Sunday, September 5, 2010

Bukan cinta Biasa - 27

Dia sakit hati. Sakit hati melihat wajah gadis itu. Tapi dia bukan
membenci. Tidak. Sesekali tidak pernah terlintas rasa benci dalam
hatinya. Walaupun Siti telah pernah melukakan hatinya. Dia sakit hati
kerana setelah susah payah dia mengubat luka, tiba-tiba pula Siti
membatalkan hasratnya. Kenapa tidak dari dulu lagi dia menolaknya?
Kenapa setelah dia hampir putus asa, benar-benar kecewa, gadis itu
bertukar fikiran tiba-tiba dan membatalkan perkahwinannya. Kenapa Siti
perlu menyakiti hatinya dengan berdolak dalih begitu. Bukankah mudah
kiranya dia menolak perkahwinan itu dari awal-awal lagi. Banyak perkara
dapat dielakkan. Dan mungkin Maria dapat diselamatkan. Mungkin Maria
tidak akan kecewa. Tapi............ahh...kematian Maria bukan
disebabkan Siti. Tak patut dia menyalahkan gadis itu begitu. Tetapi
tindakan Siti telah meninggalkan kesan yang tersendiri.
Wari sendiri tidak tahu apa muslihat Siti, menerima kemudian
menolaknya. Seolah perkahwinan itu satu permainan. Atau hatinya tidak
pernah tetap pada keputusan. Cintanya boleh berubah dalam sekelip mata?
Atau dia sengaja mempermainkan Maria, Mama ataupun Azimin? Kesian Mama,
yang terpaksa menanggung malu. Nasib baik kad masih belum diedar lagi.
Sebetulnya Mama memang ingin melakukan upacara pernikahan itu secara
kecil-kecilan kerana ia merupakan pernikahan kali kedua Azimin, tetapi
pastinya perkara seperti itu juga telah dihebahkan kepada rakan-rakan
atau saudara mara terdekat. Jadi, bagaimana harus mereka sekeluarga
menghadapi semua itu. Dan satu lagi yang menjengkelkan Wari. Sikap
Azimin sendiri. Kalau dulu, dia yang beriya-iya, bersetuju untuk
mengahwini Siti. Tetapi kini, hanya berdiam diri. Langsung tidak
menghalang keputusan Siti. Malah, bila ditanya, dia seolah cuba
mengelak diri. Apa yang terjadi antara mereka sebenarnya?

Wari jadi bingung sendiri. Walaupun dalam hati dia sedikit lega
kerana akhirnya Siti tidak menjadi milik Azimin, tetapi dalam masa yang
sama dia juga sebal dengan sikap Siti yang tidak menentu itu. Dia
kecewa kerana Maria telah pergi. Tanggungjawab yang besar kini
tertanggung di bahunya. Untuk menguruskan keluarga, lebih-lebih lagi
syarikat arwah bapanya. Semuanya dalam sekelip mata berpindah
kepadanya. Kalau dulu, semasa Maria terlantar dia masih mengharap agar
Maria sembuh dan meneruskan usahanya mengembangkan syarikat. Tetapi
kini, tiada siapa lagi yang boleh diharapkan selain darinya. Azimin
pula, kedudukannya samar-samar. Setelah Maria meninggal, Wari tidak
tahu kedudukan Azimin. Adakah dia masih berhak menguruskan syarikat
itu, sedangkan setahu Wari, Azimin tidak punya apa-apa saham di dalam
syarikat, selain dari ihsan Maria yang memberi jawatan selesa kepada
suaminya itu. Walaupun ikatan kekeluargaan mereka tidak akan putus
kerana Azimin tetap abang iparnya, Fifi dan Didi tetap anak saudaranya
walaupun suatu hari nanti anak-anak kecil itu akan memperoleh ibu baru.
Dan Wari tahu, bukan Siti yang akan mengambil tempat itu.


*****************************
"Siti nak ke mana ni? " Mak Jah cepat-cepat menghampiri Siti yang
sedang menyarung selipar.
"Mek Ti nak pergi rumah Shidah, Mak. "Siti angkat muka. "Mek Ti nak
tidur kat sana"
"Kenapa nak tidur kat sana pulak. Tidur je la kat rumah. Mak Ngah
baru sampai tu..."Siti tarik nafas panjang. Tangannya mengepit beg
plastik warna hitam.
"Siti tak nak la duduk rumah, Mak. Nanti macam-macam diorang tanya.
Apa Siti nak jawab?"Balas Siti perlahan.

Mak Jah mengeluh. Mulutnya sendiri dah berbuih memberi alasan. Setiap
pertanyaan yang singgah di cuping telinga, bagai api yang membakar.
Kadang-kadang mahu saja dia berteriak satu rumah. Memberitahu semua
orang yang pernikahan anaknya tidak akan berlangsung. Sudah dibatalkan
Dan kenduri tersebut hanyalah kenduri kesyukuran, sementelah kad pun
sudah dilayang. Jadi hendak tak hendak, segan tak segan, ia tetap
diteruskan. Biarlah orang mengata. Dia sudah tua. Telinganya sudah lali
dengan umpat keji orang. Tapi anaknya itu! Siti manalah biasa dengan
keadaan ini. Hatinya masih rapuh. Kesian anak itu terpaksa menghadapi
keadaan seperti ini. Biarlah dia membawa diri. Mak Jah sendiri jadi
serba salah. Sejak orang ramai datang ke rumah, Siti lebih banyak
memerap di bilik. Hendak keluar pun segan-segan. Takut kalau-kalau
orang sibuk bertanya tentang bakal suaminya yang tak jadi datang itu.
Orang mana, kerja apa. Mak Jah sendiri terkial-kial hendak menjawab.
Bukankah sudah dibatalkan. Kenapa mesti sibuk bertanya,
memanjang-manjangkan cerita. Kalau diikutkan, mahu saja Mak Jah cili
mulut orang yang tak penat-penat bertanya. Dijemput sudah dikira
untung. Hormatlah tuan rumah sedikit! Mak Jah mendengus.

"Boleh tak mak?"Siti goncang tangan Mak Jah. Mak Jah tersedar.
"Emm....pergilah...tapi pagi esok balik cepat..."Mak Jah membalas. Dia
tersenyum tawar. Melihat Siti yang mula melangkah.
"Kalau ada apa-apa, mak telefonlah rumah Shidah ye!"Siti menoleh
sebelum meneruskan langkah. Dia susup sasap di bawah pokok rambutan.
Sengaja dia melalui jalan singkat belakang rumah. Jalan tersebut kecil,
bersemak tetapi terlindung dari pandangan luar. Dia tidak mahu melalui
jalan biasa. Dia segan kalau terserempak orang-orang kampung yang
pastinya akan bertanya tentang dirinya. Tentang perkahwinannya. Kalau
boleh esok, pada hari kenduri tersebut dia tak mahu menjenguk muka.
Biarlah orang tuanya saja yang menguruskan. Dia lebih rela memencilkan
diri dari berdepan dengan orang ramai yang pasti akan mempertikaikan
keputusannya.

10 minit meredah semak, Siti sampai di atas bukit. Di bawah sana,
padang hijau yang terbentang, masih seperti dulu. Siti lihat Shidah
sedang menopang dagu di bawah pokok saga tepi padang. Pandangannya
asyik ke tengah padang. Melihat tubuh-tubuh yang terkinja-kinja di
sana. Angin petang yang nyaman, menggugurkan daun-daun saga,dan
biji-biji merah berselerakan bawah pokok. Siti melajukan langkah.

"Lambat la kau!"Shidah menoleh, menyedari kedatangan Siti.
"Aku keluar senyap-senyap. Takut orang nampak.."Balas Siti perlahan
lalu melabuhkan punggung di sebelah Shidah. Beg plastik di letak tepi
akar yang berbonjol.
"Kenapa keluar senyap-senyap? Mak kau tahu, tak?"Shidah mengerut dahi.
Siti angguk kepala.
"Mak aku tahu. Tapi rumah aku tu dah ramai orang. Tu yang aku
curi-curi keluar...kalau tak nanti diorang banyak tanya.."
"Siapa je kat rumah kau tu..?"
"Sedara mara belah mak aku dah datang. Jiran-jiran sebelah pun ada.
Diorang rewang kopek bawang. Aku rimaslah Shidah....aku rasa semua mata
macam tertumpu kat aku...pandang sinis kat aku...."Siti tarik nafas
panjang. Shidah menggeleng.
"Perasaan kau aje kot...."
"Tak...aku tahu...diorang mesti cakap bukan-bukan pasal aku.."
"Pedulikan je laa....."
"Aku kesian kat mak bapak aku tu....mesti diorang malu. Habis, bapak
aku tu nak teruskan jugak kenduri ni...aku kenalah ikut..."Siti
melemparkan pandangan ke tengah padang. Sinar matahari hampir jatuh.
Bayang pokok saga nampak memanjang. Redup.
"Kesian kau, Mek Ti..."Shidah renung wajah Siti lama.
"Dah nasib aku..."
"Tapi...aku sokong tindakan kau tu. Kalau aku jadi kau...aku pun tak
nak kawin dengan lelaki tu..."Siti tersenyum tawar. Dia sedikit gembira
kerana Shidah dan Murni tidak menyalahkan tindakannya setelah dia
menceritakan perkara sebenar. Dia tahu, dia tidak boleh mengelak dari
dua kawannya itu. Lambat laun dia akan terpaksa menceritakannya juga.
Dan dia bersyukur kerana kedua mereka memahami. Biarlah orang lain
tidak memahaminya asalkan Shidah dan Murni tahu keadaannya.
"Kau sedih Mek Ti?"
"Emm....entah!"Siti ketawa kecil. Shidah ketawa sama. Dia bangun,
mengibas-ngibas punggung.
"Jom, balik rumah aku. Malam ni kita buat kek lapis yang kau nak
belajar buat tu"Siti mendongak. Dia menghulurkan tangannya lalu
disambut Shidah. Bersungguh Shidah cuba menarik Siti bangun. Akhirnya
mereka ketawa sama.

"Alamak Mek Ti, aku lupa nak bagitahu kau...."Shidah kebam bibir.
Matanya mengecil, memandang Siti.
"Kenapa?"
"Emm...aku lupa nak bagitahu...mamat tu balik sini mlm tadi...."Shidah
sengih.
"Siapa?"
"Tuu...."Shidah memuncungkan bibir. Siti berpaling ke belakang.
Senyuman terukir di ulas bibir lelaki itu. Siti membulatkan mata.

Huzair!

No comments:

Post a Comment