Monday, September 27, 2010

Cinta Marissa - 12

Diba malu sendiri apabila Ishqal tidak sedikitpun menyentuh tentang hubungan mereka. Ishqal sebaliknya bertanyakan keadaan Marissa. Diba terasa janggal untuk bersemuka dengan Ishqal. Cincin pemberian Ishqal pun masih belum dipulangkannya. Tapi Ishqal tidak pula menunjukkan sebarang reaksi negatif terhadap diri Diba tadi. Selamba dan bersahaja lagak Ishqal.

Diba pulang ke rumah sewanya dan mendapati Melinda sedang mengangkut semua pakaian dan barang-barang Marissa.

"Diba, Kak Linda sekeluarga akan membawa Marissa pulang petang ini. Ayah dan Kak Marina ada di hospital. Maaf, kami terpaksa bawa Marissa dalam keadaan mengejut seperti ini. Kalau Diba nak jumpa Marissa, mari ikut Kak Linda sekali."

Diba sekadar mengangguk sedih. Setelah siap berkemas, mahu tak mahunya Diba mengikut Melinda ke hospital. Tengok-tengok semua dah ada di sana. Termasuklah Ishqal dan Abang Iqbal. Bagaimanapun, mereka semua tidak dibenarkan masuk serentak atas permintaan keluarga Marissa. Seorang demi seorang menanti giliran untuk dibenarkan masuk. Perasaan Marissa masih belum stabil.

Namun, keluarga Marissa melayan mereka dengan baik. Keluarga Marissa turut menjemput mereka datang apabila keadaan Marissa pulih sepenuhnya nanti. Dan kepulangan Marissa pada petang itu diiringi doa restu kenalan Marissa.

Di Kedai Buku Saya, Iqbal duduk bersendirian. Yang pasti, fikirannya pun sebenarnya tidak dapat lari dari Marissa. Rasa sesal dan bersalah yang menghantui dirinya tidak dapat hendak dibendungnya. Pandangan seseorang perlu diminta.

Malam itu, selepas menutup kedainya, Iqbal terus menuju ke rumah Umi Nor. Iqbal telahpun memberitahu Umi Nor akan hasratnya hendak bertemu siang tadi. Iqbal dapati Umi Nor telahpun menantikan kehadirannya.

Setelah seketika berbicara sebagai mukadimah kepada perbualan mereka, barulah Iqbal membuka cerita. Umi Nor kelihatan sedikit terkejut. "Umi rasa, Iqbal mesti memohon kemaafan Marissa. Mungkin sekarang keadaan tidak mengizinkan, tunggu sehingga dia pulih sepenuhnya."


"Tapi, mahukah dia bertemu dengan saya nanti Umi?"

"Sama ada dia ingin bertemu atau tidak, itu tak usah kita bimbangkan. Yang penting, Iqbal perlu memohon maaf daripadanya."

"Saya memang rasa cukup bertanggungjawab di atas apa yang berlaku itu Umi. Saya..." Iqbal tidak dapat menghabiskan kata-katanya. Umi Nor tidak dapat meneka apa yang terselindung pada fikirannya.

"Saya ingin mengambil Marissa sebagai isteri saya!" Iqbal memandang Umi Nor tanpa perasaan malu.

" Iqbal tahu apa yang Iqbal katakan itu?" tanya Umi Nor agak terkejut. Dia sendiri tidak yakin dengan keputusan Iqbal itu.

"Dah lama saya fikirkan soal ini."

Umi Nor melepaskan satu keluhan. "Iqbal telah melakukan satu kesilapan. Jangan ulangi kesilapan kedua."

Iqbal memandang Umi Nor seperti tidak faham.

"Iqbal sedar tak? Iqbal ingin menyuntingnya bersandarkan kepada perasaan bersalah Iqbal semata-mata. Bukan kerana cinta. Satu perkahwinan tidak boleh bertunjangkan atas dasar itu Iqbal. Ia akan memberi kesan buruk pada kemudian hari," jelas Umi Nor dengan penuh diplomasi.

"Sebenarnya dah lama saya mempertimbangkan soal ini. Saya rasa, itu yang terbaik." Iqbal kelihatan tenang. "Umi, saya rasa saya boleh membentuk dan memberi kasih sayang pada Marissa. Saya akan cuba membimbingnya menjadi isteri yang baik. Soal Marissa yang ternoda, mungkin secara fizikalnya. Tapi pada saya, maruah rohaninya tetap tidak tercemar."

Umi Nor rasa sebak dengan pengakuan Iqbal itu. Dia mahu anak muda itu pasti dengan keputusannya. "Mintalah petunjuk dari Nya. Lakukanlah solat sunat Istikharah. Moga Iqbal diberi petunjuk. Umi turut mendoakan, apa jua keputusannya nanti, ia akan memberikan kebahagiaan kepada Iqbal."


Marissa beransur-ansur pulih. Dia tidak lagi diletakkan di bawah pengawasan pihak hospital. Sebaliknya Marissa terus mendapat rawatan susulan daripada tiga orang doktor peribadi keluarganya. Secara fizikal dan mental. Tetapi sesuatu yang pasti, Marissa tidak lagi seperti Marissa yang dahulu. Dia lebih banyak mendiamkan diri dan suka menyendiri.

No comments:

Post a Comment