Monday, September 20, 2010

Cinta Marissa - 9

Kedatangan Umi Nor memang dinanti oleh Marissa dan Diba. Dengan teh kosong dan biskut, mereka duduk berbincang. Akhirnya Umi membuat keputusan, biar dia berbicara dengan Ishqal dahulu. Mereka bersetuju.

Keesokan paginya, sebelum Espariza Florist dibuka, Marissa pergi menemui Iqbal dahulu. Melihatkan kedatangan Marissa, Iqbal meneka sesuatu. "Pagi dah datang? Nak ambil kunci ke?"

"Mari duduk sekejap. Ada perkara penting nak cakap dengan awak," jawab Marissa.

"Hemm... pasal lamaran Ish pada Diba? Umi Nor dah beritahu saya," jawab Iqbal.

"Oh, jadi awak dah tahulah?"

Iqbal mengangguk sambil tersenyum.

"Err... awak tak risau ke?"

Iqbal menggeleng. "Ish tersalah tafsir perhatian yang diberikan oleh Diba terhadapnya. Saya percaya Umi Nor boleh selesaikan masalah ini."

Marissa kurang yakin dengan kata-kata Iqbal itu. Padanya Iqbal terlalu mengambil mudah tentang masalah Ishqal.

"He will be alright. Trust me. I know my brother. Awak pulak macam mana? Dah dapat lupakan Rahimi?" soal Iqbal.

"Kalau awak tak ingatkan, saya pun memang dah lupakannya."

"Awak memang patut cari seseorang sebagai pengganti."

"Kalau awak nak jadi penggantinya pun apa salahnya!" Marissa bergurau.

"Hah... saya nak jadi pengganti? Takut saya. Awak garang sangat."

"Sesuailah tu dengan lelaki lembut macam awak!"

"Lembut? Eh, tolong sikit. Saya bukan lelaki lembut. Awak belum tengok macam mana garangnya saya."

Marissa tidak menjawab. Dia sekadar melepaskan ketawa jantannya. Sesuatu yang Iqbal boleh terima kini!

Umi Nor sudah pun berjumpa Ishqal dan berbicara dengan sebaik mungkin. Ishqal memang serius pasal Diba. Sempat juga Ishqal meminta maaf kepada Umi Nor kerana tidak memberitahu tentang lamarannya kepada Diba. Entah mengapa kata Ishqal, dia rasa malu pulak nak bercerita dengan Umi Nor tentang perkara itu walaupun sebelum ini, wanita itulah tempatnya mengadu segala hal. Umi Nor cuba memujuk Ishqal supaya menghabiskan pengajiannya terlebih dahulu sebelum mengikat tali pertunangan dengan sesiapa. Dia sekadar membayangkan kepada Ishqal akan kemungkinan Diba menolak lamaran itu. Tapi nampaknya ishqal begitu yakin Diba bakal menjadi tunangannya dengan alasan, Diba dah terima cincin pemberiannya tanpa sepatah kata. Umi Nor cuba memberikan pelbagai pandangan mengenai tindakan Diba itu. Tak semestinya itu tanda Diba bersetuju. Dia menasihatkan Ishqal supaya tunggu jawapan yang sebenarnya dari mulut Diba sendiri.

Jadi, Ishqal telah menghubungi Diba untuk bertemu. Diba yang telahpun diberitahu tentang pertemuan Ishqal dan Umi Nor itu, terpaksa juga bersetuju untuk bersemuka dengan Ishqal.






Sudah dua jam Diba dan Ishqal keluar. Itulah yang membuatkan Marissa dan Umi Nor tak senang duduk. Akhirnya, mereka dikejutkan dengan kemunculan Ishqal di Espariza Florist. Sekali terpandangkan Umi Nor, Ishqal berteriak riang.

"Nasib baik Umi pun ada di sini. Dia dah terima Umi! Diba dah terima!" Habis Umi Nor dipeluk-peluknya.

Umi Nor dan Marissa saling berpandangan. Ketika itulah Diba muncul dengan wajah yang tidak meyakinkan. Ishqal mendorong Diba ke dalam. Kemudian dia mengambil segenggam bunga ros segar, lalu duduk menongkat lutut, di hadapan Umi Nor dan Marissa dan menghulurkan bunga ros itu kepada Diba.

"May I present, my fiancee Adibah..."

"Apa Ish?" Umi Nor bertanya kembali sambil memandang Marissa.

"Yes Umi! Diba dah terima lamaran Ish!" Dia menoleh ke arah Diba sambil mencuit manja dagu Diba. Terkelip-kelip mata Diba memerhatikan Marissa yang terlopong!

"Diba? Did you tell him the truth?" Marissa bertanya lagi. Diba langsung tidak menjawab. Ishqal memandang Marissa.

"Yep sis Marissa. Diba has accepted my proposal. She is..."

Belum sempat Ishqal menghabiskan kata-katanya, bunga-bunga ros terlepas dari tangan Diba. Dia berpaling dari mereka semua dan berlari keluar. Kali ini giliran Ishqal pula yang terkejut!

Tiba-tiba Iqbal muncul di pintu kedai itu dan Diba terlanggar Iqbal. Diba tidak dapat mengawal perasaannya lalu menangis teresak-esak di depan Iqbal. Umi Nor segera mengajak Ishqal masuk semula ke dalam kedai untuk bercakap sesuatu. Sedikit sebanyak Umi faham dengan apa yang berlaku. Diba tak sampai hati nak berterus-terang dengan Ishqal. Sekali lagi dia telah memberikan jawapan yang salah kepada Ishqal.





"Betulkah Diba... apa yang Umi Nor kata tu?" soal Ishqal kepada Diba yang baru melangkah masuk.

"Terus-teranglah Diba," kata Umi Nor.

"Kenapalah kau ni susah sangat nak cakap Diba! Kau dah anggap Ish macam adik kau sendiri. Bukan sebagai kekasih. Ish tentu boleh menerimanya," Marissa pulak yang dah tak boleh sabar!

"Diba... betul ke?" Ishqal bertanya lagi.

"Ya Diba. Cakaplah pada Ish perasaan Diba yang sebenarnya," celah Iqbal pula.

Seketika mereka semua menanti kata-kata dari mulut Diba sendiri.

"Diba... memang anggap Ish se... seperti.. adik Diba aje..."

Ishqal terdiam. Dia menarik topi dari kepala sambil sebelah tangannya menyentuh kepalanya. Ishqal berpaling pada Umi Nor seketika sebelum memandang Diba. "Tapi... kenapa Diba tak..."

Ishqal tidak dapat menghabiskan kata-katanya. Dia masih tidak dapat menerima kenyataan itu. Umi Nor menghampiri Ishqal lalu memeluknya penuh dengan sifat keibuan. "Ish... kadang-kadang hubungan itu lebih baik seperti adik dan kakak daripada seorang kekasih." Umi Nor cuba memujuknya.

Ishqal melepaskan sentuhan keibuan Umi Nor. Dia terus berlari keluar.


Diba dan Marissa tercegat memerhatikan Iqbal mengejar adiknya. Diba menangis lagi. Kali ini Umi Nor pula memeluknya. Marisa? Marisa dah sampai ke luar di hadapan pintu kedai hendak melihat apa yang terjadi seterusnya. Dari jauh, Marissa lihat sahaja gelagat dua beradik itu. Iqbal berjaya mendapatkan adiknya. Mereka berkata sesuatu. Ishqal menolak abangnya. Iqbal tarik balik adiknya. Ishqal tolak abangnya sekali lagi. Kali ini Iqbal cuba memeluk adiknya. Ishqal cuba melepaskan diri. Lama juga Ishqal meronta dan akhirnya dia mengalah juga. Ishqal kelihatan menangis dalam pelukan abangnya.


Bagaimanapun, adegan itu tidak lama. Setelah dilepaskan dari pegangan abangnya, Iqbal menepuk-nepuk bahu adiknya dan mendorongnya ke arah sebuah kereta. Entah kereta siapa, mereka sama-sama bersandar dan bertenggek di kereta itu. Mereka berbicara lagi. Sesekali Iqbal menggosok-gosok belakang adiknya. Ishqal hanya tertunduk memandang jalan. Agak lama juga Iqbal berkata sesuatu sebelum Ishqal terangguk-angguk lemah. Selepas itu, Iqbal meletakkan sebelah tangannya ke bahu Ishqal dan mendorong adiknya kembali menapak ke kedai buku mereka.

Cepat-cepat Marissa masih ke dalam kedai sebelum mereka terlihatkannya. Sebaik sahaja masuk, Marissa dapati Diba sedang menghembus hingus di bilik belakang. Umi Nor sedang menyediakan air kopi.

"Ah... nampaknya okey."

Marissa melepaskan satu keluhan separuh lega. Lega rasanya, masalah teman serumahnya itu kelihatan seperti sudah selesai.

"Umi nak ke kedai Iqbal sekejap. Nak tengok Ish. Diba pun nampaknya dah okey. Dia sedang minum di belakang tu. Umi pergi dulu Marissa. Kalau ada apa-apa, call handset Umi," kata Umi Nor.

Setelah mengucapkan terima kasih kepada Umi Nor, Marissa terus menonong ke bilik belakang untuk melihat Diba. Sugul lagi kawannya itu. Belumpun sempat Marissa hendak memulakan bicara dengan Diba, terdengar suara memberi salam dari hadapan. Marissa merungut kecil. Dia kembali menuju ke depan.


Kedatangan Kak Marina dan Kak Melinda secara mengejut memeranjatkan Marissa. Lebih memeranjatkan lagi apabila Marissa dikehendaki pulang seketika. Ayah mereka akan melangsungkan perkahwinan buat kali kedua!

Ayahnya tak patut buat begitu. Ayah tak boleh berkahwin tanpa persetujuannya. Kak Marina dan Kak Melinda pun sama. Apakah ayah sudah lupa pada arwah ibu mereka? Menerima kehadiran perempuan lain dalam keluarga mereka khususnya dalam hidup ayah dengan sendiri menolak ingatan terhadap ibu yang tercinta. Perlahan-lahan air mata Marissa mengalir.

Untuk entah berapa lama lagi Marissa duduk mengelamun sepi apabila dia terdengar pintu kedai itu dibuka.


"Apa Marissa buat kat sini tak balik-balik lagi ni? Saya ingat saya terlupa nak bawa balik kunci kedai Espariza tadi. Sampai terpaksa saya datang balik jenguk kedai. Rupa-rupanya...." Tiada kata-kata selanjutnya. Iqbal dah perasan wajah monyok Marissa baru lepas menangis. "Kenapa pulak dengan awak ni?"

"Ayah saya nak kahwin lagi."

"Kalau begitu, tahniahlah."

"Tahniah kepala otak awak! Dia nak kahwin dengan budak perempuan sebaya saya awak kat tahniah?"

Hah tu dia! Kasar sekali jawapan Marissa. Tapi apa boleh buat, Marissa tengah diliputi angin puting beliung.

"Awak sepatutnya bersyukur, sekurang-kurangnya ayah awak dah ada orang yang menjaganya." Dengan tenang Iqbak cuba memujuk hati keras Marissa.

"Ayah saya tak perlu sesiapa untuk menjaganya. Ayah saya boleh jaga diri sendiri."

"Itu kata awak. Perasaan sebenar ayah awak, siapa yang tahu. Dia pun memerlukan seseorang untuk meluah dan berkongsi perasaan."

"Tapi ayah saya ada kami. Kak Marina, Kak Melinda dan saya. Kenapa dia mesti nak kahwin lagi?"

"Benar. Dia ada awak atau anak-anak dia yang lain. Tapi berapa lama yang awak luangkan waktu untuknya? Sepanjang awak kerja di sini, saya tengok awak pun jarang balik ke rumah keluarga awak. Adik-beradik awak yang lain, berapa lama yang boleh mereka luangkan waktu untuk ayah awak."

"Hah, senanglah awak cakap sebab awak tak rasa apa yang saya rasa. Kalau Ish adik awak kahwin dengan Diba yang berumur lebih dua tiga tahun itupun awak tak setuju, tentu awak juga akan membenci ayah saya kalau awak berada di tempat saya. Sesekali cuba nilai dari kedudukan orang lain," jawab Marissa.

"Itu soal lain. Ish masih muda. Dia sepatutnya belajar dahulu baru fikirkan soal kahwin. Ish perlu membentuk dirinya dulu sebelum boleh membina sebuah keluarga. Besar tanggungjawab seorang lelaki. Bukan hanya ikut perasaan."

"Tahu pun awak. Begitu juga dengan ayah saya. Dia ada tanggungjawab terhadap saya. Mana boleh dia suka-suka nak kahwin tanpa persetujuan saya."

"Oh, itu yang buat awak marah sebenarnya. Persetujuan awak tak diminta."

"Ini bukan semata-mata soal persetujuan saya. Dia nak bawa seorang perempuan lain dalam hidup kami. Dia dah lupa pada arwah ibu kami." Marissa sebak seketika apabila menyebut nama arwah ibunya.
"Sekiranya awak rasa dengan perkahwinan ini, ayah awak akan melupakan ibu awak, saya rasa awak silap. Saya percaya, ayah awak tentu amat menyayangi ibu awak, jika tidak, tentu dah lama dia dah berkahwin lain."

Tanpa sepatah kata, Marissa bersiap-siap hendak pulang.

No comments:

Post a Comment