Friday, August 6, 2010

Bukan Cinta Biasa - 19

"Siti..."Wari menghampirinya suatu hari. Siti tergamam seketika. Wari
yang segak berbaju melayu, sedang berdiri betul-betul di hadapannya.
"Wari nak makan ker?"Siti cepat-cepat mencapai pinggan di rak.
"Nak....tapi dengan Siti..."Balas lelaki itu lembut.
"Emm....Siti makan kejap lagi. Tunggu Didi dan Fifi sekali..."Suara
Siti bergetar. Dia cuba mengawal perasaan. Kenapa gemuruh semacam?
"Tak....Wari nak ajak Siti makan .....kat luar.."Wari tersenyum. Siti
pandang Wari, cuba mengesan riak wajah lelaki itu.
"Dengan Lisa sekali?"
"Tak.....dengan Siti. Lisa makan dengan budak-budak tu nanti.."
"Tapi...."
"Saya dah bagitahu Lisa. Janganlah risau sangat...."Wari ketawa kecil.
"Lisa volunteer nak jaga budak-budak tu...."

Siti tarik nafas panjang. Ni mesti Lisa dah berpakat dengan abangnya.
Lisa memang beriya-iya mencadangkan agar dia keluar dengan abangnya
itu. Memang Lisa suka melaga-lagakan dia dengan Wari. Kadang-kadang
Siti jadi malu dengan usikan Lisa yang melulu itu. Walau di depan Wari.
Tapi Wari tidak pula menunjukkan tanda-tanda marah. Malah, senyuman
lelaki benar-benar menggetarkan jiwa. Kenapa lelaki itu berubah
tiba-tiba. Mana keegoan dan kesombongan dia dulu. Adakah kerana
perwatakannya yang telah berubah kini, telah menghasilkan satu suasana
yang berlainan? Sesuatu yang indah mungkin?

Untuk pertama kalinya, malam itu Siti memberanikan diri keluar berdua
dengan lelaki itu. Itupun setelah Wari beriya-iya mengatakan telah
memaklumkan kepada Mak Ungku. Dan berjanji untuk pulang sebelum jam
sebelas. Hanya makan-makan, begitu kata Wari waktu dia masuk ke dalam
kereta. Lisa di muka pintu mengenyitkan mata. Suka benar gadis itu. Dan
Siti, hanya mendiamkan diri, selain memikirkan bagaimana keadaan dia
malam itu. Solekan nipis di wajahnya hasil tangan Lisa, adakah
berlebihan? Blouse dan skirt kembangnya adakah berpadanan?
Ahh...segala-galanya diluar kawalan. Dia seperti menjadi dirinya yang
lain. Dia seperti sengaja membohongi hatinya. Melarikan diri dari
seorang lelaki untuk menerima seorang lelaki. Kenapalah aku ni lemah
sangat! Siti menghela nafas.

"Kenapa Siti?"Wari menoleh sekilas."Kenapa mengeluh? Penat ye?"
"Eh, taklah...."Balas Siti perlahan. Dia mengangkat muka, memandang
polos ke hadapan.
"Kita pergi kat depan ni je. Tak payah jauh-jauh. Sini pun makanannya
sedap-sedap...."Wari bersuara disulami ketawa kecil. Dalam hati dia
berasa senang sekali. Penerimaan Siti malam itu bagai membuka ruang
baru dalam hidupnya.
"Kalau makan ramai-ramai seronok juga.."Siti bersuara.
"Makan ramai-ramai dah selalu. Kali ni Wari nak kita berdua
je..."Ishh....Siti jadi takut mendengar perkataan tersebut. Dia gigit
bibir kuat-kuat. Cuba meredakan debar di dadanya. Janganlah dia nak
beromantis pulak dengan aku....

Wari memperlahankan keretanya sebelum berhenti betul-betul di depan
sebuah tasik. Siti keluar, dan merasakan kedinginan malam itu. Bintang
di langit bertaburan, tetapi angin malam seolah-olah membawa petanda
hujan. Dia mengekori langkah Wari yang bersahaja. Agaknya Wari sudah
selalu berkunjung ke sini. Kalau bukan dengan Lisa, pasti dengan Rina.
Tiba-tiba Siti terbayangkan Rina. Bagaimana hubungan mereka berdua.
Kenapa Wari mengajaknya keluar tidak Rina. Sudah putuskah mereka?

"Kita duduk sini je lah..."Suara Wari kedengaran. Siti tarik kerusi
lalu melabuhkan punggung.
"Siti nak makan apa?"Tanya Wari sebaik pelayan lelaki berbaju batik
datang kepada mereka.
"Apa-apa saja..."Wari angkat kening. Dia tersengih. Gabra semacam je
Siti ni......dia takut dengan aku ke?
"Saya order, jangan Siti tak makan pulak...."Siti senyum sama.
Silap-silap aku minum aje. Malu punya pasal!

Terasa bagai tak lalu makan dibuatnya. Biasanya waktu makan begini,
ada Didi dan Fifi yang memeriahkan suasana. Kadang-kadang ada Lisa
kalau dia tidak ke mana-mana. Kali ini hanya mereka berdua. Dalam
suasana, yang Siti tidak pernah membayangkan. Kalau dulu, Wari selalu
memberi alasan yang bukan-bukan bila mengajaknya keluar, kali ini
nampaknya dia berterus terang. Seolah ada keyakinan pada diri lelaki
itu akhir-akhir ini. Tutur katanya lembut, dan riak wajah ada
ketenangan kini berbanding sewaktu awal pertemuan mereka. Siti dapat
rasakan perbezaan itu.

"Banyak perkara yang saya nak tahu pasal Siti sebenarnya...."Wari
bersuara.
"Emm?"Siti angkat kening.
"Kampung Siti di mana?"
"Emmm..."Siti telan liur. "Kat Kota Tinggi.."
"Kota Tinggi tu kat Johor, kan?"Siti angguk.
"Mak ayah Siti?"
"Ada lagi."
"Mak ayah kerja apa?"
"Bapak noreh getah je. Mak tak kerja."Balas Siti jujur. Minuman yang
dipesan sampai. Siti menyedutnya seketika.
"Saya pernah ke Johor, Desaru Resort. Masa tu saya konvoi ke sana
ramai-ramai masa hari merdeka..."
"Oh....itu dah dekat sangat dengan rumah saya tu..."Siti tersenyum
ceria.
"Dekat sangat?"
"Emmm..kalau ke Desaru, lalu kawasan kampung saya dulu...."
"Kalau gitu, boleh saya singgah rumah Siti..."Siti ketawa.
"Boleh....kalau awak datang Johor, jemputlah ke rumah saya..."Balas
Siti lancar.
"Emm...minggu depan?"
"Ha?"Siti angkat muka. Wajah Wari dipandang lama. Biar betul mamat
nih! Aku cakap main-main je. Dia serius ke?
"Kenapa, tak boleh ke?" Dia ketawa kecil.
"Eh, awak ni, jangan main-main la...."Siti tarik muka.
"Takkan tak boleh saya nak datang rumah awak. Saya pun nak merasa
kehidupan di kampung sana..."
"Nak menoreh?"'Siti tergelak sama. Debarnya sudah menghilang. Dia rasa
semakin selesa berbual dengan lelaki itu.

Ternyata Siti, benar-benar berlainan dengan Rina. Wari dapat
merasakannya. Dia tidak berasa terdesak, atau rungsing. Berbanding
dengan Rina yang selalu membentak dan sedikit mendesak. Yang gemarkan
liburan. Yang tidak pernah memikirkan realiti kehidupan selain dari
keseronokan semata-mata. Sesuatu yang hilang dulu terasa terisi
kembali. Hatinya yang kering, kini basah disirami.

"Emm...itu gelang yang saya bagi hari tu ke?"Mata Wari tertancap pada
pergelangan tangan Siti yang bersinar. Siti cepat-cepat tarik
tangannya. Dia tersipu. Ahh...kenapa lupa nak tanggalkan?
"Semalam keluar lupa nak tanggalkan..."
"Kenapa nak tanggalkan pulak. Biarlah ia kekal di situ...kalau boleh
sampai bila-bila..."Siti hampir tersedak mendengarnya. Dia memalingkan
wajah. Tak sanggup dia menentang renungan lelaki. Issh....lain benar
bunyinya. Hati Siti berdebar-debar.
"Emm....yang warna hijau tu, mesti Mak Siti yang bagi?"Wari menunjuk
ke arah seutas lagi gelang yang melingkar di pergelangan tangan Siti.
Siti menggeleng.
"Yang ni...."Dia teragak-agak. "Emm...Hadi yang beri hari
tu....sebelum balik ke sini..."

Wari tarik nafas panjang. Tiba-tiba dia rasa menyesal mengemukakan
pertanyaan itu . Ahh...hati... bertenanglah. Kenapa perlu gugup, kenapa
perlu berdebar. Wari cuba meredakan perasaannya yang sudah mula tidak
menentu.

"Siti suka pada Hadi, tu?"Wari tidak teragak-agaknya bertanya. Dia
ingin tahu hati gadis ini yang sebenar.
"Eh, tak lah...."Siti sedikit terkejut. Sekali berjumpa, takkan terus
suka! "Emm.....tapi..dia tu baik orangnya. Dengarnya....dah nak
bertunang.."
"Iyer?"Wari agak terkejut. Dalam hatinya sedikit riang, tetapi dia
cuba mengawal agar tidak ketara kelihatan. Rasanya dia ingin tertawa
sepuas hati mendengar perkhabaran itu.
Siti perasan perubahan wajah Wari bila mendengar katanya itu. Dia
sedikit lega, walaupun dalam hati rasa bersalah juga kerana membohongi
lelaki itu. Dia tidak pernah tahu samada Hadi sudah berpunya atau
sebaliknya. Apatah lagi ingin bertunang. Dia cuma ingat kata-kata Hadi
sebelum dia bertolak pulang dahulu. Lelaki muda itu ternyata ingin
menjalin hubungan yang lebih istimewa dengannya. Bukan sekadar kenalan
singkat. Semua itu dinyatakan di dalam surat yang dilampirkan bersama
gelang hijau tersebut. Kalaulah Siti tahu maksud sebenar yang tersirat
di hati Hadi, sumpah dia tak akan mengambil pemberian tersebut. Dia
takut Hadi salah sangka.

Dan kini, berhadapan dengan Wari, sesuatu yang sukar juga. Dia tidak
ingin Wari anggap dia punya apa-apa hubungan dengan Hadi. Dia seperti
dapat rasakan perasaan Wari yang berbunga terhadapnya. Dan perasaannya
juga!

No comments:

Post a Comment