Thursday, September 23, 2010

Bukan cinta Biasa - 30

"Acik, acik! cepatlah!"Didi dan Fifi menjerit dari dalam kereta.
Rimas mereka menunggu dari tadi. Wari tergegau. Rokok di tangan di
baling ke tanah lalu ditenyeh dengan kasut. Dia memandang ke pintu yang
masih terbuka. Cepat-cepat dia masuk ke dalam kereta. Bayang Siti
menerjah mindanya. Tak sabar hendak menemui dia! Wari senyum dalam hati.


***********************************************
Siti sudah membaringkan tubuhnya di atas tilam. Dia bergolek ke kanan.
Shidah masih belum kelihatan. Rasanya Shidah masih menonton tv kerana
malam masih awal lagi. Belum pun jam sepuluh. Tapi Siti tidak larat
lagi melayan matanya. Fikirannya kusut. Dia terkenangkan esok hari,
yang terpaksa dia lalui. Bagaimanakah keadaannya nanti? Berjalan
lancarkan segalanya. Bagaimanakah tanggapan orang ramai terhadap
keluarganya? Akan terkeluarkah kata-kata cemuhan atau tohmahan-tohmahan
liar atas pembatalan pernikahan itu?Dan sanggupkah keluarganya
menghadapi semua itu?

Ahhhh...bapanya pun silap. Kenapa mesti diteruskan juga majlis
tersebut. Batalkan saja dan mereka boleh lari ke Kuala Lumpur esok
hari. Bila keadaan reda nanti, mereka boleh kembali lagi. Tak payahlah
mereka menjawab setiap pertanyaan nanti. Tapi, bapak orang lama di
kampung ini. Tak patut dia lepas tangan begitu. Lagipun bukan salah
bapak. Bukan kehendak keluarganya. Mereka mangsa keadaan, kalaupun
bukan mangsa Azimin yang menconteng arang. Sampai hati Azimin bersikap
dusta begitu. Kenapa dia tidak berterus terang tentang perbuatannya
dengan Kartini dulu-dulu. Kenapa mesti bersetuju berkahwin sedangkan
nafsunya untuk orang lain. Sia-sia pengorbanannya selama ini.
Mengorbankan kasihnya pada Wari untuk memenuhi permintaan orang lain.
Memenuhi hasrat Maria. Dan Maria sendiri tidak sempat menyaksikan hasil
pengorbanannya itu. Benarkah Maria meninggal kerana perbuatannnya?
Ahh....tak mungkin!

Siti menarik selimut menutupi sebahagian tubuh. Dia merenung zink
rumah yang ada lubang-lubang halus. Sudah ada yang berkarat, dan sawang
putih memenuhi kayu bestos yang dijadikan alang rumah. Sama seperti
zink rumahnya. Dan orang-orang kampung yang lain. Jauh bezanya dengan
rumah-rumah di bandar sana. Terutama rumah Mak Ungku.Ahhh...rumah besar
itu, tidak akan dijejaki lagi. Tidak akan dilihat lagi taman bunga yang
redup itu, air kolam yang merenek di bawah pancaran mentari, silingnya
yang berukiran halus, dan manusia-manusia yang mendiaminya. Rindunya
pada mereka masih berbekas. Pada Lisa yang keletah, pada Fifi dan Didi
yang nakal, pada Mak Ungku yang baik hati dan....pada lelaki itu!
Biarlah apa pun tanggapan mereka terhadap dirinya, dia akan tetap rindu
pada mereka.

Siti mendengar derap langkah di luar sana. Dia menoleh ke arah pintu
yang tidak tertutup, hanya dibatasi dengan langsir. Shidah terjengul,
wajah agak cemas.

"Siti, jom turun bawah jap!"Shidah berdiri tepi pintu.
"Ada apa?"
"Mak kau ada kat bawah tu.."
"Hah?"Siti bangun serta merta. Dia bergegas turun dari katil.
"Mak aku? ada apa dia datang. Aku cakap tadi kalau ada apa-apa hal
telefon aje..."Gerutu Siti. Risau juga dia dalam hati. Mesti ada
kecemasan. ataupun dia perlu pulang ke rumah semula.
"Aku pun terkejut tengok mak kau datang tadi. Mak aku pun tak balik
lagi dari rumah kau...."Mereka menuruni tangga. Siti menerjah ke
beranda rumah. Dia melihat emaknya ada di situ. Bapanya pun ada sekali.
Hati Siti jadi berdebar.
"Mak?"Sapa Siti, mendapatkan Mak Jah. Pandangannya beralih ke laman
rumah. Sebuah kereta tersergam di situ, dan Siti kenal benar kereta itu.
"Kak Siti!"Didi dan Fifi menerpa ke arah Siti. Siti terkejut. Dia
tegak berdiri memandang Didi dan Fifi yang berlari ke arahnya.
Anak-anak kecil itu memaut pinggangnya erat. Siti gamam.
"Kak Siti, naper tak balik umah kita lagi?"Didi mendongak, menggoncang
tangan Siti. Siti terharu. Dia rasa seperti ingin menangis. Diusapnya
kepala Didi.
"Kak Siti tak boleh balik sana. Rumah Kak Siti kat sini..."Balas Siti
perlahan. Dia menjeling ke dalam kereta. Mak Ungku sudah turun, sambil
dipimpin Lisa. Dan lelaki yang duduk di bahagian pemandu itu, sedang
merenung tajam ke arahnya. Siti cepat-cepat alih pandangan.
"Mak Ungku.."Siti memeluk Mak Ungku. Dan Siti rasakan Mak Ungku
membalasnya dengan erat. Bahu Siti jadi panas. Ada cairan menitis di
bahunya. "Mak Ungku apa khabar?"
"Mak Ungku baik, Siti"Pelukan dilepaskan. Siti masih bingung dan tidak
percaya dengan kehadiran mereka. Apa yang menyebabkan mereka datang ke
sini, pada malam-malam buta begini. Adakah Azimin yang menyuruhnya?
Tapi dia tidak melihat kelibat Azimin di dalam kereta.
"Masuklah Mak Ungku...."Siti pimpin tangan Mak Ungku. Tapi Mak Ungku
tidak berganjak.
"Kenapa Mak Ungku?"Siti sedikit terkejut.
"Siti, ada orang yang benar-benar ingin berjumpa Siti...biarlah Siti
jumpa dia dulu ye...."Mak Ungku senyum."Nanti kita borak panjang.."
"Siapa?"
"Pergilah..."Mak Ungku menunjuk arah kereta. Wari baru saja menutup
pintu. Pandangannya jatuh ke wajah Siti. Siti jadi serba salah.
"Makcik masuk dalam dulu...."Mak Ungku berjalan ke dalam rumah.
Diikuti Lisa, emak dan bapanya. Tinggal Siti saja, dan Wari yang sedang
melangkah ke arahnya. Nasib baik ada Didi dan Fifi. Walaupun mereka
tidak tahu apa-apa, sekurang-kurangnya ia dapat meredakan debaran Siti.
Entah kenapa, hatinya betul-betul tidak keruan. Dia jadi takut
berhadapan dengan lelaki itu. Apalah yang hendak dia marahkan lagi.
Mungkin Wari masih beranggapan dialah penyebab kematian Maria. Kalau
itulah tujuan dia datang ke sini dia lebih sanggup tidur dari berjumpa
dengan lelaki ini.

"Siti..."Wari berhenti betul-betul di depan Siti. Degup nafasnya
bagaikan terdengar.
"Mesti Siti terkejut saya datang malam-malam begini. Maafkan
saya..."Suaranya perlahan, sedikit bergetar. Siti masih diam.
"Saya nak minta maaf pada Siti atas sikap saya tempohari. Saya
berkasar pada Siti, dan saya tahu saya tak patut buat macam tu.."Ada
nada kekesalan pada suara itu. Siti mendongak dan pandangan mereka
bertaut.
"Saya dah tahu perkara sebenar...."
"Maksud awak?"Wari menarik nafas.
"Tentang Azimin dan Kartini...."Siti sedikit terkejut.
"Bagaimana awak tahu?"
"Kartini telah ceritakan semuanya...."
"Pelik...kenapa Kartini ceritakan semua ni..."
"Mereka akan bernikah tak lama lagi...."
"Azimin dan Kartini?"Wari angguk. Ada senyuman pada bibirnya.
"Kartini minta maaf pada Siti.....dia rasa bersalah..sebab itu dia
ceritakan hal sebenar.."
"Baguslah kalau mereka akan bernikah....ada orang yang akan jaga Didi
dan Fifi...."Siti tersenyum nipis, lalu menarik sebuah kerusi. Dia
menoleh sekilas ke dalam rumah. Agak rancak perbualan Mak Ungku dan
ibubapanya. Apalah yang mereka borakkan, hati Siti tertanya-tanya.
Sengaja tinggalkan aku sorang-sorang dengan lelaki ni!

"Tapi, kalau boleh, saya nak Siti yang jaga Didi dan Fifi" Wari datang
mendekat. Duduk di hadapan Siti.
"Gila! Biarlah Kartini yang jaga. Takkan awak nak hantar Didi dan
Fifi ke kampung ni, suruh saya jaga pulak...."Siti tarik muka. Wari
tersengih.
"Tak....bukan Didi dan Fifi yang datang sini, tapi awak yang duduk kat
rumah saya.."
"Oh, awak nak saya jadi orang gaji Azimin pulak?" Siti jengil mata.

Wari tidak mampu bersabar lagi. Ditariknya tangan Siti lalu digenggam
erat. Siti terkejut, cuba menarik kembali tangannya. Takut kalau-kalau
dilihat ibubapanya.Tapi genggaman jemari Wari terasa erat, seperti
tidak mahu dilepaskan.

"Siti, saya nak awak balik semula ke KL. Tinggal bersama saya. Jadi
milik saya!"Wari dekatkan wajahnya ke wajah Siti. Siti jadi makin tidak
keruan. Mampus aku, kalau mak nampak!
"Wari, janganlah macam ni...."
"Siti, dengar sini. Saya bersalah marahkan awak hari tu. Tapi saya
rasa marah sangat sebab awak telah kecewakan saya. Awak tolak saya
semata-mata untuk puaskan hati orang lain. Saya tahu awak tak cintakan
Azimin..."
"Mana awak tahu?"
"Saya tahu cinta awak pada orang lain....."Wari menghela nafas. "Pada
saya..."
Siti terdiam. Dia menunduk.
"Jadi milik saya?"Wari mengerutkan wajahnya.
"Semuanya dah terlambat, Wari.."
"Belum...belum terlambat. Saya percaya jodoh kita ada. Awak sayangkan
saya, bukan?"Siti diam. Dia tidak tahu untuk berkata apa. Kalaulah dia
katakan semua itu benar!
"Kita nikah esok!" Siti serta merta bangun. Genggaman terlepas.
"Awak dah gila!"
"Saya tak gila Siti. Tolonglah percaya pada saya. Pada Mama, pada
Lisa, pada Didi dan Fifi. Kami semua mengharapkan kepulangan Siti. Saya
tak akan datang malam-malam begini kalau saya tak ikhlas. Saya cintakan
awak Siti!"

Siti menoleh. Pandangan mereka bertaut lama. Hati Siti jadi sebak.
Akhirnya, kau lafazkan jua!
"Saat awak terima Azimin pun, cinta saya tak pernah mati."Wari
menunduk. Walau apa cara sekalipun, dia akan dapatkan Siti. Inilah
peluangnya yang masih ada.
"Wari...."Siti cuba tenangkan dirinya. "Terima kasih kerana berterus
terang dengan saya.....saya hargainya.."
"Jadi..?"
"Saya akan fikirkan dulu..."
"Jangan hampakan saya Siti..."
"Kalau awak sanggup tunggu sampai esok?"Wari mula tersenyum. Rasa
seperti ingin dipeluknya Siti saat itu.
"Kenapa awak senyum? Saya belum habis cakap lagi. Kalau dulu Azimin
jumpa mak dan bapak saya sebab nak kawin dengan saya. Kalau awak
sanggup buat macam tu.."
"Lebih dari itu...."Wari ketawa kecil. "Tapi ada syaratnya...."
"Syarat? hai...awak yang nak, awak yang bagi syarat?"
"Sebab bukan saya seorang yang nak, awak pun nak, kan. Siti, katakan
sekali saja....."Wari mendekati Siti. Menatap wajah Siti
sungguh-sungguh. "Katakan yang awak pun sayangkan saya.."
Siti tarik nafas panjang. Hatinya berdegup kencang. Dia tidak sanggup
lafazkannya.
"Saya akan lafazkannya...."Siti tatap matanya Wari lama. "Saya akan
lafazkannya setelah awak lafazkan akad nya...."

Wari tersenyum lebar. Segala gundah dan resahnya hilang pergi. Terasa
malam yang pekat menjadi terang benderang. Dia ingin ketawa sepuas
hati. Digenggamnya jemari Siti erat. Dan Siti hanya membiarkan saja.
Biarlah. Biarlah kali ini hanya hati yang berkata 'ya'.

3 comments: