Monday, August 16, 2010

Bukan Cinta Biasa - 22

"Makcik tak paksa Siti untuk terima cadangan Maria tu..."Mak Ungku
merenung wajah Siti yang sembap. Semalaman Siti tidak lena tidur
memikirkan keputusannya. Pagi itu dia betul-betul rasa lemah dan tak
bermaya. Dia rasa bagai ingin demam.
"Tapi, makcik pun tak dapat nak halang hasrat Maria..."Dia mengeluh,
menunduk seketika. Riak-riak air kolam yang tenang sesekali bersinar
terkena cahaya matahari pagi. Pagi yang dingin. Sedingin perasaan Siti.
"Sudah lama Maria berhasrat untuk mencari pengganti dirinya. Dia tahu
dia tak lama. Dia benarkan Azimin berkahwin lain, kerana Maria sendiri
sudah tidak dapat memenuhi tanggungjawabnya sebagai isteri. Sudah 2
tahun dia menanggung sakit. Kali ini keadaan dia semakin
membimbangkan." Siti mendiamkan diri, mendengar butir-butir kata yang
keluar dari mulut Mak Ungku. Dia sendiri kehilangan kata.
"Maria menghidap barah rahim. Rahimnya telah dibuang masa pembedahan
pertama dulu. Dia tidak boleh mengandung lagi..."Mak Ungku menarik
nafas panjang. Matanya mula berkaca.
"Hasratnya hanya satu. Ingin melihat Didi dan Fifi mendapat kasih
sayang dari orang yang sepatutnya. Dia memilih Siti kerana percaya Siti
dapat memikul tanggungjawab itu.."
"Saya....."Siti telan liur.
"Makcik cuba halang hasratnya dulu, tapi dia berkeras. Katanya ini
pengorbanannya yang terakhir. Dia terlalu sayangkan suami dan
anak-anaknya...."Air mata diseka perlahan. Wajah tua itu murung, sarat
dengan kesedihan.
"Makcik tahu, amat sukar bagi Siti..."
"Saya..."Siti menggeleng kepala. "Saya ...tak tahu nak buat apa, Mak
Ungku...Saya buntu."
"Jangan paksa diri Siti. Semuanya terpulang pada Siti...."
"Saya perlukan masa, Mak Ungku.."Hanya itu yang mampu dia katakan. Dia
tidak boleh berjanji apa-apa. Hatinya berbelah bagi. Antara pendirian
dan simpati.

Mak Ungku genggam tangan Siti. Renungan mereka bertaut. Siti jadi
resah sendiri. Dia tahu, dia tidak akan sampai hati untuk menghampakan
Mak Ungku. Walaupun orang tua itu tidak memaksa, tetapi jauh di sudut
hatinya, Siti tahu dia juga mengharapkan kebahagiaan Maria.
Membahagiakan Maria dengan cara memenuhi permintaannya. Permintaan
terakhir, bolehkah dianggap begitu?
Maria begitu tega. Merelakan dirinya untuk berkongsi kasih dengan
wanita lain. Tidak sedihkah Maria bila melihat suaminya bergandingan
dengan wanita lain. Tidak kecil hatikah dia bila melihat anak-anaknya
bermanja dengan orang lain. Dan sanggupkah Siti menjadi orang
pengantara itu? Melukakan hati Maria sekaligus meragut kasih sayang
mereka. Tapi...Maria juga yang bersungguh-sungguh mengharapkan dia.
Maria yang nekad. Dia ikhlas ingin membahagiakan suaminya. Itu yang dia
kata. Azimin bagaimana? Kenapa dia tidak membantah saranan gila Maria
itu. Ataupun kalau benar dia ingin berkahwin lain, kenapa tidak dicari
wanita-wanita yang lebih sesuai dengannya. Kenapa pilih dia?


**********************************************

Wari hairan. Sejak 2-3 hari kebelakangan ini Siti kelihatan berlainan
benar. Kalau dia pulang dari pejabat, jarang benar dia melihat Siti di
luar. Kalau dulu Siti selalu menyambutnya di kerusi batu tepi kolam.
Dan gadis itu akan tersipu-sipu tiap kali disapa olehnya. Wajahnya
memerah, terserlah disebalik senyumannya itu. Dan Wari berasakan
getaran dadanya semakin kuat setiap kali berhadapan dengan gadis itu.
Ahh....tak sanggup lagi rasanya menyimpan rasa!

Hari ini Siti suram lagi. Wari jadi lesu. Dia jadi tidak bersemangat.
Senyuman Siti tidak kelihatan lagi. Kenapa dengan gadis itu? Apa yang
membuat dia berubah laku? Wari sedari Siti seakan ingin menjauhkan diri
darinya. Sudah mahu lari-lari. Kalau di meja makan, dia hanya diam.
Tiada lagi renungan mata yang penuh makna. Atau senyuman yang menggegar
jiwa. Siti jadi seperti dulu-dulu, waktu kali pertama berjumpa. Polos
dan dingin. Kenapa dengan dia?

Perlukah dia bertemu Siti dan bertanyakan masalahnya? Atau perlukah dia
curahkan perasaannya saat itu juga? Mustahil Siti tidak menyedarinya.
Mustahil Siti tidak mengendahkannya. Kenangan di kampung tempohari
masih segar dalam ingatannya. Layanan mesra Siti dan keluarganya
bukankah menggambarkan perasaan gadis itu terhadapnya. Atau Siti hanya
berpura-pura? Berpura-pura mesra dengannya supaya dia tidak hanyut
kembali kepada zaman silamnya. Berpura-pura untuk memberi semangat
kepadanya. Kemudian, setelah dia mendapat keyakinan, Siti akan berlalu
pergi. Begitu?

Mustahil. Mustahil Siti hanya berpura-pura. Kerana dia sendiri yakin
akan perasaan Siti terhadapnya. Walaupun gadis itu tidak pernah
mengiyakan, apatah lagi melafazkan, tapi gerak lakunya sudah cukup
menggambarkan segalanya. Wari yakin. Dia tidak bertepuk sebelah tangan.
Tapi kenapa gadis itu menjauhkan diri tiba-tiba. Apa yang telah dia
lakukan? Adakah Siti tahu pertemuannya dengan Rina tempohari? Mustahil!
Wari tidak fikir Siti menjauhkan diri darinya kerana Rina. Gadis itu
telah lama dia tinggalkan. Dan dia memang bercadang untuk memberitahu
Siti tentang hubungannya dengan Rina yang telah berakhir.

Selepas itu dia bercadang untuk memaklumkan hasratnya kepada Mama.
Hasrat untuk memiliki Siti. Dia ingin Siti jadi miliknya. Dia ingin
Mama tahu dan sekaligus merestuinya. Sudah kerap kali dia membawa Siti
keluar tanpa pengetahuan Mama. Dia tidak mahu Mamanya beranggapan
bukan-bukan terhadap mereka, lebih-lebih lagi terhadap Siti. Kerana itu
Wari bercadang untuk menemui Mamanya nanti. Dia inginkan hubungan yang
lebih bermakna dengan Siti. Kerana dia rasakan hatinya cukup bersedia
untuk itu. Bila Mama tanya tentang hubungannya dengan Rina, dia akan
katakan semuanya telah selesai. Dia dan Rina sudah berpisah, atas
kehendak hatinya sendiri. Pasti Mama juga gembira kerana sedari dulu
dia kurang berkenan dengan pelakuan Rina. Wari sedari itu.

Wari tidak kisah walau Siti gadis kampung. Yang kecil-kecilnya dulu
ralit bermain dengan getah sekerap. Yang pakaiannya saban hari hanya
baju kurung atau berkain batik. Dia tidak kisah semua itu. Baginya
yang penting hati dan perasaan. Perasaannya terhadap gadis itu bukan
dibuat-buat. Dia serius. Dia ingin tinggalkan semua kegiatan silamnya
yang bukan-bukan. Dia ingin jadi orang yang lebih bertanggungjawab.
Sekurang-kurangnya kalau bukan pada orang lain, pada dirinya sendiri.
Dan saat ini, dia berasakan sudah sampai masanya untuk dia mendampingi
seseorang yang diperlukan sepanjang hidupnya. Dan orang itu adalah Siti.


********************
Mak Jah melepaskan helaan nafas. Wajah anak daranya yang bersandar di
tepi pintu di pandang lama. Rasa kesian pula dia pada Siti. Tidak
habis-habis dia dibebankan dengan masalah seperti ini. Kalau dengan
Huzair dulu, dapatlah juga dia memberi alasan. Kali ini nampaknya payah
benar dia hendak membuat keputusan. Mak Jah sendiri tidak tahu,
siapakah yang Siti inginkan. Setahunya Siti tidak berkawan dengan
sesiapa. Lelaki yang dibawa balik tempohari itu, juga dinafikan.
Walaupun Mak Jah suka benar dengan anak muda itu. Sopan dan tidak
banyak kerenah walaupun terpaksa tinggal di rumah buruk mereka itu.
Selalunya anak-anak orang senang ini tidak betah tinggal lama-lama di
rumah kampung begitu. Kemudahan kurang, tak ada hiburan. Tetapi anak
muda tempohari gembira benar menghabiskan cuti di sini.

"Kesian Kak Mar tu, mak....."Siti memecah kesunyian. Pandangannya
tidak beralih, masih tertancap ke luar sana.
"Habis tu...Siti nak terima semata-mata kesian?"Mak Jah mendengus.
Tangannya ligat memarut batang ubi, untuk dibuat opak-opak.
"Siti tak sampai hati..."
"Itulah Ti.....selalu tak sampai hati. Dulu Huzair tu, boleh pulak
Siti tolak...."Siti toleh ke arah Mak Jah. Dia muncungkan mulut.
"Huzair lain mak. Dia boleh cari lain. Tapi Kak Mar ni.....beriya-iya
sangat...."
"Mana ada orang beriya-iya nak bermadu, Siti?"Mak Jah berhenti
memarut. Rasa lenguh pula tangan tuanya. "Ini...siap dicarikan madu
untuk suaminya...sanggup dia..."
"Entahlah mak, Kak Mar tu macam dah putus asa...."Balas Siti
lemah."Kesian Siti tengok dia..."
"Tak habis-habis kesian dengan orang, diri sendiri yang
merana..."Rungut Mak Jah, melunjurkan kakinya seketika. Tinggal 2-3
biji ubi lagi yang perlu diparut.

Siti berinsut mendekati ibunya. Tangannya menguis-nguis sisa ubi kayu
yang berkecah sekeliling dulang. Bau ubi kayu yang diparut kuat menusuk
hidung. Pagi esok dia akan kembali semula ke KL. Dia akan berterus
terang dengan Maria tentang keputusannya. Dia sudah bincangkan perkara
itu dengan kedua orang tuanya. Entah. Agaknya inilah suratan hidupnya
yang telah ditentukan. Mungkin ada hikmah disebaliknya. Siapa tahu?

"Abang akan cuba kenali Siti, dan Siti pun cubalah kenali abang secara
perlahan-lahan.......abang takkan paksa Siti untuk terima
abang..."Azimin bersuara sewaktu menghantarnya ke puduraya tempohari.
Kali pertama dia berbual dengan lelaki itu setelah diizinkan Maria.

"Cinta tak boleh dipaksa...tapi..abang ikhlas terima Siti.."Siti
mendongak, menatap wajah lelaki itu. Pandangan yang bertaut, masih
sukar dimengertikan.

No comments:

Post a Comment