Wednesday, August 18, 2010

Cinta Marissa - 5

Sejak masuk kereta tadi, Marissa duduk diam sahaja. Ishqal sibuk bertanya itu ini kepada Diba yang duduk dengan Marissa di belakang. Dalam segan-segan melayan pertanyaan Ishqal, Diba cuba mengawal perasaan kurang sedapnya terhadap perlakuan Marissa. Selalunya, kalau ada apa-apa yang tak patut ditanya Ishqal, pasti Marissa akan menjawab bagi pihak Diba. Tapi kali ini tidak begitu. Marissa duduk membisu. Semacam sahaja ni... Kereta Iqbalk baru sahaja membelok di sebuah persimpangan bila tiba-tiba sahaja Marissa meminta Iqbal memberhentikan keretanya. Hah... patutlah pun... Rupa-rupanya, itu yang bermain di fikiran Marissa. Aku dah agak dah. Ada sesuatu yang tak kena. Fikir Diba dalam diam.


"Hah? Berhenti di sini?" Iqbal bertanya hairan dan spontan memperlahankan keretanya sahaja. Jam sudah menunjukkan pukul 12.15 pagi. Jalan agak sunyi. Hanya sesekali sahaja ada satu dua kenderaan yang kelihatan berselisih dengan mereka.

"Ya. Berhenti di sini!"

"Riss... kita nak ke mana ni?" Diba bertanya. Dari tadi lagi dia dah tak sedap hati. Dia memang tahu benar perangai Marissa sekalipun tak sepenuhnya.

"Hah. Kat sini pun boleh. Jom Diba. Let's go!" ajak Marissa.

Iqbal memberhentikan keretanya di tepi jalan entah di mana. Tak kelihatan sebarang rumah atau rumah kedai pun. Hanya sebuah belukar kecil di kiri jalan dan kawasan perumahan yang masih dalam pembinaan di sebelah kanan jalan. Apa hal pulak dengan budak ni? Hati Iqbal tertanya-tanya dengan penuh cemas.

"Akak nak pergi mana ni? Takkan dah sampai rumah akak? Atau... akak tak tahan perut nak 'membuang' ke?" Ishqal turut tertoleh-toleh ke kiri kanan jalan. Itupun tutur katanya masih ada sahaja yang hendak menyakiti hati Marissa.

"Jom cepat Diba. Kita balik sendiri!" Marissa sudahpun membuka pintu kereta. Cuma tunggu hendak turun sahaja sementara menantikan respon dari Diba. Jika Diba tak mahu, tak apa, Marissa boleh balik sendiri.

"Kau biar betul Riss. Takkan nak turun kat sini pula?" Diba keberatan untuk menurut kata hati kawannya itu.

Masa itulah Iqbal menekan pedal minyak, keretanya kembali bergerak laju. Nasib baik pintu yang dibuka Marissa tidak ternganga luas. Kalau tidak, bahaya! Marissa boleh tergolek ke luar tadi. Mujur juga pintu itu kembali tertutup sendiri walaupun tidak rapat.

"Hoi! Apa ni? Nak bunuh orang ke?" Marissa menyinga. Diba sedikit tergamam.

"Awak jangan nak mengada-ngada pulak. Saya dah kata tadi nak hantar awak pulang dengan selamat ke rumah awak. Jadi, itulah yang saya akan lakukan. Kalau apa-apa hal berlaku nanti, saya tak mahu bertanggungjawab!" Sebenarnya sebaik mengetahui niat Marissa melalui perbualannya dengan Diba tadi, Iqbal pun naik bengang juga. Mengada-ngada pulak perempuan yang seorang ni.

"Siapa pulak yang suruh awak bertanggungjawab? Saya boleh jaga diri saya sendiri! Tak payahlah awak konon-kononnya nak bersusah payah ambil berat pasal kami. Cepat, tolong berhentikan kereta ini!"

Marissa masih tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku. Dari awal tadi hatinya tak tenang. "Kau nak ikut aku, ikut. Tak nak sudah!" katanya pada Diba dengan berang.

"Itulah... dari awal-awal tadi Ish dah kata. Hantar Diba je. Akak yang sorang ni memang suka cari masalah!"

Bok! Satu tumbukan Marissa hadiahkan ke kepala Ishqal. Apalagi, mengamuk si Ishqal. Mahunya tak sakit? Dan ketika itu jugalah Iqbal menekan brek keretanya secara mengejut di tepi jalan.

"Apa ni bang?"

"Woi! Nak bunuh orang ke?" Itu sahaja yang keluar dari mulut Marissa.

"Adoi, sakitnya..." rengek Diba.

"Nak turun sangat, hah turunlah!"

Rupa-rupanya Iqbal pun kurang sabar dengan perlakuan Marissa sebab itulah dia memberhentikan keretanya secara mengejut lalu mencabar Marissa supaya turun. Cabar tak cabar, memang itupun yang ingin dilakukan Marissa tapi Diba pula menghalangnya.

"Riss, kawasan kubur ni!" bisik Diba.

Marissa menoleh ke sebelah kirinya. Betul! Iqbal memberhentikan keretanya di tepi perkuburan, Memang dia sengajalah tu, getus hati Marissa.

Marissa memang keras hati. Tanpa mempedulikan Iqbal, Ishqal dan Diba, dia terus turun tanpa menutup pintu lalu menonong jalan ke depan sebelum melintas jalan bersetentangan dengan kubur. Entah ke mana dia nak pergi, seorang pun tak tahu. Masa itulah Diba baru terhegeh-hegeh nak panggil. Namun, jeritannya yang tak berapa kuat itu langsung tidak dilayan oleh Marissa. "Dahlah bang! Tunggu apa lagi. Blah lah. Tinggalkan aje dia di sini. Dia sendiri yang nak turun. Diba tak apa. Kita orang boleh hantar Diba balik."


"Hah? Nak tinggalkan dia di sini... err.. kalau macam tu nanti saya cuba pujuk dia. Tunggu ya..." Terketar-ketar suara Diba.

"Lah... nak pergi pujuk pulak?" Ishqal bersuara sebaik sahaja Diba turun dari kereta.

"Tahu pun nak merungut. Tadi Ish jugak yang sibuk suruh abang hantar mereka balik. Hah... sekarang, tengok apa dah jadi?"

"Alah... perempuan tu aje yang suka cari pasal. Kalau tak kerana dia, memang tak ada hal. Abang tengoklah tu... Memang Ish tak pernah jumpa perempuan macam ni. Fiil dia entah apa-apa."

Iqbal dan Ishqal terdiam seketika. Memerhatikan Diba yang konon-kononnya hendak memujuk Marissa. Tapi, apa yang mereka lihat tidak begitu meyakinkan.

"Macam mana ni bang, sampai bila kita nak tunggu? Susah-susah sangat, abang pergi aje dukung dia, letak kat boot belakang. Habis cerita. Kesian Ish tengok si Diba tu."

Memang Iqbal sengaja berhenti di kawasan perkuburan itu. Tapi ternyata Iqbal tersalah tafsir. Yang dicabarnya itu adalah Marissa. Bukan si lembut Diba! Tanpa diduga, sesuatu yang tidak disangka-sangka telah berlaku. Diba memerhatikannya dengan mata yang terbeliak. Ishqal tak sangka. Betul-betul tak sangka! Tadi dia sekadar bergurau sahaja apabila dia berkata kepada abangnya; lebih baik dukung sahaja Marissa itu dan letakkan dalam boot kereta. Tapi nampaknya, abangnya dah buat betul-betul...

Iqbal dah dukung Marissa! Terjerit-jerit Marissa memukul Iqbal minta dilepaskan. Kepala Marissa tergantung di Iqbal dengan perutnya di atas bahu Iqbal. Dan lebih memburukkan lagi keadaan, pada ketika itulah lalu sebuah kereta peronda polis!

Iqbal mengucap panjang...

Diba semakin takut dan panik!

Malam itu, tak pasal-pasal mereka semua ditahan di balai polis. Jika tidak kerana penjelasan Marissa yang bercanggah dengan yang lain, memang mereka semua akan dibebaskan. Ada fakta yang meragukan. Empat orang anak muda berpasangan, didapati berhenti tanpa sebab munasabah di tepi kawasan perkuburan pada lewat malam. Yang kedua, lelaki itu didapati mendukung dengan paksaan seorang gadis - pelbagai kemungkinan boleh dibuat. Dipendekkan cerita, mereka semua diangkut ke balai polis. Sudahnya, Umi Nor juga yang dipanggil untuk membebaskan mereka. Iqbal rasa kesal dan kecewa!

Dalam kejadian di awal pagi itu dahulu pun, Iqbal terpaksa buat begitu. Memang seumur hidupnya, dia tak pernah saja-saja nak sentuh apalagi nak dukung anak dara orang. Tapi pada malam itu, kedegilan Marissa meruntuhkan tahap sabar dalam dirinya. Cuma malang sedikit, mereka terserempak dengan kereta peronda polis pulak. Jika tidak, memang tak ada hal.

Apapun, Iqbal menyesal juga melakukan perbuatan 'bodoh berani bendul' seperti itu. Malunya pada Umi Nor masih menebal. Adakah patut Marissa menuduhnya cuba melakukan sesuatu yang tak senonoh. Tak patut betul!

Nampaknya, Marissa yang paling seronok dalam geram. Dia masih ingat lagi, bagaimana dia meronta-ronta begitu kuat pun Iqbal masih mampu menghalangnya daripada terlepas. Tapi Iqbal tersalah orang! Dan bukan main seronok lagi Marissa sewaktu terpandangkan reaksi-reaksi pada wajah Iqbal khususnya, Diba dan juga Ishqal apabila mereka disoal siasat oleh pegawai polis peronda itu.

Mereka cerita lain, Marissa sengaja beri jawapan yang bertentangan. Mereka bertiga sebulat suara memberitahu, apa yang Iqbal buat semata-mata demi keselamatan Marissa. Marissa terpaksa mempertahankan dirinya dengan mereka cerita. Kononnya, Iqbal nak buat sesuatu yang tak senonoh ke atas dirinya. Kerana kenyataan Marissa inilah mereka berempat dibawa ke balai polis!

Iqbal benar-benar serius kali ini! Dia tidak mahu lagi melihat Ishqal berada di Espariza Florist. Dia tidak mahu lagi Ishqal bertekak dengan Marissa. Jika amarannya kali ini tidak dituruti, Ishqal akan dihantar ke Sabah. Tinggal bersama keluarga Pakcik Halim mereka. Iqbal bukan tak tahu, adiknya memang tak suka tinggal di sana. Jadi, amaran seperti inilah yang dirasakan terbaik untuk menghalang Ishqal daripada melepak lagi di Espariza Florist. Untuk berapa lama Ishqal dapat bertahan, Iqbal tak pasti. Tapi buat ketika ini, apa yang dia pasti, amarannya kali ini mesti dipatuhi. Itu sahaja.


Ishqal pun nampaknya tidak berani hendak melanggar perintah Iqbal kali ini. Abangnya memang tak cakap main-main. Dia dapat membezakannya. Marissa punya pasal, aku pulak yang kena hukum!

Detik waktu pun berlalu. Masing-masing cuba melupakan insiden yang berlaku itu. Tapi tak dapat. Dalam kesibukan mengharungi kehidupan seharian, hati mereka begitu payah untuk menidakkan kehadiran yang lain. Dalam diam, Ishqal berjaya mendapatkan nombor telefon rumah sewa Marissa. Sudah tentu bukan Marissa yang ingin dihubunginya. Siapa lagi kalau bukan Diba! Nombor telefon tempat kerja Diba pun ada dalam tangannya.

Kalau nombor telefon rumah sewa Diba, Ishqal dapat dari Espariza. Nombor telefon tempat kerja Diba pula Diba sendiri yang beri dengan rela hati. Tiada paksaan. Tapi tanpa pengetahuan Marissa. Yang sebenarnya, kalau nak tahu, Diba pun terhibur dengan telatah nakal Ishqal itu. Sedikit sebanyak ada persamaan dengan perangai salah seorang adiknya. Itu yang membuatkan Diba tak keberatan untuk melayani kerenah Ishqal. Terubat juga rindu pada adiknya di kampung.

Dalam pada itu, hati perempuan Diba juga turut tertarik pada abang Ishqal. Diba tak tahu kenapa dia suka melihat gaya dan perwatakan Iqbal. Penuh gaya lelaki budiman. Jauh bezanya dengan perwatakan Pian. Apapun Diba terlupa. Iqbal yang dilihatnya itu baru hanya sekali. Pian pula lelaki yang telah dikenalinya hampir setahun. Baik buruk Pian, semua Diba dah nampak. Iqbal? Hanya pada pertemuan sekali itu sahaja. Dan Diba ingin mengenalinya lebih dekat.

Ishqal, mana ada perempuan lawa, semua hendak diusiknya. Saja suka-suka. Mana tahu boleh pulak sangkut dengan mana-mana, langsung boleh dibuat kekasih. Kalau tak jadi begitu pun, apa salahnya berkawan dan dikelilingi kenalan-kenalan rupawan. Aku pun memang kacak! Cuma belum ada gadis yang terang-terang mahu memuji aku begitu. Mereka takut aku perasan. Apa yang mereka tak tahu, aku memang dah perasan pun.

Adapun Iqbal, walaupun memang dalam kategori tampan dan budiman, tak pulak dia perasan begitu. Seperti kata Ishqal dulu, Iqbal bukan kaki perempuan. Bab mengurat gadis, Iqbal memang kuno habis. Apa yang Ishqal tak tahu pula, dalam kelihatan kuno itu, abangnya itupun ada hati dan keinginan untuk mempunyai seorang buah hati dan masih mencari gadis pilihan. Cuma belum berjumpa dengan gadis idaman. Namun, tidak seperti Ishqal, Iqbal boleh bersabar tentang bab yang satu ini.

Iqbal bukan tak ada kenalan wanita. Ramai juga. Dan satu ketika dahulu pernah ada seorang teman wanita istimewa lagi. Bagaimanapun Iqbal masih ingat akan batas-batas pergaulan.

No comments:

Post a Comment