Sunday, August 22, 2010

Cinta Marissa - 6

Hari berganti minggu. Minggu berganti bulan. Benarlah Ishqal tak muncul lagi di Espariza Florist. Sesuatu yang tak pula Iqbal sangka. Lama juga Ishqal dapat bertahan. Sekalipun telah diberi amaran keras, paling lama pun Iqbal menjangkakan dalam dua tiga minggu sahaja Ishqal mengikut perintahnya. Nampaknya, kali ini betul-betul menjadi.

Rupa-rupanya, baik Iqbal mahupun Marissa langsung tak tahu, dalam diam Ishqal terus berhubungan dengan Diba di talian telefon. Benar ada angin perubahan pada diri Ishqal. Berubah dari memuja Espariza kepada jatuh cinta pada Diba. Tembelang mereka berdua itu akhirnya sampai juga ke pengetahuan semua apabila suatu hari Diba memberitahu Marissa, dia sudah berhenti kerja di restoran eksklusif! Diba akan mula bekerja di sebuah kedai buku. Tak lain dan tak bukan, di Kedai Buku Saya, milik dua beradik itu. Biar betul...!

................

"Apa? Diba nak bertukar kerja ke Kedai Buku Saya? Hoi... kalau nak bergurau pun biarlah realistik sikit.” Itulah reaksi pertama Marissa apabila Diba memberitahu akan keputusannya itu. ‘

’Eh, Diba tak gurau. Betul ni. Kan Riss juga yang suruh Diba cari kerja lain. Jadi, Diba pun carilah.’’



‘’Bila masa Diba pergi jumpa mereka? Berapa banyak mereka nak bayar gaji Diba? Siapa yang ambil Diba bekerja? Ishqal atau Iqbal?’’ Diba ditembak dengan pelbagai soalan. Marissa masih tidak percaya dengan berita itu. Mungkin Diba bergurau.

‘’Ish kata, kedainya memerlukan seorang pekerja secepat mungkin. Dia nak bagi gaji RM500. Elaun makan RM100. Elaun bas RM100. Semua sekali RM700. Kurang dari gaji di restoran tapi bolehlah... Kata Ish lagi abangnya dah setuju.’’

Mendengarkan kata-kata Diba itu, Marissa tiba-tiba melepaskan ketawa jantannya. Diba sedikit tersinggung. Namun, dengan sabarnya Diba menanti penjelasan Marissa. ‘’Hah... kau dengarlah cakap budak tu. Tahu dek abangnya, habis kena pelangkung budak tu. Memandai-mandai betul! Sapalah yang nak bagi sebanyak tu kalau setakat jaga kedai buku secotet tu. Hah.. tapi hairan juga aku. Bila masa pulak kau jumpa budak Ish tu?” Pertanyaan Marissa tidak berjawab. Diba sudah lesap masuk ke biliknya.

Pagi esoknya, Marissa sudah tercegat di depan Kedai Buku Saya. Iqbal yang dari jauh lagi sudah terpandangkan Marissa mula rasa tak sedap hati. Nampak gaya ada masalah lagi ini. Apa pulak yang telah dilakukan oleh Ishqal kali ini. Tapi setahunya, Ishqal sudah lama tak bertandang ke Espariza Florist.

‘’Hah.. pagi-pagi lagi dah tercegat di depan kedai ni. Ada apa-apa?” Iqbal pura-pura serius.

Marissa minta mereka berbual di dalam. Ada perkara mustahak. Iqbal bertambah tak sedap hati. Pun begitu, dia menjemput Marissa masuk ke kedainya setelah pintu berkacanya itu dibuka. Tanpa beralas kata, sebaik sahaja Iqbal kelihatan bersedia untuk bersemuka dengan Marissa, terus pertanyaan cepu emas itu diajukannya kepada Iqbal.

“Betul ke awak tawarkan pekerjaan kepada Diba?’’ Soal Marissa.

Ternyata soalan itu mengejutkan Iqbal. Marissa sudah pun dapat menangkap reaksi itu pada wajah Iqbal. Apalagi, melenting betul Marissa dibuatnya. “Awak tahu tak apa yang telah adik awak buat? Tergamak sungguh adik awak memperdayakan kawan saya Diba. Mana budak tu? Biar saya ajar dia!’’

Iqbal yang tidak begitu bersedia dengan semuanya itu, cuba mendapatkan penjelasan lebih lanjut. “Marissa boleh tak awak ceritakan apa yang berlaku terlebih dulu sebelum awak bawa angin puting beliung awak itu ke mari.’’

‘’Nak cerita apa lagi? Adik awak itulah punca ribut petir saya ni. Senang-senang dia mempermainkan kawan saya. Kalau dengan saya, tak apa jugak. Saya dah lali. Tapi ni dengan Diba. Kerana janji manis palsu adik awak itulah Diba dah bagi notis berhenti kerja di tempatnya bekerja sekarang. Awak dah faham ceritanya sekarang?’’



Ternyata Iqbal turut tidak senang dengan apa yang berlaku. Adiknya itu masih tak serik-serik. “Dah tahu Ishqal memang begitu, kenapa kawan awak tu bodoh sangat.... ’’

“Apa awak cakap? Awak kata kawan saya bodoh?’’ kata Marissa sambil menyuakan jari telunjuknya ke muka Iqbal.

Iqbal tersalah pilih perkataan tetapi dia pun tak suka mukanya diunjuk-unjukkan dengan jari telunjuk sebegitu gaya. Tangan Marissa ditepisnya.

‘’Hei, tolong sopan sikit cik adik oii...” jerit Iqbal.

Dengan sepantas kilat pula Marissa memulas tangan Iqbal sebelum berjaya menjatuhkan lelaki itu. Marissa sebenarnya tak bercadang untuk bertindak sejauh itu. Tanpa sepatah kata, Iqbal segera bangkit.

“Baik awak keluar dari kedai saya sebelum angin saya betul-betul naik.‘’ Iqbal berlagak garang.

Perlahan-lahan Marissa menyusun langkah menuju ke muka pintu.

‘’Saya tak bermaksud nak bertindak sejauh itu tadi. Maafkan saya. Tapi saya pinta, tolonglah jaga adik awak tu baik-baik. Jangan buat perkara-perkara seperti ini lagi kepada sesiapa pun, apa lagi Diba. Dia datang dari keluarga susah. Soal mencari nafkah kehidupan amat penting baginya. Itu aje pinta saya.’’ Marissa pun melangkah keluar.

Itulah pertama kali Iqbal mendengar kelembutan pada suara Marissa. Hati Iqbal telahpun memaafkan perbuatan Marissa tadi. Dia tak tahu nak buat dengan Ishqal. Kali ini, suka tak suka, Ishqal akan dihantar ke Sabah. Keputusannya kali ini muktamad!

Sehari sebelum dijadualkan berangkat ke Sabah, Ishqal telah menghilangkan diri. Alasan Ishqal bahawa Kedai Buku Saya memerlukan seorang pekerja tidak dapat diterima oleh Iqbal. Bagi Iqbal, dia dan Ishqal yang sekalipun suka curi-curi tu masih mampu mengendalikan kedai mereka yang tak sebesar mana pun. Satu lagi alasan Ishqal bahawa dia mungkin diterima masuk ke universiti pun tidak dapat meyakinkan Iqbal. Perbuatan Ishqal memberikan janji-janji kosong kepada Diba adalah melampau.

"Abang memang kedekut. Memang Ish dah jangka. Nak ambil seorang pekerja baru pun susah sangat. Ish boleh bagi semua gaji Ish pada Diba kalau abang tak sanggup bayar. Ish pun sanggup pergi ke Sabah kalau abang ambil Diba bekerja di kedai kita. Kalau tidak, abang tak boleh paksa Ish pergi!"


Kemarahan Iqbal pada Ishqal di atas apa yang berlaku masih di takat tertinggi. Mahu tak mahu Ishqal mesti menurut perintahnya, sekalipun dalam paksaan. Pak cik Halim sudah pun diberitahu. Tiket penerbangan Ishqal sudahpun ditempah.

Segala yang berlaku sampai juga ke pengetahuan Diba. Bukan Ishqal yang sampaikan tapi Marissa. Diba tak percaya. Mana boleh? Mana boleh Ishqal menipunya? Ishqal pun tahu, Diba sudah bagi notis berhenti kerja di restoran eksklusif itu. Sudah tentu Ishqal serius bila menawarkan kerja itu kepadanya.

Bila Diba menghubungi Ishqal untuk mendapatkan kepastian, Ishqal masih lagi beria-ia berpegang pada janjinya. Apa yang Diba tak tahu, Iqbal tetap dengan keputusan tidak mahu mengambil pekerja baru.

Marissa yang sudah bosan dengan apa yang berlaku hanya mampu menasihatkan Diba supaya cari sahaja kerja lain. Tak payah susah-susah mengharapkan ehsan orang. Pian boleh tolong carikan kerja baru untuk Diba. Lagipun, kalaulah Pian yang kaki cemburu itu tahu akan persahabatan antara Diba dan Ishqal, sudah tentu Pian tak bagi Diba bekerja di kedai buku itu.

Dalam sibuk-sibuk tenggelam dengan urusan orang lain, tiba-tiba Kak Marina pula muncul bersama Melinda. Apalagi, berjumpa dalam keadaan tak bersedia begitu, tak keruan juga Marissa dibuatnya. Bengang juga Marissa pada Melinda yang membawa Kak Marina ke situ tanpa terlebih dahulu memberitahunya.

Dalam rindu lama tak jumpa, Marissa sudah dapat membayangkan apa yang bakal berlaku. Reaksi pada wajah Kak Marina itu sudah dapat Marissa baca. Kakaknya tak suka dan nampak tak selesa dengan keadaannya ketika itu. Itupun mereka belum tengok keadaan rumah sewanya.

No comments:

Post a Comment