Sunday, August 22, 2010

Bukan Cinta Biasa - 24

"Kak Mar tu dah gila ke Ma?"Wari bangun dari kerusi. Hatinya panas,
bagai disimbah dengan api.
"Kenapa ni, Wari?"Mak Ungku pandang wajah Wari yang memerah. Terkejut
dia bila tiba-tiba Wari masuk ke bilik dan marah-marah begitu.
Semalaman dia tidak pulang ke rumah, balik-balik terus meninggikan
suara.
"Wari dengar Azimin nak kawin dengan Siti?"Wari berpaling, menatap
wajah ibunya. Mak Ungku mengeluh.
"Betul ke Ma?"
"Kenapa Ri tak tanyakan sendiri pada Maria?"
"Wari pergi ke hospital tadi. Kak Mar belum sedar lagi. Lagipun Azimin
dengan Siti pun ada kat sana...."
"Habis tu, kenapa tak tanyakan pada Azimin?"Wari mendengus.
"Saya nak tanya pada Mama...betulke diorang tu nak kawin?"Wari
berganjak ke arah Mak Ungku.
"Emm....dah Maria yang minta begitu..."
"Tapi, kenapa?"

Mak Ungku menggeleng. Dia sendiri sukar untuk menjawabnya. Biarlah
Maria saja yang menerangkan kepada adiknya ini.

"Takkan Kak Mar senang-senang bagi Azimin kawin. Kak Mar kan tengah
sakit..."
"Wari...."Mak Ungku sentuh bahu Wari. "Ini atas persetujuan Maria
sendiri. Dia mahu suaminya berkahwin lain. Maria dah lama sakit, Wari.
Azimin pula perlukan seseorang yang dapat menguruskannya. Mama dah cuba
pujuk Maria, tapi dia tetap bertegas. Dia mahu Siti jaga anak-anak
dia..."
"Tapi kenapa Siti, Ma?"
"Kenapa? Wari tak suka ke? "Mak Ungku renung sayu wajah Wari. Dia
bagai dapat meneka hati anaknya itu.
"Kenapa tak orang lain?"
"Wari sukakan Siti?"Wari mendongak. Bibirnya kelu tiba-tiba. Dia tarik
nafas panjang. Kalaulah Mamanya tahu!
"Kenapa Kak Mar sanggup bermadu?"Wari tekup muka dengan tapak tangan.
Diraup wajahnya beberapa kali. Yang sebenarnya, dia tidak kisah kalau
Azimin ingin berkahwin lagi. Dia sendiri tahu, keadaan Maria yang tidak
mengizinkannya untuk melayan suaminya. Tambahan, Maria sudah tidak
mampu melahirkan zuriat. Sebagai lelaki, Azimin ada hak untuk
berkahwini lain. Tapi kenapa memilih Siti. Bukankah ramai lagi
perempuan lain yang boleh dijadikan isteri. Kenapa mesti Siti?
"Siti setuju?"Mak Ungku menggeleng.
"Mama tak tahu..Wari tanyalah dengan Siti sendiri..."

Wari tekup mukanya. Dia rasa benar-benar kecewa. Patutlah Siti
menjauhkan diri darinya. Rupa-rupanya kasihnya telah beralih arah.
Andainya benar begitu!

****************************************************

Maria menggenggam tangan Siti erat. Siti rasakan kedinginan tangan
itu. Tapi hatinya sedikit gembira. Maria sudah mula sedar, dah bibir
lesunya masih mampu mengukir senyuman walaupun tampak payah benar. Siti
berganjak mendekatkan telinganya ke mulut Maria. Mulut Maria
bergerak-gerak membisikkan sesuatu.
"Abang Min......"
"Abang Min keluar makan, Kak Mar....dengan Didi dan Fifi..."Siti
tersenyum.
"Siti... tak makan?"
"Belum...."Siti menggeleng. "Siti nak temankan Kak Mar. Tapi Siti dah
minta abang Min bungkuskan untuk Siti..."Siti urut-urut tangan Maria.
Wajah Maria sudah tidak sepucat tadi.
Maria merenung Siti lama. Air matanya mengalir menuruni pipi.
Cepat-cepat Siti sapu dengan tuala kecil. Renungan Maria begitu sayu,
menusuk ke tangkai hati. Perlahan, dia menarik tangan Siti ke dadanya.
"Siti...janji...jaga Didi dan ....Fifi....ye.."Suaranya tersekat-sekat.
"Kak Mar..jangan banyak cakap. Kar Mar masih lemah....akak rehat la
dulu......"Siti membetulkan kedudukan bantal. Diperkemaskan selimut
yang membalut tubuh Maria.
"Siti...."Maria bersuara lirih.
"Bila akak dah tak ada nanti.....Siti jaga Didi...Fifi...abang Min.."
"Syyyy...."Siti menutup mulut Maria dengan jari telunjuk, menggeleng
kepala. "Kak Mar jangan bimbang...Siti akan jaga mereka..."Maria senyum.
"Siti....terima abang Min..?"Matanya membesar, tampak keriangan pada
riak wajah itu. Siti menggangguk.
"InsyaAllah....."Balas Siti perlahan. Hanya itu yang mampu dia
katakan. Dia tidak mahu hati Maria terlalu rungsing memikirkan perkara
itu. Biarlah dia berkorban dan terima saja. Asalkan itu dapat
menggembirakan Maria.

"Terima kasih Siti..."Dia tersenyum gembira.


***********************************************
Hati Wari sebal melihat barang-barang perhiasan yang tersusun cantik
di ruang tamu. Ada gubahan bunga, kotak-kotal kecil berenda, dan
mangkuk-mangkuk kaca yang berhias manik-manik halus. Semuanya tersusun
indah. Menggamit setiap mata yang memandang. Setiap kali pulang ke
rumah, dan melihat semua itu, hati Wari bagai disiat-siat. Dia jadi
panas. Ingin saja dia menjerit memberitahu seisi rumah tentang hatinya.
Tentang marahnya. Tapi lidahnya kelu. Dia berasakan perasaannya begitu
membuak, tapi semuanya hanya terpendam. Ingin marah, tapi pada siapa.
Pada Siti, atau Azimin, atau Maria sendiri? Sedangkan Siti sendiri
merelakan. Azimin apatah lagi. Maria pula, dia yang mencadangkan!
Aggghhhh....apa haknya untuk menghalang!

Sakitnya hati melihat kemesraan mereka berdua. Saban petang bersama.
Makan bersama. Keluar bersama. Tergamaknya mereka bersuka ria begitu
dalam keadaan Maria terlantar di katil. Sampai hatinya mereka! Tidakkah
mereka sedar, perbuatan mereka itu hanya akan mengguris perasaan Maria.
Maria yang sedang berjuang dengan nyawanya, dan mereka berdua masih
sempat keluar mencari barang-barang perkahwinan mereka? Manusia apakah
Azimin itu? Jenis suami apakah dia? Tidak terfikirkah dia pada
saat-saat seperti itu tempatnya adalah di sisi Maria. Memberi semangat
dan kata-kata harapan kepada isterinya itu. Bukannya mengulit gadis
lain, dan berseronok-seronok begitu.

Wari tidak percaya kalau Siti sendiri merelakan. Dia dapat merasakan
perasaan Siti yang berperang. Gadis itu tak sepenuhnya rela. Dia tahu.
Dia tahu hati Siti masih padanya. Sinar matanya masih seperti dulu,
walaupun sengaja dielakkan. Walaupun dia tampak gembira bersama Azimin.
Tapi Wari yakin, semua itu pura-pura. Kenapa Siti harus mensia-siakan
masa depannya demi memenuhi permintaan orang lain?

"Siti...."Wari nekad untuk mencelah masuk ke bilik Siti pada suatu
pagii. Terkejut gadis itu dengan kemunculannya.
"Wari, kenapa masuk sini, tak manis kalau orang nampak...."Siti
sedikit gelisah. Dia berganjak ke belakang.
"Maafkan Wari.."Wari berdiri di tepi pintu. "Wari perlu bercakap
dengan Siti...."
"Cakap apa...cepatlah...nanti Kartini nampak macamana..."Siti mengeluh.

Wari menghampiri Siti. Berdiri betul-betul di depan gadis itu.
Wajahnya sedikit sayu, merenung tunak ke mata Siti.

"Kenapa Siti buat ni semua?"
"Buat apa?"
"Kenapa Siti korbankan perasaan Siti semata-mata untuk kebahagiaan
orang lain?"Siti menunduk. Dia kertap bibirnya sampai sakit.
"Kenapa Siti berubah?"
"Siti tak berubah apa-apa pun...."
"Termasuk perasaan Siti?"Wari mengeluh. "Wari tahu, perasaan Siti tak
akan berubah. Siti masih seperti dulu, hati Siti masih pada...."
"Siti tak nak cakap pasal ni.."Siti berpaling.
"Siti..."Wari tangkap pergelangan tangan Siti. Ada sedikit rontaan di
situ. "Berterus teranglah pada Wari. Siti tak akan mengahwini
Azimin..."Siti menggeleng."Siti tidak cintakan Azimin bukan? Jangan
ikutkan sangat permintaan Maria..."
"Siti lakukan dengan kerelaan Siti sendiri..."
"Mustahil!"Wari mendengus. Genggaman dilepaskan. "Mustahil Siti boleh
cintakan Azimin sekelip mata."
"Cinta boleh dipupuk, Wari....."Siti mendongak, kembali menghadap Wari.
"Ohh...jadi sekarang ni tengah memupuk cinta dengan Azimin? Laki orang
beranak dua?"Wari menjuih. "Yang bininya tengah terlantar sakit, dan
korang bersuka ria, membelah-belah...beli itu dan ini.."
"Wari!"Siti meninggikan suara. "Siti lakukan ini semua demi Kak Mar
sendiri..."
"Ini namanya kerja gila! Tergamak Siti bermadu, menjadi bini ke dua.
Menjaga anak-anaknya....Siti merampas kebahagiaan orang lain..."
"Terpulang pada Wari untuk cakap apa pun. Bagi Siti, ini pengorbanan
Siti.."
"Pengorbanan!"Wari ketawa sinis. "Pengorbanan apa kalau hanya
melukakan perasaan sendiri, dan perasaan orang lain..."

Siti mengesat pelupuk mata yang mula digenangi air jernih. Dia rasa
sakit hati, dah sedikit terguris dengan kata-kata Wari. Mengapa Wari
tidak mahu faham. Dia lakukan ini demi Maria, kakaknya juga. Kakaknya
yang sedang menyabung nyawa. Dia bukan sengaja. Dia sendiri tersepit,
dan sengaja melupakan segala keterpaksaan yang dia lakukan.
Dan kini persiapan sudah mula dilakukan. Walaupun hatinya kadangkala
terasa berat, tapi dia tidak dapat berpatah semula. Azimin pun sudah
beriya benar. Ada saja barang-barang yang hendak dibelinya. Bagai
meraikan perkahwinannya yang pertama. Siti serba salah, tapi apa lagi
yang boleh dia lakukan. Dia sudah menyatakan persetujuan pada Maria.
Mak Ungku juga sudah dimaklumi. Minggu depan, Azimin akan mengikutnya
pulang ke kampung untuk bertemu kedua ibubapanya. Memohon restu
mungkin. Entah apalah perasaan orang tuanya bila mengenangkan anak dara
mereka yang bakal menjadi isteri kedua.

"Siti..."Suara Wari bergetar, sedikit sebak. "Siti tahukan perasaan
Wari...."Terhenti seketika. "Wari harapkan sesuatu dari hubungan ini..."
"Anggap saja kita tak ada jodoh Wari..."Siti tarik nafas panjang.
Hujung mata diseka sekali lagi. Dia tidak sanggup menentang wajah Wari.
"Jodoh kita kuat Siti...Wari dapat rasakan..."
"Sudah lah Wari. Jangan keruhkan lagi keadaan....semuanya dalam
persiapan sekarang..."Siti berpaling ke pintu. Dia menunggu kalau Wari
bersedia untuk keluar.
"Sampai hati kau Siti..."Bisik hati Wari pedih.

Dan itu adalah kali terakhir dia bertemu Siti. Selepas itu, rumah
besar ini sudah tidak bermakna lagi baginya. Bahang panas yang wujud
dalam hatinya makin hari makin membengkak. Dia benci tiap kali melihat
kelibat Azimin. Dia benci pada Maria dan Mama yang tidak mahu faham
perasaannya. Dan pada Siti pula, dia jadi benci dengan pendirian gadis
itu. Terlalu mudah goyah hanya kerana budi dan simpati. Simpati pada
Maria bukan begini caranya. Tidak perlu berkorban jiwa raga dan
perasaan untuk membalas budi yang tidak seberapa. Dia ada hak yang
perlu dipertahankan. Sukar benarkah untuk berkata 'tidak'. Hanya
kerana simpati, semua permintaan harus dituruti?

Biarlah mereka mencarinya. Biarlah mereka risau dengan kehilangannya.
Sudah seminggu dia tidak pulang ke rumah, dan urusan pejabat juga sudah
lama dia tinggalkan. Biarlah Azimin saja yang menguruskan. Biarlah
semuanya dikuasai lelaki itu. Dia sudah tidak peduli lagi. Perkahwinan
mereka juga, tidak akan dia hadiri. Wari sudah bulat hati.

******************************
Airmata Siti mengalir lagi. Rindunya dia pada Wari, hanya Tuhan yang
satu. Sesekali perasaan itu menusuk dalam hatinya. Sudah seminggu
lamanya dia tidak melihat wajah lelaki itu. Kecewakah dia? Patah
hatikah dia? Tidak mahu kembali lagikah dia ke rumah ini. Sudah
seminggu Mak Ungku cuba menghubungi. Lisa juga keluar untuk mencari.
Kawan-kawan lamanya juga tidak tahu kemana Wari pergi. Kenapa sampai
jadi begini?

Besar benarkah perasaan Wari terhadapnya, sampai dia nekad bertindak
begini? Kuat benarkah hatinya untuk dia? Kenapa Wari mesti
menghilangkan diri? Kenapa buat tindakah bodoh begini? Siti naik
bingung bila memikirkan hari-hari bahagianya yang akan menjelang tiba.
Semakin mendekat, semakin tak keruan hatinya. Kadang-kadang dia
fikirkan betapa tidak patutnya pernikahan itu dijalankan sedangkan
Maria masih terlantar. Walaupun Maria sendiri telah mengizinkan, dan
berkali-kali meminta pernikahan dijalankan, sebelum apa-apa yang buruk
berlaku terhadapnya. Sebelum ajal menjemputnya. Mengapa Maria terlalu
yakin pada ajalnya itu? Bukankah manusia dilarang untuk berputus asa.
Bukankah manusia digalakkan berusaha selagi terdaya.

Siti sedar, setelah beberapa minggu cuba mengenali Azimin, perasaannya
tetap sama. Tetap seperti dulu. Dia telah cuba untuk menyukai lelaki
itu. Walaupun sedikit dirasakan penerimaan terhadap lelaki itu, dia
masih tidak dapat mengikis nama Wari dari hatinya. Ternyata lelaki itu
sendiri tahu akan perasaannya. Cuma dia yang tidak mahu mengakuinya.
Dia berpura-pura menjauhkan diri dari lelaki itu. Cuba melupakannya.
Tapi ternyata dia tidak pernah berjaya membuangnya. Perasaan itulah
yang pertama kali tumbuh dalam hatinya.

Wari, maafkan aku....

Minggu ini, minggu terakhir dia di sini. Selepas itu dia akan pulang
ke kampung. Melakukan persiapan terakhir sambil menanti hari
bersejarahnya. Dan kemudian dia akan kembali ke rumah ini semula. Bukan
sebagai babysitter, tetapi sebagai isteri Azimin, ibu kepada Didi dan
Fifi. Siti sendiri tidak pasti apakah warna hari-hari mendatangnya
nanti.

Hujan masih turun. Sebentar tadi masih renyai, dan kini sudah mula
mencurah. Ada petir yang mendesingkan telinga di luar sana. Siti tarik
nafas panjang. Nafasnya jadi sesak. Kalaulah dia tahu akan hujan
begini....tidak akan dia jejak kaki di situ. Tidak akan dimintanya Pak
Amin pulang ke rumah dulu. Perginya pun bukannya lama. Apa salahnya dia
minta saja Pak Amin tunggu dia di luar. Tidaklah dia perlu meredah
hujan pagi-pagi begitu. Bayang teksi yang ditunggu-tunggu pun tidak
kelihatan lagi. Siti jadi keresahan sendiri.
Dia memang bercadang untuk singgah di situ. Sebelum pulang ke kampung
esok lusa, dia ingin beli sedikit barang untuk emak di kampung. Sebab
itu, pagi tadi selepas menghantar Didi dan Fifi ke sekolah, Siti minta
Pak Amin hantarkan dia ke pasaraya tersebut. Dia berpesan kepada Pak
Amin supaya tidak perlu menunggunya. Dia boleh dapatkan teksi untuk
pulang ke rumah. Bukannya jauh sangat. Lagipun, Lisa pernah mengajarnya
pulang ke rumah menaiki teksi. Rasa-rasanya dia masih ingat selok belok
jalan yang perlu dilalui.

Beberapa orang yang masih beratur didepannya, sedang sabar menunggu
giliran. Siti mengangkat kainnya tinggi-tinggi. Percikan hujan
membasahi hujung kaki. Sebuah teksi bergerak perlahan di depannya.
Cepat-cepat Siti berlari anak membuka pintu. Nafas ditarik lega sebaik
berada di dalam perut teksi.

"Bukit Antarabangsa.."Dia bersuara perlahan sebaik teksi bergerak.
Matanya tertancap ke arah bintik-bintik halus di cermin tingkap.
Mengkaburi pandangan. Perlahan dia menyandarkan tubuhnya, sambil
tersenyum lega. Fikirannya sedikit lapang kini. Sampai di rumah nanti,
dia ingin menelefon Azimin, memaklumkan kepada lelaki itu yang dia
telah pun selamat sampai di rumah. Tidak perlulah Azimin menjemputnya
petang nanti. Kerana pada awalnya Siti bercadang untuk ke rumah Kak
Melah selepas membeli barang dan Azimin pula ingin menjemputnya di
rumah Kak Melah petang nanti. Tapi Siti jadi risau pula dengan hujan
yang semakin lebat itu. Dia bercadang untuk pulang saja. Malam nanti,
dia boleh telefon Kak Melah untuk datang mengambil barang-barangnya.
Dua minggu dia akan bercuti dan pulang ke kampung.
Ahh....segala-galanya terasa begitu pantas dan janggal. Dapatkah dia
berhadapan dengan semua kejanggalan ini?

No comments:

Post a Comment