Tuesday, October 5, 2010

Dia yang ku cinta - 6

Hampir satu jam Iza berdiri di situ, berjalan ulang-alik memikirkan perkara itu. Akhirnya dia membulatkan tekad, mengumpul semangat. Dengan perlahan tetapi tanpa tenang, gagang telefon diangkat. Setiap kali nombor telefon ditekan, debarannya semakin laju. Ketika suara lelaki itu kedengaran di hujung talian, Iza memejamkan mata. Bersedia untuk bersuara…
“Saya minta maaf kalau selama ini menyusahkan awak.” Ucapnya tika itu untuk memulakan bicara.

“Menyusahkan? Saya tak faham,” balas lelaki itu kemudiannya.

“Saya nak beritahu siapa saya sebenarnya.” Ucapnya lambat-lambat bersama debaran. Faizul Amin turut terdiam.

“Saya ialah gadis yang bekerja di Student Service Centre,” jelasnya penuh debaran. Bimbang hatinya menanti reaksi lelaki itu.
“Maksud awak, yang jaga malam ini?” Tanya lelaki itu seakan terkejut.

“Ya, saya.”

Tawa kedengaran di hujung talian. Iza terkejut. Apakah makna tawa itu?

“Saya dah agak, awaklah orangnya,” jelas Faizul Amin akhirnya. Iza mengeluh lega. Suara lelaki itu masih kedengaran biasa walaupun ternyata sedikit terkejut.

“Saya minta maaf kalau mengganggu awak.”

“Awak tak perlu minta maaf. Awak tak bersalah apa-apa.” Bagaikan satu beban sudah terlepas dari bahunya, Iza terasa begitu lega dengan kata-kata itu.

“Terima kasih,” ucapnya perlahan. Dia sudah bersedia untuk meletakkan telefon. Rasanya sudah tiada apa yang harus dikatakan. Terpulanglah pada lelaki itu apa yang ingin dilakukannya selepas ini. Jika ingin terus berkawan, dia pasti mengalu-alukan. Jika ingin mengundur diri, apalah daya dirinya.

“Saya nak bertemu awak.”

Iza tersentak saat itu. Berjumpa? Dia tidak pernah berharap sebegitu.

“Untuk apa?”

“Awak sudah pun mengenali saya. Izinkan saya untuk mengenali awak pula.” Lembut suara itu menuturkan kata-kata. Membuatkan Iza tergamam seketika.


Iza tersenyum lagi. Perbualan mereka di telefon malam tadi tidak mungkin dilupakan. Betapa tulusnya kata-kata lelaki itu. Walaupun terasa berat namun dia memberanikan diri juga untuk berjumpa lelaki itu.

Iza mengerling ke arah jam tangannya. Mereka telah berjanji untuk bertemu pada pukul 2.50 petang di hadapan perpustakaan. Iza tidak mengenakan baju yang istimewa. Dia tetap berpakaian seperti lazimnya. Dia mahu Faizul Amin mengenali dirinya yang sebenar. Biarlah dia menjadi dirinya sebenar di hadapan lelaki itu.

Dari jauh dia sudah nampak lelaki itu berdiri di hadapan perpustakaan. Iza semakin berdebar untuk berhadapan dengan lelaki itu. Seram dirasakan seolah-olah akan berhadapan dengan satu hukuman. Walaupun Faizul Amin tidak pernah berkasar dengannya namun rasa bimbang tetap dirasai. Apabila dia sudah mendekati, senyuman Faizul Amin menyambutnya mesra. Hati gadis itu semakin lega.

“Lama tunggu?” Dia memulakan bicara.

Ternyata begitu kekok dirasakan untuk berbual dengan lelaki itu. Walhal jika di dalam telefon mereka berbual bagaikan sudah berkenalan bertahun-tahun lamanya. Faizul Amin hanya tersenyum sambil mengeleng perlahan. Tidak lama kemudian dia menghulurkan sebuah bungkusan kecil dan sekeping kad. Iza terkejut sambil memandang tepat ke arah lelaki itu.

“Ini sebagai tanda persahabatan kita. Saya ikhlas,” jelas lelaki itu dengan senyuman yang tidak putus-putus. Iza teragak-agak untuk menerima. Tetapi apabila dilihatnya lelaki itu benar-benar serius, dia mencapai bungkusan dan kad berkenaan.

“Saya harap awak gembira. Hadiahnya murah tapi saya harap ia akan bermakna buat awak.”

Iza terharu mendengar kata-kata itu. Hatinya rasa ingin tahu apakah hadiah yang diberikan lelaki itu.

“Boleh saya buka?” Tanya dia kemudian. Faizul Amin mengangguk sambil tersenyum.

Iza membuka bungkusan itu. Sebuah kotak kecil berwarna hitam berada di dalamnya. Sekali lagi Iza memandang lelaki itu. Faizul Amin masih lagi tersenyum.
Kotak berwarna hitam itu dibuka penuh cermat. Seutas rantai kunci berada di dalamnya. Rantai kunci itu dihiasi dengan glob kristal. Iza memandang lagi lelaki itu.

“Dalam dunia yang luas ini, kita ditemukan di sini juga,” ujar lelaki itu tenang, masih lagi tersenyum. Iza tersenyum. Barulah dia dapat menangkap makna kata-kata lelaki itu tadi. Sememangnya rantai kunci itu amat bermakna untuk hubungan mereka. Ia tanda satu persahabatan yang tidak pernah terduga.


Cinta usah dicari tetapi ia akan datang sendiri tanpa kita sedari. Begitulah telahan yang dapat dibuat Iza. Di saat dia tidak ingin lagi bercinta, Tuhan telah membuka jalan untuk dia mengenali Faizul Amin. Dari persahabatan yang biasa, mereka menjadi rapat sehingga ada yang menyangka mereka adalah pasangan kekasih. Sesungguhnya Iza bahagia dengan keadaan itu. Walaupun antara mereka sekadar sahabat akrab namun rasa bahagia tetap menjelma.

Faizul Amin melayannya dengan baik. Lelaki itu ternyata seorang yang begitu pandai mengambil hati dan tidak sekali pun berkasar dengannya. Mereka kerap bertemu, makan bersama dan ada kalanya belajar bersama di perpustakaan. Walaupun berlainan kursus namun ia tidak pernah menjurangkan persahabatan mereka.

Dari hari ke hari, perasaan Iza pada lelaki itu semakin mendalam. Layanan Faizul Amin membuatkan dia semakin sayangkan lelaki itu. Tetapi dia bimbang, risau andainya dirinya hanya bertepuk sebelah tangan. Dia tidak pasti apakah perasaan Faizul Amin pada dirinya. Adakah sama atau sebaliknya ?

Apabila dia mengadukan hal ini pada rakan-rakan baiknya, mereka semua berpendapat bahawa Faizul Amin turut mempunyai perasaan yang sama dengannya. Jika tidak masakan lelaki itu mahu melayannya dengan baik, sentiasa ingin bertemu dengannya dan sering menunjukkan sikap ambil berat terhadap Iza.

Atas kata-kata itulah Iza cuba menguatkan dirinya setiap kali berhadapan dengan lelaki itu. Dia tidak berani untuk bertanya walaupun hatinya meronta-ronta inginkan jawapan. Cukuplah sekadar dia memulakan persahabatan ini. Untuk langkah seterusnya, terpulanglah pada lelaki itu.
Di sebalik kata ada rahsia
Di sebalik senyum ada makna
Kan ku bisik kan padamu
Satu hari bila perlu
Saat pasti kau jadi milikku
Biarkanlah aku menanggung rindu
Biarkanlah engkau tiada tahu
Halus kasihku padamu
Zahirnya tak kulihatkan
Hingga pasti kau jadi milikku
Entah bila bermula
Cinta yang tak kusangka
Mungkin terlalu lama
Sangsi asmara terperdaya
Berlalulah masa
Tak sanggup ku menanti
Gelora di jiwa
Tak siapa mengerti
Siksanya menanggung rindu
Sukarnya memendam rasa
Kekasih*

Lagu mendayu-dayu itu menusuk ke telinga Iza. Dia terduduk di atas katil. Pilu dirasakan hatinya apabila meneliti bait-bait lagu itu.

No comments:

Post a Comment