Tuesday, August 10, 2010

Cinta Marissa - 2

Lebih kurang dalam tempoh sembilan bulan, sudah empat kali Marissa bertukar tempat kerja. Gawat tak gawat, tapi kata hatinya lebih penting. Marissa tidak takut. kerja tak kerja, hidup ini memang ada risiko. Makan tak makan, pandai-pandailah dia nanti.

Tugasnya yang pertama di Bandar Melaka sebagai kerani di sebuah syarikat percetakan cuma mampu bertahan selama dua bulan. Seminggu selepas diberhentikan, dia bekerja di sebuah kilang sebagai operator pengeluaran. Tidak sampai sebulan, Marissa cabut begitu sahaja. Marissa lalu memohon kerja di sebuah restoran makanan segera. Di sini dia dapat bertahan selama empat bulan sebelum rakannya Adiba atau panggilan manjanya Diba mengajak dia bekejra di sebuah restoran bertaraf eksklusif di pinggir bandar. Kini sekelip mata, Marissa kembali jadi penganggur. Rakannya Diba, digantung tugas selama dua minggu tanpa gaji.

Tidak seperti Diba yang terus pulang menaiki bas, Marissa mengambil keputusan untuk berjalan-jalan di kaki lima rumah-rumah kedai yang berderet di sepanjang jalan. Biar perasaannya sejuk. Biar marah Diba padanya reda dahulu.


Terus-terang Diba menyalahkannya atas apa yang berlaku. Itu Marissa pasti dan tidak sedikitpun berasa tersinggung. Memang Diba patut menyalahkannya di atas insiden yang berlaku. Atas tindakan Marissa, Diba turut menanggung akibat. Dua minggu digantung kerja, bererti dua minggu tidak ada gaji. Dua minggu tak ada gaji, susahlah Diba. Marissa bukan tak kenal latar belakang keluarga Diba yang serba kesempitan. Sebagai anak sulung, keluarga Diba banyak bergantung kepadanya. Dan sekarang mengenangkan perkara yang satu ini, tiba-tiba perasaan bersalah bergelodak dalam diri Marissa.

Di sebuah pondok perhentian bas, Marissa duduk seketika melepaskan penat. Rupa-rupanya hampir sejam dia berjalan-jalan tanpa tujuan melayani perasaan. Jam di tangan menunjukkan pukul 11.30 pagi. Ketika inilah baru Marissa terasa dahaga. Dia memerhatikan ke sekeliling. Di seberang jalan kelihatan sebuah restoran. Dengan langkah malas, Marissa menarik kakinya ke sana.

Restoran Selera Ramai tidak ramai pengunjung yang kelihatan. Aroma ikan yang baru digoreng menusuk hidung Marissa. Hasratnya untuk sekadar membasahkan tekak terbantut. Sudah terlanjut masuk waktu tengah hari ini, elok juga kalau aku mengisi perut di sini sahaja.

Sambil makan, sesekali mata Marissa tertumpu ke arah sederet kedai-kedai di seberang jalan sana. Kedai-kedai yang telah dilaluinya tadi. Tiba-tiba matanya tertumpu kepada sebuah kedai bunga di situ - ESPARIZA FLORIST. Marissa tiba-tiba teringatkan Diba. Gadis itu amat suka pada bunga-bunga segar. Mungkin Marissa boleh belikan sekuntum bunga untuk Diba sebagai tanda maaf dari Marissa. Mudah-mudahan terubat sikit marah Diba padanya nanti. Segera Marissa menghabiskan nasinya sebelum menuju ke kaunter bayaran.

Setelah baki sepuluh sen wangnya dipulangkan, Marissa terus menyeberang jalan menuju ke kedai bunga yang dilihatnya tadi. Beberapa langkah sebelum sampai di hadapan kedai, Marissa memeriksa dompetnya. Tinggal RM 8.00. Mungkin cukup untuk sekuntum bunga ros. Setahu Marissa, kalau hanya sekuntum bunga ros merah tanpa hiasan, seringgit pun boleh dapat.

Di hadapan pintu kedai, sekali lagi Marissa terhenti. Sehelai kertas tertampal di satu sudut sudut cermin kaca kedai bunga itu menarik perhatian Marissa.

JAWATAN KOSONG
PEMBANTU KEDAI DIPERLUKAN SEGERA.
BOLEH BERTUTUR DALAM BAHASA INGGERIS

"Ah kak. Kat sini ada kerja kosong. Kalau nak, jangan tunggu lagi. Saya boleh recommendkan," tegur seorang pemuda tiba-tiba.

Belum sempat Marissa menoleh ke arahnya, pemuda itu telah pun masuk ke dalam kedai bunga berhawa dingin itu. Marissa tercegat seketika. Entah siapa budak tadi. Main sapa-sapa orang sahaja. Hemm... Marissa melangkah ke dalam. Hanya seorang pemuda yang kelihatan di dalam kedai itu. Mungkin remaja lelaki yang menegurnya tadi.

"Kak nak cari kerja ke nak beli bunga?" tegur pemuda itu tiba-tiba.

"Kedua-duanya."


"Wah! Nak beli dan nak cari kerja? Pertama kali saya jumpa orang macam kakak. Selalunya yang datang, sama ada nak beli bunga aje atau nak tanya pasal kerja aje. Nanti kejap ye kak. Cik Esperiza! Ada orang datang nak cari kerja dan nak beli bunga ni!" jeritnya tiba-tiba.

"Apa?" Satu suara kedengaran dari bilik belakang.

"Ah... Tak apalah! Kak ada bawa sijil?"

"Sijil? Err... hari ni saya tak bawa. Nanti.." Kata-kata Marissa terhenti apabila seorang gadis tiba-tiba muncul dari bilik belakang. Kecil molek orangnya tapi sungguh cantik berbaju kebaya biru.

"Apa kata Ish tadi?" tanyanya kepada pemuda itu sambil memasang subang di telinga. Sebaik terpandangkan Marissa, tanpa menanti jawapan daripada pemuda itu, gadis itu terus bertanya pula kepada Marissa.

"Ya cik. Nak beli bunga ke?"

"Dia nak cari kerja dan nak beli bunga." Pemuda itu menjawab bagi pihak Marissa.

"Oh.. pembantu kedai ya? Ada..."

Tiba-tiba deringan telefon mematikan kata-katanya.

"Sekejap ya." Gadis berkebaya biru itu meminta diri.

Sementara gadis itu menjawab panggilan, Marissa memerhatikan bunga-bunga yang ada. Bunga-bunga plastik pun ada dijual di sini.

"Hisy, I kena pergi sekarang. I betul-betul dah terlewat ni. You tolong jaga kedai I baik-baik. I owe you satu dinner."

"Okey... you jangan risau. Everything will be just fine. Just enjoy yourself okay."

"Cik, kalau cik nak minta kerja, boleh cik datang semula esok pagi?" Kepada Marissa, gadis yang kelihatan jauh terlalu muda sebagai tauke kedai bunga ini bertanya.

"Pukul berapa perlu saya datang?"

"Err... let me see. Err... pukul 10.00 pagi esok boleh?"

"Baiklah. Saya datang pukul 10.00 pagi esok," jawab Marissa penuh yakin tapi hatinya tidak pasti.

"Jangan lupa bawa sijil-sijil yang berkaitan sekali ya. Okey, jumpa esok pagi. Ish, I pergi dulu."

"Yep. Jalan baik-baik."

Gadis itu berlalu pergi, meninggalkan Marissa bersama-sama pemuda bertopi. Tanpa membuang masa Marissa terus bertanya. "Gadis itu tauke kedai bunga ini ke?"

Pertanyaan Marissa tidak dijawab. Pemuda itu rupa-rupanya masih merenung gadis berbaju kebaya biru di balik pintu kedai. Kalau dah dasar lelaki. Angau betul budak ni, dengus hati Marissa. Dia lalu memilih sekuntum bunga ros. Diciumnya terlebih dahulu. Hemm.. harum mewangi.

"Orang perempuan memang suka bunga ros. Kenapa agaknya?" Mungkin, dah puas menjengah ke luar melihat gadis idamannya, barulah tumpuan pemuda itu beralih kepada Marissa.

Tanpa menjawab soalan itu, Marissa sebaliknya bertanyakan harga bunga itu.

"Oh yang tu... kalau tak silap RM3.50."


"RM3.50? Biar betul! Mahal nak mampus!"

"Wuishh dahsyat! Mahal nak mampus katanya. Bunga ros, kan memang mahal. Kalau tak percaya, pergilah tanya kedai-kedai lain."

Marissa meletakkan kembali bunga ros itu ke tempatnya. Tak jadi hendak membelinya.

"Okeylah kak. Dengan kak saya jual RM2.50."

"Tak apalah. Terima kasih aje." Marissa terpaksa membatalkan hasratnya untuk menghadiahkan sekuntum bunga buat Diba. Marissa menolak daun pintu, bersedia untuk pulang.

"Kak! Bunga lain ada. Tak nak ke?"

Marissa terus melangkah keluar tanpa menghiraukan pertanyaan pemuda itu. Ketika sampai di pondok hentian bas, hati Marissa teringatkan Diba. Ketika ini Marissa ternampak sebuah bas dengan papan tanda 'BANDAR' sedang menghala ke arahnya. Marissa mempunyai masa beberapa saat sahaja untuk membeli bunga itu jika dia betul-betul ingin membelinya.

Sekelip mata Marissa bergegas kembali ke Espariza Florist. Marissa tidak punya banyak masa untuk berbicara. Wang tiga ringgit diletakkan di atas meja. Kemudian dia menarik sekuntum bunga dari bekasnya lalu lintang-pukang berlari mengejar bas. Mujurlah ada penumpang yang turun dan naik. Jika tidak, entah berapa lama lagi Marissa kena tunggu kedatangan bas yang berikutnya.

Di dalam bas, Marissa melepaskan mengah. Dan hanya di dalam bas jugalah, baru Marissa tersedar, bunga yang dicapainya bukan bunga ros. Rupa-rupanya bunga carnation!

Puan Sri Umi Noor

JAM sudah menunjukkan angka 10.17 minit pagi. Marissa sampai di hadapan Espariza Florist dengan keadaan terkocoh-kocoh. Malangnya, kedai bunga itu belum dibuka lagi. Dia menarik nafas panjang sambil mengeluh. Marissa mundar-mandir seketika sebelum terserempak dengan seorang wanita separuh umur yang baru melangkah keluar dari kedai sebelah.

“Err... tumpang tanya kak. Kedai bunga ini tak dibuka ke hari ini?” Entah sapa-sapa, Marissa main tanya. Apa pun, wanita itu memberhentikan langkahnya. Penampilan dirinya agak bergaya seperti Mak Datin.

“Oh... Espariza tak buka lagi kedainya? Auntie pun tak tahu.Tapi... selalunya, waktu-waktu begini, dia dah buka kedainya,” jawab wanita itu dengan ramah. “Anak ni, pekerja baru Espariza ke?”

“Tak. Saya baru nak minta kerja. Saya diminta datang pukul 10.00 pagi ni.”

“Espariza sendiri yang suruh datang?”

Marissa mengangguk walaupun dia sendiri tak berapa pasti nama sebenar gadis berkebaya biru semalam.

“Kalau Espariza sendiri yang suruh datang, pasti dia ada di atas. Cuba tekan locengnya.”

“Loceng?” Marissa panik.


“Espariza tinggal di atas rumah kedainya. Itu loceng kat tepi tembok tu. Nanti auntie tolong tengokkan.”

“Tak apa kak. Lain kali aje saya datang.”

Tapi wanita yang membahasakan dirinya dengan panggilan auntie itu telah pun menekan loceng.

"Jangan risau, kalau Espariza berjanji, selalunya ditepati. Ini dia mesti terlupa." Sekali lagi wanita itu menekan loceng.

"Tak apa kak. Menyusahkan akak aje."

"Tak ada menyusahkannya. Oh ya nama auntie, Norzaiton. Jangan panggil kak. Auntie dah tua. Panggil Auntie Nor. Nak panggil Umi Noor pun boleh. Dan anak ni, nama siapa?

"Saya Marissa."

"Hah! Itupun Espariza dah balik. Kan Umi dah kata. Esperiza ni kalau kita buat janji dengan dia, jarang dia tak tepati. Melainkan kalau dia ada hal yang tak dapat dielakkan."

"Hai Umi! Ah kak. Maaf saya terlambat sikit." Espariza bersalaman sambil mencium tangan Umi Noor. Selepas itu dia bersalaman pula dengan Marissa.

"Okeylah. Marissa pun dah jumpa Espariza. Umi minta diri dululah."

"Terima kasih Umi. Mengganggu urusan Umi aje pagi ni."

Espariza membuka pintu kedainya. "Okey, untuk hari ni, saya cuma tunjukkan tugas-tugas yang perlu dilakukan. Tentang gaji, nanti kita runding," kata Espariza tiba-tiba. Marissa tercengang.

"Err... cik..."

"Semalam kata Ishqal, dia dah janji nak bagi kerja ni pada akak kan?"

"Ishqal?" Marissa hairan.

"Ishqal kata dia dah buat temuduga bagi pihak saya. Dia kata, akak boleh buat gubahan bunga, ada lesen kereta dan motor serta pernah bekerja sebagai pengemas pejabat."

"Lesen motor, pengemas pejabat?" Terkejut lagi Marissa dibuatnya. Budak Ishqal mana yang pandai-pandai buat cerita?

Seketika Espariza dan Marissa berpandangan.

No comments:

Post a Comment