Monday, September 20, 2010

Bukan Cinta Biasa - 29

"Saya dah tahu Mama...."Wari bersuara keras. Mak Ungku mendongak,
menatap wajah Wari yang basah. "Saya tahu kenapa Siti tak nak kawin
dengan jantan ni.."
"Wari..kenapa cakap kurang ajar macam tu..."
"Memang patut Ma!"Wari jerit kecil. "Jantan ni la yang menyebabkan Kak
Mar terseksa, sampai meninggal dibuatnya.."
"Astagfirullah al azim.....apa yang Wari cakap ni?"Mak Ungku menolak
kerusi rodanya.
"Saya tak nak cakap!"Wari masuk ke dapur, datang kembali sambil
menarik tangan Kartini. Kartini yang teresak sambil menutup muka."Biar
perempuan ni yang cakap!"

Mak Ungku memandang Kartini penuh tanda tanya. Lisa di sebelah juga
sedikit terkejut. Apa kaitan perkara ini dengan Kartini? Kenapa Kartini
menangis begitu?

"Biar dia yang bagitahu.."Wari menarik kerusi, duduk dengan nafas
mengah. Dia memandang Kartini, menanti wanita itu membuka mulut.
Kartini masih tersedu. Sudah banyak airmatanya yang keluar mungkin. Dia
melihat semua kejadian tadi. Dia melihat Azimin yang dipukul
bertubi-tubi. Dia tidak sangka Wari akan naik berang begitu.

"Kartini, cakaplah apa yang awak cakap pada saya pagi tadi.."Suara
Wari mengendur. Dadanya kembali tenang kini. Kartini mengangkat muka.
Matanya yang merah berair memandang Wari. Kemudian kepada Mak Ungku.
Bila beralih kepada Azimin, dia mencebik dan manik jernih meluncur lagi.

"Saya....saya...sama Azimin.."Dia teragak-agak. Tidak berani dia
memandang Mak Ungku.
"Kenapa kamu dan Azimin?"Mak Ungku tidak sabar.
"Azimin.... sama saya!"Kartini menekup muka. Azimin gelisah. Kalau
boleh ingin saja dia menampar mulut Kartini. Tidak pandai simpan rahsia!
"Maksud kamu?"
"Kami....berselingkuh!"Mak Ungku terdiam. Matanya saja yang
terkebil-kebil memandang Kartini.
"Sudah lama...sejak Azimin pindah ke mari. Saya sama sekali tidak
keberatan bu!.."
"Astagfirullah al azim...."Mak Ungku tersandar di kerusi roda. Dia
mengurut-mengurut dadanya. Wajahnya sebak, sambil menggeleng kepala dia
memandang Azimin yang menunduk.
"Ya Allah Azimin...."Mak Ungku menyeka matanya yang berair. Tak
disangka menantu yang paling diharap, yang selama ini bersopan, melayan
Maria dengan penuh kasih sayang, rupanya berbeza perangai di belakang.
Sukar bagi dia untuk mempercayai.
"Kenapa selama ini kamu berdiam. Kenapa sekarang baru kamu ceritakan?
Kerana Maria sudah meninggal?"Mak Ungku sedikit kesal.
"Tidak.."Kartini menggeleng. "Saya takut bu...saya sangka Azimin akan
menikahi saya....tapi dia nggak mau...saya takut...lagi pula saya
sudah......"
"Sudah apa?"
"Saya sudah hamil, bu!"Kartini mula menangis lagi."Saya mahu Azimin
nikahi saya...tapi dia nggak mahu....maka saya nekad beritahu
Wari...saya tahu dia cinta sama Siti. Siti tak bersalah bu!" Azimin
bangun serta merta. Wajahnya memerah.

"Mama jangan percaya cakap dia ni Ma, dia tak mengandung!!"Azimin
bersuara keras.
"Benar bu, saya sudah 2 bulan tidak datang bulan...saya
takut..."Kartini melutut depan Mak Ungku. Dia teresak-esak di situ.
"Masa buat, kamu tak takut?"Jengil Mak Ungku. Semakin kuat esakan
Kartini.
"Saya salah bu..ampunkan saya..."Suaranya tenggelam timbul. Azimin
menghampiri Kartini.Cuba menarik tangan wanita itu. Kartini mengesot ke
arah Mak Ungku.
"Azimin..."Mak Ungku bersuara. "Betul apa yang Kartini cakap?

Azimin diam. Dia menunduk, wajah penuh kekeruhan. Tapi untuk
menafikan, dia tidak punya alasan. Sedangkan Siti sendiri telah
menyaksikan kecurangannya. Dan Maria juga telah mengetahuinya.
Ahhh..Maria mati kerana dia. Dia yang menyeksa hidup isterinya itu.
Tapi dia sendiri tidak mampu mengawal dirinya. Kartini terlalu
menggodanya. Tidak perlu banyak rintangan atau wang, Kartini sendiri
rela menyerahkan. Dan dia yang telah lama kehausan, sukar untuk
menolaknya. Dia perlu melampiaskan keinginan batinnya. Dia tahu dengan
Siti dia tidak akan peroleh itu. Siti gadis yang baik dan dia ingin
mengahwininya. Tapi dalam masa yang sama dia tidak dapat menghindari
Kartini. Dia memang kecewa kerana Siti telah melihat perbuatannya, dan
akhirnya dia kehilangan gadis itu.

"Azimin....., Mama nak kamu bertanggungjawab atas perkara ini. Kamu
mesti nikah dengan Kartini. Kerana dia sedang mengandungkan anak kamu.
Mama memang kecewa sekali dengan sikap kamu ni. Kamu curang pada
Maria!"Mak Ungku terhenti. Cuba mengawal nada suaranya. "Mama masih
boleh terima kamu kerana kamu bapa kepada cucu-cucu Mama. Kalau tidak
kerana Didi dan Fifi, Mama dah halau kamu....."
"Ma...."Azimin mengeluh.

Wari puas hati. Dia sudah tahu kini, kenapa Azimin hanya berdiam diri
bila Siti lari. Dia tidak langsung mengambil tindakan apa-apa. Kerana
semuanya berpunca dari dirinya sendiri. Mana mungkin dia boleh memaksa
Siti mengahwininya sedangkan dia manusia kotor. Yang hanya memuaskan
nafsu sendiri. Tak mungkin Siti menjadi milik orang seperti itu. Wari
percaya, Siti sengaja tidak mahu menghebahkannya. Dia tidak mahu
menjatuhkan maruah Azimin. Tapi kenapa? Kenapa Siti tidak berterus
terang kepada mereka. Kenapa sanggup menerima kemarahan orang lain
semata-mata untuk melindungi manusia yang tidak berhati perut seperti
Azimin? Atau hati gadis itu terlalu lembut sampai tidak sanggup
melukakan hati orang lain? Kecewakah Siti bila mengetahui sikap sebenar
Azimin?

Ahh...pastinya Siti lebih kecewa lagi dengan sikap aku ini. Yang
membuta tuli menuduh dan memarahinya. Menyalahkan dia atas kematian
Maria. Ah, Siti, maafkan aku...kerana berkasar denganmu. Kalaulah aku
dapat temui kau sekarang juga...

No comments:

Post a Comment