Monday, September 20, 2010

badai Pasti berlalu - 43

Iman mengenakan sepasang kurung berwarna hitam bercorak abstrak berwarna merah jambu, wajahnya di solek nipis, rambut ikal potongan layered di biarkan terurai bebas. Dua ekor kelip berbentuk rama-rama menghiasi rambutnya. Penampilannya nampak begitu ceria sebagaimana layaknya majlis yang sedang berlangsung di sekelilingnya ketika ini. Ya, dia nampak gembira di mata para tetamu majlis hari ulang tahun Amira. Bibirnya tidak henti mengukir senyuman pada bibir yang melemparkan senyuman, wajahnya memancar ceria pada mata yang memandang. Namun, semua itu hanyalah lakonan semata. Ah, betapa hipokritnya dia! Tapi, Iman tidak dapat mengelak, perasaannya gundah, bagaikan ada satu beban yang menghempap kepala, rasa kesal yang merantai hatinya.



Sehingga hari ini, Iman masih belum berkesempatan untuk memberitahu Ismail Syafiq akan hal yang sebenar. Semenjak kejadian minggu lalu, masing-masing menyepikan diri. Keterlaluankah dia? Iman dibalut rasa bersalah, hatinya kesal kerana tidak menerangkan sebab sebenar meminta lelaki itu melupakan dirinya. Membayangkan wajah Ismail petang itu membuatkan Iman kegelisahan. Pandangan sayu mata lelaki itu begitu meruntunkan jiwanya. Tapi, bukankah itu yang dia mahukan, lalu, untuk apa dia perlu menyesal?



Mata Iman leka memerhati sekumpulan anak kecil yang sedang bermain di sudut taman rumah banglo sedehana besar itu. Suasana riuh dan kemeriahan yang dicetuskan oleh mereka membuat Iman sedikit teruja. Sebentar tadi dia sudah pun diperkenalkan dengan mereka oleh Amira. Tanpa sedar Iman mengorak langkah mendekati kumpulan itu. Ada sesuatu yang mendorong, menarik minatnya untuk segera ke arah itu. Anak-anak kecil itu seakan sedang bergaduh, mengusik dan saling menyalahkan antara satu sama lain.



"Auni, kenapa menangis sayang? Siapa yang usik Auni?" Tanya Iman lembut sebaik mendapatkan anak kecil yang sedang menangis itu.

"Shafie yang tolak Baby Auni sampai jatuh tadi, Kak Aina." Husna pantas menjawab bagi pihak Auni. Iman mencari wajah Shafie.

"Bukan Shafie sorang yang tolak Baby Auni, Milly pun sama tadi, Kak Aina." Jawab anak lelaki berusia 5 tahun itu.

"Husna nampak Shafie yang tolak Baby Auni tadi, bukannya Milly." Balas Husna tidak mahu kalah.

"Betul ni Shafie yang tolak Baby Auni?" Tanya Iman.



Wajah Shafie merah menahan tangis. Iman tersenyum dalam hati. Dia mengangkat Auni, duduk meriba anak kecil itu di kerusi yang ada di sudut taman itu. Siapalah dia untuk menghukum anak kecil yang barangkali bersalah itu. Luka di kaki Auni di belek, sedikit darah mengalir keluar, anak kecil itu masih lagi menangis kesakitan. Pujukkan Iman tidak mampu menghentikan tangisan anak kecil itu. Apa yang harus dia lakukan?



"Auni, jangan menangis, diam ya sayang. Nanti Kak Aina ubatkan luka Auni ya, Auni…" Iman masih berusaha memujuk.

"Hah, tu pun Papa Is. Husna nak cakap kat Papa Is, Husna nak suruh Papa Is marah Shafie." Husna tiba-tiba mencelah.

"Husna, ja…" Iman cuba menghalang namun tidak sempat.

"Papa Is, tadikan… Shafie tolak Baby Auni sampai jatuh. Lutut Baby Auni luka, Papa Is." Husna mengadu kepada seseorang yang di panggil 'Papa Is'.

"Milly pun sama Papa Is, bukan Shafie seorang aje." Tambah Shafie pula.



Iman segera mengekori pandangan mata Husna kepada seseorang yang di maksudkan sebagai 'Papa Is' di belakangnya. Mulutnya sedikit ternganga. Ah! Lelaki itu. Kenapa dia berada di sini? Dan kenapa anak-anak kecil ini memanggilnya Papa Is. Apa hubungan anak-anak kecil yang berempat ini dengan diri lelaki itu? Siapa pula Amira? Iman tiba-tiba terfikirkan sesuatu. Dia mula mendapat jawapan untuk setiap persoalan yang bermain di benaknya, semuanya terlayar kembali, satu persatu, berturut-turut, berulang-ulang, begitu menyesakkan dadanya. Tiba-tiba tubuh Iman bergetar, geram. Tiba-tiba hati Iman berdenyut, sakit.



Iman memandang tajam kepada lelaki yang kini telah pun berada di depannya, duduk bertinggung lutut memeriksa luka kecil di lutut Auni yang berada di ribaannya. Wajah itu kelihatan selamba, sedikit pun tidak memaparkan riak terperanjat mahupun rasa bersalah. Sempat lagi lelaki itu melemparkan senyuman manis kepada dirinya. Iman menarik wajah tegang, hatinya berdenyut kembali, tingkahnya berubah kaku, lidahnya kelu.



"Shafie, Milly, both of you come here. Husna, you too." Arah 'Papa Is' serius.

"Cakap dengan Papa Is, kenapa Shafie dengan Milly tolak baby Auni? Tengok, sekarang apa dah jadi dengan lutut Baby Auni, berdarah kan? Dah banyak kali Papa Is pesan, jangan suka bergaduh tapi, semua tak nak dengar ya. Nak Papa Is cakap dengan Baba Shafie ke, hmm?" Marah 'Papa Is' lagi.

"Tapi Papa Is… Shafie …Shafie…" Kemarahan lelaki itu benar-benar membuatkan anak kecil itu ketakutan.

"Shafie apa?" Soal Ismail, sekilas dia melirik ke arah Iman lalu mengenyit mata nakal. Iman mencebik bibir.

"Shafie tak sengaja, Shafie ter… tertolak aje, kan Milly, kan?" Laju Shafie berkata. Milly di sebelahnya mengangguk laju.

"Betul ni 'ter' bukan sengaja?" Tanya Ismail meminta kepastian.

"Betulll Papa Isss... Kenapa tak percaya?" Jawab Shafie dan Milly berlagu panjang.



Shafie dan Milly tersengih memandang lelaki yang di panggil Papa Is itu. Ismail maintain serius sedangkan di dalam hati bagaikan ingin meledak ketawanya dengan telatah lucu anak buahnya yang berdua itu. Iman tersenyum kecil melihat gelagat mereka. Anak kecil memang begitu, ada saja helah mereka untuk melepaskan diri. Dia kembali serius tatkala 'Papa Is' menjeling sekilas ke arahnya. Namun, jelingan itu tidak sedikit pun melenyapkan api kemarahan yang kini memenuhi hatinya sebaik teringatkan tipu muslihat lelaki itu selama ini.



"Ok, now minta maaf dengan Baby Auni cepat. Lain kali jangan buat lagi, faham tak?" Pesan lelaki itu lagi, lebih lembut dari tadi. Auni tertawa kecil apabila Shafie dan Milly menghulurkan tangan kepadanya dan berlalu dari situ.

"Oh, Auni suka ya Papa Is marah Shafie dengan Milly. Sini, kiss pipi Papa Is cepat." Usik lelaki itu seraya mengambil Auni dari ribaan Iman.



Iman bangun, dia ingin segera berlalu dari situ tapi, lelaki itu lebih pantas bertindak, laluannya di halang, tangannya di cengkam erat, sedikit pun tidak memberi peluang untuk Iman melepaskan diri. Sudahnya, dia berdiri kaku di sisi lelaki itu.



"Terima kasih Kak Aina." Ucap Auni. Dalam kemarahan Iman berusaha menghadiahkan sebuah senyuman untuk anak kecil itu.

"Bukan Kak Aina tapi, Mama Iman sayang. Mama Iman, ok?" Ajar Ismail pada Auni yang masih dalam dukungannya.

"Jangan nak perasan!" Tingkah Iman, suaranya di tahan.

"Bukan perasan tapi kenyataan sayang..." Bisik Ismail selamba di telinga Iman.



'Antara kita sudah tiada apa-apa lagi Ismail! Diri saya adalah milik orang lain. Hujung tahun ini kami akan berkahwin!'



Ingin saja Iman meluahkan kata-kata itu, melepaskan apa yang ada di dadanya saat itu. Dia tidak mahu terusan membohongi lelaki itu, apatah lagi mewujudkan perpisahan yang tidak bersebab. Iman kembali bungkam di kerusi batu, wajahnya memandang sekeliling, tempat itu agak terlindung dari ruang majlis.



"Mama Iman, Mama Iman marah Papa Is eh?" Bibir mungil Auni bertanya. Iman tersenyum hambar. Pandangan redup Ismail tidak diendahkan.

"Papa Is, Papa Is pujuklah Mama Iman cepat." Comel aje bibir Auni berbicara.

"Papa Is pulak? Auni lah yang pujuk Mama Iman untuk Papa Is, boleh?" Ismail mengerutkan mukanya. Sekilas dijelingnya wajah Iman yang semakin cemberut masam. Alamak!

"Ala… Papa Is lah, Mama Iman kan makwe Papa Is, cepatlah Papa Is… tengok, Mama Iman dah nak nangis tu." Tutur Auni, bibirnya memuncung ke arah Iman.



Ismail memandang ke arah Iman yang tunduk merenung rumput. Dia tahu gadis itu benar-benar sedang marah, rona yang memancar di wajah polos itu menggambarkan segala yang ada di dalam hati Iman saat itu. Perlahan-lahan Ismail mengatur langkah menghampiri Iman, dia berdiri tegak di hadapan Iman yang masih menyembunyikan wajahnya dari pandangan mata hitamnya. Susuk gadis itu diamati lama. Kalau ikutkan hati mahu saja Ismail membawa tubuh itu ke dalam pelukannya, meleraikan rindunya sekalian mengusir kemarahan yang bersarang di dalam jiwa yang satu itu.



"Cepatlah Papa Is, kesian kat Mama Iman. Papa Is tak sayang Mama Iman ya?" Auni di dalam dukungannya membisikkan sesuatu di cuping telinga Ismail.

"Sayang, Papa Is sayang sangat tau. Tapi, macam mana Papa Is nak pujuk, Auni menyibuk aje kat sini, kacau daun betul!" Bisik Ismail pula, Auni tertawa mengekek.



"Iman sayang… maafkan saya. Saya akan terangkan segalanya selepas majlis ini nanti, ok? Sekarang ni, jom kita masuk ke dalam dulu. Mari sayang." Pujuk Ismail, tangan Iman dicapai lembut. Iman pantas menarik kasar tangannya.

"Iman… masih marah saya ya, hmm?" Tanya Ismail sekali lagi. Auni di letakkan di antara mereka. Terkebil-kebil anak kecil itu memandang mereka berdua.

"Taklah. Sakit hati, geram, bengang aje!" Jawab Iman selamba. Dia bingkas berdiri melangkah ke sudut taman.



Iman menarik nafas panjang, cuba meredakan perasaannya. Lelaki itu pula duduk bergurau dengan si kecil Auni yang keletah dan manja, membiarkan Iman melayan perasaan di sudut taman itu. Tanpa sedar, Iman lupa akan satu hakikat. Siapa dia sebenarnya untuk memarahi lelaki itu? Apa haknya ke atas lelaki itu? Tapi, hatinya sakit, bengang dengan pembohongan Ismail itu walau di antara mereka mungkin sudah tiada apa-apa hubungan yang serius. Dia tidak marahkan Amira kerana Iman pasti gadis itu hanya menurut kata lelaki itu.



"Iman…" Panggilan Ismail menyapa cuping telinganya perlahan.

"Ismail, sampai hati awak mempermainkan saya, awak tipu saya. Saya rasa di perbodohkan awak tahu tak! Rupa-rupanya selama ini awak dengan Mira berpakat untuk…" Iman kematian kata-kata.

"Untuk apa sayang?" Tanya Ismail sambil cuba meraih pinggang ramping Iman tapi di tepis kasar oleh gadis itu. Ismail ingin memujuk tapi nampaknya Iman benar-benar sedang marah.

"Jangan nak bersayang-sayang dengan saya, antara kita sudah tiada apa-apa lagi, dasar penipu!" Tingkah Iman, tubuh Ismail ditolak ke tepi, dia mula menjauhi lelaki itu.



Tubuh Ismail terdorong ke belakang hampir saja terjatuh namun, dia masih mampu mengimbangi badannya untuk terus berdiri. Ismail masih boleh tersenyum dan dia masih boleh bersabar dengan perbuatan Iman itu. Ismail pasti, kemarahan gadis itu tidak akan ke mana dan, dia sendiri akan terusan memujuk. Kemarahan tidak boleh diadukan dengan kemarahan, itu pesan uminya sebentar tadi. Tapi, tengoklah macam mana nanti. Selagi boleh bertahan, dia akan bersabar.



"Iman, dengar du…"

"No, tak payah! Saya sudah tahu segalanya. Awak memang penipu!" Bantah Iman seraya menutup kedua-dua telinganya.

"Iman, please sa…"

"No!!! Saya tak mahu dengar apa-apa lagi. Awak tak faham ke?" Tingkah Iman.

"Iman, awak kena dengar dulu penjelasan saya ni. Lepas tu kalau awak nak marah pun marahlah. Bukan maksud saya nak me…"

"Ah, awak memang penipu! Awak memperbodohkan saya! Pergi, pergi jangan dekati saya! Penipu!" Jerit Iman agak kuat sekalian mematikan langkah Ismail.

"Hei! Kenapa awak ni degil sangat hah??? Susah sangat ke awak nak dengar apa yang saya nak cakapkan ni! Kepala batu betul!" Marah Ismail. Ismail jadi berang dengan kedegilan Iman saat itu.

"What? Saya degil? Kepala batu? Oh..."

"Arghhh!!! Dasar perempuan!" Tempik Ismail lantang sekali. Wajahnya merah, tegang menahan kemarahan.



Iman terpana dengan tempikan Ismail itu. Tubuhnya menggeletar menahan rasa. Dia sama sekali tidak menyangka yang Ismail akan mengeluarkan kata-kata yang sebegitu ke atas dirinya. Iman pantas memandang sekeliling, mujur juga suasana sedikit hingar dengan dendangan lagu karaoke dari tetamu Amira. Iman terduduk lemah, lega kerana pergaduhan mereka tidak didengari oleh orang lain. Tapi, bagaimana dengan... Auni? Ya Auni. Ah, bagaimana dia boleh tidak menyedari wujudnya anak kecil itu di antara mereka berdua. Pantas Iman memandang ke arah Auni, anak kecil itu kelihatan benar-benar takut, airmata sudah pun merembes keluar.



"Ya Allah, Auni sini sayang, maafkan Kak Aina. Jangan menangis ya." Pujuk Iman. Tubuh kecil itu dibawa dalam pelukannya.

"Auni takut… Papa Is marah…"

"Auni tak perlu takut, Kak Aina ada. Jom, Kak Aina hantar Auni masuk dalam jumpa mama. Mari sayang." Pujuk Iman. Tubuh Auni segera didukung. Dia menghampiri Ismail, seketika dia hanya mampu merenung wajah Ismail. Nafas ditarik panjang.

"Awak tunggu kat sini, saya ada sesuatu nak cakap dengan awak." Pesan Iman seraya mula mengorak langkah.


No comments:

Post a Comment