Monday, August 16, 2010

Cinta Marissa - 4

DUA hari selepas ditemuduga oleh tauke Espariza Florist, Marissa dipanggil bekerja. Malas nak fikir panjang, Marissa terima sahaja tawaran itu. Waktu bekerja dari pukul 10.00 pagi hingga 8.00 malam. Rehat satu jam pada waktu tengah hari. Break petang pula selama setengah jam. Espariza lebih suka jika Marissa beli bungkus dan makan di kedai sahaja. Pagi hari kedua Marissa datang bertugas, kelihatan budak lelaki yang Marissa jumpa dahulu, sudah ada di kedai bersama Espariza. Setelah taukenya itu pergi, Marissa bersiap sedia hendak melakukan apa yang patut.


“So akak. Macam mana kerja kat sini? Seronok tak?” Ishqal memecah kesunyian.

Namun, Marissa buat-buat tak dengar.

“Helo di sana. Di sini tanya ni. Suka tak kerja di sini?”

“Amboi... sombong betul akak sorang ni! Baru dua hari masuk kerja, dah act bukan main. Itupun saya yang recommendkan dapat kerja ni,” sindir Ishqal.

Hendak sahaja Marissa menjawab kata-kata Ishqal itu. Namun tak jadi. Tiba-tiba Ishqal mendapat satu idea. Buat sahaja budak perempuan yang kuat melenting ni marah. Mesti dia cakap jugak dengan aku!

“Hah... kalau akak nak tahu, yang sebenarnya Espariza buah hati saya tu, memang tak nak ambik akak bekerja pun. Dia dah ambik sorang budak lepasan SPM yang comel hari tu. Sayang, dapat yang cute-mute, lari pulak. Lepas dua hari kerja, cabut. Tak datang lagi. Kesian Espariza. Dah tak ada pilihan lain, dia terpaksa juga ambik akak yang sombong ni.”

Ishqal menanti seketika. Nak tengok, ada reaksi tak dari Marissa. Hemm... tak ada juga! Yang sebenarnya, mahunya Marissa tak tercuit dengan kata-kata itu. Geram dengan sikap membisu Marissa, Ishqal dapat satu idea nakal yang lain. Kali ini, bola tenis di tangannya itu akan dibalingkannya ke belakang Marissa. Apalagi, melentinglah Marissa dibuatnya.

“Eh, sorry kak.Tak sengaja...”

“Bertuah punya budak! Nanti kau!” Marissa tahu Ishqal sengaja membaling bola itu padanya.

Ishqal tersilap orang. Ribut taufan dah berpusar di dada Marissa. Dia bersedia membuat satu balingan balas. Ketika itulah pintu kedai dibuka. Seorang lelaki melangkah masuk hanya untuk disambut dengan sebiji bola tenis. Tepat terkena kepalanya. Dan lelaki itu Iqbal, abang Ishqal!

"Adoi!!"

“Hah... Tengok! Apa akak dah buat! Abang... abang... sakit ke?” kata Ishqal.

“Siapa yang baling bola ni tadi?” Iqbal bertanya dengan berang. Tangannya menggosok-gosok
kepalanya.

“Kakak tu yang baling. Entah apa pasal, main baling-baling orang pulak! Nasib baik tak kena mata!”

Marissa terpaku. Meminta maaf tidak. Buat pembelaan untuk dirinya pun tidak. Dia hanya menanti tindak balas daripada lelaki ini dahulu. "Hei cik adik. Tak ada kerja ke pagi-pagi main tenis dalam kedai. Nasib baik jugak kepala saya bertopi. Kalau tak..." Sampai situ kata-kata Iqbal apabila dia terperasan sesuatu. “Oh... awak yang beli buku tempoh hari tu kan?”

Belum sempat Marissa hendak menjawab, Ishqal telah menyampuk terlebih dahulu. “Yalah tu bang. Budak perempuan mana lagi yang berani buat fiil macam ni?”

Kali ini Marissa betul-betul berang. “Lebih baik awak bawak adik awak tu keluar sebelum saya naik angin lagi. Kalau tidak kerana dia, kepala awak tu pun memang terselamat daripada bola tenis tadi.”

“Eh, nak salahkan kita pulak. Dia yang baling bola tu kat abang, dia nak tuduh Ish pulak. Abang percayalah cakap perempuan kepala angin ni.”

“Okay... okay... you two enough! Enough is enough! Ish! Cepat pergi minta maaf. Kita pun ada kedai nak kena jaga. Bukan nak cari masalah pulak di sini.”

“Eh, apa pulak Ish yang nak kena minta maaf! Dialah yang patut minta maaf.”

“Ishqal... kepala abang dah benjol kena penangan bola tenis tadi. Abang memang tak ada mood nak bertekak kat sini. Cepat mintak maaf sebelum abang pulak yang naik angin!”

Marissa tersenyum puas mendengar kata-kata Iqbal. Padan dengan muka kau.

"Ish tak nak! Kalau Ish kena minta maaf dengan dia, dia kena minta maaf dengan abang dulu!"

Senyum di bibir Marissa serta-merta lenyap. Degil juga budak ni. Sebelum sempat Iqbal memaksa adiknya untuk meminta maaf, Ishqal sudah pun berlari keluar sambil mengejek Marissa.

“Lain kali, budak macam tu jangan dilayan.” Iqbal mengingatkan Marissa.

“Hey, excuse me... Siapa layan siapa? Sebab tak layan adik nakal awak itulah, dia baling bola tenis ke arah saya."

“Hanya orang yang sama-sama nakal aje yang mengatakan adik saya itu nakal. Jadi, cermin juga diri sendiri tu dulu ya!” jawab Iqbal sebelum melangkah keluar.

Umi Nor dan Marissa

Pagi itu tepat jam 9.45 pagi, barulah Marissa sampai ke
tempat kerjanya. Espariza Florist sudahpun dibuka. Sebaik sahaja melangkah masuk, Espariza memanggilnya ke bilik belakang. Ada hal yang hendak dicakapkannya. Balik ke tempatnya, Marissa dapati Ishqal dah terjengul di hadapannya. "Oppss... saya nak jumpa Espariza okey..." katanya sebelum menghilangkan diri ke belakang. Sebiji bola tenis yang menjadi punca pergaduhan mereka bulan lalu masih tak lekang dari tangannya. Apapun, Marissa tak ingin bermusuh dnegan Ishqal. Cerita Espariza mengenai kemalangan jalan raya yang menimpa keluarga Ishqal masih tersimpan di dadanya.


"Helooo Marissa! Kita ketemu lagi!"

Tiba-tiba satu suara menegurnya. Marissa menoleh. "Oh, Ummi Nor!"

"Good to see you back. Dari sehari ke sehari Umi nak singgah kedai Espariza ni tapi tak sempat! So, macam mana kerja di sini?" tanya Umi Nor penuh kemesraan.

"Okey Umi. So far, semuanya okey."

"Apa kata, tengah hari ni kita keluar makan bersama. Umi Noor belanja. Nanti Umi beritahu Espariza."

"Eh, tak apalah Umi... err... saya..." Marissa tercari-cari satu alasan. Walaupun mereka baru dua kali berjumpa, namun dia rasa kekok.

"Ah.. don't worry... Espariza mesti tak kisah. Sesekali Umi nak belanja. Apa salahnya."

Ketika itu terdengar suara ketawa Espariza dan Ishqal dari bilik belakang. "Siapa yang ada kat belakang tu?"

"Oh... itu Espariza dan Ishqal. Saya rasa Umi tentu kenal dengan Ishqal."

"Budak Ishqal tu... mananya Umi tak kenal... Baby boy Umi tu. Jom kita ke belakang."

"Tak apalah Umi. Saya ada kerja nak buat." Marissa cuba mengelak. Mujurlah Umi Nor tak paksa. Umi Nor menghilangkan diri ke bilik belakang.

Sekali-sekala telinga Marissa menangkap bunyi ketawa dari bilik belakang. Datang angin baik Cik Esparizalah tu. Dari pagi tadi lagi dia asyik ketawa sakan.

"Hah Marissa. Tengah hari ni kita bertiga keluar makan. Espariza dan bagi green light," kata Umi Nor muncul semula.

"Pergilah Riss. Biar saya jaga kedai," kata Espariza.

"Okey Espariza. Umi pun nak balik ke office. Lain kali Umi harap kita semua boleh keluar makan bersama. Marissa, pukul 1.00 nanti Umi datang."

Marissa menyambung kembali kerja-kerjanya yang terhenti tadi. Bila telefon berbunyi, Espariza minta Marissa tolong jawab. Hanya telefon bimbitnya sahaja yang tidak dibenarkan diusik. Telefon kedai memang tugas Marissa untuk menjawabnya.

"Espariza Florist."

"Hello... err..."

"Ya, helo..."

"Err... Marissa, adik saya ada kat situ tak?"

Oh patutlah berat nak cakap. Si Iqbal rupanya. Tahu pulak dia nama aku, fikir Marissa. "Dia ada di sini. Tengah tolong Cik Espariza." Ketika itu Ishqal melambai-lambai ke arah Marissa minta tidak diberitahu tentang kehadirannya di situ. Namun sudah terlewat. Marissa sudah beritahu pun. Espariza ketawa geli hati.

"Budak ni betullah. Kedai Espariza ni jugak yang dia pergi. Kedai orang dia tolong. Kedai sendiri tak nak jaga. Dah berpuluh-puluh kali aku pesan." Marah juga Iqbal nampaknya.

"Nak saya panggilkan dia?"

"Tak apalah. Tolong beritahu dia, kalau dia tak balik dalam masa 5 minit, elaun bulan ni saya potong!"

Gagang telefon diletakkan. Marissa mengulangi kata-kata Iqbal kepada Ishqal. Merungut-rungut Ishqal memarahi Marissa kerana memberitahu abangnya, yang dia ada di situ.

Eh nak salahkan aku pulak. Dah memang dia ada kat sini, takkan aku nak tipu pulak. Marissa turut mengomel. Tapi di hatinya sahaja. Ishqal meninggalkan Espariza dan Marissa dengan mulut yang masih merungut-rungut.

Tengah hari itu, seperti yang dijanjikan, Umi Nor datang menjemput Marissa. Malangnya, Ishqal kena jaga kedai. Sebagai gantinya, Umi Nor pula meminta Iqbal berjanji, supaya mereka dua beradik boleh datang makan malam di rumahnya pada hari Sabtu nanti.

Jadi tengah hari itu, hanya Umi Nor dan Marissa sahaja yang keluar makan bersama buat pertama kalinya. Tapi hari Sabtu nanti, Marissa turut dijemput makan malam rumah Umi Nor.
Seperti yang dijanjikan, Marissa, Diba, Espariza, Ishqal dan Iqbal datang ke rumah Umi untuk makan malam. Marissa sudah lama menahan kecur air liurnya. Kali terakhir dia dapat menikmati hidangan seenak di depan matanya itu ketika bersama keluarganya dahulu. Perut Iqbal pula sudah lama menahan lapar. Maklumlah, sejak tengah hari tadi lagi dia tidak sempat makan kerana sibuk dengan urusan kedainya. Ishqal pula terkejut bila Marissa datang bersama Diba yang jelita. Hanya gadis itu yang Ishqal nampak. Tiba-tiba dia seperti jatuh hati pada kawan Marissa itu. Espariza pula kalau boleh memang tak mahu datang seperti selalu. Namun kali ini, jemputan Umi Nor dipenuhi keranan diadakan hanya untuk sesama mereka sahaja.


"Maaf, tentu semua dah lapar ni. Mari kita jamu selera. Hidangan kegemaran Espariza dan Ishqal pun ada Umi sediakan." Umi Nor mengambil tempat duduknya.

Tidak seperti yang lain, menanti Umi Nor mengambil sesuatu terlebih dahulu, Ishqal dah pun mengambil empat ekor udang galah bakar ke dalam pinggannya.

"Tengok tu budak ni. Tak sabar-sabar." Iqbal menegur adiknya disambut dengan ketawa Umi Nor dan Espariza. Umi Nor menambahkan tiga ekor udang galah bakar lagi ke dalam pinggan Ishqal. "Makan Ish. Memang Umi tahu Ish suka udang galah bakar. Ada banyak lagi di dapur tu. Hah, makan. Jangan segan-segan."

Umi Nor kemudian menghulurkan spageti yang dimasak ala Itali dengan resepi tempatan kepada Diba. Tapi Diba menolaknya dengan lembut. Perutnya tak biasa makan benda-benda macam ni. Diba sebaliknya mencedok nasi yang disangkanya nasi goreng itu.

"Itu nasi jagung masak Jordan," kata Umi Nor dengan ramah dan senyum.

Marissa pula lebih kurang sama dengan Ishqal. Kalau tak pun lebih tertib sikit dari Ishqal. Dia makan apa sahaja yang dia nak makan. Espariza biasa sahaja. Sama seperti Iqbal. Makan penuh tertib dan sopan. Budak Ishqal... hemm... tak usah cakaplah. Dalam pada hatinya telah tertawan pada Diba, makan tetap makan. Tak ada malu-malu. Errpp... hah... itupun satu sendawa besar dah dilepaskannya. Tak senonoh betul! Segera Ishqal memohon maaf kepada semua.

Ketawa besar Umi Nor dan Espariza dibuatnya. Tapi bila Marissa turut tertawa, tiba-tiba semua terdiam. Kali ini, mereka pula terkejut dengan bunyi ketawa Marissa! Hah kau... Marissa perasan, tapi dia pun dah biasa dengan reaksi sebegitu. Lebih-lebih lagi mereka yang baru pertama kali mendengar ketawanya.

Hampir pukul 11.00 malam, Espariza minta diri untuk pulang dulu. Begitu juga dengan Diba dan Marissa. "Umi, malam dah larut benar ni. Kami minta diri dulu." Marissa segera meminta diri untuk pulang.

"Hah... Umi jangan susah-susah. Abang Iqbal boleh tolong hantarkan balik sekali. Bolehkan bang?" Ishqal memandai-mandai membuat keputusan sendiri.

"Eh, tak payah susah-susah. Terima kasih aje. Kami boleh balik sendiri." Segera Marissa menolak.

"Apalah akak ni. Dah terlanjur kita orang nak balik ni, bolehlah kita orang hantar sekali. Tak payah nak susahkan Umi!" Sekali lagi Ishqal menyibuk. Marissa dah naik bengang. Ishqal budak yang perlu dijauhi. Bukan didekati.

"Diba tinggal di mana?" tanya Iqbal.

"Taman Bunga Raya, bang." Sampai tersasul-sasul Diba memanggil Iqbal abang.

"Kalau begitu, kami memang lalu jalan ke perumahan itu. Kalau Umi tak keberatan, biar saya hantarkan mereka pulang."

"Is it okay for you girls?" Umi Nor bertanya, ingin memastikan Marissa dan Diba tak terasa dipaksa pula.

"Oh, Umi... no problem at all. Siapa aje boleh hantarkan kami pulang. Asalkan kami selamat, itu yang pentingkan Umi?"

Lain sekali bunyi kata-kata Marissa. Diba dapat mengesannya tetapi tidak yang lain. Alih-alih sahaja bersetuju tanpa banyak songel? Mesti ada apa-apa.

Marissa yang masih menyimpan marahnya tadi, telah merancang sesuatu di fikirannya. Tunggulah kau budak! Tengoklah nanti...

No comments:

Post a Comment