Saturday, September 25, 2010

Cinta Marissa - 11

Iqbal berasa tidak sedap hati. Dia terfikir-fikir tentang Marissa yang ditinggalkannya. Sebahagian daripada hatinya hendak berpatah balik. Sebahagian lagi menyuruhnya balik sahaja. Tak ingatkah apa yang terjadi pada hari mereka pulang makan malam di rumah Umi Nor dahulu? Gara-gara Marissa mereka ditahan polis. Malam ini, kalau nak ikut angin Marissa, entah apa yang hendak dibuatnya lagi. Lagipun Marissa yang keras kepala tu tentu pandai menjaga diri. Tak ada bas, Marissa boleh balik naik teksi. Iqbal meneruskan perjalanan ke rumahnya. Tak jadi hendak berpatah balik.

Esoknya, Iqbal orang yang paling menyesal tak sudah dengan apa yang berlaku ke atas Marissa. Namun, nasih telah pun menjadi bubur...

Diba yang bangun dari tidur pagi itu terkejut apabila mendapat Marissa tiada di biliknya. Tak ada tanda-tanda yang menunjukkan Marissa pulang malam tadi. Ke mana pula dia pergi? Betulkan Marissa tak balik? Kalau betul, Marissa tak pernah buat perangan macam ni, fikit Diba.

Untuk membuang perasaan bukan-bukan yang bermain di fikirannya, Diba segera menelefon ke Espariza Flosrist. Tapi malangnya, telefon di Espariza Florist tidak berjawab. Ke mana pula perginya Marissa ni? Pulang ke rumah keluarganya? Diba kemudian menelefon Kedai Buku Saya. Tapi panggilannya juga tidak berjawab.


Ketika Diba sedang resah gelisah, lain pula halnya dengan Iqbal. Di sana, Ishqal pula did didapati hilang. Sebaik Iqbal pulang semalam, dia diberitahu oleh Mak Tom, pembantu rumah mereka, yang Ishqal sudah keluar dengan beg pakaian. Iqbal betul-betul tak sangka, sampai begitu sekali tindakan adiknya.

Lewat tengah hari itu, Iqbal menerima panggilan daripada Umi Nor yang bertanyakan tentang Marissa. Berita kehilangan Marissa cukup membimbangkan Iqbal. Bukankah semalam, dia yang membiarkan Marissa bersendirian di kawasan rumah kedai yang agak lengang itu? Namun, Iqbal merahsiakan perkara itu dari pengetahuan Umi Nor. Dia hendak pastikan di mana Marissa berada dahulu.

Mungkin Marissa tumpang tidur di mana-mana. Marissa boleh jaga diri. Marissa bukan Diba. Marissa... Sampai situ sahaja Iqbal sudah tidak sanggup hendak memikirkan kemungkinan-kemungkinan lain. Iqbal capai kunci keretanya. Espariza Florist destinasi yang dituju!

---

Ketika sampai, Iqbal mendapati Umi Nor dan Diba termundar-mandir di hadapan kedai bunga itu. Serta-merta mereka meluru dengan mengharapkan Iqbal tahu tentang Marissa. Kehilangan Ishqal tidak pula disampaiakn kepada Umi Nor dan Diba. Hanya kelak menambahkan bimbang mereka. Iqbal tahu, kehilangan Ishqal tak seserius kehilangan Marissa.

"Riss tak ada di kedai Marissa. Kalau Riss ke mana mesti Riss beritahu Diba. Kalau Riss balik ke rumah keluarganya pun paling tidak Riss tinggalkan pesan." Diba meluahkan bimbangnya.

"Semalam kan mood Marissa kurang baik. Mana tahu tiba-tiba dia ingin pulang tanpa memberitahu Diba?" Iqbal cuba mewujudkan satu kemungkinan walaupun dia sendiri tidak sedap hati.

"Apa kata kita telefon keluarga Marissa. Diba ada nombor telefonnya?" Umi Nor memberikan cadangan.

"Err.. ada. Tapi kat rumah."

"Kalau macam tu, kita balik ke rumah Diba dulu. Iqbal, kalau ada sebarang berita, jangan lupa beritahu kami," pesan Umi Nor.

Iqbal tercegat sebentar di hadapan Espariza Florist. Ke mana pulak Marissa ni? Kalau sesuatu perkara buruk berlaku kepadanya... memang aku tak dapat memaafkan diri aku. Moga-moga, tidak begitu jadinya. Harap-harap Marissa ada di mana-mana dengan selamat.

Iqbal terus menuju ke keretanya. Elok juga dia memandu ke kawasan sekitar. Manalah tahu terjumpa Marissa di mana-mana... Iqbal memujuk perasaannya.

---


Sebaik sahaja sampai di rumah sewa Diba, terkejut besar Umi Nor dan Diba apabila mendapati tiga buah kereta serta empat orang sedang tertinjau-tinjau di hadapan pintu pagar rumah sewa itu. Lebih mengejutkan mereka, Kak Marina turut berada di situ. Fahamlah mereka, sesuatu yang buruk telah berlaku ke atas Marissa.

Dengan wajah tenang tetapi sugul, Kak Marina menyambut mereka. Tiga orang pegawai polis turut diperkenalkan.

"Puan Sri, Diba... Marissa diserang malam tadi. Ke..." Kak Marina tak sempat menghabiskan kata.

"Apa? Diserang? Di mana?" Diba kaget!

"Jika tidak keberatan, boleh kita berbual di dalam? Kami memerlukan beberapa maklumatg daripada temah serumah Marissa." Salah seorang daripada pegawai polis itu mencelah.

Hati Diba bertambah gusar. Maklumat apa yang mereka mahukan? Umi Nor mendorong Diba yang telahpun longlai itu ke muka pintu.

Kenapa dengan Marissa? Siapa yang menyerangnya? Diba semakin tidak keruan.

"Keadaan Marissa tidak membimbangkan. Dia masih dirawat di Hospital Melaka. Diserang tidak jauh dari tempatnya bekerja..."

Itu sahaja kata-kata Kak Marina yang terlekat pada fikiran Diba.

Iqbal cukup tersentak dengan apa yang berlaku ke atas Marissa. Dia tidak dapat memaafkan dirinya. Dia benar-benar menyalahkan dirinya di atas apa yang berlaku. Kerana dialah semua ini berlaku. Seandainya dia tidak meninggalkan Marissa sendirian pada malam itu...


Dia tidak sanggup melihat keadaan Marissa. Tapi tak mungkin dia dapat membiarkan Marissa begitu sahaja. Apa pandangan Umi Nor, jika dia tahu Iqbal telah meninggalkan Marissa bersendirian malam itu? Apa reaksi keluarga Marissa? Apa kata Diba? Apa pula tanggapan Ishqal? Seumur hidupnya, inilah kali pertama beban perasaan bersalah dan perhatiannya tertumpu kepada selain daripada adiknya.

Hari itu, masuk hari kelima Marissa dirawat di Hospital Southern Melaka. Marissa dipindahkan ke hospital swasta itu atas kehendak keluarga Marissa. Dan setiap hari jugalah Iqbal tidak jemu-jemu datang melawatnya. Dua kali sehari.

Selalunya, Iqbal akan hanya memerhatikan dari jauh, layanan keluarga Marissa terhadap gadis itu. Marissa pun memang sudah lama sedar. Cuma sehingga ke saat itu, Marissa belum bersuara. Pihak polis sabar menanti untuk mendapatkan maklumat yang sewajarnya dari Marissa. Dan majlis perkahwinan Tengku Itheruddin ditunda.

Kehadiran Iqbal sendiri tekah disalahertikan oleh keluarga itu. Mereka menyangkakan Iqbal ada hubungan istimewa dengan Marissa. Jika tidak, masakan setiap hari Iqbal datang melawatnya. Sampai dua kali pulak tu. Kalaulah mereka tahu perkara yang sebenarnya... tentu dia akan disalahkan.

Masuk hari yang kesembilan Marissa dirawat di hospital, sesuatu berlaku. Lewat malam itu, tiba-tiba... muncul Ishqal. Pada kesamaran cahaya lampu kecil yang terpasang, Ishqal tercegat seketika memandang ke wajah Marissa.

Sebenarnya Marissa masih berjaga. Tetapi sebaik sahaja Marissa mendapati ada orang, segera dia berpura-pura tidur. Begitulah perlakuan Marissa, berpura-pura tidur jika terasa tidak mahu diganggu. Doktor, jururawat dan ahli keluarga Marissa memang sudah tahu helahnya. Tapi tidak Ishqal yang baru pertama kali muncul pada malam itu.

Marissa pun tak tahu siapa yang tercegat di sisinya itu sehinggalah orang itu memegang tangan Marissa dan berkata dalam suara yang Marissa cukup kenal.

"Sis... you will survive. I know you will..."

Itu sahaja. Tapi cukup memberi kesan kepada Marissa. Budak lelaki yang selalu menyakitkan hatinya itu datang membawa satu keyakinan buatnya?

Marissa membuka kelopak matanya untuk memastikan itu adalah Ishqal. Ya, dialah Ishqal. Memang tidak salah lagi. Entah semangat apa yang menyelinap ke dalam dirinya. Marissa bangkit daripada pembaringannya. Sesuatu yang mengejutkan Ishqal. Genggaman tangan Ishqal terlepas. Dia terkaku seketika. Tak sangka Marissa sedar. Apa yang Ishqal tahu dari Umi Nor, Marissa hanya terlantar tanpa sepatah kata sejak dimasukkan ke hospital dahulu.

Air mata Marissa perlahan-lahan mengalir di pipinya. Perlahan-lahan Marissa menghulurkan tangannya kepada Ishqal. Teragak-agak seketika sebelum Ishqal menyambutnya. Setelah itu, Marissa menggenggam tangan itu sambil dibawa ke dahinya lalu tertunduk dalam esak tangisnya.

"Yes... I will.. I will..."

Masa itulah Ishqal duduk di tepi katil Marissa lalu mengusap lembut kepala Marissa. Entah mengapa, perasaan sayang umpama seorang adik terhadap seorang kakak muncul di hatinya. Apa yang telah berlaku kepada Marissa itu mengusik hati nakalnya.

Di sofa, Melinda yang terjaga, turut mengalirkan air mata menyaksikan babak tersebut. Namun, Melinda tidak mengganggu mereka. Dia membiarkan sahaja Marissa melepaskan sebak di sisi Ishqal. Melinda tahu, esok akan berlaku perubahan pada Marissa. Cuma Melinda tidak tahu, ia merupakan satu perubahan yang mengejutkan.

Marissa didapati tiada di katil menjelang pagi esok. Semua orang kelam-kabut!
Pagi itu Iqbal tiba di kedainya dengan satu kejutan besar. Marissa tercegat menanti di tepi kedainya dengan wajah yang masih ada tanda-tanda kecederaan, sebelah tangan yang masih bertongkat, dengan selamba Iqbal ditegurnya.

"Awak berhutang dengan saya satu benda." Itulah ayat pertama yang keluar dari mulut Marissa. Tapi suara itu tidak lagi selantang dahulu. Tentu Marissa keluar tanpa kebenaran.


"Jangan terkejut melihat saya. Saya bukan hantu yang baru bangkit dari kubur. Saya datang untuk menuntut hutang saya."

Walaupun dua kali Marissa menyebut perkataan 'menuntut hutang' itu kepada Iqbal namun perkataan itu tidak sedikitpun menarik perhatian Iqbal. Sekalipun Marissa tidak menyebutnya, Iqbal memang berhutang rasa bersalah dan tanggungjawab terhadap Marissa. Sesuatu yang ingin disampaikan kepada gadis itu sejak Marissa dimasukkan ke hospital. Tetapi terlalu sukar untuk Iqbal mengatakannya. Bukan Iqbal tak pernah cuba. Dan kini, Marissa terlebih dahulu menemuinya. Iqbal pasti, Marissa telah mencuri keluar dari hospital. Iqbal perlu berhati-hati menyusun kata.

"Bagaimana dengan keadaan Marissa?" Iqbal bertanya lembut.

Marissa sedikit terusik dengan pertanyaan itu. Dia mengulang pertanyaan sebelumnya. "Awak berhutang dengan saya satu benda!"

"Baiklah. Katakan apa dia, biar saya cuba jelaskan," sahut Iqbal.

"Beri saya pandu kereta awak!"

Kali ini memang Iwbal betul-betul terpukul dengan jawapan seperti itu. Itukah 'hutang' yang dimaksudkan Marissa? Menemuinya hanya untuk menuntut sesuatu yang tidak diberikan kepada Marissa suatu waktu dahulu? Biar betul!

"Boleh atau tidak?"

Iqbal kaget seketika. Marissa memang serius. "Baiklah. Tapi dengan satu syarat. Saya boleh jelaskan hutang saya itu hanya setelah awak sembuh sepenuhnya."

"Sembuh? Hah... kalau mahu saya sembuh, beri saya pandu kereta awak itu." Marissa mengeraskan suaranya.

Iqbal telah dapat menangkap sesuatu. Bukan itu sebenarnya yang dimahukan Marissa. Apa sebenarnya yang tersirat, secara tidak langsung telah menyedarkan Iqbal tentang kesilapannya tidak membenarkan Marissa memandu keretanya pada malam itu. Itu yang pasti. Dan di sini, Marissa telah menuntut kembali satu permintaannya yang jika ditunaikan oleh Iqbal dahulu, perkara-perkara seperti ini tidak akan berlaku ke atas Marissa.

"Marissa... I'm sorry... I'm truly sorry.. it was my..."

"I don't want your apology. I don't need your apology. I just need your permission to drive your car. That's all!" Suara Marissa mula retak. Ternyata Marissa cuba melindungi gelodak jiwanya yang sebenar melalui permintaannya itu. Marissa masih keliru dengan apa yang berlaku.

"Marissa... let me take you back to the hospital."

"No! Why should you take me to the hospital? You should have taken me home that night. You shouldn't have left me alone. You should not..." Akhirnya Marissa tidak dapat bertahan lagi. Dia terus berlari dari situ dan menuju ke Espariza Florist.

Kali ini Iqbal tidak membiarkan gadis yang sedang diamuk perasaan kesal, kecewa, sedih itu begitu sahaja. Iqbal mengejarnya dengan larian yang tak seberapa kerana langkah gadis itu tidak sekuat mana lagi. Iqbal dapat menangkap Marissa. Sebelum Iqbal sempat memujuknya, bertalu-talu Iqbal dipukul dan ditendang oleh Marissa. masa itulah Iqbal memeluknya dan mententeramkannya.

"It's okay... you are safe now. You are with me. You'll be all right. Everything is all right."

Sekali lagi, babak pergolakan jiwa Marissa itu sempat disaksikan oleh Melinda. Setelah mendapati Marissa hilang pagi tadi, awal-awal lagi Melinda telah berkejar ke rumah sewa Diba, menyangkakan Marissa pulang ke sana. Diba kemudian mengajak Melinda mencari Marissa di Espariza Florist. Manalah tahu dia ada di sana.

Jika semalam Melinda hanya membiarkan Marissa meluahkan esak tangisnya pada Ishqal, sekarang Melinda tak akan membiarkan adiknya begitu lagi. Perlahan-lahan Melinda mendakap adiknya itu. Dipujuk, dibelai, diusap adiknya dengan penuh kasih sayang bersama air mata.

Diba turut sama menangis, menumpang sedih. Cuma Iqbal masih dapat mengawal hati dan perasaan lelakinya itu.

Selepas Marissa dan Melinda kembali semula ke hospital, Diba pergi semula ke Espariza Florist. Tapi sekembalinya ke kedai itu, dia mendapati Espariza sudah pulang. Lebih mendebarkan jantung Diba apabila Ishqal turut bersama.

1 comment:

  1. cite ni mcm cite novel alaf...
    tjuk pun sama...
    watak pun
    am i rite?

    ReplyDelete