Wednesday, August 18, 2010

Bukan Cinta Biasa - 23

Pagi itu, Siti terjaga awal kerana mendengar keriuhan di luar bilik.
Dia menjenguk ke luar tingkap melihat pemandangan yang masih kelam. Jam
loceng di atas meja dikerling sekilas. Baru pukul 6.00 pagi. Apa yang
kecoh sangat? Dia menguap sambil mengeliat. Membiarkan tulang
temulangnya mengeluarkan bunyi, yang sedikit melegakan. Seketika dia
bersandar di dinding, dengan kaki melunjur, masih dengan selimut paras
pinggang. Pagi itu tidak hujan, tetapi dinginnya menusuk ke tulang
hitam. Siti mengeliat sekali lagi sebelum merebahkan kembali tubuhnya.
Dia ingin menghabiskan sedikit masa lagi. Sementara Didi dan Fifi masih
bercuti, dia punya sedikit masa untuk menyambung tidur. Tidak perlu
terkocoh-kocoh menyiapkan mereka berdua. Biasanya waktu cuti sekolah,
jam 8 atau 9 baru mereka bangun mandi.
Malam tadi, sebaik sampai dari kampung, dia tidak sempat menemui Maria
bagi menyatakan keputusannya. Maria telah lama lena. Wari juga tidak
kelihatan, walaupun kadangkala Siti rasakan perasaannya seperti
terdesak untuk bertentang mata dengan lelaki itu. Dan berbual-bual
seperti biasa. Sudah lama rasanya mereka tidak berbicara. Siti rasakan
satu kejanggalan, tapi dia tahu itu yang sepatutnya berlaku antara
mereka. Jangan biarkan perasaan itu terus menguasai jiwa mereka.

Kelopak matanya yang semakin memberat mula dirasakan tidak mampu lagi
ditahan. Siti membetulkan duduk kepalanya, bila sayup-sayup dihujung
telinga dia mendengar ketukan di pintu. Siti mengamati lama. Ada suara
garau di luar sana. Siti bingkas semula. Dia menguap sekali lagi. Rasa
marah tiba-tiba menerjah dalam hati. Tapi digerakkan juga kakinya
melangkah ke pintu. Kalau bukan Kartini, pasti Lisa yang mengganggunya
pagi-pagi itu.

"Siti..."Suara itu kedengaran sebaik pintu dibuka. Siti mendongak.
Wajah Azimin yang segar, dengan baju sejuk tebal terjengul depan mata.
Siti sedikit kaget.
"Err..."Suaranya bagai tersekat di kerongkong.
"Maaflah kalau menganggu Siti pagi-pagi ni.....err....boleh tak Siti
tolong siapkan Didi dan Fifi?"
"Nak ke mana?"Siti membetulkan rambutnya. Sedikit segan dia dengan
keadaannya pagi itu.
"Abang nak ke hospital, nak hantar Maria..."Azimin menunduk.
"Kenapa dengan Kar Mar? "Suara Siti sedikit kuat.
"Dia pitam dalam bilik air pagi tadi...abang kena hantar sekarang.
Siti tolong kejutkan Didi dan Fifi, suruh mereka bersiap. Pukul 8
nanti, abang balik ambil mereka."
"Ya Allah..."Keluh Siti. Dia menggeleng kepala. Terbayang wajah Maria
yang pucat lesu.

Azimin berpaling, tetapi menoleh kembali setelah menapak beberapa
langkah. Dia merenung Siti lama.

"Err...Siti jangan lupa bersiap sekali ye. Kita pergi
sama-sama.."Azimin tersenyum. Siti mengangguk, tapi masih lagi tercegat
di muka pintu. Dia memerhatikan langkah Azimin yang pantas tapi kemas.
Kasihan Azimin! Begitu sabar melayan sakit pening Maria. Mungkin juga
kesetiaan Azimin itulah yang membuatkan Maria rela untuk berkongsi
kasih. Rela untuk berkorban demi kebahagiaan suaminya.

Siti membersihkan diri dan mengemas bilik sebelum naik ke tingkat
atas. Dia mengejutkan Didi dan Fifi yang masih lena. Menyuruh mereka
mandi dan bersiap sementara menunggu Azimin pulang. Sementara itu ,
Siti turun ke dapur semula menyiapkan sarapan. Sekadar roti bakar dan
susu, rasanya cukup untuk mengalas perut. Dia tidak sempat untuk
menggoreng mee atau cucur kodok. Kartini pula kelihatannya seperti baru
sampai pagi itu. Dia kelihatan seperti tidak cukup tidur. Tetapi sempat
melemparkan senyuman pada Siti. Sesuatu yang tidak terduga oleh Siti.

"Tak sihat ke, Kak Tini?"Tegur Siti.
"Emm...biasa-biasa saja.."Dia membalas agak ramah. Beg berisi
pakaiannya di letak atas meja.
"Kejap lagi, saya nak ke hospital dengan Didi dan Fifi..."Siti
memasukkan roti bakar dalam bekas kecil.
"Ke rumah sakit?"Siti angguk.
"Emm...Kar Mar tak sihat....kena masuk hospital..."Balas Siti lagi.
Kartini diam.
"Kamu pergi dengan siapa, Wari ya?"
"Tak...dengan Abang Min. Kejap lagi dia balik ambil Didi dan Fifi. Kak
Tini mahu ikut sekali?"
"Err..eh ...nggak usah lor. Kok makannya siapa yang mahu bikin...Mak
Ungku butuh saya di sini...."Siti senyum.
"Kalau gitu, saya naik atas dulu ye. Tengok budak-budak tu...."Kartini
tidak menyahut.

Siti naik semula ke atas mendapatkan Didi dan Fifi. Mengajak mereka
turun untuk bersarapan. Selesai sarapan mereka menunggu Azimin di ruang
tamu. Hampir jam 9 baru kereta Azimin masuk ke perkarangan rumah.
Azimin kelihatan sedikit mengantuk, tetapi dia tersenyum bila
terpandang Siti. Didi dan Fifi terus mendapatkan Papa mereka.

"Kita nak ke mana ni, Pa?"Didi mendongak, menarik tangan Azimin.
"Kita ke hospital ye sayang. Mama ada di sana..."Azimin mengusap
rambut Didi, kemudian dia mendukung Fifi. "Siti masuk kereta dulu,
Abang naik atas kejap, jumpa Mama..."
"Abang nak bawak Mak Ungku sekali, ke?"Tanya Siti.
"Tak lah...abang nak bagitahu Mama supaya jangan bimbang. Petang nanti
lepas zohor, baru Mama datang..."Balas Azimin sebelum melangkah.

Mereka sampai di Hospital pakar jam 10. Maria ditempatkan di wad
pertama. Sampai di sana, mereka tidak dibenarkan masuk ke bilik kerana
Maria masih dalam rawatan. Setengah jam kemudian barulah doktor keluar
dari bilik. Doktor berbangsa Sigh itu bercakap sesuatu pada Azimin.
Berkerut-kerut wajah Azimin mendengar kata-kata doktor tersebut. Siti
hanya memerhati dari jauh. Sambil memangku Fifi yang masih menangis
sedari tadi. Setelah doktor beredar, Azimin menggamit mereka masuk ke
dalam bilik.

Maria yang terlantar masih belum sedarkan diri. Urat-urat mengandungi
cecair berselirat di pergelangan tangan. Wajahnya pucat, dan ada kesan
lebam di dahi. Menurut Azimin, dahi Maria terhantuk di tub mandi ketika
dia jatuh tersembam. Fifi menangis sambil memeluk Mamanya yang kaku
itu. Terpaksa pula Siti memujuknya, takut-takut kalau Maria terjaga
dengan tangisan Fifi itu.

"Kita tunggu sampai Kak Mar sedar ye?"Azimin menarik kerusi ke arah
Siti. Siti segera melabuhkan punggung sambil meriba Fifi. Renungan
Azimin tepat di wajahnya.
"Siti lapar?"Siti menggeleng.
"Dah sarap kat rumah tadi dengan Didi dan Fifi..."Dia melemparkan
senyuman.
"Abang minta maaf kalau menyusahkan Siti..."
"Tak laa..."
"Siti sedia tanggung ini semua?"
"Maksud abang?"
"Permintaan Kak Maria..."Siti menunduk. Hatinya jadi tidak keruan. Dia
jadi serba salah. Dia sudah maklumkan pada Azimin tempohari. Dia
perlukan sedikit masa untuk lebih mengenali lelaki itu. Mereka perlu
menyesuaikan diri. Siti sendiri akan cuba memperuntukkan masa untuk
mendekati lelaki itu. Mungkin dengan cara itu mereka akan lebih kenal
diri masing-masing. Mereka perlu saling mengenali sebelum perkahwinan
itu berlangsung. Dan perkara itu yang hendak dinyatakan kepada Maria
nanti. Malangnya Maria sudah tidak sedarkan diri.

"Kenapa abang terima permintaan Kak Mar?"Siti mendongak kembali,
menentang mata Azimin. Azimin tarik nafas panjang.
"Kerana abang dah jumpa calon yang sesuai..."Balasnya lambat-lambat.
"Siti?"Dia mengangguk.
"Tapi abang baru saja jumpa Siti. Abang belum mengenali Siti..."
"Sebab itu abang ingin kenal Siti lebih dekat lagi. Bila Kak Mar
cadangkan abang supaya berkahwin lain, abang tak nak fikirkan sangat.
Lagipun, abang tak jumpa lagi orang yang sesuai untuk menjaga anak-anak
abang. Tapi, abang kasihankan Maria....."Dia melemparkan pandangan ke
luar. "Abang tak nak lukakan hati dia, tapi dia yang mendesak abang
supaya berkahwin lain. Dia rasa bersalah kerana mengabaikan abang......"
"Tapi, abang tidak mencintai Siti bukan?"Siti memberanikan diri
bertanya. Dia memandang Azimin, mencari reaksi lelaki itu. Azimin gigit
bibir. Dia merenung Siti lama. Bibirnya mengukir senyuman.
"Siapa kata?"Siti diam. Hatinya jadi tidak keruan. Dia jadi tidak
berani menentang wajah lelaki itu.
"Cinta boleh dipupuk, Siti. Yang pasti, abang sukakan Siti sejak
pertama kali jumpa Siti di airport dulu....."Sambungnya, tersenyum
nipis.

Siti memeluk Fifi erat. Sambil itu direnungnya wajah Maria yang tidur
lena. Setiap kali memandang wajah itu, dia jadi serba salah. Dia tidak
tahu adakah keputusannya itu betul atau sebaliknya. Dalam keadaan Maria
begini, adakah dia patut meneruskan permintaannya itu. Adakah wajar?
Ah...Kak Mar...sedarlah cepat. Banyak perkara yang Siti ingin katakan
ini!

Pintu diketuk dari luar, dan mereka serentak mengalih pandangan. Wajah
Wari yang terjengol di muka pintu, sedikit mengejutkan Siti. Pandangan
mereka bertembung, dan Siti lihat ada kekerutan pada wajah lelaki itu.
Wari masuk, tersenyum tawar. Nyata, dia sendiri gamam melihat dua
manusia di bilik itu. Hatinya jadi berdebar. Sudah lama rasanya dia
tidak berbicara dengan Siti. Dan kali ini mereka bertemu semula, tetapi
dalam suasana yang sungguh tidak disangka. Kenapa Siti berada di sini?
Adakah dia menemani Didi dan Fifi atau Azimin sendiri. Hati Wari jadi
geram tiba-tiba. Cepat-cepat pandangannya dialihkan kepada Azimin.
Perlahan dia mendekati lelaki itu.

"Ri dengar Kak Mar jatuh kat bilik air tadi?"Suaranya mendatar. Azimin
mengangguk. "Subuh tadi, abang tengah tidur masa tu...dia ke bilik
air..."Balas Azimin.
"Macamana keadaan dia?"
"Belum sedar lagi....tapi doktor kata tak berapa bagus...."Wari
menghela nafas.
"Mama tak ikut sekali?"
"Petang nanti abang ambil dia....pagi ni biarlah Mama rehat je...kau
dari mana ni?"Wari duduk di sebelah Azimin. Pandangannya terarah kepada
Siti. Siti cuba tersenyum tapi tiada balasan.
"Dari ofis...."
"Kau kemana semalam? Mama cakap kau tak balik rumah?"Azimin berkerut
memandang Wari. Wari terdiam seketika, memainkan hujung jarinya.
Seperti keberatan dia untuk menjawab.
"Tak kemana..."Balasnya malas. "Lepak rumah member jap...."
"Abang ingat tak balik ofis ari ni...nanti Wari tolong jumpa Mr.
Hendra, supposed abang ada appointment dengan dia hari ni..."Wari tidak
menjawab. Hanya matanya yang tancap memandang Siti. Sehingga Siti jadi
serba salah sendiri. Tak sanggup rasanya dia bertentang mata dengan
lelaki itu. Perasaannya bergejolak. Kalau ikutkan hati, dia ingin
keluar saja dari bilik itu. Tak mahu dia berhadapan dengan kedua-dua
lelaki ini.

"Siti buat apa kat sini?"Wari bersuara semula.
"Abang ajak dia tadi. Temankan Didi dan Fifi ni...."Azimin membalas.
Wari hanya tersengih. Dia menggeleng kepala beberapa kali.

No comments:

Post a Comment