Saturday, October 2, 2010

Dia Yang Ku Cinta - 3

Pulang sahaja dari pertemuan petang tadi, Iza terus meminta pendapat rakan sebiliknya. Mereka memang mengetahui perhubungannya dengan Faiz tetapi tidak tentang perasaannya pada Faizul Amin. Nurul beria-ia menyuruhnya menerima sahaja Faiz. Tetapi Fiza menasihatinya agar berfikir panjang. Jarak umur antara dirinya dan Faiz begitu ketara. Lagi pun mereka baru sekali bertemu. Berbual di telefon dan bertemu ada banyak perbezaan.

Faiz menghubunginya tepat jam 9.30 malam. Tanpa bertanya keadaannya, dia terus bertanya tentang jawapan yang dijanjikan. Iza sedikit berkecil hati. Walaupun selama ini Faiz jarang bertanya tentang keadaan dirinya namun dirasakan dia harus mula berbuat demikian. Jika benar dia ingin memiliki dirinya dengan ikhlas, Faiz seharusnya lebih mengambil berat tentang dirinya.

“Macam mana? Boleh saya tahu jawapan awak sekarang?”

“Saya masih belum bersedia,” ujar Iza perlahan.

“Tak apa, awak boleh belajar menerima saya. Saya pun akan belajar memahami awak.”

Iza terdiam. Jujurkah lelaki itu dengan kata-katanya? Bolehkah dia mempercayai lelaki yang berada jauh darinya, yang hanya menghubunginya sekali seminggu? Bolehkah dia mengikut rentak lelaki yang ternyata lebih matang darinya itu?

“Kalau awak tak beri peluang, bagaimana awak nak tahu hasilnya. Setiap hubungan itu kita tak akan dapat pastikan bagaimana akhirnya.”

Iza bagaikan termakan dengan kata-kata itu. Namun akalnya pantas membidas. Cinta bukan suatu eksperimen baginya. Kalau gagal, boleh berpisah begitu sahaja. Dia mahukan cinta sejati, cinta yang dia tahu ada penghujung penuh makna.

Tetapi adakah cinta sejati itu ada pada lelaki yang tidak mengerti perasaannya? Lelaki yang langsung tidak menyedari kehadirannya? Lelaki yang langsung sudah melupakannya?

Iza tidak tahu adakah itu keputusan sebenarnya. Akhirnya dia menerima Faiz untuk memulakan sebuah percintaan. Dia bagaikan hilang dalam dirinya sendiri ketika memberi jawapan itu. Dirasakan bukan dirinya yang bersuara memberi jawapan.

Mungkin. Ya mungkin suaranya tetapi bukan hati dan fikirannya. Hati dan fikirannya sudah melayang bersama angan-angan untuk bersama Faizul Amin, lelaki yang tidak mengerti perasaannya.
Tidak banyak yang boleh dilakukan Iza sepanjang cuti empat minggu itu. Dua minggu pertama dia berada di kampung. Duduk di rumah dia hanya berkurung tanpa keluar ke mana-mana. Dia bukanlah kaki jalan seperti kebanyakan rakan-rakannya. Kerana itu minggu ketiga, dia ke rumah kakaknya di Puchong. Di rumah kakak dia turut merasa bosan. Kakak keluar bekerja pada waktu pagi dan hanya pulang menjelang malam. Rakan-rakan serumah kakak juga selalu keluar. Hanya sekali dia dibawa berjalan sekitar bandar Shah Alam.

Hari sebelum dia pulang ke kampung, abangnya yang sulung datang untuk membawa dia ke rumah pak cik di Selayang. Pada malam itu, Along banyak memberi nasihat padanya. Along seakan dapat menghidu yang dia kini sudah mempunyai kekasih. Entah bagaimana boleh diketahui oleh lelaki itu pun Iza tidak pasti.
Sepanjang di kampung hanya sekali dia menghubungi Faiz. Itupun untuk memberitahu lelaki itu yang dia sudah selamat sampai di kampung. Selepas itu dia langsung tidak menghubungi. Faiz juga lansung tidak menelefon walaupun dia sudah memberi nombor telefon rumahnya. Iza mula berasa kecil hati yang akhirnya menjadi sakit hati.

Dia tidak akan lupa peristiwa semasa Faiz menghantarnya ke stesyen keretapi di Kluang. Sepanjang menaiki bas dari Parit Raja, dia tidak habis dileteri hanya kerana tidak memakai baju kurung. Sakit hatinya dengan tindakan lelaki. Tidak fahamkah lelaki itu, dengan dua buah beg yang dibawanya adalah lebih senang memakai jeans dan t-shirt. Apabila dia cuba mempertahankan tindakannya tidak memakai baju kurung, Faiz semakin meninggikan suara.

Akhirnya dia hanya mendiamkan diri, tanpa sedikit pun memandang lelaki itu. Sehingga keretapi meninggalkan stesyen Kluang, dia langsung tidak memandang Faiz yang berdiri di ruang menunggu. Saat itu dia terasa begitu menyesal kerana menerima lelaki sebegitu. Baru sehari bergelar kekasih, sudah mula mengokong dirinya.

Malam itu dia terasa sukar untuk melelapkan mata. Nasihat Along terus terngiang-ngiang di telinganya.

“Jangan mudah menerima lelaki tanpa berfikir panjang. Selidik dahulu latar belakang lelaki itu sebelum memberi jawapan.”

“Jangan mudah terpengaruh hanya kerana ingin bercinta seperti orang lain. Tidak mati pun jika tidak bercinta macam orang lain.”

“Kalau berjumpa orang yang dirasakan sesuai, biarlah emak dan ayah melihat lelaki itu dahulu sebelum mula bercinta. Biarpun hanya bercinta, sekurang-kurangnya emak dan ayah tahu dengan siapa Iza berkawan.”

“Jika hati merasa ragu, mintalah petunjuk Tuhan kerana Tuhan lebih mengetahui tentang hamba-Nya. Buatlah solat Istikharah, Insya Allah Tuhan akan memberi petunjuk pada kita.”

“Cinta ini bukan permainan. Biarlah cinta itu ada hala tujuan. Biarlah sampai ke jinjang pelamin kalau diizinkan Tuhan.”

“Jika benar lelaki itu baik, emak dan ayah pun merestui, janganlah sampai terpesong. Banyak cabaran jika bercinta ini, Iza.”

“Along bukan nak membantah Iza bercinta. Bercintalah jika benar lelaki itu benar-benar baik dan ikhlas. Tetapi jagalah diri kerana dirimu hanyalah untuk lelaki yang bernama suamimu.”

Iza terasa sebak mengenangkan kesilapannya. Ternyata menerima Faiz dahulu adalah satu kesalahan. Dia menerima tanpa mengetahui lebih banyak tentang lelaki itu. Lagipun sepanjang berjauhan ini dia langsung tidak merindui lelaki itu. Hanya sakit hati yang menemani.

Saat itu Iza berazam untuk melupakan rasa hatinya yang ingin mencintai dan dicintai. Ternyata sekarang adalah masa untuknya menumpukan perhatian pada pelajaran. Dia mahu melakukan yang terbaik sepanjang tiga tahun pelajarannya di kolej. Selepas tamat pengajian barulah dia akan memikirkan soal cinta. Itulah azamnya tika itu.

Saat itu nama Faiz sudah terpadam dari ingatannya. Begitu juga Faizul Amin yang sememangnya sudah hampir dilupakannya.

No comments:

Post a Comment