Sunday, August 22, 2010

Badai Pasti Berlalu - 40

Sudah 2 hari Iman berada di Kuala Lumpur menghadiri bengkel Penulisan Kreatif anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Dia memang minat berkarya, menulis cerpen mahupun puisi-puisi yang sekadar melahirkan perasaannya. Sekali-sekala ada juga dia menghantar karya-karya hasil penulisannya ke syarikat penerbitan majalah tempatan. Sungguh! Iman tidak menyangka sama sekali sesuatu yang hanya dianggap sebagai hobinya itu telah menarik minat pihak DBP untuk mengundang dirinya menyertai bengkel yang berlangsung selama 3 hari itu secara percuma.



Iman masih menunggu kedatangan Imran Haziq untuk menjemputnya. Hari ini dia meminta Haziq menjemputnya di Sogo. Sebenarnya, bukan niat Iman untuk menyusahkan lelaki itu. Pada mulanya, dia hanya meminta pertolongan untuk mencarikan dirinya hotel penginapan yang berdekatan dengan DBP selama dia di KL ini. Namun, Haziq berkeras supaya dia menginap di rumah ibubapanya di Ampang Jaya. Kalaulah Fatin berada di tanah air, Iman pasti dia tidak akan sekali-sekali menyusahkan lelaki itu.



Ismail? Oh, dia tidak pernah terfikir untuk meminta bantuan lelaki itu. Semenjak bertunangan, Iman tidak lagi menghubungi Ismail apatah lagi memaklumkan kedatangannya ke ibu kota ini. Hanya Ismail yang selalu menghubungi dirinya. Kalau ‘mood’nya baik Iman akan menjawab dan kalau tidak dia hanya memandang sepi pada setiap deringan telepon daripada lelaki itu. Perbualan mereka juga sudah tidak semesra dulu. Acapkali juga Ismail berang namun, dia tidak pernah ambil peduli. Ingin mengungkapkan kebenaran dia masih belum dikurniakan kekuatan. Sampai bila? Iman sendiri tidak pasti.



“Hei… Iman, awak buat apa kat sini?” Tiba-tiba ada suara lelaki menyapa telinga Iman.

“Hah! Awak???” Iman benar-benar tersentak. Mulutnya ternganga luas. Seketika, tubuh badannya bergetar hebat.

“Iman… saya tanya ni, awak buat apa kat sini?”

“Saya… saya… err… saya tengah tunggu… tunggu kawan datang jemput.” Jawab Iman.

“Kawan?”



Sekilas Iman membuang pandang ke atas jalan raya yang sibuk, melihat kalau-kalau Haziq sudah tiba untuk menjemputnya. Kereta bertali arus, namun tiada satu pun yang berhenti dipinggir jalan. Mana Haziq ni?



“Kawan?” Sekali lagi pertanyaan itu diulang sebut.



Iman mengangguk pasti. Dia mengukir senyuman lantaran orang yang di nanti sudah pun sampai. Haziq melambai tangan dari dalam keretanya. Iman bingkas, dia perlu cepat beredar, bukan mengelak diri tapi, kereta Haziq tidak boleh berlama berhenti di situ, melanggar peraturan lalu lintas!



“Err… saya pergi dulu ya, assalamualaikum.” Ucap Iman seraya mengorak langkah meninggalkan lelaki itu tercengang-cengang sendiri.



Iman diserbu rasa bersalah namun, di pihak yang satu lagi dia mengeluh lega. Mungkin pertemuan ini mempunyai hikmah, alasan untuk meleraikan hubungan mereka. Dia rela dipandang serong, tidak setia mahupun dianggap curang sekalipun oleh lelaki itu. Biarlah, lelaki itu berhak untuk menuduhnya begitu. Dan, Iman tidak perlu takut jauh sekali untuk menerangkan apa yang di lihat oleh lelaki itu mahupun menjelaskan hubungan dirinya dengan jejaka di sebelahnya ini. Iman tidak perlu bersusah payah untuk membersihkan harga dirinya pada lelaki itu. Yang tersurat sudah nyata lalu, biarlah yang tersirat itu tersimpul erat.



“Iman, apa yang ditermenungkan lagi tu?” Tanya Haziq. Iman tersenyum kelat.

“Siapa lelaki tadi tu? Kalau tak silap macam muka kawan awak yang saya jumpa dekat Pudu dulu tu kan?” Tanya Haziq lagi.

“Erm. Kebetulan terserempak dengan dia masa saya tunggu awak tadi. Awak tu janji nak jemput saya pukul 5.30pm, tengok pukul berapa awak sampai tadi?” Jawab Iman.

“Oh. Ingatkan awak memang berjanji nak jumpa dia. Tu yang suruh saya jemput dekat Sogo. Maaflah sebab lambat, ada kerja sikit tadi.”

“Taklah, kebetulan ajer. Saya pergi Sogo sebab nak beli ni. Cantik tak?” Jawab Iman seraya menunjukkan beberapa barangan di ribaannya.

“Cantik. Untuk siapa ni?” Tanya Haziq, tangannya mencapai satu bungkusan di tangan Iman, dibelek-belek sambil menunggu lampu trafik bertukar hijau.



Iman mengukir senyuman kecil. Kotak berbalut sampul berwarna biru lembut itu mengandungi sesuatu yang dibeli khas untuk ‘Abang’nya. Entah mengapa tiba-tiba saja fikirannya terlintas untuk membelikan sesuatu untuk si dia.



“Untuk siapa? Untuk saya? Atau, untuk…” Usik Haziq, ekor matanya melirik ke arah Iman, gadis itu tersenyum malu, wajahnya sedikit merona. Cantik! Desis hati Haziq.



Sementara itu, di dalam kereta di bahagian bawah tempat parking di pusat membeli-belah Sogo, seorang jejaka sedang bergelut dengan perasaannya sendiri. Tubuhnya bergetar, wajahnya tegang, telinganya merah menahan rasa. Dia benar-benar cemburu, hatinya mendongkol marah, tangannya beberapa kali melepaskan tumbukkan kuat di stereng kereta sekalian mengundang banyak mata dan jelingan tajam manusia-manusia hairan. Ah, dia tidak pernah peduli, banyak persoalan lain yang bermain di fikirannya saat ini.



‘Kenapa mesti lelaki itu? Kenapa bukan aku?’

‘Kenapa lelaki itu yang menjemputnya? Kenapa bukan aku? Kenapa tak naik teksi saja? Bus? LRT? Komuter? Monorel? Kenapa?’

‘Kenapa mesti menginap di rumah lelaki itu? Bukankah sepatutnya di hotel? Rumah Fatin? Rumah aku?’

‘Apa hubungannya dengan lelaki itu? Macam mana hubungan aku dengan dia? Apa kesudahannya?’

‘Atau, ada sesuatu yang aku tidak tahu? Atau…’



“Ismail!!!” Jeritan seorang wanita berserta ketukan yang bertalu-talu di cermin tingkap kereta menyedarkan Ismail. Cepat-cepat dia keluar dari kereta.

“Ismail… Ismail… apa yang kamu menungkan sampai umi panggil banyak kali pun tak dengar ni, hah?” Ujar Pn. Dewi Fauziah.

“Tak ada apalah umi. Umi tu lama sangat shopping, penat Ismail tunggu tau. Tu yang sampai tertidur tadi.” Balas Ismail sambil membantu Pn. Dewi Fauziah memasukkan barangan yang di beli ke dalam bonet kereta.

“Hai… selalu tu tak pernah pulak merungut, sepuluh jam pun sanggup tunggu. Tup-tup hari ni kata penat, nak duduk bertapa dalam kereta pulak, adalah yang tak kena tu.” Bebel Pn. Dewi Fauziah lagi.

“Hish… umi ni, Ismail biasa ajer, mana ada apa-apa pun.”

“Tak payah nak bohong dengan umi, tengok muka kamu yang monyok, telinga kamu yang merah tu pun umi dah tahu Ismail… Marah dengan siapa ni, hmm? Balik nanti cerita kat umi, ya Ismail sayang…?”

“Erm... baiklah puan. Boleh kita balik sekarang?”

“Ok, jalan.” Arah Pn. Dewi Fauziah.



Ismail hanya mendiamkan diri sepanjang perjalanan. Sesekali, bibirnya menyanyi-nyanyi kecil mengikut alunan lagu dari corong radio, menutupi kegundahan hatinya saat itu. Di matanya terbayangkan wajah Iman yang ketara serba-salah sebentar tadi, berselang-seli dengan pandangan tajam milik lelaki dari sebalik cermin kereta yang berhenti di pinggir jalan.



“Eh tadikan, umi macam nampak kawan kamu Iman. Tapi, tak tahulah betul ke tidak. Mungkin pelanduk dua serupa agaknya. Mata umi ni dah kelabu, bukannya nampak sangat.” Ujar Pn. Dewi Fauziah tiba-tiba. Ismail pura-pura tidak dengar.

1 comment: