orang yang ku nanti selama ini.


Pagi itu, aku tiba awal di pejabat seperti biasa. Setelah lima hari menghabiskan masa di kampung, hendak bekerja semula dirasakan terlalu berat. Ditambah lagi dengan sebuah pertemuan yang tidak aku jangkakan. Pertemuan yang menjadikan aku seorang pemikir dan pelamun setia. Puas juga menggeledah almari buruk, mencari gambar pengubat rindu sebelum pulang semula ke bandar. Sayangnya, aku tidak berjumpa gambar lama zaman persekolahan dulu. Aku pulang jua dengan perasaan yang hampa.
"Macam mana kat kampung, seronok....mana cincinnya?" Kak Zie seperti biasa gemar mengusikku kalau aku bercuti panjang. Dikatanya aku bercuti lama kerana ada rombongan peminangan, atau ada ura-ura untukku menamatkan zaman gadisku. "Seronok sangat. Rasa macam malas nak mulakan kerja lagi....", dan
aku mula menyandarkan kepala di bahu kakak yang sudah kuanggap sebagai tempat bermanja. Maklumlah, aku memang anak manja Umi. Saat
berjauhan begini, perlu juga untuk mencari tempat bermanja bagi meluah rasa letih yang selalu menghantui dan menjadi bebanan minda ini.

"Dah makan pagi ke? Jom ke kantin...", ajak Kak Zie lagi. Aku hanya menganggukkan kepala dan menuju ke kabinet untuk mengambil beg duitku. Tiba di kantin, mataku hanya memerhatikan beberapa juadah yang tersedia pagi itu. Seleraku tiba-tiba hilang, dan ingatanku segera terbang mengingati pulut kuning dan ikan kurau masin yang disediakan ibu untuk sarapan dua hari lepas semasa di kampung. Itulah masalah utamaku kalau baru balik dari kampung. Serasa tekak tidak boleh menerima makanan-makanan di bandar, apatah lagi makanan kantin yang selalunya berunsurkan kari ayam dan daging.

Sudahnya, aku cuma makan dua ketul kuih dan air suam di dalam botol yang sentiasa tersedia di atas mejaku. Terlihat beberapa fail di dalam tray di hadapanku, aku segera menarik sebuah fail kuning yang terlekat perkataan `segera' di atasnya. Lantas segera aku menyentuh interkom di sisi meja, memanggil Najihah untuk menerangkan tentang
masalah yang sedang dihadapi berhubung projek yang sedang aku kendalikan.

"Eh.....bila cik Nadratul balik dari bercuti?", Najihah memang ramah. Alis lentiknya bergerak-gerak seiring dengan dua bibir mungilnya yang dicalit gincu berwarna merah pekat. Aku hanya tersenyum mendengar pertanyaannya, sambil menghulurkan fail yang sedang ku belek seketika
tadi. "Saya baru masuk kerja hari ni. Errr....dah berapa lama fail ni ada dalam bilik saya? Ada Encik Muzaffar arahkan apa-apa pada Najihah?", cepat saja tangan Najihah mencapai fail tersebut dan membukanya. "Ohhh...yang ni...Jumaat tu cik Nadratul tak masuk ke pejabat. Pagi tu Encik Aqil Khaizan dan Encik Muhamad Lutfi datang ke sini. Mulanya nak berjumpa dengan cik Nadratul, tapi cik Nadratul tak ada. Jadi, diorang jumpa Encik Muzaffar. Selepas tu, fail ni saya masukkan ke
bilik cik Nadratul....dan Encik Muzaffar minta cik Nadratul menghubungi talian Encik Aqil Khaizan sebaik sahaja masuk kerja semula....", penerangan Najihah tersemat kemas di fikiranku. Aku terlupa tentang perbincangan projek tersebut, dan segera mengambil cuti dengan agak terburu-buru. Lagipun, hampir sebulan tidak bertemu Umi, menjadikan rindu terlalu membuak-buak untuknya.

"Baiklah. Yang lain nampaknya masih dalam tempoh masa yang agak panjang..nanti saya bincang dengan Nizam dan Najihah ya....", aku segera mencapai telefon di sisi meja dan mendail nombor yang tertera di bahagian kiri fail yang menyimpan maklumat tentang syarikat Shahir Holdings itu.

"Assalamualaikum..", aku pasti benar, tentu lelaki itu yang mengangkat panggilanku, kerana itu sengaja aku ajukan salam. Lebih manis, lebih berseri sebagai seorang muslim. "Waalaikumussalam......lama awak bercuti?", aku mengerutkan dahi sewaktu mendengar pertanyaan tersebut. Pandai benar dia meneka suaraku. Suaranya pun aku kurang cam, atau mungkin dia memang pakar dalam mengenal suara orang di talian agaknya. "Jangan la terkejut sangat. Ni Cik Nadratul Hidayah kan? Dari Utama
Berkat?", memang sah, dia memang mengenali suaraku. Aku cuba menarik nafas dalam-dalam. Mencari kata-kata yang sesuai untuk diluahkan.

"Ya....saya Nadratul Hidayah. Err....ni Encik Khaizan ke? Saya minta maaf sebab terlupa pasal perbincangan hari Jumaat lepas...", aku sudah mula terbayang senyum sinisnya, pasti menempelakku kerana hal-hal penting pun boleh dilupakan. Projek pula bukanlah projek kecil yang membawa pulangan ratusan ribu, malah projek yang hampir mencecah puluhan juta.

"Ya...saya Khaizan. Tak apa, saya dah proceed dengan Encik Muzaffar, dan nampaknya dia bersetuju sepenuhnya dengan hasil perbincangan kita minggu lepas. Anyway, ada beberapa item penting yang perlu ditambah dalam dokumen tu. Hari ni you free ke?", ayatnya yang sentiasa tenang membuatkan aku sedikit kagum dengan sikapnya. Dia bijak menceriakan suasana hatiku yang pada keadaan biasanya tidak tenang jika berurusan dengannya.

"Free juga. Cuma, tak boleh la lewat-lewat sangat. Saya prefer Encik Khaizan jumpa saya dalam pukul sepuluh pagi nanti. Mungkin jammed kat KL dah tamat waktu tu. Boleh la cepat sikit untuk tiba ke sini kan?", aku tidak mahu dia beralasan lagi untuk menepati waktu. Bukannya hendak berjumpa kekasih, dan perlu datang sesuka hatinya.

"Errmmm..actually I ada appointment penting pukul 2.30 petang di Shah Alam. I have to make a few preparation for that appointment. I'll call you back around 9.00 to confirm the discussion, can I?", aku
hanya tersenyum mendengar kata-katanya. Nampaknya dia memang sibuk hari ini, jadi bolehlah aku habiskan tugasanku yang lain. "I think better you prepare for the appointment, Encik Khaizan. Saya prefer untuk habiskan the other projects. Mungkin esok kita boleh sambung perbincangan kita semula. Lagipun, cuma beberapa item saja
kan?", sebolehnya aku tidak mahu di hari pertama aku di pejabat, aku dimestikan untuk berjumpa dengannya. Fikiran yang masih kurang stabil
kerana mengingati abang Amirul dan merindui Umi di kampung juga masih tidak memberi peluang kepadaku untuk kembali menyesuaikan diri dengan
suasana bandar dalam masa yang agak singkat.

Aku mendengar keluhan kecilnya. Tapi, cepat-cepat pula dia bersuara. "Yes....I rasa tu suggestion yang baik. So, kita jumpa esok. Maybe I
have to fix the time now. How about 11 o'clock, di Hotel Nikko. Tunggu I di Cafe Serena Brasserie ya...thanks....", lantas gagang tersebut diletakkan tanpa kata persetujuan dariku. Aku sedikit kesal
dengan sikapnya. Kalau pukul 11 pagi, tentu saja aku akan lambat untuk bersolat. Entah kenapa, aku tidak mahu menjadikan sikap melambatkan solat sebagai rutin harianku. Aku takut aku terbiasa
dengan perilaku sebegitu.Tapi, cepat-cepat pula aku menyedapkan hati apabila teringatkan masjid berhampiran hotel tersebut. Senyumku kembali berbunga.

No comments:

Post a Comment