Sunday, August 29, 2010

Bukan Cinta Biasa - 25

Wajah Azimin yang redup dan sentiasa tenang itu, menggamit perasaan.
Walaupun sampai saat ini Siti sendiri tidak tahu perasaan apakah yang
ada dalam hatinya.Sukakah. Bencikah. Atau terpaksa....dia sendiri
keliru. Dia sudah melangkah dua tapak ke hadapan dan untuk berundur
walau setapak pun dia sudah tidak mampu. Cinta dan kehidupannya telah
diatur kini. Hari-hari bahagianya akan menjelang tiba. Kalau itulah
yang dikatakan bahagia. Dia tidak tahu kenapa dalam hidupnya selalu
diberi pilihan yang tidak adil. Memilih atau tidak, keadaannya tidak
banyak beza. Terima atau tolak, kedua-dua pasti menjerut lehernya juga.
Kalaulah dulu dia terima saja lamaran Huzair. Tidak perlu dia
menghadapi semua ini. Mungkin saat ini dia juga sedang menanti hari
bahagia. Bezanya dengan Huzair, yang terang-terang mencintainya. Bukan
dengan Azimin yang dia sendiri tidak tahu hati budinya. Ikhlaskah dia.
Relakah dia. Atau semuanya dilakukan untuk memenuhi hasrat Maria
semata-mata. Adakah masing-masing terpaksa?

Teksi terus meluncur laju, dengan keadaan hujan yang semakin lebat.
Siti memeluk tubuh, cuba mengimbangi kedinginan penghawa dingin.
Sesekali dia memejamkan mata. Membayangkan wajah-wajah yang berada
disekelilingnya. Wajah-wajah yang menuntut pengorbanannya. Wajah
pengharapan. Wajah Wari yang muncul, menyapu semua wajah. Rindunya
pada Wari, tapi apalah gunanya dia menyimpan perasaan itu lagi.
Semuanya sudah tidak bererti. Apa yang mampu dia lakukan, cuba sedaya
upaya mengalihkan perasaannya dari Wari kepada Azimin. Kalaulah itu
yang mampu dia lakukan.

Teksi berhenti depan rumah. Siti membayar tambang, lantas buru-buru
keluar. Nasib baik dia bawa kunci rumah. Kalau tidak, berhujanlah dia
diluar. Mak Ungku dan Maria pasti masih belum terjaga. Hujan-hujan
begini alangkah seronoknya dapat melengkar bawah selimut. Sampai ke
tengahari pun tak apa. Siti masuk ke ruang tamu dengan kaki dan kain
yang masih basah. Dia menjengket ke dapur, mencari alas kaki. Tubuhnya
sedikit menggigil, cepat-cepat dia masuk ke bilik, mencapai tuala.
Diserkup rambutnya yang masih menitiskan manik-manik jernih. Pakaian
dilucutkan satu persatu. Hanya tinggal tuala membalut tubuh. Dia
mencapai kain batik lalu disarungkan ke tubuhnya. Hujan-hujan begini
memang sejuk hendak mandi. Tapi dia selalu ingat pesan emak dulu-dulu.
Kalau ditimpa hujan, jangan lupa mandi dan cuci kepala bila pulang ke
rumah. Supaya tidak diserang demam atau pening. Siti ingin cepat-cepat
mandi dan naik ke atas menjenguk Mak Ungku dan Maria. Keadaan Maria
yang masih tidak berubah sejak keluar dari hospital seminggu yang
lalu. Malah semakin melarat sampai makan dan minum pun terpaksa disuap.
Siti baru teringat pagi itu dia belum sempat memasak bubur untuk Maria.
Entah Kartini sudah sampai atau belum. Mungkin belum kerana hujan lebat
di luar. Biasanya kalau hujan lebat begini, Kartini akan telefon
meminta Pak Amin datang menjemput. Tapi pagi ini, Siti sendiri tidak
perasan samada Pak Amin sudah pulang ke rumah atau belum. Dalam keadaan
terkocoh-kocoh tadi, dia tidak sempat melihat ke garaj kereta,
kalau-kalau ada kereta yang selalu dipandu Pak Amin. Yang dia yakin,
kereta Azimin tidak ada, kerana dia sendiri yang melihat lelaki itu
telah ke pejabat pagi-pagi tadi.

Siti mengutip pakaian basahnya. Bakul kain kotor yang separuh penuh,
di pikul tepi pinggang. Rasanya pakaian kotor tersebut perlu cepat
dibasuh. Mana tahu esok lusa hujan lagi. Bila masa pula dia hendak
menjemurnya. Hujung minggu pula sudah pulang ke kampung. Kak Melah yang
diharap untuk membawa beg-beg pakaiannya pulang ke kampung entah kan
datang atau tidak. Siti keluar dari bilik, menuju ke dapur. Bilik air
terletak bersebelahan dapur, harus melewati bilik kecil yang dikhaskan
untuk pembantu rumah. Bilik tersebut memang tidak ada penghuninya,
tetapi Kartini menjadikannya sebagai bilik persalinan. Kadang-kadang
Siti lihat Kartini tidur di bilik tersebut waktu tengahari selepas siap
memasak. Bilik tersebut walaupun hanya untuk orang gaji, tetapi luas
dan lengkap dengan perabutnya. Tidak banyak beza dengan biliknya
sendiri. Siti memperlahankan langkahnya. Matanya melingas, melihat
cahaya samar-samar dari celah pintu yang tidak tertutup rapat. Deru
hujan membataskan pendengaran. Tapi dia bagaikan dapat menangkap
suara-suara lirihan dari arah pintu sana.

"Kartini sudah sampai ke?"Bisik hatinya. Diletakkan bakul kain di atas
lantai depan pintu. Suara mendesah semakin jelas. Hati Siti jadi
berdebar. Tangannya terketar saat menghampiri pintu. Lirihan halus
berselang seli rengekan kecil. Jelas sekali. Siti berdiri sejenak.
Menatap daun pintu seketika. Dia nekad. Pintu ditolak sekuat hati
sambil mata dipejamkan. Takut pada apa yang bakal dilihat.

Dua tubuh tanpa seurat benang sedang bergelut di atas katil sana.

"Ya Allah!" Jeritan kecilnya mengejutkan tubuh yang sedang bersatu
itu. Siti tergamam.

Kartini menolak tubuh Azimin yang sedang menindihnya. Dia buru-buru
mencapai pakaian dan bergegas menutup tubuhnya. Azimin pula langsung
tidak bergerak. Dia terkaku dengan wajah pucat. Siti menggeleng. Tidak
sanggup dia menunggu lagi. Bakul kain tersepak oleh kakinya. Dan
pakaian basah jatuh berselerakan.


****************************************************

Biarlah apa mereka nak kata!

Sudah dua hari Siti berada di sini. Memerhatikan anak-anak ikan yang
meliuk di permukaan air jernih. Anak-anak ikan yang tetap sama seperti
dulu. Sama seperti waktu dia di situ, bersama Huzair.
Ah...Huzair.Terlalu lama rasanya dia tidak berpampasan dengan anak muda
itu. Menghilang teruskah dia? Tidak mahu kembali lagi ke kampung ini
lagikah dia? Ahh...perlu apa dia kembali. Tempat ini tidak punya
apa-apa. Hanya anak ikan dan air sungai yang mengalir jernih. Hanya
pohon jambu yang saban hari menggugurkan daunnya yang kering. Hanya
semut-semut hitam yang berderet di celah-celah daun kering. Pun semua
itu tidak mendamaikan lagi saat dia telah pergi. Huzair tidak perlukan
semua ini, cintanya telah dibawa pergi.

Biarlah emak mencarinya. Atau Shidah dan Murni yang mengejarnya. Dia
bukannya ke mana-mana. Dia cuma di sini. Di bawah pokok, di tepi
sungai. Batu tempat dia berpijak dulu pun sudah banyak berlumut. Sudah
hijau dan berbau hamis. Kalau berdiri di situ boleh jatuh tergelincir.
Jatuh terhempas bagai hatinya saat itu.

Siti tidak tahu perasaannya. Dia tidak sedih atau kecewa. Cuma dia
rasa sedikit bingung dengan tindakannya. Tapi, apa lagi yang boleh dia
lakukan? Meninggalkan rumah besar itu tanpa pesanan, mungkin
satu-satunya tindakan paling awal dia fikirkan. Cukup dengan sekeping
surat, rasanya dia tidak mahu jejak kaki lagi ke rumah itu. Hatinya
tekad. Dalam hujan yang menggila itu, dia capai barang-barangnya.
Sumbat semua pakaian yang ada. Dia dengar suara Azimin memanggilnya.
Tapi persetan! Dia tidak cemburu. Dia tidak cemburu melihat Azimin
mengulit perempuan itu. Tapi dia begitu geram. Marah dan rasa terhina.
Menyaksikan pelakuan munafik itu, mungkin akan menjadi salah satu
perkara jijik dalam hidupnya. Dia tidak dapat bayangkan bagaimana
lelaki kotor itu harus menjadi suaminya.

Biarlah berbuih mulut emak bertanya, dia tetap dengan keputusannya.
Biarlah walau kad jemputan telah dilayang. Dia tidak akan melalui hari
pernikahan tersebut. Semuanya batal!

"Tinggal dua minggu lagi, Siti....semua persiapan dah dilakukan....kad
dah edar.."Mak Jah menggeleng kepala. Sudah kering tekaknya memarahi
Siti.
"Ampunkan Siti, mak...Siti tak nak!"
"Tapi kenapa?"
"Siti...."Dia terhenti. Tidak berani untuk berkata-kata lagi.

Biarlah semua orang tertanya-tanya. Semua orang membenci tindakannya.
Dan walaupun dia tahu tindakannya itu hanya akan memalit rasa malu
kedua orang tuanya, tapi rasanya itu saja jalan terbaik baginya.
Biarlah orang kampung mengata. Dia lebih rela mendengar itu semua dari
berhadapan dengan lelaki dua muka itu. Tapi hari-hari melihat wajah
sugul emaknya, Siti jadi tak sampai hati. Melihat mata berkaca orang
tua itu, Siti jadi bersalah yang amat sangat. Lantas suatu pagi, Siti
mendapatkan emaknya yang sedang termenung atas pangkin bawah pokok
nangka. Didakapnya tubuh tua itu sepenuh hati. Air mata luruh di pipi
tua Mak Jah.

"Maafkan Mek Ti, mak....."Siti hela nafas lega, sebaik dia selesai
bercerita. Terasa ringan kepalanya setelah apa yang terpendam
diluahkan. Mak Jah mengangguk lemah. "Maafkan Mek Ti kerana malukan
mak...bapak..."
"Tak Siti....Siti tak malukan siapa-siapa..."Mak Jah peluk tubuh Siti
erat-erat. Dia faham. Dia faham perasaan anaknya. Dia tidak kisah,
walau berhabis wang harta, walau tebal muka dikata. Siti tidak jadi
kawin, dia sudah tidak kisah lagi. Biarlah dia sekeluarga menanggung
malu seketika daripada membiarkan Siti menderita.

No comments:

Post a Comment