Friday, October 1, 2010

Dia Yang Ku Cinta - 2

Tengah hari itu, setelah menikmati juadah tengah hari Iza melangkah ke Student Service Center. Sementara menunggu kelas seterusnya, dia ingin melayari internet untuk mencari bahan bagi tugasan yang diberi pensyarah. Dari jauh dilihatnya kedai agak sesak dengan pelajar.
“Hai Iza. Dah makan?” Tegur Kak Lun sebaik saja dia melangkah masuk. Iza hanya tersenyum sambil mengangguk.

“Ada komputer kosong, kak?”

“Hm…yang satu tu tak ada orang pakai. Iza guna sajalah,” beritahu wanita itu sambil menunding jari ke sebuah komputer di hujung sekali. Iza mengukir senyuman lantas melangkah ke komputer itu. Dua orang pelajar perempuan berada di komputer sebelah. Iza mengeluarkan buku catatannya untuk melihat maklumat yang ingin dicarinya.

Semasa asyik menghadap komputer, Iza perasan akan kehadiran dua orang pelajar lelaki di sebelahnya. Dari perbualan mereka dengan dua pelajar perempuan tadi, dia dapat mengangak yang mereka datang untuk membantu. Iza buat endah tak endah walaupun dia ternyata kurang senang dengan kehadiran dua pelajar itu.

Hinggalah suatu ketika, Iza menoleh ke arah empat orang pelajar yang sedang berbincang tentang tugasan mereka itu. Tersentak hati gadis itu seketika apabila menyedari bahawa di sebelahnya adalah Faizul Amin, lelaki yang telah menarik minatnya seminggu yang lalu.

Iza menganjakkan kerusinya sedikit apabila menyedari keadaan mereka yang kelihatan tidak selesa. Lelaki bernama Faizul Amin itu tersenyum tanda mengucapkan terima kasih. Iza membalas senyuman dengan rasa debaran di dada. Seperti mana kali pertama dia bertemu lelaki itu, begitulah perasaannya kini. Kelu dirasakan lidah dan degup jantung yang bagaikan dapat memecahkan dindng dadanya.

Entah mengapa Iza begitu mengharapkan Faizul Amin akan menegurnya. Tetapi lelaki itu terus berpaling, berbincang tentang tugasan tanpa menghiraukannya. Hampa rasa hati gadis itu. Lupakah lelaki itu akan dirinya. Hatinya mengeluh sendirian.

Namun kemudian ditenangkan hatinya. Mungkin benar lelaki itu tidak mengingati wajahnya. Pertemuan pertama mereka terlalu singkat dan bukanlah dirancang. Tetapi bagi Iza, untuk melupakan wajah itu tidak sekali-kali. Bagaimana harus dilupakan wajah yang telah meruntun hatinya. Wajah itu jugalah yang telah membuatkan dia merasakan suatu perasaan yang indah buat pertama kali dalam hidupnya.

Hidup perlu diteruskan walau banyak masalah melanda. Itulah prinsip hidup Iza, seorang gadis yang tabah berdikari dalam mengharungi zaman remajanya. Pinjaman PTPTN yang sepatutnya diterima seawal semester masih belum diterimanya. Kerana itu dia terpaksa membuat kerja sampingan di kedai serbaneka yang dipanggil Student Service Center itu. Dia tidak mahu menyusahkan ibu bapanya. Dengan bayaran dua ratus ringgi sebulan, cukup untuk dia menampung hidupnya di kolej itu.

Selain itu kerja sampingan itu juga membolehkan dia menggunakan komputer dan mencetak tugasan dengan percuma serta mendapat potongan harga bagi barang yang dibelinya. Kak Lun juga banyak mengajar dia tentang banyak perkara. Walaupun ada masanya kedai sibuk dan dia hanya berseorang menjaga kedai namun keadaan tetap dapat dikawal.

Di dalam kelas, Iza agak pendiam. Pergaulannya terlalu terhad. Mungkin kerana kesibukannya, dia jarang keluar bandar seperti rakan-rakan yang lain. Cuma pada rakan sebilik sahaja dia banyak berbual. Bagi gadis itu dirinya adalah biasa, tiada yang istimewa. Namun bagi yang melihat gaya hidupnya ramai yang menganggap dia seorang yang unik.

Bagi Iza, masalah cinta tidak terlepas dari hidupnya. Dalam kesibukan, dia masih sempat mengenali seorang lelaki yang tidak pernah ditemuinya. Bukan bermakna perkenalan itu tanda dia telah melupakan Faizul Amin. Nama, wajah dan suara lelaki itu masih lagi melekat di fikirannya. Walaupun sering bertembung namun lelaki itu tetap seakan tidak perasan akannya. Cuma dia sahaja yang sering merasakan sesuatu tiap kali bertembung dengan lelaki itu di kolej.

Perkenalan Iza dan Faiz juga secara tidak sengaja. Walaupun jarak memisahkan namun itu tidak menghalang mereka saling berkenalan dengan lebih dekat. Hinggalah suatu hari, mereka bertemu setelah dua bulan saling berhubung melalui telefon.

Selepas selesai menduduki kertas peperiksaan terakhir, Iza bersiap untuk bertemu Faiz di Bandar Batu Pahat. Dia mengenakan baju kurung kerana teringat akan kata-kata Faiz yang dia suka gadis yang berbaju kurung. Dia mahu kelihatan cantik di hadapan lelaki itu.

Iza tidak menafikan dia sedikit berdebar untuk berhadapan dengan Faiz buat pertama kali. Walaupun dia pernah melihat gambar lelaki itu namun debarannya masih lagi terasa. Tetapi debaran itu tidak sama ketika dia kali pertama bertemu Faizul Amin.

Iza mengeluh sendiri apabila teringat lelaki itu. Dia sedar dirinya sudah jatuh hati pada lelaki itu. Kalau tidak, tidak mungkin dia akan terasa kaku hanyak kerana terlihat lelaki itu. Wajahnya terasa panas hanya memandang lelaki itu dari jauh. Tetapi sayang Faizul Amin seakan tidak pernah bertemunya. Tidak pernah memandang apatah lagi menegurnya seperti pertama kali dahulu.

Perlahan dia menghela nafas panjang. Matanya dipejam erat. Dia ingin melupakan bayang Faizul Amin dari ingatannya. Mungkin lelaki itu bukanlah untuknya. Buat apa dia mengingati orang yang tidak pernah mengingatinya.

Setelah beberapa ketika, Iza merasakan hatinya sedikit tenang. Dia mencapai beg sandang yang menjadi trend pada masa sekarang. Beg itu dipinjam dari Nurul, rakan sebiliknya. Jika selama ini dia jarang berbaju kurung dan kelihatan seperti tomboy namun hari ini imejnya ketara berubah. Dia mahu Faiz berpuas hati melihat perubahannya.

Iza melangkah meninggalkan bilik dengan rasa debaran. Di fikirannya dia cuba membayangkan bagaimanakah pertemuannya dengan Faiz nanti. Namun jauh di sudut hati dia tahu, bayang Faizul Amin masih lagi gagal disingkir dari ingatannya.
Iza tersentak. Wajah Faiz direnungnya seakan tidak percaya dengan kenyataan lelaki itu. Dia cuba mencari ketulusan pada wajah itu. Lelaki itu tersenyum seakan mengerti dengan apa yang dirasainya kini. Tetapi Iza seakan tidak dapat melihat keikhlasan di wajah itu. Adakah kerana perasaannya yang sememang tidak menentu atau sememangnya Faiz hanya bergurau.

“Awak serius ke?” Soal Iza untuk memastikan kebenaran.

“Saya serius. Awak tak percaya?”

“Entahlah,” balas gadis itu lantas melepaskan satu keluhan. Dia bagaikan bingung seketika. Perasaannya bagaikan berbelah bahagi.
Bukankah ini yang diharapkannya dari pertemuan ini. Tetapi mengapa dia seakan tidak percaya, seakan tidak mahu ini berlaku. Iza merasakan mahu sahaja dia lari dari situ. Apatah lagi dia bagaikan melihat bayang Faizul Amin melambai-lambai ke arahnya.

“Kenapa saya?”

“Saya rasakan awak yang paling sesuai. Saya mahukan seorang wanita di sisi saya.” Faiz bersuara lembut tetapi ia langsung tidak menarik hati gadis itu.

“Awak masih lagi tak kenal saya. Orang di hadapan awak ini bukan seperti yang awak harapkan,” jelas Iza jujur. Dia merasakan masih lagi belum bersedia untuk mencintai lelaki itu. Dia sukakan Faiz tetapi tidak bermakna dia mencintai. Hatinya sudah terpaut pada seseorang yang ternyata tidak mengerti perasaannya itu.

“Kita boleh belajar tentang diri masing-masing, Iza. Bila masa dah sesuai, kita boleh disatukan.”

Iza terasa semakin kaku. Seram dirasakan mendengar kata-kata itu. Dia sedar Faiz sudah matang. Dia sudah 25 tahun. Tetapi dirinya masih terlalu muda untuk memikirkan sebuah hubungan yang menuntut komitmen.

“Awak tak sukakan saya?”

“Bukan begitu.”

“Sudah tu?”

Iza bagaikan tertekan dengan pertanyaan ringkas itu. Faiz seakan menuntut jawapan pada masa itu juga. Bagaimana harus dijelaskan. Dia bukan sahaja tidak bersedia malah perasaannya pada lelaki terasa begitu rapuh. Bila-bila masa boleh hancur berkecai.

“Berikan saya masa untuk memikirkannya,” pinta Iza separuh merayu. Dia ingin menolak sahaja tawaran kasih itu. Namun jauh di sudut hati, dia juga ingin mencintai dan dicintai. Dia juga seperti remaja lain yang ingin diingati oleh orang lain dengan penuh kasih sayang.

“Okey, malam ini saya telefon awak.”

“Secepat itu?”

“Buat apa nak lambat-lambat. Kalau betul awak ikhlas, tidak ada perasaan pada orang lain, sekarang pun awak dah bersetuju.”

Iza tersentak dengan kata-kata itu. Wajah Faiz sudah hilang dengan senyuman.

Untuk sekian kalinya Iza cuba melenyapkan bayang Faizul Amin. Namun semakin kuat dicubanya namun semakin kukuh bayang itu di kotak fikiran. Bila-bila masa Faiz akan menghubunginya, meminta jawapan yang dijanjikan. Namun Iza masih buntu, sukar membuat keputusan yang terbaik.

No comments:

Post a Comment