Sunday, September 5, 2010

Bukan Cinta Biasa - 26

Telefon masih berdering lagi. Siti panggung kepala. Malas rasanya dia
hendak mencapai gagang telefon tersebut. Dia menutup matanya kembali.
Seminggu memerap di rumah, tanpa membuat apa-apa terasa bosan juga.
Petang-petang begini, kalau tak ke kebun ubi emak, dia lebih suka
melelapkan mata. Ke padang pun dia sudah jarang-jarang. Dia tidak ada
semangat untuk menemui sesiapa. Dia tidak mahu mereka terus-terusan
bertanya. Bertanya tentang kisah cintanya mungkin. Ahh...cinta apa!

Matanya redup, merenung kepingan kad warna merah jambu yang tertulis
cantik namanya. Kad harum yang bertulisan perak itu, ditempah khas oleh
Lisa sebulan yang lalu. Sudah habis diedarkan kepada orang kampung.
Saudara mara juga pasti telah menatapnya. Cantik. Mungkin itu pandangan
mereka. Tapi apalah gunanya. Tiap kali mendengar bapanya menelefon
saudara mara seorang demi seorang, memaklumkan pembatalan majlis
tersebut, terasa bagai ingin luruh jantung Siti. Kalau boleh biarlah
dia saja yang menanggungnya. Tak sanggup rasanya menatap wajah kedua
orang tuanya dan membiarkan mereka menanggung sama.

"Bapak akan teruskan juga kenduri tu...."Pak Seman bersuara, memecah
kesunyian, sewaktu mereka sama-sama duduk di pangkin bawah pokok nangka
semalam.
"Orang kampung pun dah dijemput...tak baik pulak rasanya nak batalkan
macam tu ajer..."Siti terkebil-kebil menatap wajah bapanya.
"Habis tu, macamana bang.....nak teruskan jugak?"Mak Jah mendengus.
"Kita buat kenduri aje...makan-makan, jamu orang kampung makan. Apa
salahnya....macam kenduri kesyukuran tu. Lagipun, barang-barang dapur
pun banyak yang dah dibeli, kan.."Pak Seman tarik nafas panjang.
"Daripada membazir, biarlah kita bersedekah"

Siti gigit bibir sampai sakit. Hatinya menangis, siapalah yang tahu!
Syukurlah kedua orang tuanya memahami.

Deringan telefon menyentap lamunan. Masih tidak berhenti rupanya. Siti
mengeluh. Dia bangun lambat-lambat menghampiri meja telefon. Gagang
telefon diangkat perlahan.

"Hello"
"Kak Siti, assalamualaikum!"Siti tersenyum tawar. Dia kenal suara itu.
Lisa yang tidak jemu-jemu menelefon. Memintanya kembali ke Kuala Lumpur.
"Lisa, ada apa?"
"Kak Siti...."Ada sendu dihujung talian.
"Kenapa Lisa?"Hati Siti berdebar.
"Kak Siti balik sini ye. Kak Mar dah meninggal...."

Gagang hampir terlepas.

********************************


Sayu hati Siti melihat Mak Ungku yang masih tidak berganjak. Air
matanya terus-terusan mengalir. Lisa di sisi memeluk erat Mamanya. Dia
teresak sama. Siti berdiri agak jauh. Dia hanya memerhatikan saja.
Dalam hati dia rasa sedikit bersalah. Menurut Lisa, sebaik Siti
meninggalkan rumah, keadaan Maria semakin tenat. Dia begitu sedih
dengan tindakan Siti. Bila ditanya pada Azimin, lelaki itu pula hanya
membisu. Dua hari Azimin hilang sampai Maria menghembuskan nafasnya.
Dan hari ini untuk kesekian kalinya dia berhadapan dengan lelaki itu.
Hati Siti jadi panas. Ingin saja dia menampar muka lelaki itu. Geram
hatinya bukan kerana Azimin berpura-pura dengannya, tetapi kerana sikap
Azimin yang curang pada isterinya. Kesian Maria. Sampai ke mati dia
tidak tahu perangai setan suaminya itu. Dan Azimin pula masih bersikap
selamba. Bukannya mahu minta maaf atau pun menyesal. Mahu saja Siti
menghebahkannya pada semua orang. Biar satu keluarganya tahu.

Kalau ikutkan, berat hatinya untuk sama-sama menziarahi pusara itu.
Dia tahu pandangan sinis Mak Ungku dan Lisa terhadapnya. Lebih-lebih
lagi renungan tajam lelaki di sisi Mak Ungku itu. Wari! Ahh...lelaki
itu telah muncul kini. Lama rasanya dia tidak menatap wajah lelaki itu.
Yang kini sudah ditumbuhi roma-roma kasar. Berceratuk di wajah yang
dulu bersih. Tiada secalit senyuman pada bibirnya, tatkala pandangan
mereka bertaut. Terasa ingin pecah dada Siti menahan rasa.

Berat kakinya melangkah, namun dipaksakan juga. Tatkala menjejaki
semula rumah besar tersebut, Didi dan Fifi yang melihat terus menerpa
ke arahnya. Siti peluk dan kucup kedua anak kecil itu. Kemudian mereka
sama-sama masuk ke dalam rumah.

"Saya minta maaf, Mak Ungku..."Siti capai jemari Mak Ungku.
Dikucupnya lama. Mak Ungku diam, tiada reaksi. Hati Siti hiba tiba-tiba.
"Saya tak terniat nak khianat pada Mak Ungku sekeluarga....saya..."
"Dah la tu..tak payah nak menangis-nangis pulak. "Wari menyampuk
tiba-tiba. "Sekejap nak, sekejap tak nak. Tiba-tiba je hilang macam tu
ajer....sampai Kak Mar tu mati dibuatnya..."
"Wari...."Mak Ungku bersuara.
"Kalau dari dulu cakap tak nak kan senang. Tak payah Mama sibuk-sibuk
nak buat ni semua. Ini, bila semua benda dah beli, persiapan dah dibuat
tiba-tiba dia cabut macam tu aje....menipu namanya tu Ma..."Suara Wari
keras. Siti geleng kepala. Nafas ditarik dalam-dalam, cuba mengawal
debaran di dada.
"Saya akan pulangkan semua barang-barang...ganti rugi..."
"Tak payah. Mama sedekah aje!"Wari mendengus.
"Wari...cubalah dengar dulu apa Siti nak cakap...."Mak Ungku mengeluh,
menggeleng kepala.
"Nak cakap apa lagi Ma.....dah dia tak nak kawin. Sebab perangai dia
la....Kak Mar kecewa, terkejut...terus...."
"Wari!"Suara Mak Ungku meninggi. Direnungnya Wari tajam.
"Kalau dia tak lari dari rumah hari tu, Kak Mar tak jadi macam ni,
Mama...."
"Maria meninggal bukan kerana Siti, Wari...."
"Tapi Kak Mar terus tenat bila dapat tahu Siti cabut dari rumah hari
tu....hilang macam tu ajerr....Kenapa tak jumpa Kak Mar cakap terus
terang....kenapa tipu Kak Mar..."

Air mata Siti tumpah juga. Cepat-cepat disekanya. Dia tidak berani
menatap wajah Wari. Rasa malu, bersalah dan entah apa-apa lagi.
Kerdilnya dirinya dirasakan saat itu. Bagai pesalah menanti hukuman.

"Kenapa Siti keluar rumah tanpa beritahu. Semua orang cari
Siti....kami betul-betul terkejut Siti..."Mak Ungku bersuara, lembut.
Siti angkat kepala. Menatap wajah Mak Ungku yang tenang tetapi sedikit
sugul."Ada yang tak kena ke, sampai Siti balik kampung tiba-tiba....tak
bagitahu Makcik, atau Lisa..."
Siti diam.
"Siti ada masalah....cuba bagitahu Makcik..."Siti geleng kepala.
"Saya terpaksa batalkan perkahwinan saya dengan Abang Min, Mak
Ungku...."
"Tapi kenapa?"Mak Ungku mengeluh. "Kenapa dulu Siti terima, sekarang
Siti batalkan pula? Ada apa-apa yang tak kena ke?"
"Tak ada apa-apa Mak Ungku. Saya yang berubah fikiran...."
"Uh...senang-senang je ubah fikiran. Dia ingat kerja kawin ni kerja
main-main...boleh buat dan batal sesuka hati?"Wari menyampuk. Dia
bangun, meluru ke luar. Langkahnya pantas, tidak menoleh lagi. Mak
Ungku menggeleng.

"Siti ada masalah dengan Azimin ke?"Siti geleng lagi. "Mak cik
tanyakan Azimin, dia kata tak ada apa-apa pula...."
Memanglah tak ada apa-apa. Mana lelaki itu nak mengaku! Mahu saja Siti
buka mulut tentang kecurangan Azimin dengan Kartini. Kartini! Mata Siti
melingas. Sejak di tanah perkuburan tadi Siti tidak nampak pula kelibat
wanita seberang itu. Sudah berhenti kerjakah dia? Atau sengaja tidak
mahu menonjolkan diri? Takut kisahnya didedahkan? Kenapa Azimin melayan
perempuan itu? Tidak cukupkah keizinan Maria untuk berkahwin lain,
sampai dia perlu melalui pintu belakang begitu? Ah...Azimin, wajah
kacak itu penuh dengan kepuraan.Kalaulah Maria tahu! Tapi Maria pun
sudah tiada. Sudah pergi membawa penderitaannya. Dan kini, dia yang
menanggung segala-galanya. Bukan niatnya untuk menyeksa Maria begitu.
Dia tidak tahu ajal Maria akan sampai selepas dia keluar dari rumah
itu. Bukan dia penyebabnya!

"Kalau ada masalah...cerita pada makcik.....jangan pendamkan
Siti...."Mak Ungku elus rambut Siti.
"Siti cuma harap Mak Ungku sekeluarga tak salahkan Siti atas kematian
Kak Mar..."
"Siti, makcik tak pernah beranggapan begitu. Maria meninggal kerana
ajalnya sudah sampai. Siapa-siapa tak boleh pertikaikan. Cuma makcik
nak tahu, kenapa Siti tiba-tiba batalkan pernikahan dengan Azimin. Siti
kan tahu, Didi dan Fifi perlukan kasih sayang seorang ibu."Suara Mak
Ungku begitu lembut.
"Siti tak dapat nak tunaikan permintaan itu. Siti minta maaf..."
"Tapi kenapa Siti?"Mak Ungku menghela nafas.
"Errr....Siti belum bersedia untuk kawin...."Siti menggeleng.

Wari dihujung pintu, menjuih bibir. Sakit betul hatinya pada gadis itu!

No comments:

Post a Comment