Wednesday, August 18, 2010

Badai Pasti Berlalu - 39

Sah kini dia sudah pun menjadi tunangan orang. Sebentar tadi pihak keluarga lelaki baru saja pulang setelah sempurna adat menyarung cincin tanda di jari Iman. Tidak ramai tetamu yang diundang lantaran majlisnya hanya secara kecil-kecilan sahaja. Wakil pihak lelaki juga hanya sekadar sebuah kereta termasuk Pak Samad dan Makcik Zubaidah. Namun, Iman bersyukur kerana majlis itu berjalan dengan lancar. Keriangan jelas terpancar di wajah tua ibunya.



Iman memerhati wajahnya di cermin. Solekkan di muka masih tidak dibersihkan. Sanggul rambutnya masih rapi, kurung sutera thai berwarna putih gading masih membaluti tubuhnya. Warna-warni yang tercorak di luaran tidak seceria apa yang ada di dalam hatinya saat itu. Iman kecewa, namun itu semua sudah tidak bererti lagi. Ikatan sudah tersimpul, janji sudah dipadu. Kini, dia hanya menunggu waktu, menanti detik ijab dan kabul untuk disatukan.



"Kak Aina, apa yang di termenungkan lagi tu? Teringat tunang tersayang ke?" Tegur Irma.



Sedari tadi dia memerhatikan kakaknya itu. Wajah itu langsung tidak ceria selayak orang lain yang bertunangan. Tidak gembirakah Kak Aina dengan pertunangan itu? Tapi mengapa? Mungkinkah ada sesuatu yang di sembunyikan dari pengetahuannya?



"Kenapa Kak Aina? Akak tak gembira ke? Bukankah ibu kata akak suka sama suka, jadi apa masalahnya?" Tanya Irma cuba menyiasat.



Iman tersenyum kecil. Tidak menidak juga tidak mengiyakan. Aku suka sama suka? Ah, mungkin ibu mempunyai alasan tersendiri sehingga memberitahu begitu kepada Irma juga Kak Ain. Tidak mengapa, mungkin nanti doa ibu itu akan termakbul. Semoga pintu hatinya akan terbuka untuk menerima lelaki itu. Dia juga akan cuba membajai ikatan mereka seikhlasnya.



"Bukan tidak gembira Irma, cuma… Kak Aina rasa macam tak percaya sudah menjadi tunangan orang. Irma tak rasa pelik ke, tiba-tiba ajer akak bertunang? Semalam dan hari ini sungguh berbeza Irma..." Balas Iman menutupi kegundahan hatinya.

"Eh, pelik apa pulak, Irma gembira lagi adalah. Akhirnya, kakak Irma yang comel ni dah pun berpunya. Eee… tak sabar pulak rasanya nak jumpa bakal suami akak tu. Handsome kan dia kak? Ganteng!" Jawab Irma ceria.

"handsome? Ganteng? Mana Irma tahu ni?" Tanya Iman pelik.



Dia sebagai tunangan lelaki itu sedikit pun tidak tahu inikan pula adiknya yang selama ini duduk di Melaka. Sungguh menghairankan! Atau, mungkin juga mereka sudah bertemu barangkali. Hanya aku yang masih tidak tahu menahu perihal lelaki itu.



"Lah, takkanlah buah hati sendiri handsome pun tak tahu kot… Irma tahulah. Memang sesuai sangatlah dengan akak ni. Macam pinang di belah dua gamaknya." Usik Irma.

"Hah, iyerlah tu… entah-entah macam pinang terbelah tiga!" Balas Iman mendatar.

"Hish… Kak Aina ni, ada pulak macam tu. Betul apa Irma cakap. Kak Aina dengan si dia sama cantik sama padan…" Tekan Irma. Iman buat muka selamba mendengar kata-kata pujian dari adiknya itu.



Sekali lagi Irma memerhati raut wajah kakaknya itu di cermin solek. Solekan nipis ternyata menyerlahkan lagi kecantikkan Kak Aina. Sememangnya, di antara mereka bertiga, Kak Aina dikurniakan wajah yang menawan, wajahnya bujur sirih, kulit juga bersih, putih kemerahan. Siapa jua yang memandang pasti terpaut. Sedikit waktu dulu, dia sendiri cukup irihati dengan kelebihan yang dimiliki oleh gadis itu namun kini, Irma akur dengan kurniaan Tuhan kepada setiap insan.



Mereka berdua saling berpandangan melalui cermin. Irma memainkan keningnya nakal. Iman tersenyum sumbing. Bunyian handphone Iman tanda mesej masuk melebarkan lagi senyuman di bibir Irma.



"Hah, tunggu apalagi. Cepatlah Kak buka, mesti tunang tersayang yang hantar mesej tu. Bukalah cepat kak... " Sergah Irma tatkala didapati Iman masih membatu diri.



Mana mungkin tunangannya itu mahu menghantar SMS kepadanya. Semenjak lamaran dihantar dan diterima belum sekalipun lelaki itu menghubungi Iman berkenalan mahupun bertanya khabar. Entah-entah lelaki itu juga sama seperti dirinya, hanya menurut kehendak orang tua. Kalaulah begitu, sungguh malang nasib dirinya. Iman mengeluh seraya mencapai handphone di atas meja solek.



'A'kum. Aina terima kasih kerana menerima diri ini. Tidak sabar rasanya utk bertemu Aina-Abang.'



Ternyata telahan Irma betul. Baru kini lelaki itu mahu menonjolkan diri walaupun bukan dengan menunjukkan wajahnya. Perlukah dia membalas mesej tunangannya itu?



"Hah, balaslah cepat kak. Kesian En. Abang awak tu." Ujar Irma seraya berlalu keluar.



'Erm… welcome.'



'Itu jer? Tak rindu kat Abang? I miss U sayang…'



Sayang! Belum pernah bertemu sudah bersayang-sayang. Sayangkah lelaki kepada dirinya? . Tidak sampai sehari bertunangan sudah membahasakan dirinya 'Abang'. Tidak malukah lelaki itu? Iman membiarkan mesej itu tidak berbalas.



Tapi, benarkah lelaki itu benar-benar menerima Iman sebagai tunangan. Oh, nampaknya hanya dia yang tidak ikhlas menyimpulkan ikatan ini. Iman mengeluh lega, setidak-tidaknya dia tahu lelaki itu menerima dirinya bukan kerana paksaan mahupun aturan keluarga. Iman tidak bimbang akan dirinya, dia akan sedaya upaya merawat luka di hatinya demi lelaki itu. Kasih akan segera dipupuk. Dia tidak akan sesekali memalukan ibu, maruah keluarganya lebih tinggi nilainya dari segalanya.



Iman menekan-nekan papan kekunci handphone untuk menyimpan nombor telepon tunangannya itu. Tapi, siapa ya nama yang perlu dia letak? Ah, sehingga sudah sah bertunangan pun dia masih tidak tahu nama lelaki itu! Apa jenis punya tunanglah dia ini…



'ABANG???' Akhirnya Iman menaip sebaris abjad itu.



"Abang…" Iman mengungkapkannya penuh perasaan. Latihan praktikal, Iman tersenyum gelihati.


Bagaimanalah rupa bentuk wajah dan fizikal 'Encik Abang' nya itu. Kacakkah seperti yang dikatakan oleh Irma? Kalau betullah, itu merupakan satu bonus untuknya walaupun bukan itu yang di harapkan Iman. Memadailah jika lelaki itu seorang yang bertanggungjawab, jujur dan menghormati dirinya sebagai seorang wanita. Selebihnya dia berharap agar ada keserasian di antara mereka. Itu saja.

1 comment:

  1. apa ni???
    eeee....
    geram la...
    napa iman trma pnagan org lain....
    mst is kcwa 2.....

    ReplyDelete