Sunday, August 1, 2010

Badai Pasti Berlalu - 33

“Yes! Yes! Yessss….” Amira menjerit girang.



Ternyata segala usaha mereka berdua selama ini akhirnya membuahkan hasil. Kebahagiaan bagi Papa Is adalah kegembiraan bagi dirinya. Tapi, mungkinkah kebahagiaan ini akan berterusan seandainya gadis itu mengetahui segalanya? Apa akan terjadi jika perkara itu terbongkar? Dia tidak boleh selamanya merahsiakan hubungan yang wujud di antara dirinya dengan Papa Is. Amira termenung di halaman rumahnya, masih memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang bakal terjadi kelak. Dia tidak mahu hubungan baiknya dengan Kak Aina tergugat, dia sayangkan gadis itu sebagaimana dia sayangkan Kak Amanda, satu-satu kakaknya yang dia ada. Namun, kata-kata Papa Is sedikit melegakan hatinya.



“Alah… Amir jangan risau, Papa Is tahulah apa nak buat nanti. Lagipun, Papa Is tahu Mama Iman dah pun jatuh sayang kat Papa Is ni. Marah pada orang yang disayangi takkan ke mana Mir…”

“Papa Is ni macam confident jer… Mana Papa Is tahu dia sayangkan Papa Is? Entah-entah Papa Is ajer yang perasan lebih.”

“Hei cakap baik-baik sikit eh. Papa Is tahulah. Papa Is yang bercintan dengan dia tau, bukan Amir.”



Tapi, betul ke apa yang di cakapkan oleh Papa Is? Benarkah Kak Aina sudah benar-benar sayang pada lelaki itu? Cintakah Kak Aina pada Papa Is? Amira pernah juga cuba-cuba mengorek rahsia daripada Kak Aina sendiri namun, nampaknya gadis itu lebih senang mendiamkan diri. Perahsia sungguh! Susah untuk Amira percaya sepenuhnya. Bagi Papa Is memanglah, lelaki itu sayang habis kat Kak Aina tapi…



“Amira… apa yang di termenungkan lagi tu? Dah lewat malam ni kan. Siapa yang called tadi? Buah hati ke sampai buat awak tu termenung jauh, hmm?” Pertanyaan mamanya dari dalam rumah mematikan lamunannya.

“Hish mama ni buah hati apa pulak, Papa Is lah ma. Mama nak tahu tak, Papa Is kan, sekarang kan ma, dia sudah ada… ops…” Amira tidak jadi berkata, tiba-tiba dia teringat pesanan lelaki itu sebentar tadi. Papa Is melarang dia menceritakan perihal itu kepada sesiapa, sampai saatnya nanti lelaki itu sendiri yang akan mengumumkannya.

“Sudah apanya ni, hmm Amira sayang…?” Tanya mamanya seraya mengorak langkah menghampirinya di halaman. Bahu anak bongsunya itu di paut mesra.

“He he… tak ada apalah ma. Papa Is tu… dia sekarang sudah ada di KL. Lama jugak dia kan Vietnam tu, kan ma? Entah bila projek dia dekat sana nak selesai agaknya...” Jawabnya dengan sengihan manja, jauh menyimpang dari kenyataan sebenar yang cuba di beritahu kepada wanita itu sebentar tadi.



Wanita berusia 40-an itu hanya mampu menggelengkan kepala. Tahu sangat dengan keakraban Amira dengan Ismail Syafiq, adik bongsunya itu. Pasti ada sesuatu rahsia yang cuba di sorokkan dari pengetahuannya. Namun, dia tidak mahu memaksa, lambat laun pasti akan terbongkar jua. Kalau tidak dari Amira pasti dari Ismail sendiri.



Sementara itu, di kediaman keluarganya di Kajang, Ismail Syafiq sedang leka melayan perasaan. Tubuh tegapnya terlentang di atas tilam empuk di bilik bujangnya. Sekejap dia tersengih, sekejapan pula dia berubah serius. Dia baru saja selesai berbual dengan buah hatinya. Sebentar tadi juga dia menghubungi Amira memaklumkan perkembangan terkini hubungannya dengan Iman Nuraina.



Usia percintaan mereka berdua bertambah matang, hubungan semakin hari semakin intim, antara mereka berdua terjalinnya ikatan batin yang kuat. Denyutan hati dan nadi mereka mengalunkan irama yang sama. Hangatnya aliran darah menyemarakkan rasa cinta mereka. Walau Iman tidak pernah menyatakan rasa hati mahupun mengungkap kata-kata cinta tapi, Ismail tahu gadis itu turut merindui dan menyayangi dirinya. Renungan sepasang mata membiaskan rasa, aura hati menggetarkan suara, tingkah manja mencerminkan segalanya. Ismail pasti!



Nampaknya, Ismail benar-benar kemaruk! Dia sentiasa merindui gadis itu, kalau boleh setiap detik yang ada di penuhi dengan wajah dan suara Iman. Sekali lagi telepon di capai, sejurus kemudian terdengar suara halus di hujung talian, perlahan sekali. Dia tahu, di waktu-waktu begini gadis itu tidak akan berkata banyak. Kadangkala, Ismail lebih rela Iman diam tidak menjawab daripada mematikan talian. Desah nafas gadis itu sudah cukup untuk mengubat rasa rindu yang bersarang di hatinya. Iman juga sudah masak dengan perangai pelik Ismail itu.



“Erm, Ismail ada apa lagi ni?” Sekilas melihat jam di tepi katil, 3.30am! Argh, Ismail selalu saja mengganggu tidur lenanya!

“Iman, saya tak sabar nak jumpa awak esok. Kalau saya bertolak sekarang… boleh?” Tanya Ismail. Kalau tidak kerana Iman menghalangnya mungkin kini dia sudah hampir sampai ke Johor Bahru dan seawal pagi mereka sudah boleh bertemu.

“No!” Bantah Iman pendek. Dia malas hendak bercakap di waktu-waktu begini.

“Bolehlah… boleh ya sayang. Iman… awak tak nak jumpa saya, awak tak rindukan saya ya, hmm?” Ujar Ismail cuba memancing persetujuan Iman.

“No! Ismail dah lewat sangat ni, kalau awak sayangkan saya, awak bertolak esok pagi!” Balas Iman sekalian mematikan talian. Matanya jadi segar tiba-tiba. Dia jadi geram tatkala Ismail buat perangai begini.



Iman sebenarnya bimbang, takut seandainya sesuatu kejadian buruk berlaku kepada lelaki itu. Kelam malam dengan keadaan mata yang mengantuk memungkinkan segalanya. Sungguh! Iman tidak mahu musibah buruk menimpa Ismail Syafiq yang mana kelak akan membuatkan dirinya sendiri menangis hiba. Rindu? Siapa kata dia tidak rindukan lelaki itu? Pertemuan terakhir mereka adalah sebulan yang lalu sebelum lelaki itu kembali berangkat ke Vietnam. Jarak waktu yang sepurnama itu sudah cukup membuatkan dia separuh mati menahan perasaan rindu. Namun, Iman masih mampu bersabar, dia tidak mahu dirinya hanyut mengikut perasaan. Hidup dan matinya bukan hanya kerana cinta kepada lelaki itu.



“Aina, kamu tak tidur lagi?” Sapaan ibunya secara tiba-tiba menyedarkan Iman. Dia yang masih bersimpuh di atas sejadah menggeleng kecil. Sebuah senyuman di hadiahkan kepada ibunya yang berdiri di muka pintu.

“Kenapa? Ada apa-apa masalah? Mahu berkongsi dengan ibu?” Soal Pn. Hasnah. Wanita itu kini duduk di birai katil. Wajah Iman di pandang penuh kasih.

“Tak ada apa-apa bu. Kebetulan Aina terjaga tadi, nanti lepas subuh Aina tidur semulalah. Ibu pulak kenapa bangun?” Tanya Iman, kepalanya yang masih di baluti telekung di lentokkan ke pangkuan ibunya.

"Samalah dengan Aina." Balas Pn. Hasnah sambil mengusap perlahan kepala anaknya itu.

Pn. Hasnah tersenyum bahagia. Kini, hubungan mereka berdua sudah semakin rapat dan bertambah mesra. Sementelah pula, hanya anak gadis itu yang tinggal dengannya buat masa ini. Anak bongsunya, Irma Liyana sudah mendapat kerja di Melaka dan menyewa rumah di sana bersama teman-temannya. Anak sulungnya, Ain Nafisa masih di Kuala Lumpur. Sungguh! Pn. Hasnah memanjatkan kesyukuran yang amat pada yang maha Esa kerana menyedarkan dirinya untuk mengasihi anak gadisnya yang satu ini. Dia tahu Aina anak yang baik, taat dan sempurna untuk seorang ibu seperti dirinya. Anak gadis itu juga mempunyai raut wajah yang manis, pasti sejuk bagi setiap mata yang memandangnya.



“Aina, bangun sayang sudah subuh ni. Aina…” Bisik Pn. Hasnah lembut di cuping telinga Iman.

“Oh… Aina terlelap rupanya. Maafkan Aina ya bu, kerana Aina ibu tak tidur.” Kata Iman serba salah, terpisat-pisat dia mencari wajah ibunya.

“Tak mengapa. Sekarang bangunlah, solat subuh, lepas tu kita sarapan bersama ya. Ibu ingat nak masak nasi lemak lauk sambal sotong kering. Mesti Aina suka kan?” Kata Pn. Hasnah.

“Erm, baiklah bu. Sekejap lagi Aina tolong ibu.” Balas Iman. Matanya mengekori langkah ibunya sebelum berlalu ke bilik air untuk mengambil wuduk.


No comments:

Post a Comment