Wednesday, October 6, 2010

Dia yang ku cinta - 7

Hari ini genaplah sebulan hubungan persahabatan antaranya dengan Faizul Amin. Setiap hari dilalui bagaikan mendalamkan cintanya pada lelaki itu. Perasaannya kini sudah hampir tidak dapat ditahan. Walaupun seribu orang mengatakan yang Faizul Amin turut mencintainya namun selagi tiada kata dari lelaki itu, dia bagaikan bertepuk sebelah tangan.

Sejak semalam Faizul Amin beria-ia mengajaknya untuk makan malam bersama. Mereka telah berjanji untuk bertemu pada pukul sepuluh malam di kafeteria. Kerana itu Iza hanya makan sedikit sahaja ketika berbuka puasa tadi. Rasa tidak sabar untuk bertemu Faizul Amin terasa memuncak saat itu.

Tetapi kini hanya sayu yang dirasakannya. Kenapalah Faizul Amin seakan tidak mengerti perasaannya. Mungkinkah lelaki itu sememangnya tidak berperasaan sedemikian. Layanannya hanya sekadar kawan. Cuma dirinya sahaja yang mengharap.

Untuk sekian kalinya, Iza cuba mengumpul kekuatan untuk berhadapan dengan lelaki itu. Dia tersenyum sendiri untuk menenangkan hatinya. Biarlah Tuhan sahaja yang menentukan bagaimana akhirnya hubungan mereka ini.

Suasana di kafetaria malam itu agak riuh. Ada yang sekadar berbual dan ada juga yang bertemu janji. Tetapi bagi Iza, dia gagal untuk mengklafikasikan pertemuannya itu. Adakah sekadar kawan, sekadar makan bersama. Tetapi mengapa Faizul Amin kelihatan melayannya lebih baik dari sebelum ini. Di awal pertemuan, sekeping kad ucapan Selamat Hari Raya telah dihulurkan padanya. Kad ucapan itu kelihatan lebih sesuai diberikan kepada kekasih, bukan sahabat sepertinya.

Faizul Amin sering kali memandang tepat ke anak matanya seperti ingin mengucapkan sesuatu. Tetapi sering kali dia mengatakan sesuatu yang Iza sendiri sukar mengerti maksudnya. Sesuatu yang tersirat dengan seribu makna. Iza semakin keliru, semakin tidak menentu.

Sehinggalah di akhir pertemuan, Iza kecewa kerana mengharapkan sesuatu yang tidak pasti. Namun rasa kecewanya bertukar menjadi risau apabila Faizul Amin mengatakan sesuatu sebelum mereka berpisah.

“Saya sudah jatuh cinta pada seseorang.” Ujar lelaki itu agak tenang. Degup jantung gadis itu mula berlari kencang. Faizul Amin kelihatan serius. Iza tidak semena-mena terasa sebak. Adakah bermakna ini adalah pertemuannya terakhir dengan lelaki itu.

“Saya tidak berani untuk meluahkan kerana saya takut selepas ini tidak dapat bertemu awak lagi.” Iza semakin berdebar-debar. Ternyata selama ini dia hanya bertepuk sebelah tangan. Faizul Amin sudah punyai pilihan sendiri. Ingin sahaja Iza menangis saat itu. Tetapi dikuatkan. Biarlah tika itu sahaja. Selepas ini air mata itu akan dihamburkan semahunya.

“Saya minta maaf kalau menyuarakan rasa hati saya ini, Iza. Saya tidak boleh menahan lagi perasaan ini.”

Kalau boleh, mahu sahaja Iza lari dari situ. Dia tidak sanggup hendak mendengar siapa yang telah mencuri hati lelaki itu. Cukuplah, dia tidak mahu hatinya terluka.

“Siapa dia, Amin ?” Iza memberanikan diri untuk bertanya. Walaupun terasa pedih di hati namun digagahi juga bertanya. Dia cuba tersenyum walaupun terasa begitu pahit.

Faizul Amin memandang tepat ke wajahnya. Iza tidak mampu memandang wajah itu. Dia menundukkan wajahnya sambil memejamkan matanya.

Tuhan, kuatkanlah hatiku untuk menerima jawapan ini. Jika ini ujianMu untukku, janganlah Kau biarkan aku terus berduka dengan ujian ini.


Pulang dari pertemuan itu, Iza menyembam wajahnya ke bantal. Dia menangis, melepaskan rasa hati yang bercampur baur. Badannya masih lagi menggigil tidak menentu sejak menerima jawapan dari Faizul Amin. Nurul dan Fiza yang bertanya juga tidak diendahkan.

Puas menangis, dia ke bilik air untuk membasuh muka. Dia mengambil wuduk untuk menenangkan hatinya.

Di hamparan sejadah, dia menghadap Tuhan meminta petunjuk. Selepas Solat Hajat, dia melakukan pula solat Isthikharah. Di akhirnya, dia berdoa pada Yang Esa.
Ya Allah, jika benar Faizul Amin adalah yang terbaik untukku, Kau berikanlah petunjukmu. Jika tidak, Kau jauhkanlah dia dariku. Sesungguhnya padaMu sahaja aku memohon perlindungan dan petunjuk.

Iza terkenang kembali saat manis ketika Faizul Amin menyebut lembut namanya. Perasaan gembira dan terharu bercampur-baur saat itu. Kakinya terasa lembik untuk berdiri. Dia tidak sangka sesungguhnya Faizul Amin juga sudah memendam perasaan sejak awal perkenalan mereka dahulu.

Kini dia menyerahkan segala-galanya pada Tuhan. Andai benar lelaki itulah yang terbaik untuknya, dia pasti akan menerima Faizul Amin sepenuh hati. Tetapi jika tidak, dia redha dengan ketentuan itu.

No comments:

Post a Comment