Sunday, August 29, 2010

Badai Pasti Berlalu - 41

Ismail memandu tenang, Iman di sebelah menarik muka tegang. Iman lebih rela kedua-dua biji matanya memandang ke luar tingkap sepenuhnya daripada membenarkan ekor matanya melirik ke arah lelaki yang telah menyakitkan hatinya sebentar tadi. Iman malu diperlakukan seperti anak kecil oleh Ismail. Dia seolah-olah anak liar yang kabur dari pengawasan ibubapa oleh berpuluh pasang mata yang memandang di perhentian bas DBP. Ismail mengheret, memaksanya, menghenyak tubuhnya ke dalam kereta. Iman membantah, Ismail memaksa malah lebih teruk lagi, lelaki itu bertindak mencempung tubuhnya!



"Iman, kenapa nak marah-marah ni? Kalau dengan Haziq boleh pulak awak senyum, berbual mesra tapi, dengan saya..."

"Suka hati sayalah nak marah ke tidak, nak senyum ke tidak, nak berbual mesra ke tidak, diri saya, saya punya sukalah, awak peduli apa!" Balas Iman geram.

"Eh memanglah saya peduli. Apa hubungan awak dengan dia? Siap boleh tinggal kat rumah dia lagi. Kenapa? dekat KL ni dah tak ada hotel lagi ke? Apa awak ingat saya ni tak ada perasaan, saya cemburu tahu tak! Lagipun, ingat, awak tu…"

"Saya apa?" Pintas Iman.

"Awak tu perempuan, Haziq tu lelaki, bahaya. Macam-macam boleh terjadi, faham???" Tekan Ismail, dia geram dengan Iman yang kini sudah pandai menjawab dengan kata-kata yang berbisa.

"Habis, awak dengan Haziq tu tak sama ke? Tengok, apa yang awak dah buat pada saya sebentar tadi. Mengata orang konon, entah-entah awak tu yang lebih bahaya daripada dia!" Balas Iman selamba.

"Memanglah sama tapi saya ni…"



Ismail kematian kata-kata untuk terus berhujah. Ya, sebentar tadi dia memang benar-benar naik angin. Ismail bengang, Iman boleh buat muka selamba, buat-buat tidak kenal pulak akan dirinya yang terjerit-jerit memanggil nama gadis itu sedari tadi. Kesudahannya, dia terpaksa bertindak kasar dan kini mahu atau tidak Iman sudah pun berada di sisinya. Ismail tersenyum megah walau hatinya sedikit gundah, takut andainya Iman semakin dingin dengan dirinya.



"Iman… kenapa mesti begini? Awak seolah-olah ingin menjauhi diri saya? Awak membenci saya, hmm?" Tanya Ismail setelah mampu menenangkan perasaannya.

"Memang, memang saya bencikan awak! Awak memalukan saya! Apa awak ingat saya ni budak mentah? Sesuka hati awak aje nak buat apa pada saya! Awak paksa saya! awak heret saya! awak peluk saya depan orang ramai, saya malu tahu tak!!!" Marah Iman, suaranya tersekat-sekat menahan gelora marah yang kini sarat di dalam hatinya.

"Iman, maafkan saya ok?"

"No, saya bencikan awak!!!" Jerit Iman.



Iman mengetap bibir kuat. Geram! Mulutnya begitu lancang menuturkan kata-kata berbisa itu. Iman tidak membenci lelaki itu, tidak sekali-kali. Hanya dirinya yang menjadi kebencian baginya saat ini. Iman bencikan perasaan yang sedang berkocak hebat di dalam hatinya. Redup mata itu begitu didambakan, suara garau itu begitu menusuk kalbunya. Pendek kata, segala yang ada pada lelaki itu begitu menghantui hidupnya. Sudah berapa minggu Iman menyekat kerinduan yang cuba bertandang, dia ingin menjauhi lelaki itu tapi, dalam masa yang sama dia berdoa untuk tidak kehilangan. Ah, betapa tamak dan hipokritnya dirinya.



"Betul, awak bencikan saya ni, hmm sayang?" Tanya Ismail.



'Oh no, saya cintakan awak!!!' Hati kecil Iman melaung kuat.



Ismail mengulum senyum. Masakan Iman membenci dirinya. Marah-marah sayang adalah. Ismail terbayangkan tindakan beraninya sebentar tadi namun dia diam, tidak berani untuk berkata lanjut. Ismail tidak mahu mencurah minyak ke atas api yang sedang marak, bimbang dirinya sendiri yang rugi. Sekilas dia menjeling ke arah jemari Iman, ada sesuatu yang menarik matanya untuk berlama di situ. Kilauan itu begitu memikat pandangan. Perlahan dia mencapai jemari halus dan runcing itu. Iman merentap namun tangan sasanya kejap tidak dilepaskan walau seinci.



"Iman, cincin apa ni? Cantik." Puji Ismail. Iman diam tidak menjawab.

"Iman… cincin apa ni sayang? Macam cincin tunang saja ni. Awak sudah bertunang ya?" Teka Ismail pula. Dia memusing-musingkan cincin itu perlahan-lahan. Muat-muat saja. Ada rasa halus yang menyelinap ke dasar hati Ismail saat itu.



Berdesing telinga Iman, darah segera menyerbu ke muka, nafasnya bagaikan tersekat di kerongkongan. Bibir merahnya bergetar menahan rasa gentar yang terbit di dada. Sudah tahukah lelaki itu? Iman memejamkan matanya tatkala Ismail bertindak mencium lama cincin di jari manisnya itu. Sungguh! Iman rindu. Pergerakkan tubuhnya mulai longlai, hatinya bagaikan membenarkan saja apa yang di lakukan oleh Ismail saat itu.



"Ismail! Apa yang awak buat ni hah???" Jerit Iman sebaik terasa ada sebuah ciuman lembut yang mendarat di pipi kanannya.



Wajahnya merona pekat. Pantas dia merentap kuat tangannya dari genggaman sasa lelaki itu. Tubuh Ismail ditolak menjauhi dirinya. Iman diserang rasa bersalah. Curangkah aku? Perempuan jenis apakah aku ini? Tega-teganya aku membenarkan lelaki itu menciumi wajahku! Ya Allah, apa yang telah aku lakukan ini?



"Iman…"

"Turunkan saya! Turunkan saya cepat! Turunkan saya Ismail! Saya benci awak! Saya benci!!!" Jerit Iman bagaikan diserang histeria.



Berjuraian airmata Iman. Tangannya berusaha membuka pintu kereta walaupun dihalang oleh Ismail. Dia berjaya akhirnya sekalian memaksa Ismail memberhentikan keretanya di pinggir jalan secara mengejut. Tanpa berlengah dia pantas turun untuk mendapatkan teksi. Bagaikan dirancang, sebuah teksi berhenti di depannya.



"Iman, sabar dulu sayang. Dengar apa yang saya nak cakapkan ni. Saya ada sesuatu nak beritahu awak. Iman…" Pujuk Ismail sambil cuba menghalang perjalanan Iman.

"No, awak tak perlu cakap apa-apa malah awak tak bersalah apa-apa pun dengan saya. Cuma, satu yang saya minta, tolong lupakan saya Ismail, lupakan saya." Balas Iman tegas.

"Tapi, kenapa? Apa-apa pun awak kena dengar dulu penjelasan saya. Iman… please sayang, dengarlah apa yang saya nak cakapkan ni. Iman…"

"Tak ada apa-apa dan saya tak mahu dengar apa-apa. Thanks for everything." Iman memandang wajah Ismail buat kali terakhir, dirauti wajah itu sedalamnya. Tidak dipeduli sinar mata yang penuh mengharap itu.



'Selamat tinggal sayang…'



Sepanjang perjalanan Iman menangis hiba. Pakcik teksi yang memandu memandang pelik namun, Iman tidak peduli, bukan dia kenal pun dengan orang tua itu, lalu, tangisannya bertambah sayu lagi haru. Telepon berbunyi menandakan ada SMS diterima.



'Aina, di mana sayang? Everything ok kan? SMS Abang kalau sudah tiba dirumah.'



Iman tidak membalas. Dia merengus tanda tidak puas hati. Lelaki ini pun satu hal, semenjak bertunangan tidak pernah mahu menghubunginya, asyik berbalas SMS saja, Iman bosan! Pada mulanya dia senang namun, lama kelamaan dia jadi sakit hati. Iman ingin mencurahkan perasaan tapi, pada siapa?



Pakcik teksi itu mencuri pandang anak gadis yang sedang melayan perasaan sedih. Ingin bertanya, dia takut dimarahi. Tapi, dia kenal dengan lelaki yang mengejar gadis itu sebentar tadi. Mereka pernah beberapa kali berjumpa dan berbual mesra. Anak muda itu kelihatan baik pada pandangan mata tuanya. Adakah gadis ini yang seringkali diceritakan oleh anak muda itu kepadanya? Tapi, apa yang telah terjadi? Mungkinkah sesuatu yang buruk telah dilakukan oleh anak muda itu pada gadis ini? Alah, adat orang bercinta, bergaduh dan berkelahi itu asam garam kehidupan mereka, esok-esok berbaiklah semula.

1 comment: