Friday, August 6, 2010

Badai pasti berlalu - 34

Ismail Syafiq bersiul-siul kecil menuruni anak tangga. Rambut ikalnya disisir rapi, sepasang T-Shirt Ferrari merah dipadankan dengan sehelai jeans Levis berwarna biru sudah mampu menyerlahkan ketampanannya. Sebuah bagasi kecil jenama Samsonite berwarna hitam yang di jinjing di letakkan di ruang tamu. Kemudian dia berlari anak ke ruang makan untuk bersarapan pagi. Abah dan uminya sudah sedia menunggu dirinya di ruangan itu.



“Ya Allah kamu ni Ismail macam budak kecik ajer umi tengok. Awak tu dah dekat 30 tahun, kalau iya pun tak sabar nak jumpa buah hati janganlah terkejar-kejar macam ni. Cuba bawak bersabar sikit.” Bebel Pn. Dewi Fauziah. Dia menggeleng kepala melihat telatah anak bujangnya yang satu itu.

“Kenapa umi tak kejutkan Is tadi? Kan dah terlambat. Patutnya lepas subuh tadi Is dah bertolak, waktu sekarang ni dah boleh jumpa Iman tau.” Jawabnya seraya mula menyuap nasi goreng ke mulut.

“Dah orang tu tidur mati, takut pulak umi nak kacau. Kan abahnya?”

“Erm... siapa suruh kamu tidur lewat? Bergayut tak habis-habis. Kami dulu pun bercinta jugak tapi tak adalah kemaruk macam kamu ni Ismail, kan Dewi?” Tambah Tn. Ibrahim pula. Sedari tadi dia hanya mendengari perbualan dua beranak itu dari sebalik akhbar yang di baca.

“Ha’ah. Kami dulu kenal sekejap terus bawak datang jumpa family, bertunang sebulan dua terus menikah. Yang kamu ni Ismail entah bila agaknya nak kenalkan dia dengan kami semua? Kak Ngah dah tak sabar-sabar nak jumpa buah hati kamu tu. Kak Chik pun sibuk bertanya dengan umi, siapa nama bakal adik ipar dia, cantik tak? Baik tak? Hah, dengan Kak Long yang kat Jb pun kamu tak kenalkan lagi ya Ismail. Sampai bila kamu nak berahsia ni Ismail…”



Pn. Dewi Fauziah memerhati wajah ceria Ismail. Ternyata anak terunanya itu sedang di asyik di lamun cinta. Menurut Amira, hubungan Ismail dengan gadis itu bertambah rapat. Sebagai ibu dia turut merasa gembira dengan perkembangan terbaru itu. Tidak sabar rasanya ingin bertemu muka dengan calon menantu perempuannya itu. Penilaian melalui sekeping gambar masih tidak mencukupi bagi dirinya. Pn. Dewi Fauziah ingin melihat sendiri peribadi gadis yang bernama Iman Nuraina itu. Apa Istimewanya gadis itu sehingga berjaya memikat hati Ismail, membuat anak teruna itu angau tidak keruan setiap masa.



Sebenarnya, Pn. Dewi Fauziah begitu ghairah untuk memiliki anak menantu perempuan tetapi sengaja dipendamnya. Kegembiraan jiran tetangganya yang menceritakan perihal menantu perempuan masing-masing melonjakkan lagi perasaannya. Namun, mengenangkan hubungan anaknya dengan gadis itu yang baru saja berkembang, Pn. Dewi Fauziah tidak mahu memaksa. Biarlah segalanya di tentukan oleh Ismail dan gadis itu sendiri. Tentu pasangan itu lebih mengetahui arah tujuan hubungan mereka yang sebenar. Jodoh pertemuan segalanya di tangan Tuhan. Namun, dia begitu berharap agar Ismail menemui jodohnya dalam masa yang terdekat ini.


“Orang dulu bercinta tak sama dengan zaman sekarang. Dulu mana ada handphone, mana boleh SMS-SMS. Lagipun, orang dulu tu... malas nak tulis surat selalu, tu yang umi dengan abah kahwin cepat..." Ujar Ismail selamba dengan gelakkan yang agak kuat. Tn. Ibrahim berdehem tetapi langsung tidak di hiraukan oleh Ismail.

"Habis tu, sampai bila kamu ni nak berSMS-SMS, sampai bila nak bergayut? Nak tunggu umi dengan abah tutup mata baru kamu nak kahwin, begitu?" Tanya Pn. Dewi pula. Dia geram bila Ismail bermain dengan kata-katanya.
"Ala... sabarlah mi... nanti kalau semuanya dah confirmed, Is sendiri yang bawak Iman jumpa umi, kenalkan dengan semua orang. Umi suruh Kak Long, Kak Ngah dan Kak Chik bersabar dulu, ok? Hah, lepas tu Is nak terus nikah aje, tak mahu tunang-tunang, buang masa saja, boleh umi?” Jawab Ismail seraya menyudahkan suapannya yang terakhir.

Ismail ada juga merancang untuk membawa Iman menemui umi dan keluarganya tapi dia masih belum mempunyai kesempatan untuk berbuat demikian. Tambahan pula, jadual kerjanya semakin padat semenjak kebelakangan ini. Dalam sebulan hanya sekali dua dia dapat bertemu dengan Iman itu pun kalau kebetulan dia berada di Malaysia. Selebihnya mereka lebih banyak berhubung melalui telepon, sesekali kiriman SMS di hantar untuk meluahkan kerinduan di antara mereka berdua. Mujur juga Iman faham dengan tuntutan bidang tugasnya itu.


“Hish... budak bertuah ni, banyaklah kamu punya nikah, orang Johor tu mementingkan adat, tahu? Nak kena ada majlis merisik, kemudian bertunang lepas tu barulah boleh menikah. Bukan boleh main redah macam tu ajer, faham?” Bantah Pn. Dewi Fauziah. Ismail hanya tersengih mendengar bebelan uminya itu.



Sengaja Pn. Fauziah berkata begitu. Sebenarnya dirinya sendiri yang mahu mengadakan sebuah majlis yang sempurna untuk Ismail Syafiq. Dia sudah berpengalaman mengadakan majlis untuk tiga anak perempuannya namun belum sekalipun untuk anak lelaki kerana hanya Ismail satu-satunya anak lelaki yang dia miliki. Pn. Dewi Fauziah ingin segalanya di lakukan mengikut adat tradisi masyarakat melayu di samping sedikit adat perkahwinan Jawa, sebagaimana yang biasa di amalkan oleh masyarakat tempat kelahirannya di Jogjakarta, Indonesia. Dan, dia juga pasti pihak keluarga perempuan juga mempunyai hasrat yang sama sebagaimana dirinya.



“Oklah umi, Is faham… Boleh Ismail bertolak sekarang?”

“Erm… kirim salam dekat bakal menantu umi tu. Ingat, jangan melebih-lebih pulak bila keluar dengan anak dara orang, awak berdua belum ada lesen sah lagi, tahu?” Pesan Pn. Dewi Fauziah lagi.

“Insyaallah. Tapi, kalau pegang tangan ajer bolehkan umi?” Bisik Ismail di cuping telinga uminya. Jelingan Pn. Dewi Fauziah tidak di hiraukan, sebuah ciuman mesra di hadiahkan di pipi wanita separuh abad itu.



Suasana di café hari ini sedikit lengang. Sementara tidak ramai pelanggan yang datang berkunjung, Iman mengambil peluang untuk berbual-bual dengan Kak Milah, Mira dan Sufi. Masing-masing sibuk bercerita itu dan ini. Dari satu topik ke satu topik perbualan yang lain. Sesekali terhambur gelakkan yang agak kuat dari kelompok kecil itu.



“Kak Aina, Mira tengok muka akak semakin berseri-seri sejak akhir-akhir ni. Ada apa-apa yang kami semua tak tahu ke?” Kata Amira.

“Ha’ah Sufi pun perasan. Ceria ajer, macam orang yang sedang di lamun cinta, betul tak Kak Milah?” Sambut Sufi, Kak Milah di depannya mengiyakan.

“Tak ada apalah, mengarut. Perasaan awak semua ajer agaknya, akak biasa aje.” Iman menafikan.



Terzahirkah apa yang ada di hatinya saat ini? Mungkinkah semuanya gara-gara lelaki itu? Iman tersenyum kecil. Hatinya di buru rindu untuk menatap seraut wajah Ismail yang sering menghiasi mimpi siang dan malamnya.



“Hah, lagi nak sorok! Tu yang senyum sorang-sorang tu kenapa? Ingatkan buah hati ya, hmmm?” Ujar Sufi tiba-tiba. Kak Milah dan Mira tersenyum memerhati.

“La… takkan senyum pun salah kot? Kalau muka akak masam nanti… awak semua cakap akak ni garanglah, apalah. Sekali akak tayang muka seposen nanti baru tahu.” Balas Iman.

“Cuba Aina tayang sikit muka seposen awak tu, Kak Milah nak jugak tengok. Manalah tahu kot-kot laku, boleh jadi pelakon pembantu.” Sambut Kak Milah selamba. Sufi dan Amira ketawa mengekek.

“Alamak, tahun depanlah kak, boleh? Aina nak balik ni, ada hal sikit.” Iman beralasan.

“Ada hal ke nak jumpa buah hati?” Usik Amira, macamlah dia tak tahu apa rancangan gadis itu yang sebenarnya.

“Eh adalah, mana boleh cakap, rahsia...” Bisik Iman rapat ke telinga Amira. Sufi dan Kak Milah masing-masing kelihatan tercengang-cengang melihat kelibat Iman yang selamba melangkah pergi dari situ.

No comments:

Post a Comment