Thursday, September 23, 2010

Badai Pasti berlalu - 45

Iman membuang pandang ke sisi, tubuh Ismail ditolak menjauh, hatinya tidak keruan tatkala wajahnya masih menjadi ratapan sepasang mata hitam milik lelaki itu. Sudahlah seketika tadi nafasnya sesak akibat dipeluk kejap oleh lelaki itu. Dan kini, tangan Ismail pula kembali mencengkam kuat pergelangan tangannya, sedikit pun tidak mahu dirungkaikan. Iman sudah berusaha, merentap dan meronta, cuma belum menggigit saja! Tangannya sudah pun merasakan kesakitannya namun, sedikit pun tidak diendahkan oleh Ismail. Lelaki itu lebih rela membekukan diri, membisukan mulutnya. Hanya matanya yang memainkan peranan, memandang redup, merenung dalam. Iman benar-benar penasaran!



Beberapa minit kemudian, Iman bagaikan baru tersedar. Dia tidak boleh tenggelam, dia tidak tahu berenang walau dia sendiri tahu betapa indahnya dunia ciptaan Ismail itu. Nafasnya sesak untuk mengapungkan diri, hatinya merintih pedih untuk sama-sama menikmati keindahan itu. Iman tiba-tiba dikurniakan kekuatan, wajahnya segera didongak, renungan mata hitam Ismail ditentang tajam. Iman sudah lama lemas dengan keadaan ini, kebenaran akan segera disingkap. Ya, dia benar-benar sudah bersedia untuk memberitahu Ismail akan perkara yang sebenar.



“Ismail… sebenarnya memang saya sudah...” Nafas dihela panjang.

“Oh, jadi inilah hal yang awak nak cakap dengan saya hari tu ya? Siap minta saya lupakan awak lagi. Sampainya hati awak. Apa istimewanya dia? Apa kurangnya saya?” Pintas Ismail bagaikan orang yang rajuk hati.



Iman menggeleng. Tiada istimewanya ‘dia’ dan tiada kurangnya lelaki itu. Malah, hanya nama lelaki itu yang terukir kukuh di hatinya. Hanya lelaki itu yang bisa menggetarkan naluri cintanya, hanya cinta lelaki itu yang menjalari urat sarafnya. Hanya kasih lelaki itu yang menjadi dambaan pilu bagi dirinya. Tapi…



“Cakap Iman! Kenapa?” Tingkah Ismail kuat. Bahu Iman di goncang-goncang.

“Errr… saya…”

“Saya yang banyak kali melamar, awak tolak mentah-mentah, Tak bersedialah, takutlah, itulah, inilah, banyak sangat alasan! Tapi, orang tu melamar sekali ajer awak terus terima ya, Iman? Puaslah hati awak sekarang, kan?” Tanya Ismail geram. Wajahnya tegang sekali.

“Ismail, saya…”

“Saya yang separuh mati cintakan awak, sayangkan awak, pagi petang siang malam rindukan awak, awak pulak senang-senang terima cinta orang lain. Saya yang makan tak lalu, mandi tak basah, tidur tak lena teringatkan awak, lelaki tu yang awak akan jadikan suami. Apa awak ingat cinta saya ni cinta monyet! Hei, monyet pun kalau bercinta, dia setia sampai mati, awak tahu tak?” Bebel Ismail sesedap rasa.

“Ismail, saya…”

“Saya kecewa awak tahu tak? Agaknya memang awak tak cintakan saya, cinta awak tu cinta palsu! Awak tak ikhlas mencintai saya! Awak memang sengaja hendak memperma …”

“Ismail! Dengarlah dulu apa yang saya nak cakapkan ni! Jangan nak tuduh sembarangan saja!” Bentak Iman kasar.



Iman geram sedari tadi lelaki itu asyik memotong percakapannya. Siap kait-kaitkan dengan monyet! Monyet bercinta dia orang punya pasallah! Apa kena mengena dirinya dengan binatang tu pulak! Dan, dia lebih geram lagi tatkala Ismail mempersoalkan cinta sucinya untuk lelaki itu. Pasti lelaki itu menganggap dirinya perempuan yang mudah menggadai cinta! Sungguh! Dia aib memberitahu perkara tu kepada Ismail. Dia cintakan lelaki itu tetapi dia menerima orang lain. Dia sedih kerana tidak kuat untuk mempertahankan cintanya terhadap Ismail. Iman mengambil tempat duduk kembali, badannya tiba-tiba terasa lemah, semangatnya hilang sebaik mendengar tuduhan Ismail itu.



Ismail terdiam. Wajah Iman yang sekali lagi berubah warna di pandang tajam. Riak tegang itu langsung tidak menggentarkan malah, dia lebih sukakan mimik yang terukir itu!



‘Huh, tahu pun awak marah ya Cik Iman sayang… itulah yang saya rasa bila awak sedikit pun tak mahu dengar apa yang hendak saya katakan tadi. Sekarang ni rasakan! Awak nak marah saya? Marah monyet? Marahlah, saya tak kisah pun. Awak tahu marah awak saja, marah ‘Abang’ awak ni awak tak tahu lagi. Mari kita sama-sama berlaga, kita tengok siapa yang akan menang nanti. Huhuhu, tapi walau apa pun, saya tahu, hanya saya yang akan menang Cik Iman sayang, buah hatiku intan payung…!’



“Ismail, saya tak tahu nak buat macam mana. Saya buntu memikirkan kehendak ibu, saya… saya terpaksa, maafkan saya Ismail…” Iman sudah mula menitiskan airmata.

“No! Begitu mudah! Awak ingat saya ni apa??? Patung? Batu? Tunggul? Tak ada perasaan???” Tingkah Ismail.

“Maafkan saya, maafkan saya Ismail… saya terpaksa Ismail…” Iman mula menangis perlahan.

“Terpaksa? Kalau terpaksa pun janganlah buat saya macam ni! Kenapa tak berbincang dengan saya dulu, kenapa mesti buat keputusan melulu begitu? Apa saya ni tak bererti langsung pada awak, begitu?” Ismail masih pura-pura tidak faham.

“Ismail… saya…” Iman mengaduh lemah.

“Saya apa, hmm? Saya yang dikecewakan, begitu? Ceritakan pada saya, cepat!” Ujar Ismail seraya merapati Iman yang bungkam. Iman menjeling Ismail sekilas, geram disindir begitu!



Dalam sendu Iman menceritakan apa yang terjadi kepada Ismail. Bermula dari pinangan Pak Samad dan Makcik Zabedah untuk anak saudaranya beberapa minggu yang lalu, permintaan dan kata dua dari ibunya, pilihan yang dia ada sehinggalah kepada majlis yang bakal berlangsung pada penghujung tahun ini. Ismail tekun mendengar, tidak sedikit pun lelaki itu mencelah luahan hati seorang Iman. Sesekali terukir senyuman kecil di bibir merah Ismail dan setiap kali itu juga Iman akan mengeluh resah, tidak berperasaankah lelaki itu?



“Apa pilihan yang saya ada Ismail? Sungguh, saya buntu saat itu. Saya rasa bersalah sangat dengan awak. Maafkan saya, maafkan saya…” Rintih Iman perlahan.



Ismail terus merenung wajah gundah di sebelahnya. Oh, jadi inilah penyebab emosi gadis itu tidak menentu semenjak akhir-akhir ini. Patutlah bila dia telepon tak jawab, cakap pun acuh tak acuh saja. Sudah ada buah hati baru rupanya. Sudah bertunang dan bakal menjadi milik seseorang rupanya. Siapalah gerangannya lelaki yang bertuah itu? Ah, sudah gaharu cendana pula… Ismail mengukir senyuman, sembunyi-sembunyi, takut diketahui oleh gadis yang masih bersedih itu.



“Hei, janganlah menangis, buruk tahu tak, macam budak kecil saja.” Tegur Ismail. Perlahan Ismail mendongakkan wajah Iman yang sudah pun rambah dek airmata. Ingin diseka tapi Iman pantas menghalang.

“Jadi, sekarang ni awak nak saya jadi hero untuk selamatkan awaklah ya, hmm? Awak nak saya jadi siapa? Superman? Spiderman? Atau Doraemon barangkali? Mana satu yang sesuai untuk bawa awak lari agaknya ya?” Tanya Ismail selamba.

“Bukan, bukan itu maksud saya. Ismail, awak berhak untuk mendapat gadis yang lebih baik dari saya Ismail. Mungkin antara kita sememangnya tiada jodoh, saya redha, semuanya sudah ditakdirkan. Tapi, kita masih boleh berkawan, kan?” Iman tersenyum pahit, airmata yang menitis segera diseka dengan jarinya.



Sungguh, dia tidak minta lelaki itu untuk menyelamatkan dirinya. Dia cuma mengharapkan kemaafan dan pengertian dari Ismail, itu saja. Iman tidak mahu terusan diselubungi rasa bersalah. Sungguh, dia tidak boleh hidup dengan cara begitu. Bahagia bukan untuknya andai ada hati yang terluka. Iman pasti lelaki itu pasti terluka namun, ego seorang lelaki masih mampu menutupi kegundahan hati Ismail saat itu. Atau, mungkinkah dia sendiri yang tersilap membuat tafsiran?



“Iman, Iman… macam manalah awak nak jadi isteri saya kalau awak suka buat muka buruk macam tu, menangis tak sudah-sudah. Apek kat pasar borong pun tak nak, awak tahu tak. Entah apa yang di pandang anak sedara Pak Samad tu pun saya tak tahulah…” Ujar Ismail tenang sekali.



Airmata Iman yang laju menitis dikesat dengan jarinya perlahan. Sungguh! Ismail sudah tidak tahan melihat kesedihan yang jelas terukir di wajah polos Iman. Rembesan airmata Iman begitu menyentuh naluri lelakinya. Tapi, entah mengapa dia bagaikan sukar untuk menghentikan usikan, masih juga ingin menduga kesabaran Iman. Alah, bukan selamanya, hanya untuk malam ini saja!



“Ismail… sampai hati awak…”

“Iman sayang… be my wife?” Bisik Ismail romantis.



Iman terpana. Biar benar! Lelaki itu sudah gila agaknya. Apa dia ingat dengan mudah dirinya memutuskan tali pertunangan dengan… ah, dia pun tak tahu nama tunangan sendiri. Biar pun hampir dua minggu majlis kecil-kecilan itu berlangsung namun, Iman masih tidak mengenali gerangan tunangannya itu. Hanya Pak Samad dan Makcik Zabedah yang dikenalinya dari pihak lelaki. Cincin di jari manisnya diputar-putar perlahan. Kalau diikutkan hati, mahu saja dilucutkan dan dengan segera menerima lamaran dari Ismail itu. Namun, akal warasnya membantah keras. Dia manusia, tunangnya juga manusia lalu dia perlu saling memahami perasaan orang lain.



Tanpa sebarang kata Iman pantas meninggalkan Ismail di situ. Perlahan dia menyusup keluar secara senyap-senyap. Sungguh, dia tidak boleh berlama lagi di situ, luka di hatinya semakin parah!



No comments:

Post a Comment