Sunday, August 29, 2010

Cinta Marissa - 7

Kedatangan Marina dan Melinda telah membocorkan rahsia Marissa yang tersimpan kukuh selama ini. Barulah Diba tahu, rupa-rupanya selama ini dia tinggal serumah dengan anak seorang kerabat diraja. TM Tengku Marissa bt Tengku Itheruddin. Tertipu dia selama ini dengan keselambaan dan kepura-puraan Marissa yang pandai berlakon itu! Terasa benar dirinya ditipu dan dipermainkan sebegitu rupa. Kononnya kata Marissa dahulu, dia pun berasal dari keluarga susah. Faham benar dengan kehidupan orang-orang miskin seperti Diba. Sudahnya, siapa yang jadi penipu besar? Ishqal atau Marissa?


Marissa memohon kemaafam daripada Diba. Bukan niatnya untuk mempermain-mainkan Diba. Marissa tak mahu Dina melayannya dengan lebih hormat sekiranya Diba tahu perkara sebenarnya. Dia pula akan rasa tak selesa nanti. Marissa lebih suka Diba memandangnya sebagai orang biasa.

Tapi Diba tak boleh terima kenyataan itu. Padanya, tidak salahnya jika Marissa berterus-terang dari awal. Marissa tidak perlu menipu semata-mata untuk membuatkan Diba berasa senang berkawan dengannya. Diba masih tidak dapat memaafkan Marissa sehinggalah Marissa menggunakan taktik yang sama seperti dahulu iaitu beli sahaja bunga ros segar dan selitkan nota kemaafan. Kali ini tiga kuntum bunga ros segar Marissa beli dari Espariza Florist sendiri. Menjadi! Sekali lagi Marissa dipeluknya dengan tangisan. Selesai satu masalah!

Hujung minggu itu... Marissa diperintahkan balik ke rumah keluarganya. Agaknya beginilah rasa Ishqal yang dipaksa pergi ke Sabah. Baru Marissa tahu bagaimana rasanya dipaksa-paksa begitu. Selama ini, Marissa selalu ikut kepalanya sahaja. Tak ada siapa nak larang, Bila Marina balik ke tanah air, segala-galanya berubah. Tapi perlukah aku ikut arahan Kak Marina? Apa yang akan dilakukannya jika aku tak mahu pulang? Takkan dia nak dukung aku macam Iqbal dahulu. Dan apa yang akan aku lakukan jika tinggal bersama keluarga?

Hah... Marissa tidak senang dengan angin perubahan yang berlaku secara mendadak itu. Marissa terfikir-fikir dan tercari-cari satu alasan yang boleh diterima oleh kakaknya. Marissa masih belum bersedia bersemuka dengan ayahandanya. Lebih-lebih lagi apabila Marissa mendapat tahu ayahandanya mungkin akan berkahwin lagi. Marissa tak rela dan tak mungkin menerima hakikat itu.

Tinggal hanya sehari lagi dari tarikh keberangkatan Ishqal ke Sabah sementara ada tiga hari lagi untuk Marissa sepatutnya pulang ke pangkuan keluarganya. Tiba-tiba mereka smeua dikejutkan dengan berita kehilangan Ishqal. Budak nakal itu sudah lari dari rumahnya. Nampaknya, Ishqal betul-betul menghilangkan diri! *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** "Ish tak mahu pulang selagi abang berkeras nak hantar Ish ke Sabah dan tak mahu ambil Diba bekerja," ugut Ishqal dengan serius. Akhirnya, Iqbal menerima panggilan daripada Ishqal di tengah-tengah kerisauannya mengesan adiknya itu. Bukan senang nak berhadapan dengan budak yang bertindak ikut hati dan perasaan ini. Kena guna psikologi. "Baiklah. Kalau begitu kehendak Ish, abang serahkan kedai ni pada Ish. Pandai-pandailah Ish menguruskannya dan buat apa yang patut. Abang pun dah jemu jaga kedai ni. Biar abang aje yang pergi ke Sabah." Iqbal sekadar ingin menduga adiknya. Di hujung talian, Ishqal terdiam. "Esok abang serahkan semua kunci. Kalau Ish tak muncul, abang serahkan kunci-kunci tu pada Espariza. Malam abang boleh berangkat ke Sabah." Iqbal terus menduga. "Mana boleh? Abang tak boleh buat macam tu!" Barulah Ishqal bersuara. "Abang rasa, baik Ish balik dan kita berbincang. Itu lebih baik," pujuk Iqbal. Ishqal terdiam sebelum bersetuju untuk berbincang. Ishqal mengajak abangnya berbincang di sebuah restoran eksklusif dan bukan di kedai buku mereka. *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** *** Seperti yang dijanjikan, tepat 8.00 malam, Iqbal tiba di tempat yang dijanjikan. Sebaik melangkah masuk, satu suara menegurnya. "Abang Iqbal, selamat datang. Ishqal dah menanti di dalam. Silakan..." Hampir Iqbal tidak kenal dengan gadis cantik yang menyapanya itu. Bersiput kemas, berskirt pendekm dengan jaket satu sut berwarna merah jambu. Blaus putih di bahagian dalam, kasut bertumit tinggi juga berwarna merah jambu dan kaki yang tidak berbogel, diselindungi stokin halus berwarna hitam sampai ke atas. Iqbal tak tahu nak sebut stokin apa. Tag nama yang dipakai gadis itulah yang meyakinkan Iqbal, gadis itu tak lain dan tak bukan Diba. Wow... seksi habis! Bergoncang juga hati lelaki Iqbal. Patut pun Ishqal sibuk mengajaknya berbincang dan makan di situ. Rupa-rupanya Diba bekerja di situ. Tanpa sepatah kata, Diba membawanya masuk ke dalam. Iqbal dibawa ke bilik untuk VIP. Bukan di restoran luar. Ishqal ni biar betul! Di salah sebuah kerusi, kelihatan Ishqal sedang duduk sambil tersengih. Tiba-tiba Iqbal sakit hati. Bertuah punya budak!

Ishqal dan Iqbal duduk di bilik khas untuk VIP. Diba yang sepatutnya bertugas di bahagian pelanggan biasa malam itu minta kebenaran bertukar bahagian dengan seorang rakannya atas permintaan Ishqal. Sebab Diba pun dah nak berhenti, ketuanya Mr Say Oon bertimbang rasa sikit. Kalau tidak, jangan harap! "Abang Iqbal dan Ish duduk dulu. Nanti Diba ambilkan menu."


"Tak apa Diba. Yang tu tunggu dulu. Mari sini duduk sekali. Kita berbual sekejap."

"Err.. tak boleh Ish.. Diba..."

"Jangan risau. Bukankah kemahuan pelanggan mesti diutamakan!"

Ishqal menarik kerusi untuk Diba. Tapi Iqbal perasan Diba teragak-agak untuk duduk. "Abang rasa elok kita berdua duduk berbincang dulu," kata Iqbal.

"Betul tu Ish. Biar Diba bawa menu dan tunggu di luar. Nanti..."

"Oh, tidak... jangan ke mana-mana. Ini pun melibatkan soal Diba juga. Diba ada di depan mata Abang Iqbal sekarang. Peluang untuk kita berbincang dan sambil tu kita boleh menjamu selera." Sambil tersengih Ishqal menekan satu butang di tepi meja dengan bangganya.

"Ish.. Diba yang bertugas di bilik 4V ni. Biar Diba yang bawakan menu tu ya."

"No... you are my guest today. Let us treat you. Don't worry. Your boss tak boleh marah. Customer's request." Sekali lagi Ishqal menekan butang. Jamilah, rakan Diba datang membawa menu yang berenda-renda. Sekali pandang macam album perkahwinan yang dihias cantik.

"Hemm.. ni best... Set menu 3." Tiba-tiba Iqbal yang sejak tadi duduk diam membisu mula bersuara. Set menu yang paling mahal dipilihnya. Sebab Iqbal tahu, adiknya yang nak belanja. Iqbal pun sengaja nak duga Ishqal.

Dengan penuh teliti Ishqal melihat set menu 3 yang dimaksudkan. Hidangan lengkap untuk empat orang. Alamak! Ishqal menelan air liur. Mahalnya... tapi... ini tentu abangnya sengaja hendak mengenakannya! Apa pun, biar Diba yang membuat pilihan.

"Hemmm.. Diba buat pilihan."

"Eh, Ish atau Abang Iqbal lah yang order." Diba masih tersipu-sipu.

"Since Ish dah beria-ia nak belanja, abang orderkan untuk semua, set menu 3." Iqbal menghulurkan kembali menu yang dipegangnya itu kepada Jamilah. Rentak permainan adiknya diteruskan.

Kali ini, Ishqal betul-betul terdiam. Abangnya ada menyebut Ishqal nak belanja. Nampaknya saja-saja nak mengenakannya. Kalau aku nak bayar, mana cukup duit. Set menu 3 ni mahal sangat, fikir Ishqal.

Bagaimanapun, Diba yang sedar berapa bil untuk set menu 3 itu segera berkata kepada Jamilah, "Jem, bawa tiga gelas 3S dan mi goreng special. Pun untuk 3 orang."

"Mi goreng! Takkan tempat macam ni cuma order mi goreng aje Diba? Jamilah, bawa menu set 3 yang abang saya order tu." Ishqal pura-pura tidak mahu mengalah.

"Mahal Ishqal. Bilnya nanti macam harga untuk satu set perabot bilik tidur. Kita makan mi goreng ni pun dah cukup istimewa."

Dalam hati, Ishqal berasa lega juga. Selamat duit aku!

Mereka bertiga kembali menghadap satu sama lain. Tanpa kata-kata Ishqal bermain-main dengan jari jemarinya seolah-olah dia terlupa akan tujuan mereka ke situ. Keadaan yang senyap itu melemaskan Diba. Terkial-kial dia mencari idea untuk berbual.

"Ya Diba. Nak cakap apa?" Iqbal bertanya. Ishqal masih bermain-main dengan jari jemarinya.

"Err... tak ada apa-apa..." Diba melirik ke arah Ishqal. Diba semakin tidak selesa dengan keadaan senyap dua beradik tu.

"Baiklah. Kita pergi ke titik pokok akar tunjang persoalan. Betul Diba nak kerja di kedai kami?" Akhirnya, Iqbal menyoal.

Sekali lagi Diba memandang Ishqal terlebih dahulu. Tak berani hendak menjawab pertanyaan itu. Ishqal memberi isyarat angguk kepada Diba.

"Hah... dah tentu Ish yang suruh Diba berhenti kerja di sini dan kerja di kedai kami, bukan begitu?" soal Iqbal lagi.

"Taklah bang... Diba memang nak cari kerja lain," jawab Diba tak berapa pasti.

"Diba sanggup ke bermain dengan lipas, tikus?"

"Lipas... ti.. tikus?"

"Apa yang abang tanya ni? Apa kena-mengena dengan lipas dan tikus?"

Yalah... nak kemas bilik stor nanti. Ishqal bukannya tahu apa yang ada di stor tu. Bukan boleh harap kemas tu. Elok juga kalau ada pekerja yang boleh buat itu semua."

"Abang sengaja nak takutkan Diba. Mana ada tikus?" sampuk Ishqal.

"Terserah! Abang cuma cakap perkara yang benar. Nak percaya, percaya. Tak nak, sudah!"

"Tak adalah Diba. Abang Iqbal main-main je tu." Ishqal cuba memberikan gambaran sebaliknya.

"Abang... Ish.. sebenarnya... Diba pun belum buat sebarang keputusan lagi. Diba..."


Kata-kata Diba terhenti seketika apabila Jamilah muncul membawa tiga gelas 3S - Special Syrup Soda. Setelah Jamilah keluar, barulah Diba menyambung semula kata-katanya. Tapi dia terlupa kat mana dia berhenti tadi."

"Apa Diba cakap tadi ya?" Diba tertanya sendiri.

"Diba cakap, Diba akan mula kerja di kedai kami awal bulan nanti." Ishqal mengubah cerita. Cerita yang langsung tak boleh pakai.

"Macam nilah. Tentang kerja ni Diba, biar abang berterus-terang," ujar Iqbal.

"Ingat bang.. apa Ish kata dulu..."

Sebelum Iqbal sempat berterus-terang, Ishqal mengingatkan abangnya tentang ugutannya dulu. Kalau tak ambil Diba bekerja, dia tak nak ke Sabah dan jangan haraplah dia nak balik ke rumah. Iqbal merenung adiknya. Kenapa adiknya itu betul-betul nak Diba bekerja di kedai mereka? Jangan-jangan Ishqal ni dah angau dengan Diba tak?

"Kalau Diba betul-betul nak kerja, abang rasa kerja ni agak berat jugak untuk Diba. Nak angkat kotak-kotak buku, nak kemas stor, bukan setakat jadi juruwang. Gajinya pun tak seberapa," jelas Iqbal.

"Soal tu abang jangan risau. Ish kan ada. Ish boleh bantu Diba mana yang perlu."

"Ish terlupa ke? Ish akan tinggal di Sabah? Itu antara janji Ish, kan?"

"Alah bang, janji kan boleh dimungkiri kalau hati tidak ikhlas menepati!" jawab Ishqal merayu.

"Amboi... sedapnya cakap. Ish nak jadi orang munafik? Memungkiri janji, bercakap bohong, me..."

"Dah bersyarah pulak. Abang cakap ajelah dengan Diba, dia boleh mula berkerja pada awal bulan depan ni dengan gaji permulaan sebanyak RM700. Kan senang!"

"Hah! RM700?" Iqbal terkejut.

Diba terkelip-kelip. Fahamlah Diba. Gaji yang dikatakan Ishqal itu terlalu tinggi pada pandangan abangnya. Dan memang benarlah Iqbal memang tidak tahu menahu tentang tawaran yang telah dibuat oleh Ishqal itu.

Jamilah muncul membawa tiga pinggan mi goreng. Setelah menghidangkannya dengan penuh tertib, membantu meletakkan kain napkin untuk Ishqal dan Iqbal, Jamilah pun berlalu pergi.

"Abang tak boleh beri sebanyak itu. Kalau betul Diba ingin bekerja di kedai kami, abang hanya mampu beri gaji bulanan sebanyak... RM400 aje. Tak ada apa-apa elaun lain."

Ishqal ingin mencelah tetapi segera dipintas oleh isyarat jari abangnya. "Kalau Diba betul-betul berminat, Diba kena fikir masak-masak. Prospek kerja, itu semua bukan semata-mata tanpa matlamat, makan gaji begitu aje."

Diba memandang Iqbal dengan mata yang sayu. Kata-kata seperti itu pun boleh menyentuh hati Diba. Bukan apa, sedih juga Diba apabila mengenangkan dirinya yang tidak berpendidikan tinggi itu.. miskin dan hanya mementingkan sara hidup keluarga di kampung. bukan mencari mata pencarian dengan satu wawasan untuk memajukan diri.

"Maaf jika abang menyinggung perasaan Diba. Abang..."

"Kata-kata Abang Iqbal tu ada betulnya. Tapi, orang miskin macam Diba ni, kalau dapat menyara kehidupan keluarga itupun dah dikira baik."

Kini giliran Ishqal yang nakal itu pula sedikit sayu. Walaupun baru mengenali Diba, banyak perkara yang berjaya Ishqal cungkil tentang Diba. "Kita makan dululah. Nanti kita bincang pasal tu," kata Ishqal. Tapi cadangan itu tinggal cadangan. Di muka pintu, tanpa diduga, Pian terjengul!
"Patut pun sejak kebelakangan ni, asyik mengelak. Rupa-rupanya dah ada jantan lain!" herdik Pian dengan muka merah.

"Woi sedara, awak ni sapa nak ganggu privacy orang ni?" Ishqal yang terlebih dahulu berbalas kata.

"Budak, kau diam. Aku bercakap dengan kekasih aku. Bukan kau!"


"Kekasih? Mana kekasih awak? Baik awak..."

"Pian... Pian... mari kita cakap kat luar." Dalam terkejut dengan kehadiran Pian, Diba cuba berlagak tenang.

"Kenapa ajak Pian cakap kat luar? Ni sapa jantan-jantan ni?" soal Pian.

Memang sejak budak-budak bujang mula menyewa di sebelah rumah Diba dan Marissa dahulu, Pian dah tak senang. Sekarang ini, kekasih yang dianggapnya lurus bendul selama ini rupa-rupanya sudah pandai main kayu tiga. Bila-bila masa sahaja sekarang ini, gunung berapi akan meletup!

"Bawa bertenang saudara. Mungkin ada sedikit salah faham di sini." Iqbal cuba meredakan kemarahan Pian.

"Nak suruh saya bertenang? Awak tahu tak siapa budak perempuan ni?" Marah Pian semakin membara.

"Dah tentu kami kenal dia. Gadis cantik ni Adibah atau Diba, bakal pekerja kami."

"Bakal pekerja?" Pian bertanya dengan nada garang.

Iqbal pasti, jika dibiar adiknya terus bersuara lagi, memang buruklah padahnya. "Saya Iqbal dan yang ini anda saya Ishqal."

Iqbal segera menghulurkan tangannya kepada Pian. Mudah-mudahan sejuk sedikit hati pemuda itu. Tapi Pian tidak menyambut tangan Iqbal. Hatinya masih bergelojak, penuh dengan prasangka dan marah.

"Saya datang ke sini bukan nak berkenalan dengan awak berdua. Saya nak tahu apa yang teman wanita saya buat di sini, di belakang saya!"

"Pian!"


Dalam takut-takut Diba, meletup juga marahnya. Marah dengan sikap Pian yang biadab itu. Lebih-lebih lagi kepada Iqbal yang mula diminatinya dalam diam itu.

"Apa yang Diba buat di sini, bukan urusan Pian. Kalau Diba nak berlaku curang, bukan di sini tempatnya. Apalagi dengan mereka. Cuba buangkan cemburu buta Pian yang tak bertempat itu," bentak Diba.

Ego Pian tercabar. Ditegur oleh Diba di hadapan budak lelaki berdua ini. Tidak semena-menang tangannya hinggap ke wajah manis Diba. Pertama kali sejak Pian mengenali Diba. Sepanas-panas baran Pian, seringkali barannya terkawal. Tapi tidak pada malam itu. Dan sudah tentulah Ishqal tidak sanggap melihat Diba diperlakukan sedemikian. Hendak ditumbuknya Pian, namun dapat ditepis dan sebaliknya, sebiji penumbuk Pian pula tepat mengenai Ishqal.

Melihat adiknya ditumbuk, sudah tentu Iqbal tak boleh berdiam diri. Iqbal bergerak pantas, memulas ke belakang tangan Pian sebelum menolak lelaki itu ke dinding. Pian cuba membebaskan dirinya tapi tidak berdaya. Iqbal telah 'mengunci' Pian ke dinding. Ketika itulah Diba pengsan.

"Lelaki jenis apa kau menunjukkan kegagahan di hadapan seorang gadis dan budak mentah seperti mereka. Kalaulah nak bertumbuk, carilah lawan yang setanding!"

Sambil memaki-maki Iqbal, Pian cuba melepaskan diri. Dalam kecoh-kecoh itu, muncul Jamilah bersama pengurus bahagian VIP. Segera pengurus itu cuba menenangkan keadaan. Barulah Iqbal melepaskan Pian.

Tapi tak semudah itu Pian beralah. Hendak ditumbuknya lagi Iqbal, namun Iqbal telah bersedia menepis lalu menghadiahkan buku limanya kepada Pian. "Ambik kau!"

Terhuyung-hayang Pian terundur ke belakang sebelum jatuh terduduk!

No comments:

Post a Comment