Thursday, August 12, 2010

Badai Pasti Berlalu - 37

Hati yang gundah sekali lagi membawa Iman ke pantai itu. Sudah agak lama kakinya tidak bermain dengan pasir putih mahupun mengira bebuih ombak di situ. Nampaknya, air lautan yang tenang tidak mampu menenangkan hatinya. Sepoi angin yang mengusutkan rambutnya tidak sekusut fikirannya saat itu. Dia masih berfikir dan terus berfikir. Perbualan dengan ibunya awal minggu ini sentiasa bermain di mindanya. Apa yang harus dia lakukan. Sungguh! inilah keputusan yang paling sukar sepanjang hidupnya. Keputusannya merupakan satu perjudian hidup. Silap langkah pasti kecundang!



“Ibu hanya nak menyampaikan hajat orang. Tadi petang Pak Samad dengan Makcik Zubaidah datang. Aina kenalkan mereka berdua tu?”

“Erm, kenal. Hajat apa tu bu?” Tanya Iman. Pasangan itu sangat baik dengan keluarganya tambahan pula mereka tidak dikurniakan cahayamata.

“Mereka bertanyakan kamu untuk anak sedaranya. Ibu tak bagi kata putus, ibu nak tanya kamu dulu. Mereka nak jawapan secepat mungkin. Kalau Aina setuju, ibu ingat nak buat majlis sekali dengan Kak Ain hujung tahun nanti.” Iman kehilangan kata mendengar bicara ibunya itu.

“Aina belum bersedia lagi bu. Aina tak kenal siapa lelaki tu, lagipun Aina…”



Haruskah dia memberitahu ibunya yang hatinya kini sudah dimiliki, akan kecewakah ibu? Tapi, memang benar dia belum bersedia untuk ke arah itu. Dia mungkin sudah menjadi tunangan ataupun isteri Ismail saat ini seandainya menerima lamaran kali pertama dari lelaki itu di awal perkenalan mereka. Tapi, dia tidak mahu terburu-buru lalu, dengan cara baik dia menolak. Memang dia memasang impian untuk bernikah dengan lelaki yang dikasihi, memiliki anak-anak yang comel, hidup berumahtangga yang harmoni tapi, bukanlah dalam masa yang terdekat ini. Lagipun, dia masih muda, baru nak masuk…



“Umur kamu sudah 25 tahun Aina, apa lagi yang kamu tunggu? Atau kamu sudah ada pilihan sendiri, budak lelaki yang hari itu ke? Siapa namanya? Hah Ismail, beritahu dia suruh datang pinang kamu cepat, kalau tidak ibu terima pinangan Pak Samad tu.” Ujar ibu mendatar sekali.



Ibunya memang mengenali Ismail. Sudah beberapakali lelaki itu mengunjungi rumahnya. Iman memperkenalkan lelaki itu sebagai kawan baiknya kepada ibu. Ibu pula tidak pernah mempersoalkan hubungan yang wujud di antara mereka namun, Iman tahu wanita itu sebenarnya tahu akan adanya jalinan istimewa di antara dirinya dengan Ismail Syafiq. Tapi mengapa saat ini ibunya seolah-olah tidak memahami apa yang ada di hatinya? Oh ibu, mengertilah…



“Berikan Aina masa bu, Aina janji akan memberikan jawapan secepat mungkin.” Iman membalas perlahan.

“Baiklah. Tapi ingat, walau menolak pinangan Pak Samad tak bermakna Aina tidak perlu berkahwin. Majlisnya tetap juga hujung tahun ini.” Ibunya berkata selamba sebelum menghilangkan diri di dalam biliknya.



Iman tercengang. Ya Tuhan… Apa pilihan yang dia ada? Memang ibunya memberi pilihan, dia boleh menolak pinangan Pak Samad tapi, pilihan yang satu lagi juga menjerat, dia tetap perlu berkahwin dengan Ismail Syafiq atau sesiapa jua yang di perkenalkan kepada ibunya. Kak Ain yang sudah bertunang dengan jejaka dari Melaka akan melangsungkan perkahwinan mereka hujung tahun ini. Ini bermakna, dia juga akan berkahwin pada hari dan majlis yang sama. Iman cukup kenal dengan ibunya, wanita itu tidak pernah bermain-main dengan kata-kata, setiap bicara akan dikotakan. Sudah tidak sayangkah ibu pada dirinya? Mungkinkah ibu sudah tidak menginginkan dia di rumah itu? Tapi, hubungan mereka baru saja kembali mesra. Dia masih belum puas bermanja dengan wanita itu. Huwaaa… Iman rasa seperti mahu menangis tapi, kenapa airmatanya bagaikan tidak mahu keluar???



Sudah seminggu namun, dia masih tidak memberikan sebarang keputusan kepada ibunya. Wanita itu sudah mula bertanya akan keputusannya. Dia sudah kehabisan idea untuk melarikan diri sedangkan dia sendiri tahu tidak selamanya dia dapat mengelakkan diri dari memberikan jawapan. Apa yang perlu Iman lakukan? Otaknya bagai dibekukan dari membuat sebarang keputusan.



‘Ismail… will you marry me?’

‘Ismail… saya nak kahwin dengan awak. Bagaimana kalau awak hantar rombongan meminang ke rumah saya. Saya pasti terima.’

‘Ismail… kahwinlah dengan saya. Saya tidak mahu hidup bersama lelaki itu… saya tidak kenal dia… saya hanya mahukan awak.’

‘Ismail… errr…’



Oh… Iman benar-benar tidak sanggup!



Wajarkah? Patut ke? Dia sebagai seorang perempuan meminta pihak lelaki mengahwini dirinya??? Ingin sekali dia mengutarakan hasrat hati kepada Ismail tapi… dia segan setelah berkali-kali menolak lamaran dari lelaki itu. Bagaimana dengan penerimaan keluarga Ismail? Pasti mereka mengatakan dirinya gadis yang tiada harga diri. Iman malu! Lagi pula, belum seorang pun ahli keluarga lelaki itu yang dia kenali, Ismail tidak pernah sekalipun menceritakan mengenai keluarganya. Atau, mungkin… dia sendiri yang tidak pernah mahu bertanya.



Tapi, dia perlukan jawapan yang secepat mungkin! Ibunya sudah tidak mampu bersabar lagi. Hari-hari bertanya, pantang nampak wajah mahupun kelibat dirinya. Pak Samad dan Makcik Zubaidah juga begitu, bagaikan mereka pula yang hendak kahwin! Ghairah, macamlah mereka itu ibu bapa pengantin lelaki sendiri, macamlah hanya dia gadis yang ada di dunia ini! Macamlah…



Ah… andai bisa terbang, ingin saja dia terbang tinggi meredah langit yang membiru, menyembunyikan diri di sebalik putihnya awan. Andai saja lautan tidak bertepi, ingin dia menenggelamkan diri, biar terbenam di dasar dari terdampar di tepian pantai. Andai dunia ini miliknya dan Ismail… ah, mana mungkin itu terjadi.



Keputusan perlu dinoktahkan. Seandainya Ismail menerima, dia bersyukur walau hatinya masih jua belum bersedia untuk menjadi seorang isteri. Dan, seandainya lelaki itu menolak, dia mengira persetujuannya di pihak yang satu lagi adalah satu pengorbanan yang besar untuk ibunya. Iman mula memujuk hati, mungkin percaturan hidupnya ini mempunyai hikmah yang dia sendiri tidak ketahui. Iman nekad, walau apapun keputusan yang bakal terpacul dari mulutnya nanti dia pasrah.



Iman mula mengorak langkah, perlahan menyusur tepian pantai. Sesekali dia berhenti bermain air juga mengira bebuih ombak yang cantik memutih di permukaan lautan. Hanya itu yang mampu melekakan perasaannya. Biarlah, Iman senang sekali walau ianya hanya untuk seketika cuma.

1 comment:

  1. hohoho....
    alah iman...
    gtahu ismail...
    mst sribu kali ismail sudi 2....
    x nak iman ngn org lain...

    ReplyDelete