Sunday, August 8, 2010

Cinta Marissa - 1

Marissa masih menanti jawapan dari Rahimi. Ternyata lelaki yang berdiri di hadapannya itu sukar untuk memberikan sebarang kata putus. Memilih salah seorang antara mereka. Antara Marissa dan seorang gadis bernama Khalida. Kedua-duanya menantikan jawapan keramat dari bibir seorang lelaki.


Seorang lelaki dan dua orang wanita. Terperangkap dalam sebuah kisah cinta tiga segi. Bagaikan sebuah cerekarama di televisyen. Temanya tidak lari jauh dari kisah cinta. Uda dan Dara. Laila dan Majnun. Romeo dan Juliet. Kumbang dan Bunga. Seolah-olah hanya kisah cinta yang wujud di dunia ini. Itu yang pernah Marissa bisikkan di hatinya suatu ketika dulu. Kini... rupa-rupanya sandiwara itu adalah sebahagian daripada lukisan hidupnya. Ternyata soal cinta yang pernah dipersendakan, kini menjentik hati dan perasaan Marissa.

"Maaf... aku tidak dapat memberikan keputusannya.

"Akhirnya, jawapan yang dinanti tidak memberikan sebarang keputusan muktamad. Rahimi, Marissa dan Khalida saling berpandangan.

Sepasang mata mula berkaca sebelum titisan-titisan jernih mengalir di pipi nan gebu. Di pipi gadis bernama Khalida. Hati Marissa terusik. Namun, Marissa tidak akan sekali-kali membiarkan air mata gadis itu turut menjangkitinya. Dia tidak selemah itu. Menitiskan air mata hanya kerana merebutkan mahkota cinta seorang lelaki? Tidak! Marissa tidak akan tunduk kepada gurisan hatinya. Jika gadis itu ingin menangis, menangislah. Tapi tidak Marissa.

"Abang... jika begitu... biar Ida aje yang berundur... Semoga... abang bahagia." Kata putus yang diharapkan dari bibir seorang lelaki, terucap pula dari bibir seorang gadis. Serentak dengan itu, gadis itu berlalu pergi.

"Ida..." Seketika Rahimi melepaskan pandangannya ke wajah Marissa. Perasaannya serba salah. Antara mengejar Khalida atau...

"Ma... maafkan aku Riss... Maafkan aku..."

Akhirnya, Rahimi, lelaki yang pernah berjanji untuk membahagiakan Marissa, telah mengkhianati janjinya sendiri. Marissa ditinggalkan... Ditinggalkan untuk mentafsir sendiri apa ertinya cinta dan janji setia seorang lelaki.

Meja No D13

Dari tadi Marissa memerhatikan meja nombor D13. Sejak pelanggan-pelanggan itu masuk hingga sekarang, ada-ada sahaja yang tidak kena. Rakan setugasnya Diba, masih sanggup melayani kerenah pelanggan itu dengan sabar. Lepas satu, satu. Kadang-kadang Diba diherdik. Namun begitu, Diba masih lagi bersikap tenang. Sambil memerhatikan gelagat mereka, sesekali tumpuan Marissa beralih kepada tugasnya sendiri sebagai juruwang.

"Riss... bil untuk meja B2," pinta Bee Choo, seorang lagi pelayan di restoran serba eksklusif ini. Sempat Bee Choo berbisik sebelum berlalu pergi. "Kasihan Diba. Kena layan pelanggan 'K'!"

'K' ialah singkatan daripada perkataan 'kusut'. Gelaran yang diberikan oleh Marissa dan rakan-rakan setugas bagi pelanggan-pelanggan yang cerewet atau mengada-ngada. Tatkala Diba menghampiri Marissa, segera Marissa menggunakan kesempatan ini untuk membisikkan sesuatu. "Diba, jangan pedulikan mereka. Malaun-malaun itu sengaja nak menyusahkan kau."

"Tak apalah Riss. Sekejap lagi mereka baliklah tu."

"Tak apa? Tak apa ke benda? Orang-orang macam tu bukannya boleh dilayan. Lagi naik kepala!"

"Habis... dah tugas aku. Nak buat macam mana?"

"Tugas, tugas jugak. Tapi mesti ada sempadannya. Ini sampai buat kau macam..."

Kata-kata Marissa terganggu dengan isyarat tangan yang diberikan oleh pelanggan di meja D13. Entah apa yang tidak kenanya lagi...

"Kau jangan risau Riss. Kau buat aje kerja kau."

Diba ingin berlalu dari situ tapi dengan pantas dihalang oleh Marissa dengan wajah merah. "Kau tunggu sini. Biar aku aje yang pergi."

"Riss, kau jangan buat hal. Biar aku je yang uruskan. Aku dah biasa dengan pelanggan macam ni." Diba menarik lengan Marissa.


"Hey lady! Where's the cream?" jerit salah seorang daripada pelanggan dari meja D13. Sedikit pun tidak ada perasaan hormat terhadap pelanggan-pelanggan lain yang ada di sebelah menyebelah. Berlagak bukan main dengan slanga Inggerisnya.

"You want cream? Why don't you come here and get it yourself!" Dengan spontan Marissa membalas laungan lelaki itu.

"What did you say, girl?" balas lelaki kedua di meja yang sama. Juga dalam loghat Inggeris yang pekat.

Menyedari sesuatu yang kurang enak bakal berlaku, Bee Choo segera menuju ke belakang mencari Ketua Pelayan, Mr. Say Oon.

"I said if you..."

"Coming sir, coming..." Diba memintas kata-kata Marissa. Dia bergegas membawa seteko kecil krim yang diminta. Mudah-mudahan segala-galanya akan berlalu tanpa sebarang masalah. Sempat Diba memberi isyarat kepada Marissa, supaya duduk diam-diam di tempatnya.

Namun, suasana masih terasa ketegangannya. Baik Marissa, mahupun lelaki-lelaki di meja D13 saling berbalas pandangan. Tajam. Beberapa orang pelanggan turut mencuri-curi pandang.

"Ini krimnya tuan. Maaf terlam..."

Seteko kecil krim yang dibawa Diba dengan sengaja ditepis ke tepi. Hampir mengenai seorang pelanggan wanita yang duduk di meja sebelah.

"Hey, what's your problem? Kalau nak marah sekalipun, tolong jangan ganggu mereka yang tak berkenaan!" Pelanggan wanita yang duduk di meja sebelah itu menegur dengan selamba. Ternyata dia turut berasa terganggu dengan apa yang berlaku.

"Mind your own business, lady!"

Tak kira siapa, pelanggan di meja D13 nampaknya sengaja mencari pasal!

"Err... minta maaf cik. Boleh saya bawa cik duduk di meja lain?" Dalam keadaan masih terkejut, Diba cuba mententeramkan suasana.

"Hey girl. Get us some more cream!" Pelanggan D13 terus-terusan menuntut itu dan ini daripada Diba.

"Tak apa. Terima kasih. Selera saya sudah tertutup!" Wanita di meja sebelah turut kenyang dengan kerenah pelanggan-pelanggan di meja D13. Setelah mengesat mulutnya dengan sehelai napkin, dia bangun menuju ke kaunter bayaran. Tapi Marissa tidak ada di situ. Marissa sedang membawa dua teko kecil berisi krim ke meja D13.

"Nah! Ini krimnya tuan!"

Kedua-dua lelaki itu disimbahnya dengan krim yang dibawa. Seorang seteko. Tepat mengenai muka lelaki-lelaki itu dan tepat pada waktunya Bee Choo muncul bersama-sama Mr Say Oon!

No comments:

Post a Comment