Monday, August 16, 2010

Badai Pasti Berlalu - 38

Telepon dipegang kejap. Satu persatu nombor lelaki itu di dail. Seketika talian mula bersambung. Iman menarik nafas tinggi sebelum dihembus perlahan-lahan. Percubaannya yang pertama hampa, telinganya di sajikan dengan lagu ‘Jujur’ dari kumpulan Radja sebelum di bawa ke peti simpanan suara. Iman membatalkan panggilan. Ke manakah perginya lelaki itu? Dia mencuba sekali lagi, sekali lagi lagu kegemaran Ismail itu menjadi halwa telinganya.



“Ismailll…” Iman menjerit geram. Dia mundar-mandir di dalam bilik, seminit kemudian dia mendail sekali lagi. Iman menghela nafas lega kerana talian berjawab.



“Hello, Assalamualaikum, Ismail awak di mana ni? Kenapa dah dua kali saya called awak tak jawab?” Laju Iman memulakan bicara, nadanya berbaur geram.

“Waalaikumsalam, er… Ismail tengah mandi. Ini uminya, siapa ni ya?” Suara seorang wanita tiba-tiba menjawab telepon milik Ismail Syafiq.

“Er… maaf makcik saya ingatkan Ismail yang jawab tadi. Saya Iman Nuraina, kawan Ismail makcik. Makcik apa khabar?” Balas Iman sekadar berbasa-basi juga untuk menutup kegopohannya tadi.

“Tak mengapa. Oh, inilah Iman ya, alhamdulillah makcik sihat. Iman pulak bagaimana, sihat? Bila nak datang rumah makcik?” Tanya wanita itu ramah.

“Ya, Alhamdulillah, saya sihat makcik. InsyaAllah, panjang umur saya datang nanti makcik.” Jawab Iman.

“Iman, sebentar ya, makcik panggilkan Ismail.”



“Iman, ada apa sayang? Rindu kat saya ya?” Ismail berkata ceria. Bahu Pn. Dewi Fauziah dipeluk rapat.

“Ismail… saya… saya…”

“Iman? Kenapa ni? Ada apa sayang?” Tanya Ismail sedikit cemas.

“Ismail, awak… awak betul-betul sukakan saya, ikhlas menyayangi diri saya?” Terluah ayat pertama yang di rangka semenjak tadi.

“Kenapa ni Iman? Of course saya ikhlas sayangkan awak. Awak masih tak percayakan saya lagi. Iman… hanya awak yang saya sayang, hanya Iman Nuraina di hati saya. Percayalah. Iman any problem, hmm?” Tanya Ismail Syafiq.



Ismail mengenyit mata nakal ke arah Pn. Dewi Fauziah yang masih memasang telinga mendengari perbualannya. Sesekali dia tersenyum simpul, menjeling penuh makna ke arah wanita separuh abad itu. Dia mengaduh kecil tatkala wanita itu mencubit lengannya.



“Iman… tell me sayang…” Pujuk Ismail tatkala mendapati gadis itu masih membisu di hujung talian.

“Erm… tapi, saya tak tahu nak cakap macam mana, saya… saya… err… Ismail tak mengapalah, nanti bila senang… saya bagi tahu ya.” Iman pantas mematikan talian.



Dan, Ismail hanya mampu mengerutkan dahi, menjungkit bahu ke arah uminya. Dia mengeluh hampa. Iman… Iman… entah apalah yang ingin diperkatakan oleh gadis pujaannya itu. Dia tidak perlu bimbang, lambat laun pasti gadis itu akan memberitahunya.



Iman terduduk lemah di birai katil. Sebentar tadi dia begitu berkobar-kobar, tekadnya bulat. Tapi entah mengapa seketika tadi, kekuatannya seakan hilang untuk memberitahu Ismail. Dia benar-benar malu. Tidak tergamak rasanya untuk meluahkan hajat di hatinya saat itu. Lidahnya tiba-tiba seakan kelu padahal dia sudah mengumpul seberapa banyak kekuatan sebelum bertindak mendail nombor lelaki itu. Apa yang dirangka di fikiran sudah bertaburan. Iman menahan perasaan namun, airmata akhirnya berjuraian juga, meleleh membasahi pipi.



Mungkinkah semangatnya terbang sebaik mendengar suara ibu Ismail, wanita itu kelihatan agak terperanjat apabila dia mengenalkan diri sebentar tadi. Walau suara dan intonasi wanita itu kelihatan baik dan mesra namun, Iman masih ragu-ragu dengan penerimaan keluarga Ismail terhadap dirinya. Tentu ibu Ismail akan menganggapnya sebagai perempuan yang tidak tahu malu, tiada maruah kerana meminta anak lelaki wanita itu mengahwini dirinya. Iman mengeluh lega, mujur dia tidak bertindak terburu-buru memberitahu Ismail sebentar tadi.



Tapi, mengapa dia yang terpilih? Kenapa cubaan hidupnya begini? Mengapa laluan hidupnya begitu? Mengapa tidak orang lain? Mengapa dan kenapa semuanya hanya dia? Mengapa??? Hatinya menjerit, mindanya menolak, jasadnya meronta.



Astaghfirullah… Iman baru tersedar, mengapa mesti dia mengeluh dan mempersoalkan ketentuan Tuhan? Siapa dirinya untuk menolak takdir Tuhan, menongkah arus kehidupan? Iman terbaring longlai. Akhirnya dia berserah. Biarlah, Iman redha kalau lelaki itu sememangnya bukan ditakdirkan untuk berdampingan dengannya. Takdir. Ya, Iman percaya akan hakikat yang satu itu.



Iman bingkas. Ada sesuatu yang ingin di laksanakan saat ini sebelum keputusan dinoktahkan. Iman mendail nombor telepon Kak Ain. Setelah berbual dan berbincang hampir setengah jam dia mendail pula nombor telepon Irma. Adiknya itu hanya menurut dan menyokong setiap yang di keutarakan olehnya. Sebaik mematikan talian Iman tersenyum puas. Segalanya akan berjalan lancar. Dia akan segera menguruskan segalanya secepat mungkin. Mungkin ini adalah hadiah yang ternilai untuk wanita itu dan kepuasan bagi dirinya sendiri sebelum dia mendirikan rumahtangga. Nampaknya, Iman perlu mengatur kembali rencana hidupnya selepas menjadi tunangan si dia…



Si dia? Ah, siapa pun yang akan menjadi tunangan mahupun suaminya kelak akan di terima dengan hati terbuka. Walau hatinya terluka namun dia perlu redha dengan ketentuan takdir Tuhan. Antara dua lelaki itu pasti salah seorangnya mempunyai peluang untuk mendapat perempuan yang lebih baik daripada dirinya. Dan, dia hanya mampu mendoakan kebahagiaan untuk mereka.



Sudah beberapa malam Iman melakukan solat istikharah dan hari ini dia mula menyimpulkan sebuah keputusan. Iman mula membayangkan lelaki tanpa wajah mahupun nama itu. Dia malas hendak menyoal siasat, membayangkan bentuk fizikal, melihat gambar mahupun bertanya nama. Lantaklah, belum ada pun orang mati kerana terkejut melihat bakal suaminya sendiri, pengsan barangkali juga. Lamaran diterima. Noktah!

No comments:

Post a Comment