Friday, September 24, 2010

Badai Pasti Berlalu

"Aina, Aina tak apa-apa, kan? Kalau Aina lapar, Aina keluar ya sayang. Ibu ada masak gulai sembilang ni, Aina pasti suka, kan?"



Panggilan dan pujukkan ibunya sedari tadi langsung tidak diendahkan. Iman lebih senang menguncikan dirinya di dalam bilik. Semenjak semalam dia lebih senang membisu, tubuhnya lesu, otaknya buntu, hatinya pilu. Dan, dari semalam juga perutnya sebu, sebutir nasi pun tidak lalu, seteguk air juga tidak diperlu. Pasti ibunya bimbang tapi…



'Iman… be my wife?'

'Iman… be my wife?'

'Iman… be my wife?'

'Iman… be my wife?'

'Iman… be my wife?'



Hanya sebaris ayat itu yang kini rancak bermain di benaknya, berulang-ulang, betul-betul menghantui, menghambat diri, merantai kaki, langsung tidak memberi peluang untuk dirinya bebas berlari mahu pun mewarnai hari. Sudahnya, Iman bagaikan orang yang kebingungan, hanya baring terlentang, terkebil-kebil memikirkan keadaan dirinya.



"Ya Allah, kalaulah waktu boleh diundur kembali…"



Ya, kalau waktu boleh diundur sudah pasti dia menjadi manusia paling gembira. Akan disambut lamaran Ismail di awal waktu perkenalan mereka atau paling tidak pun di antara beberapa lamaran yang datang selepas itu. Tapi, dia pantas dan dengan senang hati saja menolak. Mengapa? Ah, betapa ceteknya fikirannya saat itu. Iman menelan liur. Pahit sekali.



"Aina, keluar makan sayang… dari semalam lagi Aina tak makan. Ibu bimbang sayang. Aina…" Terdengar suara Pn. Hasnah dari luar bersama ketukan kecil di pintu.



Orang tua-tua kata, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata inilah padahnya. Menolak lamaran orang tersayang lagilah haru jadinya, merana macam dirinya! Dan, orang muda-muda pula kata, kalau nasi sudah pun menjadi bubur, walau ditambah secupak beras tidak akan sempurna menjadi butiran nasi. Mahu tidak mahu ditelan saja walau pekat dan likatnya tidak menepati citarasa. Tapi, dia memang sukakan bubur nasi, hari-hari kalau boleh hendak menikmati hidangan itu. Ah, yang pentingnya, kalau benarlah masa itu boleh diundur… Sekali lagi Iman terpaksa menelan liur, sedar yang hal yang satu itu tidak mungkin terjadi!



"Aina, Ismail pun ada kat luar ni. Dia datang nak jumpa Aina, keluar ya sayang." Sambung Pn. Hasnah lagi.



"Hah Ismail??? Apa dia buat dekat sini bu?"



Tiba-tiba Iman berasa pelik. Mengapa pula ibunya membenarkan lelaki itu datang berkunjung ke rumah mereka. Bukankah dia bertunangan dengan anak sedara Pak Samad bukannya bertunangan dengan anak Pak Ibrahim itu! Sepatutnya ibu mengundang tunangannya, bukan lelaki itu, bukan!!!



"Ismail datang nak jumpa Aina. Aina keluar ya, ada sesuatu yang ibu dan Ismail nak bincangkan dengan Aina, penting sangat. Keluar ya sayang." Pujuk Pn. Hasnah lagi.



"Aina tak perlukan dia bu, kalau penting pun untuk apa berbincang dengan dia, dia bukannya tunang Aina, dia bukannya sesiapa pada Aina. Aina tak mahu jumpa dia bu, Aina tak mahu." Balas Iman pantas.



Pn. Hasnah hanya mampu menjungkit bahunya tatkala Ismail merapati dirinya di muka pintu bilik Aina yang terkunci rapat. Sungguh, Pn. Hasnah sudah kehabisan idea untuk memujuk anak gadisnya itu. Selalunya Aina tidak akan berdegil begini, hati itu mudah saja dipujuk, pasti ada sesuatu yang tidak kena. Dan, Pn. Hasnah amat mengerti apa yang membuatkan anak gadisnya mengunci diri semenjak malam semalam lagi. Segalanya sudah dijelaskan oleh Ismail. Sebagai ibu dia dihujani rasa bersalah yang amat namun, apa yang dia lakukan semuanya adalah untuk kebaikkan Aina juga.



"Cuba Ismail pula yang pujuk Aina, ibu ke dapur sekejap. Kalau Aina tidak mahu makan, kita berdua saja yang makan. Angin dia belum ok lagi tu. Kalau kena caranya sekejap saja dia mengikut kata kita. Ismail kena banyak bersabar ya." Ujar Pn. Hasnah seraya berlalu ke ruang dapur.

"Baiklah bu."



Ismail merenung lama pintu bilik yang terkunci rapat itu. Entah apa yang sedang dibuat oleh Iman di dalam agaknya. Menangiskah gadis itu? Menurut Pn. Hasnah, Iman mengunci diri sekembalinya dari majis hari lahir Amira lalu, tanpa berlengah dia datang berkunjung dan kini sudah pun terpacak di rumah ini. Ismail sedar semuanya adalah kerana dirinya, dia dihambat resah namun dia punya alasan untuk semua itu.



"Iman, keluar sayang… ada sesuatu yang saya nak cakap dengan awak ni. Kita perlu duduk berbincang, banyak perkara yang saya hendak terangkan dengan awak. Lagipun, awak belum makan dari semalam lagi, jangan begini, nanti kalau awak jatuh sakit macam mana? Iman…" Pujuk Ismail panjang lebar.



Senyap langsung tiada balasan. Iman diam tidak menjawab.



"Iman, kesian dekat ibu, ibu bimbang sangat. Ibu masakkan awak gulai sembilang tau, saya ada petik ulam raja tadi, mesti sedapkan. Kita makan sama-sama, ya? Ibu kata, awak yang tanam…"

"Hei, dia ibu saya, bukan ibu awak, tahu?" Terdengar bantahan Iman dari dalam. Ismail tergelak kecil.

"Yalah, yalah, ibu awak, saya tahu itu. Tapi… ibu awak akan jadi ibu saya jugak, tahu?" Balas Ismail pula.

"Huh, jangan nak perasan! Sekarang awak pergi balik. Saya tak perlukan awak di sini. Segalanya sudah saya jelaskan semalam. So, apa lagi yang awak nak?" Tingkah Iman, dia mula bersandar di sebalik pintu.

"Saya nak awak dan saya nak awak keluar makan. Saya akan balik tapi, awak kena janji dengan saya dulu. Janji ya?" Kata Ismail.

"Saya tak nak awak! Saya tak mahu makan! Awak peduli apa!" Jawab Iman pantas.

"Iman, please… jangan degil sayang… kalau bukan kerana saya pun makanlah kerana ibu awak, atau… kerana tunang awak. Janji?" Pinta Ismail.



Senyap. Ismail mengetuk-ngetuk perlahan pintu bilik Iman. Bermacam irama terhasil dipendengaran Iman hasil dari ketukan bertalu-talu dan berlagu-lagu itu. Sesekali irama tabla juga berkumandang. Begitu membingitkan telinga!



"Iman… janji?" Tuntut Ismail lagi, ketukan di pintu tidak dihentikan malah semakin rancak dan kuat.

"Iman… selagi awak tak jawab, saya akan tetap berdiri dekat pintu ni dan selagi itu saya akan ketuk pintu bilik awak ni. Biar pintu ni pecah, biar tangan saya berdarah pun saya sanggup, tahu?" Ugut Ismail. Irama tabla semakin dirancakkan.

"Nak pecah ke nak berdarah ke, saya peduli apa!" Balas Iman setelah agak lama mendiamkan diri.

"Ok, saya pun tak peduli! Iman… awak ada apa-apa permintaan lagu tak? Lagu Tamil ke? Lagu hindustan ke? Lagu Spanish ke? Lagu…"

"Ada!" Pintas Iman.

"Apa dia?"

"Pulanglah!!! Atau dalam erti kata lain, pergilah balik, B.A.L.I.K, balik! Faham?" Kasar sekali intonasi suara Iman di sebalik pintu itu. Ismail terkedu.

"Oh, ok. Tapi… awak kena janji dulu. Iman, janji ya?" Pinta Ismail pula.

"Erm…"

"Janji?" Ulang Ismail.

"Ok."

"Janji?" Ulang Ismail sekali lagi, dia tidak puas hati selagi Iman tidak mengeluarkan kata janji.

"Iyalah-iyalah, saya janji! Tapi, bukan kerana awak, saya makan kerana ibu saya. Dan, saya juga makan kerana tunang kesayangan saya, tahu?" Ujar Iman sengaja cuba menyakiti hati Ismail.

"Ok." Sambut Ismail senang hati.



Ismail mula mengorak langkah namun, tiba-tiba dia berpatah kembali. Sekali lagi pintu bilik Iman di ketuk perlahan berselang-seli dengan panggilan nama gadis itu. Sampai ketukan yang ke sepuluh barulah ada balasan dari Iman.



"Ya Allah Ismail… apa lagi ni, nak apa ni?"

"Iman, betul ke awak sayangkan tunang awak tu, hmm?" Tanya Ismail.

"Yang awak sibuk sangat ni kenapa, hah?" Iman berang.

"Betul?"



Diam, senyap, sunyi, sepi di pihak Iman. Tapi, Ismail masih sabar menanti, pintu sekali lagi diketuk-ketuk perlahan kerana dia tahu Iman masih bersandar di muka pintu itu.



"Iman, betul?"

"Erm."

"Betul?"

"Eh, betullah! Saya sayang dia, saya cintakan dia, puas hati?" Jerit Iman kuat.

"Erm, baguslah. Saya pun sayangkan awak. I love you too." Bisik Ismail perlahan, rapat sekali di permukaan pintu bilik Iman dan dia pasti gadis itu dapat mendengarnya.

"Hei jangan mimpilah! Perasan!" Jerit Iman lagi kuat dari tadi.



Ismail sedikit pun tidak terasa hati dengan kata-kata Iman itu malah, dia cepat-cepat berlari ke dapur untuk segera menghamburkan ketawa yang disimpan sedari tadi. Pn. Hasnah yang masih sibuk menyiapkan hidangan memandang pelik. Namun, lambat-lambat dia pun turut ketawa sama, mengekek-ngekek, berdekah-dekah mengalahkan Ismail sendiri.



"Ibu, Ismail kena balik dululah. Nanti bertambah marah pulak anak dara ibu kat dalam bilik tu. Sekejap lagi mesti dia keluar makan, Ismail pasti!" Ujar Ismail setelah keadaan kembali reda.

"Lah, kenapa pulak. Oh, ibu faham, ibu faham. Tak mengapa, ibu tapaukan lauk untuk Ismail ya. Umi Ismail ada kat sini lagi kan? Nanti ibu tapaukan banyak sikit. Tinggal berdua saja takut tak habis, membazir pulak nanti. Si Aina tu bukannya banyak sangat makannya, kalau ibu tak paksa tambah, sejemput tu ajerlah yang dimakannya." Balas Pn. Hasnah.



Sudahnya, Ismail berlalu pulang dengan hati yang sedikit walang. Namun, dia tidak perlu bimbang, esok dan lusa akan dimanfaatkan sebaik-baiknya. Biar keadaan sedikit reda barulah Ismail akan kembali memujuk Iman. Gulai sembilang di tempat duduk sebelah dijeling geram, aroma itu begitu menusuk hidungnya, betul-betul buat Ismail jadi tidak sabar untuk sampai ke rumah Kak Longnya. Pasti uminya suka, gulai sembilang orang Johor ni memang kesukaan wanita itu dan dirinya sendiri.

No comments:

Post a Comment