Wednesday, October 20, 2010

Masih Jua Ku Pendamkan Perasaan ini - 1

Sebuah beg berisi telekung dan sebuah diari sebagai pembantu dalam mengingatkan beberapa hal penting ku letakkan di atas meja. Suis komputer dihidupkan, dan aku mula mencapai kunci kabinet di sebelah kiri mejaku. Lantas kucapai beg duitku dan dimasukkan ke dalam laci kabinet tersebut.
Keletihan memandu dalam keadaan jalan yang agak sesak sebentar tadi menyebabkan aku segera duduk dan mencapai beberapa peralatan menulis di atas meja. Komputer yang sudah terpasang juga menarik minatku untuk memeriksa email-email di awal pagi ini. Malah, selalunya pasti
ada email dari sahabat-sahabatku yang sering bertanyakan khabar.

"Assalamualaikum....Diam aje...tak ada cerita apa-apa ke hari ni? Nak ke kantin?", aku sedikit terkejut apabila tiba-tiba sahaja ditegur oleh seorang kakak kerani di pejabatku. Cepat-cepat aku tersenyum dan segera menarik laci kabinetku, mengambil beg duitku dan mengekori Kak Zie yang sudah ku anggap seperti ibu sendiri.

"Waalaikumussalam....Boleh juga....rasa lapar pulak. Agaknya semalam terlupa nak makan malam agaknya....", dan Kak Zie hanya menggeleng-
gelengkan kepalanya mendengar kata-kataku. Mujur bebelnya tidak panjang hari ini. Kalau selalu, pasti aku ditempelak kerana selalu terlupa untuk makan, sesuatu yang agak pelik untuk difikirkan.
Maklumlah, dalam tak makan itu, aku masih mampu untuk melakukan kerja-kerja seharian dengan agak pantas.

Setelah selesai bersarapan dua ketul kuih dan segelas air teh suam, aku segera bergerak ke mejaku. Pelbagai laporan tentang projek dan
beberapa kes yang perlu diselesaikan dengan secepat mungkin. Pemikiranku cuma terpusat untuk menghabiskan tugas-tugas dan bebanan kerja itu secepat yang mungkin. Pasti saja Encik Muzaffar akan menempelakku lagi kalau kerja-kerja itu terlewat dari waktu yang ditetapkan. Cukuplah aku ditempelaknya dua minggu lepas, di hadapan
beberapa orang pelanggan pula. Masih terbayang di fikiranku kejadian itu...

"Macam mana awak buat kerja ni agaknya. Banyak item penting yang tertinggal. Diorang tak nak awak paparkan perkara-perkara yang ni kat depan....ada yang lebih penting lagi yang boleh diletakkan di
sini....bermimpi di siang hari ke awak ni, Nadratul Hidayah?", dan aku hanya mampu mendiamkan diri sahaja. Tambahan pula, dua orang lelaki berkot di hadapanku sudah mula menyungkingkan senyum-senyum nakal mereka. Aku tahu aku yang tersilap dalam mengira peri pentingnya beberapa perkara yang perlu dipaparkan dalam kertas kerja itu, tapi takkanlah aku hanya perlu berdiam diri sahaja tanpa membela diriku.

"Encik Muzaffar..saya rasa that item memang patut diletakkan di situ. Keupayaan dan kepentingan projek ni mestilah diletak di bahagian yang mula-mula dibaca oleh pihak-pihak lain. Kalau diletakkan di belakang, siapa pula yang nak mengambil masa menyelak-nyelak helaian lain?", dan lelaki berkot hitam bertali leher hijau kebiruan mula melebarkan
senyumnya mendengar kata-kataku. Aku agak tercabar dengan senyuman itu, namun cepat-cepat ku sabarkan rasa hati. Kalau tidak, sindiranku
pasti akan mengena batang hidungnya agaknya.

"Muzaffar, aku rasa better aku semak dulu paper work ni...kalau ada apa-apa yang tersilap nanti, aku terus refer pada Cik Nadratul Hidayah ni......", tiba-tiba sahaja lelaki itu bersuara menjernihkan
suasana keruh itu. Aku segera menarik nafas sedikit lega. Lebih lama aku duduk berhadapan dengan mereka semua, makin terbakar rasa hati ni
mendengar bebelan Encik Muzaffar. Secepat itu juga, aku segera bangun untuk beredar dari situ. Nanti, apa pula ayat lain yang perlu aku dengar dari mulut mereka agaknya.

"Errr...cik Hidayah...boleh saya jumpa awak sebentar?"

Aku cepat-cepat menoleh. Lelaki berkot itu....mana pula rakannya yang seorang lagi agaknya, getus hatiku pantas. Bibirnya sedikit tersenyum walau air mukanya menunjukkan dia agak serius semasa mengatur ayat. Aku hanya menganggukkan kepala dan menyuruhnya mengikutku ke bilikku yang terletak selang dua bilik dari bilik Encik Muzaffar.

"Sila duduk...", ujarku sedikit tegas. Aku sedikit tidak gemar dengan perilakunya sebentar tadi dengan senyum sinisnya dan menyebabkan aku seolah-olah tidak mahu memberikan peluang kepadanya untuk berbicara atau berurusan denganku. Namun, tuntutan tugas membuatkan aku terpaksa juga memberikan peluang kepada lelaki ini.

"Saya..Muhamad Aqil Khaizan dari Shahir Holdings Sdn.Bhd.....", dan dia menghulurkan tangannya untuk bersalaman denganku. Aku hanya tersenyum melihat tindakannya. Sedikit pun tidak membalas huluran tangannya.

"Maaf la Encik Khaizan, saya tak biasa bersentuhan dengan yang bukan muhrim ni..kita kan orang Islam....", demi Allah, tidak terniat untuk
aku mengeluarkan ayat sebegitu, namun ianya lahir secara spontan. Tidak pernah aku menunjukkan sikap begitu. Kalaulah Umi tahu, tentu habis dileternya aku dengan pelbagai kata nasihat supaya beralas dalam percakapan.

Aku cuma melihat wajah itu merona merah. Selebihnya, dia segera menarik tangannya semula dan segera mengeluarkan beberapa kertas dan
buku catatannya dan diletakkan di hadapanku. Perbincangan bersamanya diteruskan jua walaupun dalam suasana yang agak hambar. Aku sedikit kesal, namun keputusan perbincangan dalam suasana sebegitu masih menjanjikan hasil yang positif. Kata sepakat antara aku dan dia
memberikan aku peluang untuk menerima pujian yang agak muluk juga dari Encik Muzaffar. Namun, perang dingin itu masih jua begitu. Tiada kemesraan langsung dalam perhubungan yang baru bermula itu.

"Eh...panjangnya termenung. Ingat pada sapa ni...?", aku terkejut tiba-tiba. Rupa-rupanya Najihah, pembantu merangkap setiausaha Encik Muzaffar sedang berdiri di hadapan mejaku. Sedikit pun aku tak sedar bila dia masuk ke bilikku. Dia menghulurkan sebuah fail projek kepadaku. Ku tilik tajuk di atasnya. Nampak saja nama syarikat itu,
aku sudah mula menjuihkan bibirku.

"Ini lagi ke? Bukan ke hari tu dah di settle kan? ", nama Shahir Holdings itu seolah-olah menjemukan aku. Bukankah kes yang lepas telah diselesaikan. Rasa-rasanya, sudah tiada apa-apa urusan dengan syarikat itu lagi. Aku seolah-olah sudah muak untuk menguruskan hal pelanggan yang satu ini.

"Itu saya tak tau. Encik Muzaffar cuma minta saya serahkan fail ni pada cik Nadratul dan minta cik Nadratul menghubungi number ni......", nombor yang tertera di atas kertas itu kubelek dengan
separuh hati. Kalau syarikat lain, mungkin aku masih boleh tersenyum, tapi bukan yang satu ini. Lainlah kalau anak muda berambut lurus, berkulit cerah itu sudah tidak bekerja di situ lagi. Aku tidak mahu perang dingin itu mencabar kesabaranku yang selama ini tidak pernah tergugat, terlebih lagi dalam melakukan tugas-tugas rasmi seperti ini.

Namun, cepat-cepat aku tersedar. Sampai bila aku harus diselubungi rasa bersalah kerana tidak senang dengan kehadirannya. Setiap tugas perlu dijalankan dengan sempurna. Takkanlah mahu menjatuhkan kredibilitku hanya semata-mata kerana lelaki itu. Lagipun, mungkin aku tidak perlu berurusan dengannya untuk projek yang ini, dan hatiku sedikit mengharap dan berdoa sewaktu mendail nombor telefon yang diberikan kepadaku seketika tadi.

"Hello..."
"Shahir Holdings...boleh saya bantu?", terdengar suara lelaki di hujung talian tersebut. Nampaknya seperti bukan suara `musuh' tak rasmi ku itu. Aku sedikit lega. "Saya...Nadratul Hidayah dari Utama Berkat. Saya diminta untuk berurusan tentang projek kedua kami, tentang pemecahan laluan utama ke blok atas bangunan Shahir Holdings yang sedang dibina tu....". Aku terasa seperti mendengar keluhan dalam denyut nafas lelaki di talian itu, tapi cepat-cepat kubuang perasaan tidak selesa itu jauh-jauh.

"I busy sekarang ni. Macam mana kalau kita discuss time lunch nanti. Kita jumpa pukul 12.30 di Restoran Selera Kampung bersebelahan ofis you."
Aku hanya menganggukkan kepala seolah-olah insan di hujung talian itu berada di hadapanku. Sedar tak sedar, gagang telefon itu kuletakkan
lambat-lambat. Macam mana agaknya aku hendak mengenalinya, sedangkan sedikit pun dia tidak memberitahu namanya. Hatiku tertanya-tanya
sendiri, dan sepanjang hari itu, aku cuma mengira-ngira waktu makan tengahari. Tambahan pula, bebanan kerja yang tidak terlalu membebankan memudahkan aku untuk mengatur perbincangan bersama wakil syarikat tersebut.

Aku tiba awal sepuluh minit dari masa yang dijanjikan. Pada awalnya, ada juga aku mengajak Nizam, pembantuku dalam menjalankan tugas-tugas
rasmi. Tapi, dia pula ada hal yang perlu diselesaikan. Maklumlah, kekasihnya sedang bercuti dari pengajian di universiti. Pasti masa
terluang itu cuba diisi dengan sebaik-baiknya.

Lagipun, dia anak muda yang baik yang sukar untuk mempermainkan perasaan wanita lain. Bertuah benar insan yang akan memilikinya
sebagai teman hidup.

"Assalamualaikum......."
"Waalaikumussalam.....", cepat sahaja aku menoleh ke belakang. Tika itu, kalau aku tiada kekuatan dalaman, pasti sahaja aku sudah pengsan
kerana terkejut melihat lelaki di hadapanku. Malah, dia hanya tersenyum sambil menarik kerusi di sebelahku.

"Dah lama tunggu?" Seperti mengatur sebuah pertemuan dengan kekasih, Khaizan hanya
tersenyum melihat wajahku yang pucat lesi pastinya. Tapi, rasa-rasanya tadi bukan suaranya...kenapa dia datang ke sini? Arghhh...hatiku mendengus geram. Namun, ku tahan perasaan tidak selesa itu jauh-jauh, dan cepat pula aku menyungkingkan senyum sinis
untuknya.

"Saya tak suka mungkir janji. Munafik....." Dan, senyumannya tambah lebar. Degupan jantungku pula bertambah kencang. Hati, tenanglah. Mulut, bicaralah dengan sopan. Akal, waraslah. Berkali-kali aku cuba menenangkan diri dalam masa yang agak singkat.

"Traffic-jammed tadi. Maklumlah, KL kan.....", dan senyumannya tambah lebar lagi.
"Ermmm..anyway,terus pada perbincangan kita tentang laluan utama tu.......",cepat-cepat aku memotong kata-katanya. Aku tidak mahu perasaan dingin dan bersalah yang beraja di hati ini mengganggu emosiku yang sudah tidak keruan.

"Saya lapar la.....nak makan....tak sempat nak breakfast pagi tadi...", dengan sengihnya yang tak putus, aku hanya mampu menyimpan perasaan tidak senang jauh di lubuk hatiku bila melihat dia memanggil pelayan untuk memesan makanan. Sengaja aku biarkan dia dengan tindakannya yang pastinya akan memuaskan hatinya sendiri.

"Nasi goreng kampung dua....errr...dengan fresh orange dua ya.....", dan rasa tertekan dengan sikapnya tambah dalam. Dia tahu yang aku tidak mahu makan, sengaja dia mengambil kesempatan itu untuk mengenakan aku. Tak apa, getus hatiku, masih dengan diamku yang tak putus, membelek-belek kertas-kertas di hadapanku tanpa mengendahkan senyum sinisnya yang semakin melebar.

"So, let's start our discussion, while waiting for the food, and the drink....", suara itu tambah sinis di pendengaranku. Arghh, kenapalah aku perlu bersetuju untuk berbincang di restoran ini. Alangkah mudahnya kalau tika itu kami berdua berada di dalam pejabatku. Tentunya dia tak akan mempermainkan aku seperti ini. Tapi, berbekalkan amanat Umi yang mahu aku menjaga adab sopan walau ke mana aku pergi, ku lemparkan jua senyuman tawar untuk dia dan mula membelek-belek kertas di hadapanku.

Memang hambar pertemuan dan perbincangan kami. Cuma dia saja yang merasakan pertemuan itu agak menyeronokkan. Siap berkirim salam dengan Encik Muzaffar, dan menyatakan kesudian untuk bertemu di pejabat keesokan pagi.

"I datang esok pagi ya...untuk perbincangan lebih lanjut. By the way,send my regard to Muzaffar....and, you look beautiful today........nice cloth...."

Terasa mual perut mendengar kata-kata itu, tapi ayat terakhirnya sedikit sebanyak membuai perasaan wanitaku. Aku tersenyum sepanjang
perjalanan menuju ke pejabat. Walau tadi senyumku cuma dibuat-buat, saat ini aku rasa cukup gembira. Dia memang lelaki tegas, dengan keputusan yang tidak teragak-agak, dia mudah diajak berbincang. Mudah menerima pendapat orang lain, dan mudah memberikan pandangan yang terbaik. Malah, sejak pembabitanku dua tahun lepas bersama-sama Utama Berkat, aku belum pernah melakukan tugasanku sepantas ini. Dia banyak mengajarku, menegur tentang pendapatku, dan yang lebih utama, dia sabar melayan kehendakku yang biasanya perlu dipatuhi.

Cuma, satu yang aku tidak gemar. Senyum sinisnya mengiringi setiap ayat yang lahir dari bibirnya, dan bila aku tersilap kata, pasti dia tersenyum seolah-olah mengejekku. Mungkin semua pelanggannya dilayan sebegitu rupa agaknya. Apalah halnya kekasihnya dengan perilakunya yang selalu tersenyum begitu agaknya? Atau, memang itu
gayanya...hatiku berfikir-fikir sendiri, sambil kaki terus dilangkahkan ke surau ofis. Melirik jam di pergelangan tangan yang sudah menunjukkan ke angka 2.35 petang, aku menyesali diri kerana
terlambat untuk bersolat Zuhur.




No comments:

Post a Comment