Sunday, August 8, 2010

Bukan Cinta Biasa - 20

"Betul ker kau nak ke Johor, Wari?"Mak Ungku kerut dahi memandang Wari
yang kelihatan ceria petang itu.
"Boleh tak Ma?"Wari duduk di sebelah, memaut bahu Mak Ungku.
"Nak buat apa?"
"Emm..saja. Nak rasa hidup di kampung. Siti kata sekarang ni musim
durian."Mak Ungku menggeleng. Hatinya sedikit berat melepaskan Wari.
"Lagipun, Wari bukan pergi sorang. Lisa pun ikut sama. Minggu depan
kan cuti sekolah."Wari memicit-micit bahu Mamanya.
"Lisa tu cuti. Tapi Wari kan kena ke pejabat. Siapa nak uruskan
pejabat nanti?"
"Ala.....itu Ma jangan risau. Kat sana ramai pembantu Wari. Sebelum ni
pun mereka yang uruskan. Lagipun, Wari dah bagitahu Azimin......"Wari
bangun, membetulkan seluarnya.
"Nanti apa kata keluarga Siti, Wari? Kau tak segan ke.."
"Ish...Ma ni....kan saya pergi dengan Lisa. Lagipun bukannya lama
sangat...2-3 hari je..."Wari membelek-belek wajahnya dicermin. Senyum
tak putus-putus terukir di dua bibirnya. Sekejap-kejap dia melihat jam
tangannya.
"Ni bersiap-siap nak ke mana. Baru balik...dah nak keluar?"Mak Ungku
tarik nafas panjang melihat gelagat anak bujangnya itu. Perubahannya
ketara benar. Dari liar, dia menjadi sopan. Dari pemarah, menjadi
girang begitu. Sedikit sebanyak dia berasa gembira dengan perubahan
itu. Tapi kadang kala, dia curiga juga.
"Saya nak keluar ni......nak gi tengok wayang!"
"Dengan Rina?"Wari tersengih.
"Tak, dengan Siti!"

Mak Ungku beristighfar dalam hati. Dia menghela nafas panjang.
Ternyata apa yang dia takutkan selama ini telah terjadi. Wari, Siti
itu bukan untukmu!

**********************************
Genggaman tangan mereka terlerai. Siti tersenyum malu. Dia tidak tahu
kenapa dia membiarkan Wari menyentuh tangannya. Kalau boleh dia tidak
mahu semua itu berlaku. Dia berlari-lari anak. Meninggalkan Wari di
gigi pantai. Terasa berat kakinya di selaputi debu-debu pantai yang
halus. Seketika dia menghela nafas. Angin yang bertiup menyegarkan
badan. Pandangannya dilemparkan. Memerhatikan susuk Wari yang
membongkok, mengutip kerikil-kerikil tajam. Bila Wari menoleh ke
arahnya, Siti melambai tangan.

Ahh...terlalu jauh aku dibawa keadaan. Tapi perasaan ini....bukan
boleh disisihkan!

"Nak balik ker?"Wari mencungap bila sampai di depan Siti.
"Jom!"Siti membetulkan tudungnya.
"Cepat sangat la.."Muncung.
"Kata nak cari durian? Lisa dah lama tunggu kat rumah tu. Nanti dia
merajuk."Siti tarik muka. Mesti Lisa marah sebab tak ajak dia ke Desaru
petang itu. Tapi Wari yang berkeras tidak mahu membawa Lisa sama. Tak
ada privacy, katanya.
"Esok kita pergi lagi...?"
"Esok kita dah balik KL...jangan perasan...."Siti ketawa kecil.
"Lain kali, saya nak datang sini lagi...."Wari mempercepatkan langkah,
menyaingi Siti.
"Awak kawin le dengan orang Johor....tiap-tiap minggu boleh balik.."
"Dengan Siti?"Siti terdiam. Dia mengerling ke wajah Wari.
"Tak nak la..."Siti juih bibir.
"Ohh....lupa..Siti tak nak sebab...nak tunggu siapa
tu...Zair...Huzair?"
"Wari!"Sepantas kilat jemari Siti sudah mengutil lengan Wari. Wari
mengeliat kesakitan.
"Kan saya dah cakap jangan ungkit lagi cerita tu. Kalau saya tahu
macam ni, tak nak saya cerita kat awak!"Siti melajukan langkah. Dia
terdengar derai ketawa Wari di belakang.
"Okay..okay..."Wari memaut lengan Siti. Siti membalikkan badan. Wajah
mereka bertentangan."Saya tak ungkit lagi....tapi ada syaratnya..."
"Apa syaratnya?"
"Jadi milik saya!"

Siti tersenyum. Dia tidak mahu menjawabnya, Biarlah hati saja yang
berkata 'ya'

***********************************

Azimin resah di bangku. Melihat Maria yang masih lena di perbaringan.
Pemandangan yang biasa waktu petang-petang begini. Dia melonggarkan
tali lehernya. Nafasnya yang turun naik dibiarkan reda seketika.
Perasaannya menjadi hampa. Bukan dia tidak pernah berasa begitu. Tapi
kali ini lebih-lebih lagi. Malah, mengetahui kepulangan Siti ke kampung
bersama Wari sebentar tadi, seakan meruntun segenap perasaannya. Apalah
yang Wari buat di sana? Kerja di pejabat ditinggalkan, semuanya
dibiarkan orang lain yang uruskan. Azimin berasa sebal dengan perangai
Wari sejak akhir-akhir ini.

Dia turun ke dapur sebentar untuk mengambil minuman. Seketika
pandangannya bertembung dengan kelibat Kartini yang muncul dari bilik
air. Kartini tersenyum penuh makna sebelum masuk ke bilik belakang.
Azimin menggeleng. Butang kemeja mula dibuka satu persatu.
Perlahan-lahan dia menyusup masuk ke bilik yang sama.

Hari-hari yang dilalui semakin bermakna bagi Siti. Dia dapat merasakan
semangatnya yang berkobar-kobar tiap kali memulakan harinya.
Perasaannya berkembang, sesuatu yang tidak pernah dia rasakan sebelum
ini. Amat berlainan. Dia ingin tersenyum setiap masa. Malah adakalanya
dia tertawa sendirian. Mengenangkan percutiannya tempohari di kampung.
Sesuatu yang lucu untuk diingat kini.

Wajah Wari kini sentiasa di ruang matanya. Entah kenapa. Perasaan
halus yang menusuk-nusuk dalam hatinya kini semakin bercambah. Kalau
dulu, dia sering tertanya-tanya rasa apakah yang selalu bermain dalam
hatinya itu. Kini dia mula menyedari. Rasa yang hadir, adalah rasa
ingin memiliki dan dimiliki. Dimiliki seseorang. Dan disayangi. Seperti
yang Huzair selalu sebut-sebutkan dulu. Dan kini, dia telah faham
keinginan itu.
Wari, lelaki yang tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk terus
bertapak dalam hati. Terlalu cepat dirasakan. Dia telah tewas dengan
perasaannya sendiri. Walau dia seboleh-bolehnya tidak mahu perasaan itu
terus wujud dalam dirinya. Tapi Wari telah memulakan segalanya. Wari
telah menyuburkan rasa di segenap ruang hatinya. Ahh....kalaulah orang
tahu! Kalaulah Kak Melah tahu. Kalaulah Mak Ungku tahu. Alangkah tak
patutnya dia menyimpan perasaan sedemikian! Alangkah tidak
bertimbangrasanya dia. Alangkah tidak amanahnya! Hadirnya dia di sini
adalah untuk mencari sesuap nasi. Bukan untuk mencari cinta. Bukan
untuk menjalin hubungan terlarang dengan sesiapa.

Siti cuba buangkan perasaannya jauh-jauh walaupun dia rasakan perasaan
itu semakin berkembang dalam dirinya. Setiap kali memandang lelaki itu,
getar-getar dadanya semakin membuak. Seakan ingin dia dampingi lelaki
itu setiap masa. Seakan ingin dia sentiasa di depan mata.
Ahh....indahnya perasaan ini! Tidak pernah dia merasakannya. Bagaimana
untuk dia sengaja membiarkan ia terbuang begitu saja. Sedangkan ia
terlalu indah!

Jadi milik saya! Siti tersenyum lagi. Bagai terngiang-ngiang perkataan
itu dipendengarannya. Walaupun dia tidak pernah berkata 'ya', tapi
senyum dan riak wajahnya sudah menggambarkan segalanya. Cukuplah hanya
itu. Cukuplah hanya itu jawapan darinya. Dia pasti Wari telah tahu
segalanya. Tidak perlulah ungkapan cinta dari dua bibirnya. Cukuplah
hanya hati masing-masing yang mengerti antaranya. Siti pasti Wari tahu
apa yang bergejolak dalam hatinya. Wari tahu apa yang dia rasa. Dan
begitu juga dia. Dia tahu apa yang Wari rasa. Apa yang bergejolak dalam
hatinya.

Tuhan, andai ini nikmat dari-Mu. Restuilah ia!


*********************************

Lenggok gadis itu tertangkap oleh matanya. Masih seperti dulu. Begitu
lembut dan mempesonakan. Suatu masa dulu lenggang lenggok itulah yang
telah menghanyutkan dirinya. Lemas dalam menikmati keindahan ciptaan
Tuhan itu. Kalaulah tidak kerana dia sedar awal. Pastinya nasibnya
masih seperti dulu. Terus hanyut, terus lemas. Wari menggeleng. Dia
memerhatikan langkah gadis itu yang semakin mendekat. Pandangan mereka
bertembung.

"Lama tunggu?"Suara halus itu kedengaran. Wari menggeleng, membetulkan
duduknya.
"You nampak lain..."Rina merenung Wari lama. Wari hanya tersengih.
"I biasa je..."Wari mengalih pandangan. Malas dia hendak bertentang
mata dengan perempuan itu. Tujuannya hari itu hanya satu. Memberi kata
putus. Dia tidak mahu Rina terus mencarinya.
"I ada hal nak cakap dengan you..."
"Kalau ya pun...tunggulah I order minum dulu. You tak nak makan ke?"
Rina mengangkat tangannya pada waitress.
"Tak. I dah makan...."Balas Wari malas. Dia menunggu Rina selesai
memberi pesanan.
"Tunggu I makan, okay. I lapar!"Rina ketawa kecil. Matanya galak
bersinar, merenung Wari.
"I tak boleh lama, Rina.."
"You sengaja nak lari dari I...susah nak jumpa you sekarang. Hari ni,
angin apa tiba-tiba ajak I keluar?" Rina bersandar penuh gaya. Wari
tarik nafas panjang.
"I nak ini pertemuan kita yang terakhir..."
"Maksud you?"
"Kita dah tak sama haluan, Rina. You lain, I lain....masa dah
berubah..."Rina ketawa sinis. Bibirnya menjuih.
"You nak jadi pak lebai, ke Wari?"Tawanya kedengaran. "Patutlah
sekarang ni I tak pernah lagi nampak you kat tempat kita. Member-member
semua tanya pasal you, Wari!"

Wari menggeleng. Dia menentang mata Rina. Rasanya perasaannya dia
terhadap gadis itu telah terhapus sama sekali. Dan dirasakan selama ini
dia tidak pernah mencintai gadis itu. Mungkin apa yang dia rasa selama
ini hanyalah keseronokan semata-mata.

"Rina, dua orang kawan kita dah meninggal, Rina. You tak rasa insaf
ke?"Suara Wari lembut, cuba memujuk gadis itu.
"Diorang tu accident. Tak ada siapa sangka..."Balas Rina.
"Hari tu, you jugak yang sedih sangat..."
"Sebab I terkejut. "Rina muncung. "Memang I sedih....tapi yang pergi
tetap pergi. Kita yang hidup...teruskan hidup..."
"Tapi bukan dengan cara yang sama.."Rina mengeluh. Dia menggeleng.
"I suka dengan life I sekarang ni.."
"Nyawa kita ni bila-bila masa je boleh melayang , Rina..."
"Sudahlah Wari....you jumpa I ni nak suruh I jadi macam you ker? You
nak berubah, you berubah sorang-sorang. I belum lagi..."Rina menarik
gelas minuman yang baru diletak waitress. Dia menyedutnya lama.
"I nak you jangan buat lagi benda-benda yang kita enjoy kan
dulu...semua tu maksiat, Rina..."Rina tarik muka, malas hendak
mendengar. Wajahnya dipaling ke arah lain. Hasratnya untuk melepaskan
rindu pada lelaki itu, hancur berkecai. Kali ini Wari benar-benar lain.
Betul apa yang dikatakan kawan-kawan mereka. Wari sudah berubah. Sudah
jadi orang berkerjaya. Gaya, pemikiran semua sudah berubah. Dan kini
dia cuba mengubah dirinya pula. Mana boleh dia tinggalkan semua itu
dalam sekelip mata. Gila!

"I lakukan ini kerana I anggap you sebagai kawan baik I..." Rina
mendengus.
"Hanya kawan?"Suaranya meninggi. "You dah usung I sana sini, sekarang
you anggap I hanya kawan?"
"Rina...I rasa apa yang kita lakukan selama ini adalah satu kesilapan.
Kita hanya inginkan keseronokan....kita tidak pernah serius dalam
hubungan ini, bukan?"Wari memandang tepat wajah Rina yang mencuka.
Hilang kemanisan wajah itu.
"I serius...."
"Tidak....kalau you serius, you takkan keluar dengan lelaki-lelaki
lain...."
"Tapi diorang tu semua member-member kita!"Suara Rina meninggi. Satu
sikap Rina yang paling Wari tidak gemari. Suka membentak.
"Itu sebab I tak rasa you serius dengan satu-satu perhubungan. Bagi
you semua hubungan sama saja. Asal dapat keseronokan..."
"You menghina I?"
"Tidak Rina....I nak kembali pada diri I seperti dulu-dulu....sebelum
I kenal you....."Wari bersuara perlahan.
"You nak tinggalkan I?"Rina tarik jemari Wari.
"I tak tinggalkan you. Kita tetap kawan. Tapi cara kita dah berbeza.
Kita tak boleh jadi macam dulu lagi....."Rina menggeleng. Wajahnya
memerah.
"Tapi....I sayangkan you Wari.....I nak kita macam dulu......"Jemari
Wari dikucupnya. Wari mengeluh. Dia menarik kembali tangannya.
Mengeluarkan not RM20, lalu disisipkan di tepi gelas.
"I tak dapat tunggu you makan. I kena balik ofis..."Wari bersedia
untuk bangun. Sepantas kilat Rina menarik kembali tangan Wari. Wari
merenung Rina tajam.
"I akan tetap cari you ....."Rina tersenyum nipis.
"Jangan Rina. Antara kita dah tak ada apa-apa. Biar I hidup dengan
cara I. Dan....jangan cari I lagi.."Wari merengus. Dia berpaling kasar,
meninggalkan Rina terkebil-kebil sendirian.

No comments:

Post a Comment