Thursday, September 30, 2010

Dia Yang Ku Cinta - 1

Pintu masuk kedai itu dibukanya dengan sedikit tergesa-gesa. Sebaik sahaja pintu terbuka, dia pantas memetik suis lampu dan pendingin hawa di belakang meja. Beg sandangnya diletakkan ke bawah meja. Belum pun dia bersedia untuk tugasnya., seorang lelaki masuk ke kedai itu. Pelanggan pertama malam itu. Tanpa mengukirkan senyuman seperti biasa yang dilakukannya, gadis itu pantas menghidupkan tujuh buah komputer yang tersusun menghadap dinding kaca.

Malam ini dia agak lewat membuka kedai. Biasanya selepas solat Maghrib dia akan terus membuka Service Center itu. Tetapi hari ini dia hampir terlupa tugasnya dek kerana sibuk mengulangkaji pelajaran.

Setelah berpuas hati dengan keadaan komputer dan pencetak yang berfungsi dengan baik, dia melangkah ke kerusi empuk berwarna biru. Sambil itu dia menjeling ke arah lelaki yang masuk tadi. Lelaki yang memakai jaket yang berlambangkan logo kolej itu sedang membelek-belek beberapa batang pen di bahagian alat tulis. Tanpa menghiraukan lelaki itu lagi, Iza mencapai buku nota subjek Fizik dari begnya. Pukul 9 nanti dia akan menghadapi ujian dua subjek berkenaan.

“Macam mana nak pesan majalah?”
Hampir sahaja buku di tangan terlepas dari pegangannya. Terkejut dia dengan pertanyaan tiba-tiba itu. Lelaki yang masuk tadi kini sudah berdiri di hadapannya. Lelaki itu tersenyum manis. Iza mancapai sehelai borang pesanan yang disediakan tanpa sedikit pun membalas senyuman itu. Dia terlalu risau akan ujian yang akan dihadapinya sebentar lagi. Apabila borang sudah bertukar tangan, Iza menatap notanya kembali.
“Er…macam mana nak isi?”
Iza mengeluh berat. Hatinya sedikit geram. Apa yang susah sangat nak isi borang itu? Selama ini tidak ada satu pun komen yang didengarinya mengenai borang itu. Semuanya pandai mengisi sendiri borang.
“Isi nama, nombor telefon dan majalah yang nak dipesan,” jelas gadis itu separuh ikhlas.
“Nombor telefon nak juga ke ?”
Iza mengeluh lagi. Kenapalah di saat-saat dia risau begini terpaksa berhadapan dengan pelanggan seperti itu. Kalau bukan kerana abang Pian yang meminta dia tunggu sekejap, pasti dia kini boleh mengulangkaji dengan lebih tenang. Fizik adalah subjek yang agak susah baginya. Risau juga sekiranya gagal dalam ujian itu.
“Nombor telefon tu untuk kami hubungi bila majalah dah ada. Tak perlulah awak datang sini untuk tanya,” jelas gadis itu lagi. Kali ini dia sudah memberi perhatian pada pelanggannya itu. Ditenangkan sedikit hatinya.
Tetapi matanya jarang dipanahkan ke wajah lelaki itu. Dia mudah berasa malu apabila memandang wajah lelaki yang tidak pernah ditemuinya.Mata gadis itu jatuh pada kad matrik yang dipakai lelaki itu. Serta-merta dia bagaikan tertarik dengan nama yang tertera di situ. Faizul Amin.
Sekali lagi dia memandang wajah itu. Lelaki yang berwajah sederhana dengan kaca mata tanpa bingkai. Wajahnya dihiasi dengan sedikit kumis dan janggut yang dijaga rapi. Dengan penampilan sederhana itu, Iza tidak menafikan bahawa lelaki seperti itulah yang diminatinya. Mungkin kerana itu debaran di dadanya bagaikan lari dari rentak biasa. Melihat kad matrik lelaki itu, dia pasti mereka adalah dari kemasukan yang sama. Cuma bezanya lelaki itu adalah pelajar ijazah.
Sedang dia melayan perasaan, telefon di belakang berbunyi. Gadis itu sedikit hairan. Siapa pula yang telefon. Biasanya telefon itu hanya digunakan ketika siang untuk urusan kedai. Dia pantas mengangkat gagang telefon.
“Hello.”
“Iza, ujian dah nak mula.”
“Apa?”
Dia pantas memandang jam di tangan. Baru pukul 8.30. Setahunya ujian hanya akan bermula pada pukul sembilan. Hatinya semakin risau. Abang Pian masih belum tiba untuk menggantikannya.
“Cepatlah datang dewan.” Suara Nurul kedengaran lagi di hujung talian.
“Ok, ok. Aku datang sekarang,” balas Iza separuh cemas. Dia meletakkan gagang kembali. Rasa paniknya muncul. Apa yang perlu dia buat sekarang. Lelaki bernama Faizul Amin tadi sudah pun keluar dari kedai. Nampak gayanya terpaksalah dia tutup sahaja kedai.
Ketika dia bergegas keluar, abang Pian muncul. Iza mengeluh lega.
“Eh! Kata ujian pukul 9,” tegur senior tahun lima itu.
“Entahlah, tadi Nurul telefon kata ujian dah nak mula.”
Dia terus keluar dengan perasaan cemas. Kalau betul ujian sudah hampir bermula, pasti perhatiannya pada ujian akan terganggu.
Sebaik sahaja keluar dari kedai, dilihatnya lelaki itu masih lagi berada di luar. Dapat dirasakan wajahnya mula terasa panas dek malu. Seakan tidak menghiraukan lelaki itu, dia mencapai sandal di atas rak.
“Eh, kita sebaya ke?” Lelaki itu bertanya tiba-tiba. Iza mengangkat wajahnya, memandang tepat ke wajah lelaki itu. Lelaki itu tersenyum lagi sambil memerhatikan kad matrik yang tergantung di lehernya.
“Buat part time ke kat sini?” Tanya lelaki itu lagi. Buat kali pertama Iza mengukir senyuman sambil mengangguk untuk mengiyakan.
“La.. saya ingatkan bukan student,” ujar lelaki bernama Faizul Amin itu lagi. Iza tertawa kecil. Memang ramai yang menganggap dia bukan pelajar kolej berkenaan. Yalah, jarang boleh lihat pelajar kolej itu membuat kerja sampingan seperti itu.
“Nak pergi mana ni?”
“Er… saya ada ujian kejap lagi.”
‘Oh…gitu. Tak apalah. Good luck ye,’ ucap lelaki itu mesra.
“Thanks,” balas gadis itu sambil mengukir senyuman.
Kali ini rasa malunya sudah semakin berkurangan. Cuma terasa hangat di hati dengan kemesraan lelaki itu. Debaran di dadanya sudah semakin berkurangan, tidak seperti mula-mula dia menatap wajah itu.
Setelah mengucapkan terima kasih, Iza melangkah terus ke Dewan Peperiksaan tanpa berpaling lagi pada lelaki itu. Namun nama dan wajah itu pasti tidak akan dilupakan. Apatah lagi suara bernada mesra itu.
Untuk pertama kali dalam hidup gadis berusia 18 tahun itu, dia dapat merasakan kehangatan menyentuh ke dasar hatinya. Begitu indah, begitu mengasyikkan perasaannya.

Hidup sebagai pelajar kolej ada masanya gembira dan ada masanya masalah pasti melanda. Hidup sebagai remaja, penuh cabaran. Salah pilihan, masa depan pasti tergugat. Harapan ibu bapa, kemahuan sendiri dan masalah cinta sering memberatkan fikiran remaja. Iza tidak terkecuali. Cuma semangat dan iman sahaja dijadikan pegangan supaya tidak mudah terpesong ke jalan yang salah. Hidupnya masih lagi jauh untuk dilalui jika usianya panjang. Dia tidak rela andai masa depan hilang entah ke mana kerana kesilapan di usia remajanya.

No comments:

Post a Comment