Thursday, September 23, 2010

Cinta Marissa - 10

"Biar saya hantarkan awak pulang."

"Tak payah! Terima kasih ajelah..." Marissa masih dengan keras hatinya. Iqbal tidak mahu mengalah.

"Baik awak tumpang saya. Nanti tak balik karang. Malam-malam macam ni, kadang-kadang bas memang tak lalu. Sebab bas tak ada penumpang. Lagipun bahaya anak gadis jalan sorang-sorang."

Marissa memandang ke wajah Iqbal. Tiba-tiba Marissa terfikir sesuatu. Sudah lama Marissa tidak berperangai gila. Malam ini Marissa hendak melepaskan tensionnya. Dan Iqbal bakal menjadi mangsanya!

"Betul juga kata awak tu. Tapi.. sebelum itu saya ada satu permintaan."

Iqbal dengan tidak sabar menanti kata-kata Marissa seterusnya.

"Biar saya yang pandu kereta awak tu." Marissa meneruskan niat nakalnya. Iqbal terkejut.

"Hah! Awak nak pandu kereta saya ni? Sorrylah. Jangan buat hal. Biar saya aje yang pandu."

"Kalau tak boleh, tak apalah. Biar saya balik sendiri. Tak payah tumpangkan saya."

"Jangan nak mengada. Naik kereta ni. Saya hantar awak balik." Iqbal tak kuasa nak melayan kerenah Marissa.

"Oh... betullah kata adik awak tu. Awak ni memang kedekut orangnya!"

"Kedekut? Ini bukan soal kedekut! Ini soal keselamatan diri. Awak tu, entah ada lesen ke tidak."


"Oh, jadi awak ingat saya tak ada lesen memandulah ya. Hah... ini lesen memandu saya." Serta merta Marissa menarik sekeping kad kecil daripada dompet duitnya.

"Ah... ada lesen ke tak ada lesen ke, lebih baiklah saya yang panda. Nak tunggu awak bawa, entah pukul berapa kita sampai rumah." Iqbal sengaja menaikkan kemarahan Marissa. Dia nak tengok, sejauh mana Marissa nak mengalah. Sebab kali ini, Iqbal pun tidak mahu mengalah.

"Hei... awak belum kenal siapa Marissa. Kalau saya bawa kereta, Michael Schumacher pun boleh kalah tau!"

Iqbal tertawa besar mendengarkan kata-kata Marissa. "Dahlah, jangan buang masa. Jom kita balik."

Iqbal menonong menuju ke keretanya. Ke bahagian pemandu. Iqbal yakin Marissa akan menumpang keretanya. Tapi Iqbal silap. Dia belum begitu mengenali gadis itu.

Marissa menonong berjalan menuju ke pondok menunggu bas. Hati Marissa sedikit terkilan dengan Iqbal.

Iqbal pun nampaknya malas nak melayan angin Marissa. Tak nak tumpang sudah! Pintu kereta ditutup, menghidupkan enjin, memulakan perjalanan pulang. Ketika melepasi Marissa, Iqbal sengaja membunyikan hon keretanya sebelum memecut pergi.

Hati Marissa bertambah terkilan. Dia pun tak sangka Iqbal boleh meninggalkannya bersendirian di situ. Tak mengalah juga lelaki ini. Ah... boleh blah lah!

Selama 15 minit menanti, Marissa mula merasakan kemungkinan kata-kata Iqbal tadi ada betulnya. Jalan semakin lengang. Marissa mengambil keputusan untuk berjalan kaki sahaja. Sampai empat simpang lagi ada jalan besar. Jika nasib baik, ada teksi lalu, tahan sahaja.

Tiba-iba Marissa perasan ada sebuah motosikal lalu tak jauh darinya. Marissa dapat merasakan penunggang itu mengekorinya. Marissa memberhentikan langkah lalu dengan beraninya menghadap motosikal itu. Memang tidak silap. Motosikal itu mengekorinya.


Marissa bersedia dengan segala kemungkinan. Penunggang motosikal itu memberhentikan motosikalnya, betul-betul di sebelah Marissa.

"Berani dik jalan sorang-sorang malam begini. Tak takut ke?" tanya lelaki itu.

Marissa tidak menjawab. Hanya bersedia memasang langkah. Cubalah ganggu aku kalau kau berani. Dalam pada itu, sempat juga Marissa menjeling ke arah jalan. Tak ada pula kenderaan yang lalu di situ. Kelibat Iqbal langsung tak nampak.

"Adik nak ke mana? Biar abang tolong hantarkan." Lelaki itu terus mempelawa. Enjin motosikal masih tidak dimatikan. Marissa berundur setapak ke belakang. Hanya untuk melihat, apa sebenarnya yang diinginkan oleh lelaki itu.

"Eh, jangan takut. Abang berniat baik. Kalau adik nak balik, abang tolong hantarkan." Dengan kata-kata itu enjin motosikalnya dimatikan. Lelaki itu membuka topi keledarnya selepas menongkat motosikalnya.

Peluang itu Marissa gunakan untuk membuka langkah seribu! Dan nampaknya, lelaki yang mengekori Marissa itupun memang tidak mahu melepaskan Marissa begitu sahaja. Ternyata lelaki itu mempunyai niat yang jahat.

Ketika itu lalu sebuah kereta dan berhenti secara mengejut di tengah-tengah jalan. Marissa memberhentikan lariannya, menyangkakan yang datang adalah Iqbal. Lelaki yang mengejarnya itu turut memberhentikan langkahnya. Nafsunya sedikit terhalang dengan kehadiran kereta tersebut. Namun, lelaki itupun tidak terus berundur. Dia turut menanti seketika.

Rupa-rupanya yang datang itu bukan Iqbal. Tapi lima orang anak muda yang separuh mabuk mencari hiburan malam. "Brother, apasal lu kejar ini budak?" Salah seorang lelaki itu bertanya kepada lelaki yang mengejar Marissa tadi.

"Mau kacau anak dara orang ke?" tanya seorang yang lain. Tatkala ini, dua lelaki yang masih duduk di dalam kereta mula turun. Semua mereka menghadap Marissa dan lelaki yang mengejar Marissa itu.

"Itu gua punya girlfriend. Gua sikit gaduh. Lu orang jangan campur."

Walaupun badannya kecil, lelaki yang mengejar Marissa itu rupa-rupanya berani. Berani buat cerita, berani pula menghadapi lelaki-lelaki gengster itu. Dan masih berani hendak menurut hawa nafsunya. Marissa tidak akan dilepaskan begitu sahaja.

"Oh... lu punya girlfriend. Ada betul ke Ah Moi?" Salah seorang lelaki yang kelihatan macam gengster itu mengajukan pertanyaan kepada Marissa.

"Gua tak kenal sama ini lelaki. Gua tak kenal sama lu orang. Kawan gua akan datang sikit lagi. Jangan bikin kacau." Marissa pun buat ceritanya sendiri.

Lelaki berlima itu ketawa sakan mendengar penjelasan Marissa. Salah seorang daripada mereka memberikan isyarat angguk kepada rakan-rakannya yang lain. Sekelip mata, berlakukan adegan yang tidak diingini. Dua daripada mereka cuba menangkap Marissa sementara tiga yang lain hendak membelasah lelaki bermotor tadi. Lelaki itu melepaskan diri. Marissa dilepaskan untuk menjadi mangsa kepada kumpulan lelaki berlima itu.

Apapun, tidak semudah mana mereka hendak menewaskan Marissa. Dengan segala kudrat yang ada, dengan segala ilmu mempertahankan diri yang telah dituntutinya, Marissa memberikan tentangan yang hebar. Kalau nak mati, matilah. Biarlah aku mati dalam keadaan untuk mempertahankan diri. Bukan mengalah begitu sahaja. Itulah semangat Marissa menghadapi malapetaka yang berlaku itu.

No comments:

Post a Comment