Sunday, September 5, 2010

Cinta Marissa - 8

Marissa tiba-tiba muncul tanpa diduga. Tujuan kedatangan Marissa ingin membawa perkhabaran buruk dari kampung Diba. Terkejut Marissa apabila mendapati Ishqal, Iqbal dan Pian turut berada di situ! Diba baru sedar dari pengsan. Ishqal dengan bibirnya yang cedera, duduk di sisi Diba. Pian yang baru pulih dari penangan Iqbal, mengesat-ngesat mulutnya yang luka. Di hadapan semua orang, Pian memutuskan hubungan mereka. Diba terus menangis.


Marissa meminta untuk bercakap dengan Iqbal seketika. Mereka menuju ke luar untuk berbual di luar. Ada perkara penting yang perlu Marissa sampaikan kepada Diba. Bagaimanapun keadaan tidak membenarkannya berbuat demikian. Jadi, kepada Iqbal dahulu dirasakannya sesuai.

"Ada perkara penting yang perlu saya sampaikan kepada Diba. Tapi apa yang terjadi di sini tadi?" Marissa berharap agar penjelasan Iqbal nanti dapat membantunya membuat keputusan, sama ada berita buruk dari kampung perlu disampaikan ketika itu ataupun tidak.

"Tak ada apa. Cuma berlaku salah faham sikit dengan.... teman lelaki Diba tadi."

"Salah faham macam mana? Bagaimana awak dan Ishqal boleh berada di sini?"

Iqbal sekadar memberitahu Marissa bahawa dia dan adiknya hanya ingin menjamu selera di restoran itu. Kehadiran Diba bersama mereka hanyalah satu kebetulan. Pian muncul lalu mengamuk tak tentu pasal atas sikap cemburunya. Maka terjadilah adegan tumbuk menumbuk.

"Haru betul ni... baru clash dengan Pian. Tengah menangis lagi... macam mana hendak aku sampaikan berita buruk ni?" Marissa terduduk buntu seketika.

"Berita buruk apa?" Iqbal bertanya. Turut prihatin apabila mendengar kata-kata Marissa itu.

Di rumah sewa mereka tadi, Marissa mendapat panggilan dari mak cik Diba di kampung. Adik bongsu Diba terjatuh dalam perigi buta. Tengkuk adiknya patah. Itulah punca kematiannya. Marissa tahu betapa Diba menyayangi adik bongsunya itu.

"Macam mana nak saya sampaikan kepadanya?" Marissa gelisah.

"Awak nak saya tolong sampaikan kepadanya?" soal Iqbal ingin membantu.

"Tapi keadaannya itu tidak mengizinkan. Nanti dia terkejut!"

"Err.. bila pengkebumian adiknya itu?"

"Esok pagi. Itupun kalau Diba sempat balik. Kalau tak, lepas Zohor." Marissa mengingat kembali kata-kata mak cik Diba tadi.

"Di mana kampungnya?"

"Bentong, Pahang."

Iqbal terfikir sesuatu. "Malam-malam macam ni ada ke bas ekspres ke Bentong?" Pertanyaan Iqbal tak berjawab. "Awak pun nak temankan Diba balik ke?" soal Iqbal.

"Kalau boleh memang saya nak ikut sekali. Tapi kedai Espariza... Dia pun macam tak sihat," jawab Marissa.

"Tak sihat?"

"Nampaknya macam itulah..."

"Hemm.. macam mana nilah. Kalau betul awak nak pergi, saya boleh call beritahu Espariza. Tapi saya rasa, Ishqal dah pasti ingin menemani Diba balik ke kampungnya. Kalau mereka balik berdua, memang kurang manis. Saya rasa, eloklah saya pergi sekali, tolong hantar. Sekurang-kurangnya dapat memberi sokongan kepada Diba."

"Awak betul-betul nak tolong hantar Diba? Kenapa?" Marissa tidak berselindung.

"Saya rasa bertanggungjawab dengan apa yang berlaku ke atas Diba. Lagipun saya lakukan ini untuk adik saya juga."

Kemudian Marissa dan Iqbal kembali ke bilik VIP. Keadaan sudah kembali tenang. Yang tinggal, Ishqal, Diba dan Pengurus Bahagian VIP, Mr Victor Toolseram.

Marissa minta Iqbal jauhkan Ishqal daripada mereka buat seketika. Entah mengapa, Marissa tak boleh nak sampaikan berita sedih macam tu di depan budak nakal seperti Ishqal itu. Kekok rasanya...

Iqbal minta adiknya keluar sebentar. Biar Marissa dan Diba berdua sahaja. Iqbal boleh beritahu Ishqal di luar. Dia sengaja tidak menutup pintu kerana nak lihat bagaimana keadaan Diba bila berita itu Marissa sampaikan.

Tapi sebelum sempat Ishqal diberitahu, mereka sekali lagi dikejutkan... Diba pengsan sekali lagi!

Di sebalik peristiwa tumbuk menumbuk yang berlaku itu, terselindung satu hikmah. Ishqal tidak jadi dihantar ke Sabah, Iqbal pula bersedia menerima Diba bekerja di kedai buku mereka bila-bila masa sahaja. Marissa pula berjaya memujuk Kak Marinanya untuk menangguhkan kepulangannya sebulan lagi. Hubungan Marissa dan Iqbal semakin bertambah baik. Cuma hatinya yang tidak mahu mengakui hakikat itu. Dalam diam Iqbal turut menghormati Marissa dalam kes Diba. Suatu hari, Ishqal muncul di Espariza Florist bagaikan ribut. Ketika itu, Marissa sedang menyusun bunga. Ishqal melompat kegirangan sambil menunjukkan sekeping slip kepada Marissa. Rupa-rupanya, Ishqal mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPMnya.


Tidak lama selepas Ishqal pergi, Marissa terima panggilan daripada Iqbal. Iqbal dapat mengagak, pasti Ishqal dah beritahu Marissa. Iqbal turut mengajak Marissa keluar makan tengah hari.

Kalau nak ikutkan, Marissa mahu sahaja tapi dia tak berani nak tutup kedai. Bagaimanapun, Iqbal yang turut gembira dengan keputusan Ishqal, meyakinkan Marissa, Espariza tidak marah.

Tepat jam 12.45 tengah hari, Marissa sudah terjengul di Kedai Buku Saya. Ishqal tidak kelihatan. Iqbal sedang sibuk melayan beberapa orang pelanggan dan meminta Marissa tunggu seketika. Marissa mengambil kesempatan itu untuk melihat-lihat majalah Pesona Pengantin. Tiba-tiba... jantung Marissa hampir nak gugur! Di halaman 39, kisah sepasang pengantin baru terpapar, penuh dengan gambar-gambar perkahwinan berwarna-warni. Marissa memang kenal dengan pasangan pengantin itu.

"Woish... cantik pasangan pengantin ni kan?" Iqbal yang telah selesai melayan pelanggannya, tidak sedar bahawa mata Marissa telahpun berkaca. Hati perempuan Marissa terguris luka.

"Hah! Lelaki semuanya sama!" Marissa menghempas majalah itu ke dada Iqbal sebelum berlari keluar dari kedai. Iqbal terpinga-pinga.

"Hah... kenapa pulak dengan Marissa ni? Ke mana pulak dia nak pergi."

Iqbal tergerak hati untuk melihat kembali pasangan pengantin di majalah itu tadi.

Ahmad Rahimi Datuk Ahmad Ramli dengan pasangannya Syarifah Khalida Syed Aziz.

Apa kata Marissa tadi? Lelaki semuanya sama? Mesti Marissa kenal dengan lelaki ini agaknya, fikir Iqbal. Telefon kedai Iqbal berdering, mengalihkan tumpuannya. Ishqal nak beritahu, dia tidak dapat ikut makan tengah hari sebab nak sambut kejayaannya itu dengan beberapa orang rakan sekolah.

Tiba-tiba Marissa muncul semula. "Oh ya. Saya lupa. Awak nak belanja makan. Mana Ish?" tanya Marissa seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku tadi.

Iqbal tidak menjawab. Dia hanya memerhatikan Marissa.

"Kenapa awak tengok saya macam tu? Kan saya tanya mana Ishqal?"

Iqbal pun nampaknya tidak mahu cari pasal. Dia menjelaskan kepada Marissa tentang ketiadaan Ishqal. Tapi Iqbal masih mempelawa Marissa makan bersamanya.

"Kat mana kita nak makan?"

"Hemmm... awak nak makan di mana?"

"Saya tak kisah. Saya ikut aje."

"Kita makan di Shakey's Pizza."

"Okey, tak ada masalah sebab awak yang nak belanja. Saya bawa perut aje."

Dalam perjalanan, masing-masing senyap. Hanya lagu-lagu di radio sahaja yang berkumandang. Bila tiba sahaja lagu nyanyian Marc Anthony, tiba-tiba Iqbal terkejut mendengar Marissa menyanyi dengan selambanya.


"Pandai awak nyanyi lagu tu."

"Ah.. kekasih saya yang dah kahwin tu ajar," selamba jawab Marissa.

Iqbal tak tahu adalah kekasih yang dimaksudkannya itu adalah lelaki di dalam majalah tadi? Apapun Iqbal tidak bertanya dengan lebih lanjut.

Setelah mengambil tempat, masing-masing membuat pesanan. Macam-macam yang Marissa order. Budak ni memang sengaja nak kenakan aku ke, fikir Iqbal. Marissa yang perasan dengan reaksi Iqbal tiba-tiba melepaskan ketawa jantannya, sampai orang di meja sebelah pun nampaknya terkejut.

"Jangan risaulah. Kalau tak cukup duit, saya boleh bayar atau kita berdua boleh tolong cucikan periuk belanga di dapur mereka," kata Marissa separuh bergurau.

Iqbal sedikit tersinggung dengan kata-kata Marissa itu. Macamlah aku ni berkira sangat, bisiknya dalam hati.

"Oh... jadi sebab itulah awak ketawa? Saya bukan takut tak cukup duit, tapi saya takut awak tak termakan nanti," jawab Iqbal mahu membetulkan tanggapan Marissa terhadapnya. Sebab Marissa dah buat Iqbal sedikit tersinggung, kali ini giliran Iqbal pula hendak menguji perasaan gadis di hadapannya itu. Jika tadi dia cukup berhati-hati untuk tidak tersalah kata, kini melihatkan keadaan Marissa yang sedikit ceria itu, Iqbal sengaja menjolok.


"Tadi awak kata, kekasih awak yang ajar awak menyanyi. Pengantin lelaki dalam majalah tu kekasih awak ke?"

"Ahmad Rahimi Datuk Ahmad Ramli. Hemm... ya. Dia bekas kekasih saya." Marissa mengaku. Tidak berselindung. Wajahnya tak menunjukkan sebarang kesedihan.

"Kenapa putus?" Iqbal semakin berani bertanya dan nampaknya Marissa pun tak keberatan nak menjawab.

"Sebab Syarifah Khalida Syed Aziz dah curi hati dia," jawab Marissa selamba. "Awak ada kekasih?" Marissa pula bertanya. Nak juga dia tahu status lelaki di depannya itu.

"Dulu ada juga tapi sekarang... samalah macam kes awak." Iqbal berterus-terang.

"Siapa mengecewakan siapa?" Marissa semakin berminat nak tahu. Dengar cerita Iqbal, dia terlupa kisahnya sendiri.

"Tak ada siapa yang mengecewakan siapa. Dah tak ada jodoh," kata Iqbal.

"Mana boleh! Kalau tak ada satu pihak buat hal, takkan boleh putus."

Marissa tidak dapat menerima penjelasan Iqbal. Yang dia tahu, mesti salah seorang bermain kayu tiga, kuat cemburu macam Pian dan seribu satu kemungkinan lagi.

"Betul, kami tak gaduh. Cuma mungkin tak ada keserasian. Dia gadis baik. Sambung belajar luar negara. Bekerja di sana. Tak mahu balik. Saya pula telah diamanahkan untuk menguruskan kedai buku ini. Ishqal pula perlu perhatian. Jadi, kami tak dapat meneruskan perhubungan. Tapi kami masih berkawan baik. Mungkin boleh juga nak kata, kota London dan curi hati dia." Iqbal memberikan senyuman.

Pesanan makanan dan minuman mereka sudah pun sampai. Satu persatu dihidangkan sehingga tak muat satu meja. Pinggan yang tak perlu dialihkan.

"Hah... ini semua yang awak order. Hemm.. silakan," kata Iqbal.

Marissa termenung menghadap hidangan di depannya. "Saya tak asa seleralah. Saya teringatkan ex-boyfriend saya tu."

Kata-kata Marissa itu menarik simpati Iqbal. "Buat apa awak nak mengingatinya lagi. Dia dah ada kehidupannya sendiri dan awak pula perlu mencari kehidupan awak sendiri. Hemm.. cuba rasa piza ni. Panas-panas ni lagilah sedap."

Iqbal mengisi piring Marissa dengan sepotong piza. Sengaja cuba mengalihkan perhatian Marissa. Tapi Marissa memerhatikannya tanpa selera dan masih ingin membicarakan soal bekas kekasihnya itu.

"Masa awak clash dulu, takkan awak tak rasa apa-apa? Bohonglah kalau awak tak rasa sedih sedikitpun. Tambah-tambah lagi kalau awak tahu dia dah kahwin."

"Dalam kes saya, ex-girlfriend saya tu memang belum bertemu jodoh. Dia sibuk sangat dengan kariernya. Pada saya, kalau dia bertemu jodoh sekalipun, lagilah saya tumpang gembira. Seperti yang saya katakan tadi, kami berpisah secara baik," jawab Iqbal.

"Awak tak rindu pada dia?"

Iqbal berhenti mengunyah. Menyesal pulak dia buka topik ini tadi. Dah tak boleh nak berhenti. "Dulu masa tengah bercinta dengan dia, rindu jugak la. Bila dah clash, taklah terasa sangat. Tak dinafikan, mula-mula tu memang perit juga, tapi lama-lama okey. Saya rasa, eloklah awak cepat makan. Cerita-cerita macam ni hanya akan mematikan selera awak nanti. Kalau awak nak bercerita pasal kekasih, bila-bila senang, awak boleh drop by di kedai saya. Kalau saya pun free, kita boleh sembang pasal ini semua."

Iqbal sedikit lega apabila melihat Marissa mula menjamah juadah di hadapannya. Bila mereka dah bersedia nak pulang, makanan yang tak habis semua dibungkus.

Sebaik sahaja sampai di kedai, Ishqal dah menanti di muka pintu. Dengan tersenyum riang, Ishqal membuat pengumuman. Sesuatu yang mengejutkan Iqbal dan Marissa. Ishqal nak bertunang dengan Diba!

Diba kembali dengan wajah yang masih diselimuti kesedihan. Marissa begitu berhati-hati untuk tidak bertanya tentang arah adil dan hal Pian. Selepas sehari Diba pulang, Ishqal mengajak Diba keluar. Sibuk Ishqal bertanya, bila Diba nak memulakan tugas di Kedai Buku Saya. Kata Diba, dia masih memerlukan masa sebelum mula bekerja. Malam ketiga kepulangan Diba, Marissa mendapati Diba sedang menantinya di muka pintu. Kebetulan pula Iqbal yang menghantar Marissa pulang.


"Selalu ke Abang Iqbal hantar Riss pulang?" soal Diba.

"Selalu? Tak lah. Kebetulan dia nak ke mana tadi tu yang dia tolong hantarkan. Hemmm... dah makan?"

Diba hanya sekadar mengangguk lesu. "Riss, Ishqal ajak Diba bertunang."

Kata-kata Diba yang tiba-tiba itu mematikan langkah Marissa. "Ishqal bergurau tak Diba?"

"Tak. Dia serius. Ini cincinnya." Diba menghulurkan satu kotak baldu merah kepada Marissa. Sebentuk cincin berlian dengan batu biru di tengah-tengahnya. Cantik! Tapi...

"Budak ni biar betul!" Marissa duduk sambil menilik cincin itu di tangannya. "Habis... apa Diba kata?"

"Diba tak dapat nak kata apa. Diba pun terkejut."

Lama mereka senyap memerhatikan cincin itu.

"Diba pun tak sangka Ish suka Diba sampai macam ni sekali. Selama ini Diba anggap Ish macam adik. Diba tak sangka pula dia sampai nak bertunang dengan Diba. Ish salah anggap," jelas Diba tentang perasaannya.

"Kalau macam tu, kenapa Diba ambil cincin ni?"

"Sebab Diba tak tahu nak cakap apa..."

"Macam nilah Diba. Sebelum terlambat, baik Diba berterus-terang dengan Ish. Kesian pulak budak tu."

"Tapi Diba takutlah. Riss tolong cakapkan," pinta Diba seakan merayu.

"Eh, mana boleh. Nanti Ish ingat Riss sengaja nak kacau hubungan Diba dengan dia. Mesti dia tak percaya kalau dia dengar dari mulut Riss. Diba sendiri kena berterus terang."

"Tapi... Diba takut. Kita minta tolong Abang Iqbal nak?"

"Tak boleh juga Diba. Sebelum ini, kan Ish pernah krisis dengan Iqbal. Kalau Iqbal yang cakap, tentu Ish anggap keputusan itu datang dari abangnya sendiri. Bukan Diba."

Mereka berdua terdiam lagi. "Hah... kita minta tolong Umi Nor nak? Kan Ish cuma dengar cakap Umi Nor aje!"

No comments:

Post a Comment