Thursday, October 21, 2010

Masih Jua Kupendamkan Perasaan Ini - 2

"Eh....Hidayah...tadi Encik Muzaffar cari...dia tanya pasal discussion tengahari tadi...", Marina, rakan sepejabat merangkap rakan serumah, memberitahuku sewaktu aku baru habis bersolat. Aku hanya menganggukkan kepala, sambil dengan pantas menuju ke bilikku. Mencapai beberapa fail penting, dan segera menuju ke bilik Encik
Muzaffar.

"Ha...duduk.....", memang begitu gayanya, kalau dengan aku. Umurnya yang sudah menjangkau ke angka empat puluh membawa lagak seorang ayah
kepadaku. Malah, kalau bukan kerana ketegasannya dalam bekerja, kadang-kadang dia menjadi tempat aku berbual, dan bertukar-tukar
fikiran.

"Makan apa tadi?", aku merenung Encik Muzaffar, kurang percaya dengan pertanyaan tersebut. Setahu aku, sudah berpuluh-puluh client yang aku
jumpa, samada waktu pagi, tengahari atau petang, tidak pernah sekali pun dia bertanya seperti itu. Apa pula halnya kali ini, namun aku hanya menggeleng-gelengkan kepala.

"Makan juga sikit, tapi lebih tertumpu pada discussion. Laluan utama tu amat penting, sebab banyak kenderaan-kenderaan besar yang akan
melalui laluan tu. Itu yang diberitahu pada saya tadi.....", aku segera menuju ke topik utama, sebelum banyak pula pertanyaan pelik dari Encik Muzaffar terbit dari mulutnya. Selalunya dia tak macam ni....

"Saya tau. Lagipun, memang laluan tu nanti akan menghubungkan pejabat utama Shahir Holdings. Bangunan atas tu merupakan bangunan utama
kedua selepas bangunan sedia ada sekarang. Tahniah, sebab saya dengar awak memberikan komitmen yang agak hebat dan pandangan yang agak membina untuk projek kita kali ni. Ini projek terbesar Utama Berkat kali ini......Datul....", panggilan itu, yang hanya digunakan oleh ahli keluarga terdekat. Sementelah, sudah lama panggilan itu tidak singgah ke telingaku. Dan, senyumanku melebar. Memang dia membiasakan
aku dengan memanggil Encik Muzaffar di ofis, kerana mahu menunjukkan padaku beza antara seorang ketua dan anak buahnya. Walau hakikatnya, aku masih anak saudaranya yang disayangi. Dia memang istimewa dalam hidupku, setelah arwah ayah pergi meninggalkan aku, Umi dan abang Hakimi. Malah, sejak abang Hakimi berkahwin, dia sentiasa di sisiku, memberikan pertolongan dan bantuan semampunya

Cuma, peliknya. Dah masuk tahun kedua, ini kali pertama dia memanggilku dengan panggilan itu sewaktu berada di dalam pejabat. Selalunya, memang Nadratul Hidayah itu juga yang disebutnya, hingga hampir aku merasakan yang dia sudah terlupa untuk `memanjakan' aku seperti yang selalu dilakukannya.

"Entah apa kena Pak Uda hari ni, umi. Tiba-tiba aje dia berperangai pelik. Tersenyum lebar...mengalahkan orang menang loteri aje
lagaknya.....", aduku pada umi sewaktu sedang menikmati makan malam. Kebetulan aku merasakan kebosanan untuk melepak bersama rakan-rakan
di rumah sewa, menyebabkan aku segera bergegas pulang ke kampung petang itu juga setelah habis waktu kerja. Kampungku pula bukanlah sejauh mana. Memandu dalam tempoh menghampiri sejam, aku sudah mencecahkan kaki di depan pintu rumah. Apalah jauhnya daerah Port
Dickson dengan Kuala Lumpur.

Umi pula yang sedang meletakkan mangkuk kuah ketam masak lemak cili api di atas meja makan, memandangku yang sedang menyusun beberapa
mangkuk lauk dan piring di atas meja makan.

"Pelik macam mana?", suara umi berbaur bimbang. Aku tergelak kecil.
"Tak adalah...biasa dia tak pernah panggil nama Datul ni...tapi, tadi tiba-tiba aje dia tersasul. Siap tanya Datul dah makan ke tak.......", aku segera melabuhkan punggung di kerusi di hadapan Umi.
Kusendukkan nasi untuk Umi yang masih lagi dengan riak kerisauan di wajahnya. Aku hanya tersenyum melihat perilaku Umi, ibu yang amat
kusayangi. Sudah hampir 23 tahun aku hidup di dunia ini, memang aku faham sangat dengan kelembutan hatinya. Cara dia mendidik aku dan
abang Hakimi, suatu keindahan yang cuma mampu dirasakan oleh aku dan abang Hakimi sebagai anak kandungnya.

"Kenapa dia macam tu? Pak Uda tak sakit kan?", argghhh...terasa seperti aku pula tersilap kata, silap memberi maklumat. Umi memang cepat dengan kerisauannya. Aku hanya menggeleng-gelengkan kepala.

"Umi...Pak Uda sihat. Kerjanya lancar. Umi tak perlu risau apa-apa. Datul rasa dia seronok kerana Datul berjaya memberikan komitmen dan kerjasama dalam projek besar yang berjaya diperolehinya.....tak ada
apa-apa lah Umi.....jom kita makan...nanti sejuk pula...", sedikit sebanyak Umi terpujuk juga dengan kata-kataku. Memang aku faham keriasauan Umi. Dulu masa awal-awal aku mahu membeli kereta, banyak bantahannya. Sanggup dia menyuruh aku naik bas semata-mata tidak mahu aku memandu sendirian. Tapi, bila dilihat nya keletihan di wajahku
setiap kali pulang ke kampung hujung-hujung minggu, ditambah lagi dengan kesukaran mendapatkan bas di kawasan berhampiran rumah, aku diizinkan juga untuk memiliki sebuah kenderaan sendiri. Itulah rasa hati Umi yang memang aku sanjungi. Dia terlalu memikirkan hal orang lain, hinggakan keriasauannya bertapak di hati, dan nilai kasih sayangnya bukan sedikit. Aku terasa cukup bertuah memiliki ibu sebaik Umi.

"Bila Datul nak balik ke Kuala Lumpur semula? Hari ni Pak Sudin baru balik dari laut tau. Dia mesti ada bawa sotong yang Datul suka tu....", petang itu, sambil berbual dengan Umi di pangkin dapur, dan
aku pula sedang melayan beberapa ekor harmster yang memang ku bela sebagai penghilang kebosanan selepas peperiksaan akhir di universiti
dahulu.

"Ia ke? Dia ingat ke pasal sotong tu? Umi ada beritahu dia ya....seronoknya. Datul nak ke jeti la......", cepat-cepat aku menyelinap ke dalam bilik, mencapai tudung dan segera berlari ke jeti yang jaraknya hanya sepelaung dari rumahku. Umi hanya menggelengkan kepalanya melihat perilakuku yang tidak berubah, masih seperti dahulu.

Setibanya di jeti, cepat-cepat aku memerhati ke arah perahu-perahu nelayan di tepi pantai. Tak nampak pula perahu Pak Sudin yang berwarna merah di buritan bertulis tulisan tangan kalimah `La ila ha illallah' berwarna kuning keemasan dan semakin pudar dimamah sinar mentari. Lantas, aku melabuhkan punggung di hujung jeti. Kain tudung
yang ditiup angin, aku pegang hujungnya agar tidak terselak. Sesekali, aku tersenyum melihat beberapa anak jiran yang berkejar-kejaran sambil memungut kepah dan siput di tepian pantai. Gembiranya
mereka, teringat saat aku dan abang Hakimi waktu kami masih kecil dahulu.

No comments:

Post a Comment