Sunday, October 3, 2010

Dia Yang Ku Cinta - 4

Iza pulang ke kampus dua hari sebelum semester baru bermula. Nurul sudah pun sampai lebih awal darinya. Pada temannya itu diceritakan kisahnya dan Faiz.

“Kau dah nekad nak berpisah dengan dia?”

“Macam itulah nampaknya. Aku menyesal sebab terima dia tanpa fikir panjang,” keluh Iza perlahan. Dia sememangnya sudah nekad dan tidak akan berganjak dengan keputusannya itu.

“Habis, apa dia cakap?”

“Aku tak beritahu dia lagi. Aku ingat nak senyap saja. Lagipun aku dah tak pakai handset. Dia pun tak akan dapat cari aku lagi.”

“Ala…dunia ini kecil. Esok-esok entah-entah engkau berjumpa dengan dia juga.”
Iza terdiam. Dia sedar niatnya untuk mendiamkan diri bukanlah keputusan yang baik. Sepatutnya dia berterus terang dengan Faiz. Dia pun sebenarnya rasa tidak sedap hati jika hanya berdiam diri.

“Jadi kau rasa, aku kena beritahu dia juga?”

“Mestilah. Sekurang-kurangnya lepas ini kau boleh lupakan dia terus,” nasihat Nurul lagi. Iza mengangguk perlahan.

Dia mengambil dompetnya, mengeluarkan beberapa keping syiling dan terus keluar dari bilik. Fikirannya ligat memikirkan apakah yang harus dikatakan kepada Faiz nanti. Tetapi mujurlah dia hanya memberitahu melalui telefon. Sekurang-kurangnya jika lelaki itu bersuara kasar dia boleh terus meletakkan telefon. Janji dia memberitahu lelaki itu yang antara mereka sudah tiada apa-apa.

“Hello.” Suara lelaki itu kedengaran di hujung talian. Iza terasa degup jantungnya begitu kencang tika itu. Fikirannya tiba-tiba bagaikan kosong, tanpa butir yang harus dikatakan.

“Hello. Iza ke?” Suara itu kedengaran lagi.

Masih ingat lagi rupanya dia pada aku, bisik gadis itu sendirian. Dia menghela nafas, cuba mengumpul kekuatan untuk mula bersuara.

“Faiz, Iza ini.”

“Iza, kenapa tak beritahu awak dah balik Batu Pahat? Saya baru telefon rumah awak. Emak awak cakap yang awak dah balik. Saya telefon handset awak tapi tak dapat.” Iza cuba mengumpul kekuatan lagi. Dia tidak mahu mengalah dengan kata-kata lembut seperti itu. Sekali keputusan sudah diambil, dia tidak mahu berpaling lagi.

“Maaf, Faiz. Saya dah tak pakai handset lagi.”

“Kenapa?”

“Saya rasa cukuplah setakat ini hubungan kita. Saya sebenarnya tidak dapat menerima awak.” Tanpa menjawab soalan tadi, Iza terus mengungkap apa tersimpan di hatinya selama ini. Lelaki di hujung talian hanya terdiam, seakan terkejut dengan kata-kata itu.

“Awak dah fikir masak-masak?”

“Keputusan saya muktamad, Faiz.” Kedengaran keluhan berat di hujung talian.

“Awak terlalu mudah mengalah, Iza.”

“Bukan saya mudah mengalah. Tetapi saya langsung tiada perasaan pada awak. Saya tak dapat berikan peluang pada diri saya untuk menerima awak.”

“Awak sukakan orang lain, bukan?” Iza tersentak dengan kata-kata bersahaja itu.

“Saya…”

“Sudahlah, Iza. Kalau awak sukakan orang lain, awak mesti beritahu saya dari awal. Bukan sekarang.”

“Faiz…”

“Terima kasih kerana melukakan hati saya.”

Klik! Telefon diletakkan. Iza bingung seketika. Aku melukakan hati diakah? Hatinya tertanya-tanya sendiri. Sepatutnya aku yang terluka kerana sikapnya yang membuatkan aku keputusan ini.

Namun dapat dirasakan saat itu satu beban telah terlepas dari bahunya. Dia mengeluh lega bersama satu senyuman. Hatinya puasa dengan keputusan itu.

Semester baru sudah bermula. Semester ini Iza berazam lebih berusaha untuk pelajarannya. Keputusannya untuk semester lepas tidak begitu cemerlang. Iza agak kecewa namun tidak berputus asa untuk terus berusaha. Dia sedar sekiranya dia tidak berusaha keputusannya pasti lebih teruk.
Namun Iza tetap kecewa kerana pinjaman PTPTN yang dipohonnya masih lagi belum diluluskan. Kerana itu dia terpaksa melakukan kerja sampingan seperti semester lepas.

Semester itu dia memulakan tugas pada hari kedua dalam minggu pertama. Seperti biasa, tepat pukul enam petang dia sudah muncul di Student Service Centre. Kak Lun menyambutnya dengan senyuman. Wanita berusia pertengahan 30-an itu kelihatan sudah bersiap sedia untuk pulang.
“Macam mana cuti, Iza? Seronok?” Tanya wanita itu mesra. Iza hanya tersenyum nipis sambil mengeleng.

“Biasa saja, kak.” Kak Lun tersenyum mendengar jawapannya.

“Kak Lun nak beri kerja tambahan pada Iza,” beritahu wanita itu kemudian sambil mengeluarkan dua helai kertas. Iza yang sudah meletakkan begnya mendekati wanita itu.

“Selepas tutup kedai, Iza kena kira berapa banyak majalah dan kad telefon yang dah dijual. Jumlahkan semua ini dengan duit dari barang-barang lain. Lepas itu Iza masukkan semua duit yang ada ke dalam sampul surat dan letak dalam laci berkunci ini,” beritahu wanita itu panjang lebar sambil menunjukkan laci yang selama ini sentiasa berkunci.

“Dalam mesin tinggalkan duit kurang dari dua puluh ringgit,” sambung Kak Lun sambil menyerahkan setangkai kunci.

“Ini kunci laci. Jaga baik-baik sebab laci ini banyak benda berharga.” Iza mengangguk sambil mengambil kunci dari tangan wanita itu. Nampaknya kerjanya semakin banyak tanggungjawab. Dia tahu pendapatan kedai boleh mencecah seribu ringgit sehari.

Iza memulakan tugas dengan rasa bosan. Selalunya awal semester begini tidak ramai pelajar yang datang. Masing-masing masih belum sibuk dengan tugasan. Jika tidak pasti kedai itu sibuk dengan mereka yang ingin mencetak dan menjilid tugasan masing-masing.

Dalam kebosanan itu, Iza membuka laci berkunci tersebut. Niatnya sekadar ingin mengetahui apa yang terkandung di situ. Apabila laci dibuka, matanya tertarik pada helaian kertas berwarna merah. Agak tebal kertas itu yang tersusun rapi. Melihat tulisan yang tertera di situ, barulah gadis itu teringat akan borang langganan majalah yang telah diedarkan sejak semester satu lagi. Kak Lun ada mengatakan yang langganan akan bermula semester ini.

Iza sekadar melihat sekali lalu majalah-majalah yang ingin dilanggan oleh mereka. Sedang dia menyelak borang itu, dia terhenti pada sehelai borang langganan. Dia tertawa sendiri melihat nama majalah yang tertulis di situ. GS Mikami.

Ingin mengetahui lebih lanjut, Iza menarik borang itu keluar dari ikatannya. Nama yang tertera di situ dibacanya. Faizul Amin.

Serta merta ingatannya melayang ke wajah lelaki tersebut. Nyata dia masih belum melupakan wajah itu. Cuma perasaan itu sahaja yang sudah tiada. Iza tertawa sendiri lagi. Dia tidak sangka lelaki itu meminati komik sebegitu. Sangkanya Faizul Amin seorang yang serius dan hanya menumpukan perhatian pada pelajaran sahaja.

Melihat nombor telefon yang tertera di situ, peristiwa ketika kali pertama bertemu lelaki itu menerpa lagi. Dia tersenyum sendiri sambil mengeleng-geleng perlahan. Tiba-tiba muncul idea di fikirannya. Nombor telefon di borang ditulis pada secebis kertas. Dia tersenyum lagi.

Dia ingin mengenali lelaki itu. Tetapi bukan secara serius, sekadar bermain-main.
Iza merasakan hari itu tidak lagi sebosan sebelum ini. Dia bertugas dengan riang sambil menunggu masa kerjanya tamat. Dia ingin memulakan satu permainan baru dalam hidupnya.

Iza bagaikan hilang suara tatkala mendengar suara lelaki itu di hujung talian. Rasa gemuruh yang tidak semena-mena hadir bagaikan mungunci bibirnya untuk bersuara.

“Hello.” Suara itu kedengaran lagi. Nadanya seperti kehairanan.

“Er…hello.” Akhirnya Iza memberanikan diri untuk bersuara. Dia telah memulakan permainan ini dan dia seharusnya meneruskan.

Pulang sahaja dari kedai dia terus memberitahu rakan-rakannya. Nurul, Fiza, Lina dan Mimi menyokong permainannya itu. Kerana itu Mimi dengan rela hati membenarkan telefon bimbitnya digunakan untuk menghubungi lelaki itu.

“Nak bercakap dengan siapa?” Suara itu masih lagi kedengaran mesra tetapi seperti kehairanan.

“Er…Faizul Amin.” Iza masih lagi teragak-agak.

“Saya Faizul Amin. Boleh saya tahu siapa ini?”

Iza terdiam. Dia terlupa untuk mencipta nama bagi permainan itu. Dia tidak mahu Faizul Amin mengetahui identiti sebenarnya. Biarlah hanya dia mengetahui siapa lelaki itu.

“Hm…Iza. Panggil saya Iza.” Akhirnya nama itu juga digunakannya. Lagipun di kolej ini bukan dia sahaja yang bernama Iza. Kalau dia tidak memberitahu kursus yang diambil pasti rahsianya akan tersimpan rapi.

No comments:

Post a Comment