Tuesday, August 10, 2010

Bukan Cinta Biasa - 21

"Kak Siti!"Lisa terjengol tengah pintu. Siti bangun dari katil serta
merta. Dia baru bercadang untuk tidur sebentar petang itu.
"Kenapa Lisa?"Siti menghampiri Lisa yang berbungkus kepalanya dengan
tuala. Baru dicuci mungkin. Haruman syamfoo menerpa ke deria bau.
"Kak Mar panggil Kak Siti"
"Ha? Ada apa?"Dada Siti mula berdebar. Lisa menggeleng.
"Tak tahu. Pergilah naik atas. Kak Mar tunggu kat bilik dia..."Lisa
berpaling lalu beredar. Siti tahu Lisa perlu hadiri kelas tuisyen
petang itu. Sebab itu dia tampak kelam kabut saja.

Siti terpacak seketika depan pintu. Dia tarik nafas panjang. Dadanya
semakin berdebar. Tak pernah-pernah Maria memanggilnya tergesa-gesa
begitu. Apa yang tak kena? Apa yang telah dia buat? Didi dan Fifi
mengadu pasal aku ke? Siti rasa takut tiba-tiba. Dia bergegas menukar
pakaian. Menggantikannya dengan baju kurung biasa. Mungkin Maria tahu
dia selalu keluar sejak akhir-akhir ini. Mungkin Maria rasakan
anak-anaknya terabai. Ahh....aku juga yang ikutkan sangat ajakan Wari
tu!

Siti menapak ke tingkat atas. Suasana petang yang sunyi itu
menambahkan kekalutan hatinya. Petang-petang begini, kalau tak menonton
tv, Siti lebih suka melelapkan mata. Kerana Mak Ungku dan Maria juga
lebih suka memerap di bilik mereka. Hendak harapkan Kartini untuk
diajak berbual kosong, jangan diharap. Sejak akhir-akhir ini semakin
bergaya nampaknya wanita seberang itu. Solekannya juga agak berlebihan.
Siti perasan juga, tapi dia tidak berani bertanya lebih-lebih.

Siti mengetuk pintu beberapa kali. Tanpa menunggu jawapan dari dalam,
Siti memulas tombol. Suasana bilik tersebut agak suram kerana langsir
tebal menutupi keseluruhan tingkap. Bau ubat-ubatan mula menyengat
hidung. Siti sudah terbiasa dengan keadaan itu. Dia melihat Maria
bersandar di kerusi empuk. Dengan buku tebal ditangan. Senyuman terukir
di bibirnya yang lesu. Tiada riak kemarahan pada wajah itu. Siti
sedikit lega.

"Kak Mar panggil saya?"Siti bersuara perlahan. Maria mengangguk. Buku
tebal diletak atas meja kecil sebelah katil.
"Mari duduk dekat Kak Mar...."Suaranya perlahan, seakan berbisik saja
kedengarannya. Siti menapak ke depan. Duduk di birai katil, menghadap
Maria. Dalam hatinya berdebar juga. Entah apa yang hendak disampaikan
Maria sebentar nanti.
"Emm.....macamana kerja kat sini, ok tak?"Maria memulakan bicara. Siti
sedikit terkejut dengan pertanyaan itu. Sudah hampir tiga bulan dia
bekerja di situ. Baru hari ini Maria bertanyakan perasaannya.
"Ok saja, Kak Mar..."Balas Siti pendek.
"Betul?"Siti angguk.
"Kak Mar minta sambung keja 2-3 bulan lagi, Siti tak kisah?"
"Tak kisah, Kak Mar. Mak izinkan.."Maria tersenyum.
"Siti sayang pada Didi dan Fifi?" Siti kerut dahi. Wajah Maria ditatap
lama. Dia memang sayang pada Didi dan Fifi. Anak-anak kecil itu amat
akrab dengannya. Setiap hari mereka menghabiskan masa bersama. Dengan
anak saudara sendiri pun Siti tidak pernah rapat selama itu.
"Saya memang sayangkan mereka, Kak Mar. Dah lama saya dengan
diorang.....kalau saya berhenti nanti, mesti saya rindukan mereka...."

Maria bangun tiba-tiba. Dia menapak ke tingkap. Menarik kain langsir,
menjadikan suasana bilik itu bertukar wajah. Jadi terang sedikit. Dia
bersandar di tepi tingkap sambil badannya menghadap ke arah Siti.
Memandang Siti dengan pandangan yang tidak dapat ditafsirkan Siti.

"Kalau Siti terus menjaga Didi dan Fifi sampai bila-bila, mahukah
Siti?"Maria bersuara satu-satu.
"Sampai bila-bila?"Siti bangun. "Maksud Kak Mar?" Maria menghampiri
Siti.
"Kak Mar mahu saya terus bekerja di sini?"Siti sedikit gusar. Dia
mengalih pandangan.
"Bukanlah macam tu...."Maria tersenyum lalu memaut bahu Siti. Mengajak
dia duduk kembali di birai katil. Maria menggenggam tangan Siti erat.
Pelakuan Maria hari itu benar-benar membuat Siti keliru.
"Siti tahu kan........keadaan Kak Mar ni, memang dah tak ada harapan
lagi...."Maria mengeluh lirih. Matanya mula berkaca.
"Kak Mar janganlah cakap macam tu. Kan Kak Mar makin sihat ni..."Siti
membalas genggaman tangan Maria. Maria tersenyum tawar.
"Akak dah tak ada harapan Siti. Penyakit akak ni dah tahap kronik.
Walaupun dah berjaya dibedah, tapi sel barah akak tak mati sepenuhnya.
Bila-bila masa ia boleh menyerang semula. Akak hanya tunggu masa!"Maria
mengesat pelupuk matanya yang bergenang.
"Kak Mar..."Siti tarik nafas, menahan pilu di dada. Simpatinya
membuak-buak. "Tak baik cakap macam ni, Kak Mar. Kak Mar janganlah
berputus asa...."
"Akak bukan berputus asa......cuma.....akak redha..kalau dah memang
ajal akak...."
"Ajal dan maut di tangan Tuhan, kak...."
"Akak tahu.....tapi sebagai manusia....bukankah kita diberi petanda.
Dan penyakit ini...sebagai petanda..."
"Dah la kak....jangan cakap pasal ni...."Siti geleng kepala. Hatinya
ikut sebak mendengar rintihan wanita itu.

Maria menarik nafas panjang. Jemari Siti masih dalam genggaman.
Dipegang erat bagai tak ingin dilepaskan. Siti merenung wajah lesu itu.
Matanya yang bengkak. Tulang pipi menonjol, sudah cukup menggambarkan
betapa menderitanya dia menanggung sakitnya itu. Siti tidak dapat
bayangkan andai dia berada di tempat itu.

"Apa yang akak risaukan selama ini, adalah Didi dan Fifi. "Dia
terhenti sebentar, melemparkan pandangan ke tingkap yang terdedah.
"Mereka masih kecil dan masih perlukan kasih sayang dan belaian seorang
ibu. Sudah terlalu lama rasanya akak tidak mencurahkan semua itu...."
"Mereka faham akak tengah sakit..."
"Mereka terlalu kecil Siti. Akak tak sanggup nak tinggalkan
mereka...."Maria mula teresak. Dia menutup wajahnya dengan tapak
tangan. Terhinggut-hinggut bahunya menahan tangisan. Siti menyeka air
matanya di hujung mata. Dia ikut sebak.
"Akak tak nak mereka hilang kasih sayang seorang ibu. Akak tak nak
mereka hilang perhatian...."Siti peluk bahu Maria, cuba menenangkannya.
"Akak tak nak mereka jatuh ke tangan orang lain, yang tak
bertanggungjawab. Yang tak dapat menjaga mereka dengan baik.."
"Sudahlah kak....jangan pikir yang bukan-bukan. Akak akan tetap jaga
mereka...."
"Siti....."Maria mengalih pandangan. Menentang wajah Siti. Air matanya
tak putus-putus mengalir.
"Mahukan Siti terus menjaga Didi dan Fifi?"Siti termangu. Lidahnya
kelu tiba-tiba.
"Mahukah Siti?"
"Emmm....err..Siti akan jaga mereka...janganlah akak risau..."
"Walaupun selepas ketiadaan akak nanti?"Siti terdiam. Dia tidak tahu
apa yang perlu dijawab.
"Mahukah Siti menjadi ibu kepada mereka?"Maria pegang kedua-dua bahu
Siti.
"Maksud kak Mar?"

Maria melepaskan pegangan. Dia bingkas, lalu berjalan ke arah tingkap.
Sekejap berpeluk tubuh. Sekejap dia berjalan mundar mandir depan Siti.
Siti berdebar-debar melihat sikap Maria yang berlainan itu. Apa yang
mengganggu fikirannya?

"Sudikah Siti menjaga mereka sebagai anak-anak Siti?"
"Saya tak faham Kak Mar..."
"Ganti tempat akak..."Maria terhenti, menelan liur. "Jadi ibu kepada
mereka. Akak rasa Sitilah orang yang paling sesuai untuk menggantikan
tempat akak...."
"Gantikan tempat akak?"Siti jadi tidak sedap hati. Kenapa harus
menggantikan tempat Maria. Bukankah sekarang dia masih berkerja menjaga
anak-anaknya. Bukankah itu sudah memadai.
"Harapan akak, agar Siti dapat terus berada di sini, bersama
mereka."Maria tersenyum.
"Tapi, itu mustahil kak. Lambat laun saya akan berhenti juga, dan
pergi dari sini...."Siti menggeleng. Mustahil bagi dia untuk terus
menetap di sini. Sampai bila? Dia tetap orang asing dalam rumah ini.
"Siti, akak ingin melamar Siti..."
"Melamar?"Dahi Siti berkerut.
"Melamar Siti bagi pihak Abang Min..."Maria mendekati Siti, lalu
bertinggung di depan Siti yang duduk di birai katil.
"Sudikah Siti menjadi isteri Abang Min?"

Siti kaku. Soalan apa ini? Wajah Maria yang murung di renung lagi.
Benarkah apa yang aku dengar?

"Jadilah isteri Abang Min, dan jadilah ibu kepada Didi dan
Fifi....."Maria tersedu. "Jangan hampakan akak!"

Pandangan Siti berpinar. Dia tak sanggup untuk mendengar lagi.

Permintaan itu terlalu berat baginya. Malah kalau dihempap batu
sekalipun dia masih mampu menampungnya. Tetapi yang satu ini bagai
meregut segala ketenangannya selama ini. Bagaimana dia harus
memikirkannya? Bagaimana dia harus berkata 'ya' sedang dalam hatinya
berperang dengan segala kekusutan. Kekusutan yang bersimpul-simpul dan
akhirnya hanya menyesakkan kepala. Kenapalah dia harus menghadapi semua
ini? Kenapa dia harus tersepit dalam permainan ini? Sudah
ditakdirkankah?

Adakah takdirnya sekusut ini?
Siti menghela nafas. Airmata yang tersisa di hujung mata diseka lagi.
Dia mendongak, menatap syilling yang berukir bunga teratai. Sudah ada
bintik-bintik hitam pada permukaan syiling itu. Mungkin begitu juga
bintik-bintik hitam yang telah wujud dalam hidupnya. Yang telah meragut
ketenangannya selama ini. Siti jadi sesak nafas. Dia ngilu memikirkan
permintaan Maria siang tadi. Jantungnya bagai mahu luruh. Dia ingin
lari kuat-kuat tinggalkan bilik itu. Kalau boleh dia ingin lari terus
dari rumah itu. Rumah indah yang telah menjerat dirinya sendiri. Sampai
hati Kak Mar!

Tahukah Maria yang dia begitu menghormati wanita itu? Begitu terhutang
budi pada dia dan Mak Ungku. Hinggakan untuk berkata 'tidak' pun dia
jadi kelu. Untuk menggeleng pun dia tak mampu. Sampai hatikah dia
untuk menolak permintaan gila itu? Jadi isteri Azimin? Ya,
Allah.....dia tidak pernah terfikir sampai ke tahap itu. Apa yang Maria
fikirkan tentang dirinya? Pengganti yang layak untuk menjadi ibu kepada
Didi dan Fifi? Mustahil!

"Akak dah tak mampu bahagiakan Abang Min....akak rasa berdosa abaikan
dia....akak...."Maria tersedu lagi. Siti gigit bibir sampai sakit.
Kalau boleh dia tidak mahu mendengar lagi.
"Akak nak Siti dapat jaga Didi dan Fifi....abang Min...."Siti pejamkan
matanya rapat-rapat. Fikirannya terus melayang.

Dia sayangkan Didi dan Fifi. Dia sanggup untuk menjaga mereka. Tapi
untuk mengahwini Azimin.....dia tidak yakin dapat melakukannya. Lagipun
dia tidak mengenali Azimin langsung. Kenapa Maria begitu tekad ingin
menyerahkan Azimin kepada orang lain. Sanggup bermadu semata-mata mahu
melihat suaminya bahagia kembali. Berbaloikah pengorbanannya itu?
Setakat untuk menjaga Didi dan Fifi dia masih boleh menggaji pembantu
rumah khusus untuk anak-anaknya itu. Kenapa mesti menyuruh suaminya
berkahwin lagi? Tidak kecewakah dia?

"Akak sudah lama izinkan Abang Min berkahwin lain, sebab akak dah tak
dapat jalankan tugas seorang isteri dengan sempurna. Sedangkan Abang
Min masih perlukan itu semua. Makan pakai dia pun tak
terurus....."Maria bersuara lagi bila melihat Siti hanya mendiamkan
diri. "Cuma akak nak pastikan calon pilihannya adalah tepat. Bukan saja
untuk menjaga dirinya....tetapi juga Didi dan Fifi.....itu yang lebih
penting..."
"Biarlah Abang Min saja yang tentukan kak....biarlah dia yang cari
calonnya sendiri...."
"Abang Min pilih Siti...."Siti bulatkan mata. Dia bagai tidak percaya.
"Maafkan akak Siti. Akak yang cadangkan Siti....dan Abang Min
setuju....dia tak kisah...."

Apalah yang hendak dikata! Siti bagai bermimpi. Azimin telah memilih
dirinya. Begitu mudahnya. Tidak terfikirkah lelaki itu untuk mencari
gadis yang lebih sesuai untuk dirinya. Gadis korporat, atau gadis
berkerjaya yang setaraf dengan kedudukannya. Kenapa mesti dia? Adakah
kerana cadangan Maria? Ahh.....Kak Mar...kenapa dia juga yang menjadi
pilihan?

"Jangan hampakan akak, Siti....sebelum akak tutup mata..."
"Kak Mar, janganlah cakap macam tu.....akak buat saya serba
salah...."Siti menggeleng kepala.
"Siti sudah ada orang lainkah?"Siti menggeleng lagi.
"Siti tak nak khianati akak...."Maria pegang kedua-dua bahu Siti. Dia
tersenyum tawar.
"Bukan Siti khianati akak....itu permintaan akak sendiri...."
"Akak tak kecewa?"
"Akak lebih kecewa kalau Siti menolaknya"

Siti tidak tahu apa lagi alasan yang boleh diberikan. Dia jadi buntu.
Maria sedikit mendesak. Sampai begitu sekalikah harapan Maria
terhadapnya?

No comments:

Post a Comment