Monday, August 16, 2010

Milik Siapa Hati Ini

Boleh aku tanya satu soalan?" Hakimi memulakan bicara. "Hmm..." Aku mengangguk malas!

"Apa bezanya saya dan aku?"

"Ejaannyalah!" Pantas aku menjawab. Dia menggelengkan kepala. Tak setujulah tu! "Salah?" Aku menjegilkan mata tanda tidak puas hati. Kali ini aku mula berani menatap wajahnya. Not bad! Berkulit putih dan punya senyuman yang manis.

"Begini... saya pandai...," Hakimi memberikan jawapan. Aku yang sedikit kecoh, menyoalnya pula. Tak sabar langsung.

"Aku?"
"Bodoh!" Ya, Allah siang-siang dia kenakan aku. Benci!

Tiba-tiba bibirku terkunci. Suaraku tersekat di kerongkong! Selalunya aku pantang mengalah, tapi kali ni... aku seakan ketandusan idea. Kulihat Hakimi tersenyum memanjang. Bertambah bengkak hatiku!

Cepat-cepat dia memujukku; setelah menyedari aku tiba-tiba menjadi pendiam. Aku membiarkan dia terkulat-kulat menanti aku bersuara kembali. Yang pastinya, kerana soalan bangang itu.. aku menjeruk rasa. Dan pertemuan kali terakhir itu berakhir dengan rajukku yang tak berkesudahan.

***

"Tu dia... mengelamun lagi!" Ima menyondol bahuku. Pen yang aku pegang sejak tadi terlepas dari tanganku. Aku memandang sekilas ke wajahnya. Dan aku hanya mampu tersenyum pahit! Ingatanku terhadap Hakimi hilang begitu saja. Pen yang terjatuh di lantai ku kutip semula. Aku mengemas buku yang sememangnya sejak tadi tak sedikitpun ku korek isinya. Ah... segala-galanya kerana Hakimi!

Aku merebahkan diri di atas katil. Entah bila aku terlelap. Bila tersedar... azan subuh lunak berkumandang. Aku mula mengemaskan diri. Fail merah kuisi ke dalam beg. Aku perlu cepat. Ah! Kuliah Prof. Hussin lagi.

Hampir satu jam aku di bilik kuliah ini. Mataku masih terpaku ke wajah Prof. Hussin. Sekejap-sekejap, aku melirik ke jarum jam yang ligat berpusing. Ish!... bilalah kuliah nie nak habis? Aku menyeringai sendiri.

"Okey class, kuliah kita setakat nie jea... jangan lupa hantar assignment, sebelum 12.00 tengah hari... hari Isnin depan!" Kata-kata yang terpacul dari bibir Prof. Hussin mematikan lamunanku. Perlahan-lahan aku mengemaskan sedikit nota yang bagiku terlalu kreatif itu. Dewan kuliah menjadi bingit tiba-tiba. Masing-masing dengan hal sendiri. Aku mempercepatkan langkah. Sedikitpun tidak kuhiraukan 'Mat Tenggek' yang menjadi hobi mereka bertenggek di luar dewan kuliah. Muka seposen betul!

Hari ini kuliah statistik dibatalkan. Aku tak bercadang untuk terus pulang ke kolej. Mataku tertumpu ke arah sebuah bangku. Bolehlah aku duduk melepas lelah. Aku asyik memerhati rerama yang terbang berpasangan. Sama cantik sama padan. Aku mula memasang angan-angan. Sedar-sedar dah hampir dua jam aku menghabiskan masa di situ. Dengan agak malas aku meluruskan kaki. Badan ku pusingkan kekiri dan ke kanan. Lega sedikit... Langkah ku atur semula. Tiba sahaja di kolej, aku dihidangkan dengan assignment yang berlambak.. Pandangan tertumpu kepada tugasan Prof. Hussin. Segala-galanya perlu diselesaikan. Ah! Esok ada tutorial! Aku mengeluh kecil. "Wien, kau okey?" Ima menyapaku lembut. Aku berpaling dan menghadiahkannya senyuman. Ima memang kawan yang baik. Walaupun sedikit becok tapi berhati baik. Berkulit sawo matang dan bersusuk tinggi lampai. Dan aku hanya si cilik yang comel. Berlesung pipit dan punya senyuman yang manis. Chewah! Masuk bakul angkat sendiri plak!

Di sini aku cuba melukis cerita baru... nama baru dan orang baru. Ilhamshah! Berpangkat senior dan merangkap fasilitator 'minggu suai kenal'. Dan yang pasti, dia mengingatkanku dengan seseorang... Hakimi! Yah.. wajahnya saling tak tumpah. Aku hanya melihatnya dari jauh. Kalau bertembungpun, masing-masing buat hal sendiri. Bila berselisih aku tertunduk memanjang. Kalaulah di depan tu ada tiang... Buk! Bertelurlah dahi.Tapi aku tak dapat lupakan kali pertama dia menegurku. Masa tu aku dan Ima menghabiskan masa hampir sehari di kompleks Mines.

"Wien, tak main bowling?"

'Eh! Bila pulak dia tahu nama aku?' Aku berdialog sendiri. "Tak pandailah.. berat,"Aku berdalih.

"Lah..carilah yang ringan... Nie 8 paun jea,"Aku hanya menggelengkan kepala. Kalau boleh saat itu juga aku ingin melarikan diri... tak sanggup rasanya melihat lembut wajahnya. Dan yang paling penting; dia mengingatkanku pada Hakimi!

Aku berusaha melarikan anak mataku. Pandangan ku alihkan ke lantai. Ku biarkan dia dilanda kebosanan. Sekejap kulihat dia bersama semula dengan kumpulannya. Kekadang aku menyeranah dalam hati. Kenapa mesti wujud dua wajah yang serupa? Aku rimas! Serasakan dirinya memerhati setiap langkah yang kuatur. Ah! Nama Hakimi terlalu puaka bagiku.

Sayup-sayup suara Ima menerbangkan hayalanku. Dari jauh ku lihat senyumannya meleret. Ima semakin dekat. Sedang mulutnya berbunyi seperti bertih goreng.

"Cerpen kau keluarlah... hebat wui! Ini kisah benar ke?... Jangan-jangan kau dah ada buah hati tak? Tentu hensemkan?" Bertubi-tubi soalan Ima menerjahku. Sedang hatiku berbunga ceria. Sungguh tak kusangka cerpen picisanku dapat memikat majalah yang menjadi pujaan ramai itu. Bibirku menyanyi kecil. Gembira betul aku. Soalan Ima sedikitpun tidak terjawab. Takpelah Ima, sekejap nanti aku bagitau le kau!

Kutinggalkan Ima dengan soalannya. Berkali-kali aku membaca hasil tulisanku... Aku masih tak percaya. Kucubit pipi kanan. Aduh! Terasa sakit... Oh! Aku tak bermimpi rupanya. Majalah Remaja kesukaanku kubelek beberapa kali. Aku masih terpaku di ruangan yang paling kuminati. Ruangan cerpen! Tajuk cerpen itu ku baca beberapa kali. Milik siapa hati ini... Yah, milik siapa hatiku?Yang pasti ia masih kututup rapi. Buat Hakimi atau sesiapa saja. Majalah kesayanganku kuletakkan di atas meja. Sebelum kuatur langkah ke beranda, sempat tanganku menekan punat radio.

Dendangan lagu yang diputarkan mengusik danau hatiku. Malah, rindu ini telah lama membengkak. Lagu 'Desa tercinta', dendangan penyanyi Nora. Bagaimana agaknya wajah desa yang ku tinggalkan? Rindu benar rasanya hendak meredah hutan kecil di belakang rumah. Sesekali tanganku ligat memetik pucuk paku yang tumbuh subur di tepi sungai. Inilah kampungku... tempat yang menyaksikan aku belajar bertatih.

Mamat, Ejol dan Ita...teman sepermainanku. Bila tiba musim hujan kami berempat takkan lekang dengan sungai. Walaupun sudah banyak kali emak membawa kayu penyebat! Hari ini kena sebat; esok buat lagi. Itu, zaman bebudak... dan aku semakin digamit rindu mendengar deruan air dari celah batuan. Di sini aku hanya dihidangkan dengan kota batu tinggi mencakar langit! Namun, sebagai rakyat Malaysia aku turut berbangga dengan 'KLCC'.

*** Hari ini aku dan Ima menelusuri kota ini. Kepala kudongakkan. Bahang mentari semakin memijar. Aku memerhatikan wajah Ima yang mula dibasahi manik-manik peluh. Tanganku digenggamnya. Aku hanya menurut ayunan langkah Ima menelusuri kota ini. Sesekali aku mengesat peluh yang mula merenik di dahiku. Sudah sehari suntuk kami menggagahi ceruk kota metropolitan ini. Akhirnya, sampai juga tempat yang di tuju. Mydin!

"Wien dah le tu mari kita balik..." Laung Ima apabila melihat aku masih leka dengan harga barang yang murah. Dia terpisat-pisat di celah orang ramai. Aku melambaikan tangan tanda setuju.

Petang-petang begini di sekitar Central Market suasana hening dihiasi dengan petikan gitar pemuzik jalanan. Alunan lagu yang dimainkan menjadi halwa telinga. Sebenarnya, mereka nie berpotensi... Cuma, tak ada peluang nak dikomersialkan. Malah, kecantikan rupa paras menjadi syarat utama. Bukan aku pesimis terhadap industri hiburan tanahair... tapi situasi sebegini bagaikan satu trend!

Aku sempat terpaku dengan ayunan lenggok suara mereka; tetapi... terpaksa mengikut Ima menyusup di celah orang ramai. Tiket komuter kukeluarkan. Ligat tanganku memasukkannya ke dalam mesin laluan.Yes!... terlepas jugak. Pernah sekali kes tersangkut di laluan nie. Malu besar aku...

Komuter bergerak perlahan. Di luar alam mula dibaluti warna kelabu. Mataku yang kuyu sejak tadi kupejamkan. Tak sedar komuter berhenti di Stesen Serdang. "Cepatnye..." Aku mengeluh.

"Apa taknye sempat mengigau lagi!" Ima mengusikku. Aku hanya menarik muka masam. Beg yang sarat ku bimbit semula. Langkah kuatur lagi.

"Amboi.. bila nampak Ikram jea; control ayu gitu," aku mengusik Rahimah.

"Jaga kau Wien! Elleh, jealous le tu... tule, bila orang nak kat die... die jual mahal." Aku hanya menekupkan telinga. Bagiku kata-kata tu dah basi buat aku. Uweek! Nak termuntah aku dengar. Bukan aku ego, tapi entahlah. Sememangnya antara aku dan Ima sudah tidak ada rahsia lagi. Cuma, satu jea... Hakimi! Aku tersenyum lagi.

*** Tanganku masih melakar sesuatu. Luahan rasa mungkin! Atau saja suka-suka. Sebenarnya, aku hanya berniat untuk berhenti sekejap saja. Letih! Selepas mencari bahan untuk tugasan Encik Mokhtar. Ini saja caraku untuk menghilangkan rasa tension!

"Bak, tengok!" Pantas jemari Ima merampas kertas itu dari tanganku. Terencat idea aku dibuatnya. Ima nie takde kerja lain... asyik nak kacau orang aje. Getus hatiku.

Kepingan-kepingan kertas itu dibeleknya. Sekejap-sekejap dibalik-balikkan. Matanya disepet dan dibulatkan. Padan muka! Tu le.. suka sangat baca hak orang. Aku membiarkan saja Ima membaca setiap baris ayat yang kulakarkan. Bukan boleh bacapun... Tulisan aku tu, mengalahkan tulisan doktor!

"Buat insan yang tersayang, kulampirkan sebuah kerinduan yang telah lama bermukim..." Terhambur kata-kata dari bibir Ima.

"Woi!... Sejak bila pulak aku tulis macam tu..? Dah.. Jangan nak mengarut, kalau tak boleh baca tu buat le cara tak boleh baca..." Ima masih lagi merepek dengan perkataan jiwang karatnya tu! Ah! Kenakalannya sebijik Syuhadah... di mana dia sekarang? Dah lama lost contact! Mataku beralih semula ke arah Ima.

"Woi... bagilah balik harta aku tu.." kulihat Ima hanya terkekeh-kekeh menahan tawanya. Baik punya kawan! Aku yang tak puas hati mula mengejarnya. Maka, Bermulah sketsa kejar-mengejar. Habis bilik aku jadi sarang tikus. Nie.. semua Ima punye kerjalah. Tak sah kalau tak pedajal bilik aku. Macam tongkang pecah! Setelah penat kami sama-sama terduduk beralaskan lantai simen. Ima menyinsingkan lengan bajunya. Aku pula mengunjurkan kaki sambil membetulkan rambutku yang panjang melepasi paras bahu.

"Wien, sebenarnya aku nak bagi kau sesuatu.." Ima memandang aku dengan mata yang tak berkedip. Aku menoleh ke arahnya. Kulihat tangannya menggenggam sesuatu. Surat!? Surat bersampul biru lagi...

"Nie.. petang tadi aku ambik kat letter box," Ima meletakkannya di ribaku.

"Eh! Bukalah...'Ima memandangku sambil menjegilkan matanya.

"Nak buat apa?"Jawabku acuh tak acuh.

"Eh... dia tanya kita pulak. Kau tak nak tahu ke siapa pengirimnya?"

"Kalau kau nak, kau bacalah," Aku membiarkan saja Ima menelanjangkan isi surat itu. Pendek tapi penuh makna!

Buat Wienlya Sari, Puteriku, mungkin aku tak dapat memiliki hatimu. Tapi izinkan aku menyimpan namamu. Maafkan aku kerana tanpa sedar ada sebingkis rindu buatmu. Dan aku akan pastikan warkah ini bukan yang terakhir...kerana kutahu kau pasti tahu siapa aku! - yang setia menanti-

"Eh...Wien, kau berahsia ngan aku yek.. kau tahu pengirim nie? Kesian dia, rasanya orang yang sama." Ima mengunjukkan surat itu. Aku buat ndak aje. Nie mesti mamat giler yang baru terlepas dari rumah sakit jiwa! Dari mana jealah dia tahu alamat aku? Aku duduk mengadap skrin komputer. Assignment yang tertunda kusambung semula.. Kalau nak ikutkan Ima sampai esokpun takde sudahnya.

"Ish! Apalah kau nie Wien, degil sangat... Nie dah lima pucuk surat dia tulis, apa hati kau tu batu ke?" Ima melipat semula surat itu dan memasukkannya ke dalam sampul. Jari-jemariku masih terlekat pada kekunci komputer. Kulihat Ima menguap beberapa kali.

"Ima, kalau kau dah ngantuk... pegilah tidur, banyak lagi assignment yang nak aku siapkan nie," Aku berdalih.

"Emm... iyelah, tapi jangan lewat sangat...surat nie aku letak atas katil kau. Jangan lupa baca tau!" Ima menolak daun pintu dan merapatkannya semula. Sekali-sekala aku mencuri pandang surat itu. Tak payah bacapun aku dah tah

*** "Assalamualaikum!" Eh! Ramainya orang... Mataku beralih dari seraut wajah ke seraut wajah. Hatiku berdetik. Kulihat tingkap dihiasi dengan langsir berwarna biru, warna kegemaran teman akrabku Syuhadah! Rasanya aku tak silap alamat. Seseorang tiba-tiba meluru ke arahku. Manis berpakaian kebaya pendek biru muda. Wajahnya disolek nipis. Senyumannya semakin mekar dan dia memelukku erat.

"Wien, kau datang jugak..." Aku hanya membiarkan tanpa membalas pelukannya. Ada sedikit rasa keterasingan.

"Kau tak kenal aku lagi Wien... aku Syuhadah!"Aku memerhati lama ke wajah insan yang berada di depanku. Yah! Dia memang Syuhadah. Parut di dahinya masih ada cuma... sekarang Syuhadah semakin manis. Tunangan orang! Syuhadah memimpin tanganku ke biliknya. Sanak saudara dan jiran telah memenuhi ruang depan.

"Kau jahatlah Syuhadah... nak bertunang pun tak beritahu orang."

"Engkau tu yang ghaib! Tiba-tiba pulak terpacul depan pintu."

"Ewah-ewah... dia yang bertukar alamat tak bagitau orang. Kau tahu dah berpucuk surat aku hantar, patutlah tak berbalas," Syuhadah hanya tersenyum sumbing sambil bermain dengan cincin di jari manisnya.

"Wien, engkau bila lagi?" Terpacul soalan dari bibir Syuhadah.

"Bila apanya... tak ada yang suka... takkanlah perigi yang cari timba!"

"Entahlah Wien, setahu aku kau tu ramai peminat.. engkau saja yang jual mahal, kalau dah tua... tak laku tau!" Aku hanya menjadi pendengar setia khutbah Syuhadah. Sedang mataku terpaku ke arah seseorang dari celah jendela! Diakah? Syuhadah memegang lembut bahuku setelah menyedari perlakuanku.

"Wien, mari aku perkenalkan dengan seseorang," | "Siapa... tunang kau!"

"Ish! Tak adalah...adik tunang aku."

Aku hanya membuntuti Syuhadah. Perlahan-lahan kami menuju ke sebuah bangku kayu usang. Masih teguh dipayungi sepohon mangga. Satu-persatu daunnya yang telah bertukar warna gugur ke bumi. Yah! Tempat aku dan Syuhadah bercerita dari satu bab ke satu bab. Rindu rasanya.

"Woi! Termenung nampak... ingatkan orang jauhkah? Ini aku bawak orang jauh datang." Hakimi!? Aku sedikit panik. Hakimi menoleh dan memandang tepat ke wajahku. Sekejap dia melemparkan senyuman... Senyuman manisnya masih seperti dulu.

"Eh! Apa pandang-pandang saja ni... dah bisukah?" Syuhadah tiba-tiba memecah kebuntuan. Wajah kutundukkan. Dia membetulkan kopiah putihnya.

"Hm... bila Wien balik Sabah?" Hakimi memulakan soalan.

"Baru dua minggu... Saya jumpa Syuhadah nipun sebab terserempak dengan Sofiah. Dia yang bagitau alamat Syuhadah, kalau tidak Syuhadah bertunang ni pun Wien tak tahu," Aku sedikit gelabah. Sekejap aku membahasakan diri saya; sekejap lagi Wien.

"Kenapa Wien tak balas surat Kimi?" Aku hanya membiarkan soalan itu hilang ditelan kebisingan tetamu yang berkunjung ke majlis pertunangan Syuhadah! Rasanya tak perlu aku menjawab soalan itu. Daun kering yang jatuh tepat-tepat di hujung kakiku kukutip. Suasana mati tiba-tiba. Pandanganku mula mencari kelibat Syuhadah. Rupanya dalam diam dia meninggalkan aku dan Hakimi. Aku mula diserang gelisah!

"Hakimi, Wien nak naiklah, tidak manis orang nampak macam ni," Hakimi hanya mengangguk walaupun dari wajahnya seperti tidak mengizinkan aku berlalu.

"Assalamualaikum."

"Waalaikumsalam," sapanya lembut.

Dari jarak dua meter, ayunan langkahku terhenti. Telingaku disajikan lunak alunan suara.

"Eh! Apa abang buat di sini? Oh! Curang yah.. Gatal!... Apa, Shira tidak lawakah?"

"Memangpun dia lebih lawa dari Shira... tapi, Shira baik!"

Aku mempercepatkan ayunan langkah. Tak sanggup rasanya melihat kemesraan dua sejoli. Setan! Kau Hakimi.... Depan aku bukan main lagi, rupanya...?

Petang itu aku meninggalkan Syuhadah dengan sebuah kucupan di pipinya. Sempat lagi dia mengingatkan aku supaya datang menjenguknya selalu. Hakimi? Aku tak mampu lagi memandang ke wajahnya. Walaupun kutahu ada semacam persoalan tercetus lagi. Ah! Entahlah... hatiku cuma dicuri, tapi, itu bukan cinta namanya...

***

Empat tahun bukan masa yang singkat. Bahkan masa seakan mempunyai kuasa untuk merubah segalanya. Apatah lagi antara aku dan dia belum ada janji yang terucap. Dan aku tidak sekali-kali menyangka dipertemukan semula dengan Hakimi. Insan yang selama ini cuba kulupakan tapi hakikatnya... terus hidup dalam ingatanku.

Aku menghayati panorama petang. Lembayung petang hampir-hampir melabuhkan tirainya. Sedang sang camar terbang berpasangan, menghiasi langit petang. Di pantai ini, lembut angin petang menyentuh pipiku. Hari ini aku mengenakan tudung berwarna pink. Mak sempat memujiku sebelum aku bercadang keluar ke pantai Tanjung Aru ini.

Kocakan air laut masih seperti dulu... perlahan-lahan menampar gigi pantai. Seperti terlalu sayang untuk menyakitinya. Tapi, yang pasti pantai tetap akan terluka! Aku masih leka bermain ombak yang silih berganti mendatangi pantai. Hujung skirt kurung yang menyaluti tubuhku lecun dibasahi air laut. Sesekali ligat tanganku membetulkan tudung yang senget ditampar lembut dek angin petang.

Aku melabuhkan punggungku di hamparan pasir... Mataku asyik memerhati panorama nan indah! Namun, sekali-sekala terdetik hatiku; ke tanah Semenanjung lagi? Tapi bila? Ima bagaimana sekarang? Aku melepaskan keluhan.

"Assalamualaikum," Pandangan kutolehkan ke arah datangnya suara itu. Hakimi!? Mamat nie ke mana aku pergi ada jea muka dia!

"Tak jawab berdosa!"Hakimi berseloroh.

"Waalaikumsalam, Hakimi buat apa di sini?"

"Aku yang sepatutnya tanyakan soalan tu," Hakimi menujahku pula dengan jawapan yang membingungkan. Hakimi di hadapanku merenung tajam ke wajahku. Aku mengalihkan pandangan.

"Wien, kau sebenarnya bijak tapi... kenapa persoalan sekecil itu tidak terjawab?"

"Persoalan apa?" Aku cuba berdalih.

"Buat apa Wein ke sini? Nak cari jawapan? Jawapan bukannya ada di pantai ni, jawapannya ada di sini," Hakimi menekapkan tangan ke dadanya. Aku hanya membiarkan Hakimi dengan kata-katanya.

"Wien, percayalah apa yang ada di hatimu!" Aku masih merenung jauh ke laut lepas. Hakimi yang duduk sejarak dua kaki... masih setia memandang ke wajahku. Entah apa yang dicari, aku tak pasti.

"Wien, aku jahatkah? Aku tak makan orang."

"Memanglah!" Dia mula tersenyum setelah berjaya mengumpanku dengan soalan bodoh itu! Akhirnya aku bersuara juga setelah lama menjadi pendengar.

"Kenapa mesti percayakan cerita orang lain? Aku betul-betul sayangkan kau...Nak aku bersumpah!"

"Jangan bermain dengan sumpah Hakimi... Berilah kata-kata sayangmu tu padanya,"

"Siapa?.. Eh! Jangan merepeklah Wien.. aku tak ada orang lain, kau kan tahu aku sukakan kau sejak di bangku sekolah lagi, walaupun orang kata itu cinta monyet! Aku tetap tunggu sehingga kau kata kau sayangkan aku!"

"Lidah tidak bertulang Kimi, apa-apapun boleh dituturkan. Aku bukannya Tuhan yang boleh membaca isi hati orang lain dan aku bukannya ahli psikik yang boleh menelaah apa yang akan terjadi."

"Wien..."

"Sudahlah Hakimi.. dia kau nak letak di mana? Soalanku belum lagi terjawab. Tiba-tiba terpacul sesusuk tubuh yang aku kenali. Perempuan tu! Hatiku terasa seperti dibakar. Memang sah dialah kekasih Hakimi! Tengok tu... Hakimi layan dia macamlah aku tak ada depan mata. Hantu punya Hakimi! Senyap-senyap aku mengangkat kaki. Tinggal lama-lamapun buat sakit hati saja. Dasar lelaki!

"Eh! Wien... tunggu kejap," Hakimi mengejarku setelah melihat aku masih meneruskan langkah. Sekejap dia sudah berada bersebelahan denganku.

"Kenapa datang? Pergilah dengan dia, lagipun, kedatangan kau tidak kuundang; kalau pergipun takkan kucari!" Hakimi tergelak! Sama seperti hari terakhir sebelum aku ke menara gading. Yah! Dengan soalan bangang tu. Hatiku terbakar lagi. Geramnya aku! Tak sudah-sudah nak sakitkan hati orang.

"Kimi nak bersama dengan Wien.. sampai bila-bila. Kimi janji Kimi akan jadi insan yang paling setia,"Janji Hakimi sungguh-sungguh. Dasar buaya tembaga... talam dua muka! "Sudahlah Kimi... kau fikir aku tak nampak tadi? Kata-kata kau tak laku pada aku! Pergilah..." Sedaya upaya aku berlagak kuat! Tapi hakikatnya.. Tuhan saja yang tahu. Kenapalah mesti hadir insan yang bernama Hakimi jika hanya untuk menyakiti. Sepasang mata nakal Hakimi menelanjangkan wajahku yang mula dibasahi api cemburu! Tak puas-puas dia merenungku. Sedang bibirnya menguntum senyum penuh makna. Aku mula berang dengan perlakuan Hakimi. Gila mamat ni! Nak saja aku sondol bibirnya yang asyik tersenyum! Itu sajakah modalnya?

"Tunggu kejap yah? Jangan nakal-nakal tau... kalau ada orang usik, pukul dengan kasut!" Sempat lagi dia berseloroh sebelum meninggalkanku. Dari jauh kulihat dia berpimpin tangan. Perempuan ni lagi... Mereka semakin dekat.

"Wien.." Belum sempat dia menyudahkan kata aku dengan pantas memotong.

"Kau fikir aku jealouslah? Tak payah Encik Afzanshah Hakimi... anyway terima kasih kerana sudi perkenalkan aku dengan buah hati kau! Cantik.." Hakimi hanya tersenyum. Senyum lagik! Tak pandai nak serius!

"Kak, dengarlah apa yang abang Kimi nak cakapkan,"

"Hmm...pandai kau Kimi, sejak bila kau latih dia panggil aku kakak ni?"

"Berlatih panggil kakak ipar tak salahkan?"

"Kimi! Kau dah gila? Depan kekasih sendiripun kau boleh cakap macam tu? Tak hormatkan wanita langsung!"

"Cantik, Wien marah," Hakimi masih cuba bergurau.

"Be serious Hakimi! Kau bukan budak-budak lagi!"

"Yah, aku tahu... dah nak jadik bapak budak pun... tinggal 'puteri' di depan ni saja; entah setujukah tidak."

Aku dihimpit kebingungan. Sepasang mataku memandang tepat ke wajah Hakimi. Gelaran puaka itu lagi! Aku menarik nafas dalam-dalam... Kepala kutundukkan. Ya Allah! Kenapalah aku selemah ini? Kenapa mesti aku marah-marah begini? Kan, antara aku dan Hakimi tak ada apa-apa! Aku mula menyalahkan diri sendiri. Suasana sepi seketika, hanya yang kedengaran desiran ombak menyapa halwa telinga. Silih berganti ombak membasahi gigi pantai. Bibirku kelu untuk berkata.

"Kak, Shira adik kandung abang Hakimi; maaf kalau perbuatan adik mengundang kemarahan kakak. Ni semua abang Kimi yang punya kerja," Jawapan Shahirah bagaikan halilintar menyentap tangkai hatiku. Kali ini aku terduduk! Beberapa kali aku cuba beristighfar.

"Bodohnya aku! Bodohnya aku..."Aku mengeluh lemah.

"Wien bukannya bodoh, tapi inilah tindakan Wien yang paling bijak! Akhirnya, Kimi tahu yang Wien jugak sayangkan Kimi.."

"Siapa kata? Wien tak pernah katapun! Kimi saja yang perasan," Hakimi mengalihkan tempat duduknya. Kali ini kami betul-betul berhadapan. Lagaknya aku seperti pesalah yang hendak dijatuhkan hukuman. Dan Hakimi adalah hakimnya! Pandangan mata kami bersabung. Akhirnya aku juga yang tertunduk! Kalah?

"Perasaan sayang tidak perlu diperkatakan Wien, dari sinar matamu aku dah tahu jawapannya," Lembut suara Hakimi menerjah gegendang telingaku. Wajahku ku angkat semula. Kucuba mencari jawapan dari redup pandangannya yang mendamaikan... sedamai Danau Toba, mungkinkah di sana ada kejujuran?

No comments:

Post a Comment