Wednesday, September 29, 2010

Cinta Marissa - 14

Sebaik Marissa tiada, perkara pertama yang Iqbal lakukan ialah memandu keretanya menyusuri jalan-jalan berdekatan. Tiba-tiba dia terpandang Marissa sedang duduk minum di sebuah warung. Kehadiran Iqbal tidak pula mengejutkan Marissa. Sebaliknya Iqbal pula yang ditanya.
"Kenapa lambat?"


Masa itulah hati Iqbal kembali berbunga. Ada harapan. Marissa seolah-olah memang sedang menantikan kehadirannya. Belum sempat Iqbal berkata sesuatu, sekali lagi Marissa bersuara terlebih dahulu.

"Mana kunci kereta?"

Marissa nampaknya sudah kembali seperti Marissa yang dahulu. Menyesal pulak Iqbal menawarkan Marissa untuk memandu keretanya. Bukannya apa, dengan sebelah tangan yang masih berbalut simen itu, bolehkah Marissa memandu? Apapun, unuk mengelakkan sebarang krisis dengan Marissa lagi, Iqbal hulurkan juga kunci keretanya pada gadis itu.

Marissa membayar harga segelas teh yang tidak habis diminumnya itu lalu menonong pergi ke kereta Iqbal. Gementar juga hati Iqbal apabila memikirkan perkara yang hendak dilakukan Marissa nanti. Sampai di kereta, Marissa terus duduk di bahagian pemandu. Apabila Marissa membuka pintu hadapan di bahagian penumpang dari dalam, barulah Iqbal bergerak dari tempatnya berdiri. Belum sempat Iqbal memakai tali pinggang keselamatan dan menutup pintu kereta lagi, kereta itu memecut pergi.

Marissa dengan berani dan bangganya menunjukkan kemahirannya memandu apalagi dengan sebelah tangan. Kereta automatik lagi, hemm... sedap saja Marissa menyelit, memotong dan berhenti mengejut di lampu isyarat.

Pada hentian lampu isyarat, Iqbal mengambil kesempatan mengingatkan Marissa tentang sikapnya itu.

"Kenapa? Takut ke cik abang?"

"Bukan soal takut. Tapi soal keselamatan. Kalau kita aje lain cerita. Kalau terlanggar pemandu-pemandu lain? Jangan cari pasal," nasihat Iqbal.

"Hey brother. Takkanlah saya nak suka-suka langgar orang! Lainlah hati awak tu, kalau boleh memang saya nak langgar dan pecah-pecahkan."

Iqbal terdiam mendengarkan kata-kata itu. Tidak berkelip mata Iqbal memandang wanita di sebelahnya itu.

"Apa maksud awak nak langgar dan pecahkan hari saya ni?" soal Iqbal mula tidak sedap rasa.

Marissa sekadar menjeling sepintas lalu sebelum kembali memecut sebaik lampu isyarat bertukar hijau. Kepala Iqbal turut terdorong ke depan dan ke belakang, di luar kawalan. Sebuah kereta yang terhegeh-hegeh dipintas oleh Marissa. Kemudian sebuah lagi. Cara Marissa menyelit-nyelit masuk antara dua tiga laluan itu mengerikan Iqbal. Apalagi Marissa memandu dengan sebelah tangan! Iqbal beristighfar banyak-banyak dalam hati.

Sebentar kemudian terdengar bunyi siren. Hah sudah! Apa yang Iqbal jangkakan sudah berlaku. Kemahiran memandu Marissa turut menarik perhatian seorang polis trafik yang kebetulan sedang bertugas di laluan tersebut. Marissa tersenyum. Iqbal panik!

"Nak berhenti ke atau nak main lumba-lumba dengan abang polis tu?" tanya Marissa, separuh menjerit riang.

"Okey... saya dah tengok skil memandu awak tu. Memang excellent. Now, pull over. Jangan cari pasal dengan undang-undang pulak!" kata Iqbal seakan memujuk.

"Macam itulah cik abang. Lain kali tengok orang dulu sebelum kutuk!"

Marissa memberhentikan keretanya ke tepi secara mengejut. Kepala Iqbal terhantuk. Bertuah punya budak!

Wajah garang polis trafik yang telah melihat cara Marissa memandu tadi telah sedia menantinya. Beberapa orang pemandu lain yang telah melihat cara Marissa memandu tadi, gembira melihatnya ditahan polis.

Bila Marissa melangkah turun, ada yang tak sangka bahawa pemandu gila-gila itu sebenarnya adalah seorang gadis! Lebih-lebih lagi dengan sebelah tangan berbalut. Biar betul!

Pegawai trafik itupun sedikit terkejut namun tidak pula menunjukkan reaksi sedemikian di hadapan Marissa. Iqbal pun dalam keadaan serba salah!

"Maaf encik. Saya memang nak cepat. Saya memang hendak ke balai, nak mengenal pasti orang yang merogol saya," kata Marissa. Tercengang Iqbal mendengarkan kata-kata selamba Marissa itu. Pengawai trafik itu pun termati kata. Seumur hidupnya bertugas, inilah kali pertama, seorang pemandu yang buat salah, bagi alasan yang tak masuk akal seperti itu.


"Mana lesen memandu?"

Sambil mengeluarkan lesennya, Marissa cuba menjelaskan lagi. "Emosi saya memang tengah tak stabil sekarang. Orang yang merogol saya tu mungkin ada di balai sana. Kalau tak percaya, encik boleh hubungi Bahagian Siasatan Jenayah. Siapa namanya tu... ah.. ketuanya saya tak ingat tapi yang selalu berurusan dengan saya tu, Inspektor Wan Salamah Wan Ahmad. Encik nak nombor dia pun saya boleh bagi."

Setelah memerhati seketika lesen memandu Marissa, pegawai polis itu bertanya, "Siapa lelaki ini?"

"Tunang saya." Tanpa teragak-agak Marissa menjawab sampai Iqbal terkejut.

"Apa juga alasan awak..." Pegawai trafik itu memerhati sekali lagi nama yang tertera di lesen memandu di tangannya.

"Alasan yang Tengku berikan tadi, memang tak ada kena-mengena dengan kesalahan yang Tengku lakukan. Perlu diingatkan, kalau Tengku memberi sebarang maklumat palsu kepada mana-mana pegawai penguatkuasa undang-undang, Tengku boleh disabitkan dengan akta-akta tertentu. Undang-undang lalulintas, undang-undang negara bukan sesuatu yang boleh Tengku atau sesiapa juga permainkan.

"Saya boleh lepaskan Tengku dengan syarat tunang Tengku ini yang memandu."

Marissa membalas kata-kata pegawai polis itu dengan wajah bengang. Dia kemudian mengajak Iqbal terus ke balai polis. Rupanya dia memang ada temujanji di sana. Lebih Iqbal tak sangka, Melinda turut menanti di sana.

Di dalam kawad pengecaman itu, Marissa dapat mengenal pasti dua daripada lelaki yang menyerangnya. Cuma lelaki yang menodainya itu belum ditemui. Tetapi pihak polis meyakinkan mereka, usaha mencari lelaki itu akan berjaya memandangkan rakan-rakannya telah pun berada di dalam tahanan polis.


Sewaktu Marissa dikehendaki seketika berjumpa dengan Inspektor Wan Salamah, Iqbal sekali lagi ditanya tentang perhubungannya dengan Marissa. Kali ini Iqbal berterus-terang dengan Melinda bawah dia benar-benar ikhlas ingin melamar Marissa. Berita itu disambut dengan tangisan terharu Melinda. Kalaulah Iqbal seorang wanita, memang telah dipeluk-peluk lelaki itu!

Bila ditanya bila tarikh jangkaan majlis pertunangan dan seterusnya tarikh perkahwinan mereka, Iqbal terkedu seketika. Barulah realiti mengetuk mindanya. Betulkah Iqbal bersedia untuk menamatkan zaman bujangnya? Dengan Marissa?

Bukan Iqbal tidak yakin dengan keputusannya itu, cuma dia rasa semuanya seolah-olah begitu cepat berlaku. Hal ini pun masih belum dibincangkan dengan Umi Nor mahupun Ishqal dan yang paling utama, tuan yang empunya diri sendiri pun belum Iqbal tanyakan. Biar betul...

Marissa muncul bersama Inspektor Wan Salamah hanya untuk disambut oleh satu dakapan dari Melinda. Marissa memang tak suka dipeluk-peluk begitu apa lagi di khalayak ramai.

"Apa ni kak? Peluk-peluk ni? Rimaslah..." Marissa kekok dan malu. Mereka jadi perhatian.

"Tahniah! Adik kakak bakal menjadi seorang isteri!" Melinda tidak lagi dapat mengawal perasaannya.

Marissa terkejut. Betulkah apa yang dia dengar?

Hari Khamis malam Jumaat itu, satu rombongan meminang dari Melaka sampai ke rumah Marissa. Penuh beradab mengikut adat tradisi Melayu. Rombongan tiga buah kereta.

Iqbal yang tidak turut serta, yakin, lamarannya itu akan diterima. Bukan main berbunga lagi hati Iqbal. Bagaimanapun Iqbal masih resah menanti berita dari rombongan utusannya. Sudah selesai ke belum? Apa kata keluarga Marissa? Tak senang duduk Iqbal dibuatnya.


Menjelang lewat malam, barulah Iqbal terima satu panggilan telefon dari pakciknya, Haji Hamdin yang menjadi ketua utusan meminang.

"Bagaimana uncle?" tanya Iqbal tanpa berselindung lagi.

"Sorry son. I've done my best. Lamaran kita ditolak."

Iqbal ketawa. Iqbal memang tahu, Pakcik Hamidin itu memang suka bergurau. "Uncle suka berguraulah uncle. Come on, tell me the truth."

"Betul ke Iqbal dah berbincang dengan Marissa?"

Melalui pertanyaan itu, sedarlah Iqbal bahawa pakciknya itu memang tidak bergurau. Memang benar. Lamaran Iqbal ditolak. Iqbal terduduk di kerusi.

"Hello.. Iqbal!"

"Err.. tak apalah uncle. Kita jumpa nanti. Terima kasih uncle. Assalamualaikum."

Gagang telefon diletakkan. Iqbal tersandari di kerusi. Betul-betul tidak percaya dengan apa yang berlaku. Apapun, sesuatu yang pasti, hatinya telah dilukai. Benarlah. Jodohnya bersama Marissa telah tiada.


Genap seminggu selepas pionangan Iqbal, tiada satu pun panggilan yang Iqbal terima daripada keluarga Marissa. Kini, Iqbal memusatkan fikiran kepada kedai buku dan adiknya Ishqal. Soal perempuan ditolak ke tepi. Kedainya pun sedang melalui sedikit perubahan. Iqbal nak jadikan kedainya dua dalam satu. Kedai buku dan kedai cyber. Bahagian atas kedainya dijadikan Cafe Cyber, sementara di bahagian bawah akan diubahsuai sedikit - kedai buku disertai Coffee Corner.

Diba bakal menjadi pekerja tetap di situ. Espariza Florist telah lama ditutup. Ada juga sekali tu Espariza menghubungi Iqbal sekadar bertanya khabar. Dia dah buka sebuah butik di Kuala Lumpur. Iqbal termenung panjang.

"Buku di nak diletakkan di mana?" Pertanyaan Diba mematikan lamunan Iqbal.

"Oh.. buku-buku itu letakkan dulu di bilik belakang. Harganya kena nilai balik. Stok lama tu."

No comments:

Post a Comment