Monday, September 20, 2010

Bukan Cinta Biasa - 28

"Aku dengar, kau nak kawin?"Siti masih berdiam. Cuma tangannya saja
yang ligat mencarik daun-daun hijau di sekelilingnya. Pandangannya
menunduk. Tak sanggup dia menentang wajah lelaki itu. Tidak disangka,
setelah terpisah beberapa ketika, dia masih ada peluang menatap wajah
lelaki itu. Sangkanya Huzair tidak akan kembali lagi ke kampung.
"Aku ada dapat kad jemputan kau.."
"Ahhhh...."Siti mendengus. Dia benci untuk terus mengulang ayat-ayat
itu. Dia malas untuk menyatakannya lagi. Pernikahannya telah batal.
Batal!
"Kenapa Mek Ti?"Huzair mendekat.
"Tak ada apa-apa..."Siti menggeleng.
"Tahniah dari aku.."Huzair hulur tangan. Siti mendongak, menentang
pandangan Huzair. Dia tidak menyambut huluran tangan itu. Untuk apa?
Dia tidak akan berkahwin dengan siapa-siapa. Tidakkah Huzair tahu itu?
"Aku balik ni sebab nak tengok kau bersanding. Nenek yang bagitahu
aku. Aku sebenarnya segan juga nak jumpa kau ni. Mana tahu kau tak
sudi..."Huzair tersengih.
"Maafkan aku Zair, sebab lari dari kau dulu..."Siti mengeluh. Dia rasa
segan. Tak patut dia buat Huzair begitu. Pergi tanpa jawapan. Mungkin
ini balasan yang diperoleh akibat mengecewakan hati orang.

Huzair menyandarkan belakang badannya ke pokok jambu. Dia berpeluk
tubuh. Matanya masih tancap. Merenung Siti penuh makna. Siti akui
lelaki itu sudah banyak berubah. Dia tampak dewasa kini. Terserlah pada
rona wajahnya itu.

"Aku tahu, cinta tak boleh dipaksa. Cinta jangan dicari. Lambat laun
ia akan sampai sendiri. Suatu masa dulu aku yakin cinta yang aku cari
telah hadir pada diri ini..tetapi.."Dia menarik nafas, terhenti
seketika. "Aku terlalu mentah untuk menilai cinta. Cinta itu terlalu
muda, dan akhirnya aku kehilangannya..."

Siti kertap bibir. Dia jadi tidak keruan. Adakah Huzair memperkatakan
tentang dirinya? Tentang cintanya yang tidak kesampaian?

"Aku kecewa kau pergi tinggalkan aku dulu..."Suara Huzair mengendur.
"Maafkan aku Zair.."Lirih Siti. Pandangan mereka bertaut. Siti jadi
serba salah. Bersalah kerana menolak Huzair dulu.
"Tapi aku gembira juga akhirnya kau jumpa orang yang kau cinta.."Siti
tersenyum tawar. Dia rasa seperti ingin menangis. Kalaulah Huzair tahu
hal sebenar!
"Lepas ni, kau tinggal di mana. KL?" Siti tidak menjawab. Dia biarkan
saja Huzair terusan bertanya.
"Kalau di KL, bolehlah kita berjumpa..."Huzair ketawa kecil. "Tapi
masa tu kau dah jadi kepunyaan orang lain. Tentu payahkan...."
"Zair..sudahlah..jangan cakap macam tu. Apa-apa yang terjadi pun, kita
tetap kawan...."Siti mendongak, menentang mata Huzair.
"Ya, sebab aku ingat kawan lah..aku datang hari ni untuk jumpa kau.."
"Terima kasih!"
"Aku nak jumpa bakal suami kau nanti...."
"Untuk apa?"
"Untuk ucapkan tahniah...."
"Zair...."Siti menggeleng, dia mendekati Huzair.
"Datanglah rumah aku esok. Kau akan tahu perkara sebenarnya.."
"Memang aku nak datang"Huzair tersenyum.
"Dan bersyukurlah kalau kau dapat jumpa aku masa tu.."
"Kenapa kau cakap macam tu?"

Siti mengeluh. Dia mengundur beberapa langkah ke belakang. Sukarnya
untuk meluahkan perasaan, apatah lagi membuat keputusan. Dia sendiri
tidak tahu adakah dia kuat untuk menghadapi hari esok. Kenduri
pernikahannya yang hanya atas nama! Kalau boleh, dia ingin lari saja.
Lari sekali lagi, kali ini dari semua orang. Biarlah...mungkin dia
tidak layak mencintai atau dicintai sesiapa. Cintanya bukan cinta biasa
mungkin!


******************************************************
"Mama! "Wari masukkan beg ke dalam kereta. "Sempat lagi tak ni, Ma?"
"Ya Allah Wari...kenapa kelam kabut sangat ni?"Mak Ungku menggeleng
kepala. Dihulurkan begnya kepada Wari. Wari menarik pantas lalu
dicampakkan ke dalam bonet kereta.
"Bawak-bawak la bersabar sikit...."Mak Ungku merungut.
"Takut tak sempat, Mama..."Balas Wari.
"Entah Acik ni....kalut la.."Lisa memuncung. Dia bercekak pinggang,
memerhatikan gelagat abangnya. "Baru pukul berapa ni...sempat lagi
laa..."
"Dah Lisa...cepat masuk kereta...."Wari mengeluarkan rokok, dikepitkan
di dua bibir.

"Kejap haa..orang nak masukkan barang-barang ni laaa..."Lisa
mendengus. Dia masuk semula ke dalam rumah sambil merungut-rungut. Mak
Ungku menggeleng, sedang Wari sudah pun enak menghembus asap. Ada
sedikit kepuasan pada wajah itu. Dia mengepal-ngepal penumbuknya.
Melihat sendi jemarinya yang sedikit kemerah-merahan. Peristiwa semalam
masih jelas di ruang matanya. Saat penumbuknya jatuh bertubi-tubi di
muka Azimin. Dia sudah tidak dapat kawal diri saat itu. Kalaulah tidak
kerana Pak Amin datang menghalang, rasanya pecah muka Azimin
dikerjakannya. Walau lembam dan sengal-sengal jemarinya, tetapi dia
puas. Puas kerana akhirnya sisa kemarahannya dilepaskan kepada orang
yang sepatutnya.

Dia ingat airmata Mama yang mengalir tatkala melihat Azimin tersembam
dengan cairan darah di muka. Tersengguk-sengguk orang tua itu menahan
sebak melihat menantunya itu terkial-kial untuk bangun. Azimin yang
bersandar di dinding, mengesat darah yang keluar dari hujung hidung.
Ditatapnya Wari dengan pandangan tajam. Ada kemarahan yang tersemat,
tapi dia tidak mampu berbuat apa. Tubuhnya longlai benar. Kepalanya
berpinar dan rasa panas membuak seluruh badan. Azimin rasa bagai ingin
pitam.
"Apa yang dah jadi ni, Wari?"Terjerit Mak Ungku melihat adegan tadi.
Dia mendengar keriuhan di bawah tadi. Cepat-cepat dia panggil Lisa
untuk memapahnya turun. "Apa yang kau dah buat ni?"
Wari mendengus. Dia memandang Azimin yang terkapar. Kemudian beralih
kepada Pak Amin yang mengurut dada. Lisa di sisi Mak Ungku menekup
mulut.
"Wari...apa yang kau dah buat ni..."Mak Ungku tersedu. Baru berapa
hari Maria meninggal, keadaan dah menjadi kucar kacir.
"Mama jangan tanya saya, tanya jantan ni!"Wari mendengus.Dia menghela
nafas panjang. Tenaganya banyak terbuang tadi.
"Kenapa Azimin...Wari..kenapa gaduh macam ni..?'

Azimin mendengus. Diseka hidungnya yang berair sekali lagi.
Terkial-kial dia ingin bangun, tetapi akhirnya kembali bersandar di
dinding. Rasa geram pada Wari begitu membuak. Tapi, apa yang boleh dia
buat. Kalau tak kerana perempuan Indon tu, tak akan dia jadi begini.
Kurang ajar Kartini!

No comments:

Post a Comment