Thursday, October 7, 2010

Dia Yang Ku Cinta - 8

13 tahun yang lalu

Gadis kecil yang berusia sebelas tahun itu pulang dari sekolah dengan marah-marah. Manakan tidak, dia diejek oleh rakan-rakan sekelasnya kerana berkawan dengan seorang budak lelaki. Dia tidak akan lupakan kata-kata Suhana yang mengatakan dia tidak cantik dan tidak layak berkawan dengan Hilmi.

Iza sedar dia tidak secantik Suhana yang cerah seperti anak orang putih. Tetapi dalam pelajaran, Suhana kalah padanya. Dia berkawan dengan Hilmi pun hanya kerana ingin membantu rakannya itu dalam subjek Matematik. Sedikit pun dia tidak pernah ingin bercinta dengan Hilmi seperti yang didakwa Suhana.
Iza mencebik apabila teringat mulut Suhana yang terherot-herot ketika mengejeknya. Dia kemudiannya mengeluarkan sekeping kertas. Dia tersenyum sendiri melihat kertas yang tertulis beberapa patah perkataan dan dihiasi dengan gambar yang dilukisnya sendiri.

Lelaki Idaman Shahriza Shamsudin:
- Berkaca mata
- Lebih bijak
- Berwajah sederhana dan matang
- Baik perwatakan
- Menyenangkan

Gadis kecil itu tersenyum lagi. Inilah ciri-ciri lelaki idamannya. Dia yakin suatu hari nanti dia akan bertemu dengan lelaki sebegitu, malah menjadi isteri lelaki yang diidamkannya. Dia yakin dengan impiannya yang satu itu.


Hari Ini

Suasana di rumah Iza agak riuh sejak semalam. Saudara mara dan kenalan tidak putus-putus datang. Ada yang bermalam di situ. Kawasan dapur gamat dengan ibu-ibu yang sedang menyediakan juadah untuk dihidangkan. Di belakang rumah, kaum bapa sedang berehat selepas penat memasak sambil berbual-bual. Di halaman rumah, kanak-kanak riang bermain. Manakala di atas rumah, anak-anak gadis sibuk menyusun gubahan di hadapan pelamin dan sesekali sering usik-mengusik antara satu sama lain.

Iza yang sedang disolek mak andam tidak putus-putus diusik. Dia hanya tersenyum walaupun wajahnya ternyata kemerah-merahan dengan usikan itu.

Sebentar lagi, majlis pernikahan akan dilakukan di masjid. Ini diikuti majlis persandingan dan makan beradab di sebelah tengah hari. Baru sekejap tadi adik memaklumkan yang rombongan pihak lelaki sudah pun sampai di masjid.

Iza gembira bercampur sebak. Menjadi isteri orang bermakna dia sudah punyai tanggungjawab yang besar. Tetapi gembira di hati lebih mendahului. Bakal diijabkabulkan dengan lelaki yang dicintai sepenuh hati pastinya menjadi kenangan terindah dalam hidupnya.

Selesai sahaja bersiap, Iza dipimpin pengapit turun ke halaman rumah. Masing-masing yang sedang membuat kerja di khemah tersenyum-senyum melihat kecantikan raja sehari. Iza kelihatan tersenyum bahagia.


Ketika sampai di masjid, rombongan lelaki dilihat sudah bersedia menunggu majlis pernikahan. Iza berdebar tidak keruan apabila terpandang lelaki yang dicintainya sudah sedia di hadapan jurunikah. Bakal ibu mertua dan saudara-mara sebelah bakal suaminya tersenyum melihat kehadiran gadis itu. Masing-masing memuji kecantikan pengantin penuh berseri.

“Aku terima nikahnya Shahriza binti Shamsudin dengan mas kahwin enam puluh ringgit tunai.”

Dengan sekali lafaz, rasmilah dia kini menjadi isteri lelaki itu. Iza terasa sebak. Tetapi ditahan air matanya dari luruh.

Ketika dia bersalaman dengan suaminya buat kali pertama, setitik air matanya jatuh ke tangan lelaki itu. Lelaki yang kini suaminya kelihatan terkejut. Iza kemudiannya memandang lelaki itu sambil tersenyum, tanda rasa bahagianya.

Satu bulan mereka berkawan, lima tahun menyemai cinta, dua tahun mereka saling berjauhan kerana menggapai cita-cita, akhirnya mereka disatukan juga. Ternyata pilihannya tepat ketika menerima Faizul Amin setelah seminggu dia berfikir, meminta petunjuk dari Tuhan.

Pernah ditanya pada lelaki itu, apakah yang membuatkan lelaki itu jatuh hati padanya. Dia seakan tidak percaya kerana selama ini dirinya bukanlah gadis yang mudah menjadi perhatian lelaki. Lelaki itu hanya tersenyum lantas mengatakan bahawa dirinya seorang gadis unik, punyai keistimewaan tersendiri yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Hanya mereka yang bertuah sahaja akan dapat melihat keistimewaan itu. Kerana kata-kata itulah, Iza semakin mencintai lelaki itu kerana dia tahu Faizul Amin tidak akan membohonginya.

Tiada apa lagi yang diharapkan kini selain hidup bahagia di samping lelaki itu sehingga ke akhir hayatnya. Semoga ikatan yang telah dimeterai ini kekal hingga ke hujung nyawa.

No comments:

Post a Comment