Wednesday, July 14, 2010

Terlanjur Menyintai Mu - 05

Malam itu aku tidur di dalam seribu ketakutan. Esok pasti akan terjadi, begitu juga dengan lafaz kontrak akan termaktub. Ahhh..undang-undang yang dibuat manusia. Sentiasa menyusahkan. Takdir hidup aku esok akan ditentukan. Aku tahu bukan sahaja aku, malah Harriz lebih merasai ketakutannya. Dia terlalu mencintai aku. Malah kerana cintanya itu akhirnya memakan dirinya sendiri. Dia menghormati segala keputusan aku kerana ikhlasnya cinta Harriz pada diri ini. Keesokan harinya aku terlewat bangun. Tergopoh gapah aku keluar dari bilik. Aku dapat rasakan sesuatu...Harriz tiada di dalam biliknya.

Begitu juga dengan kereta Harriz, tiada di luar. Aku terduduk di ruang tamu. Terlalu cepat Harriz meninggalkan cintanya. Tidak sempat untuk dia berkata sesuatu pada aku buat kali yang terakhir. Mungkin Harriz tidak mampu untuk berhadapan dengan aku. Kontrak perkahwinan terletak kemas di atas meja. Aku dapat lihat sepucuk sampul surat berwarna biru di atas kontrak tersebut. Hati aku berdebar-debar. Semakin lama getaran di dadaku semakin terasa. Tanganku menjadi sejuk.

Menggigil-gigil jari jemari ini untuk menyentuh surat tersebut. Lama aku perhatikan surat Harriz. Aku tak sanggup nak buka kerana aku tahu segala keputusan semuanya berada di dalam baris-baris ayat surat tersebut. Aku takut, namun, aku pasrah. Ia kehendak Tuhan dan hati aku sendiri. Aku harus menerima segala keputusan dengan tenang.
Lagipun selama ini itulah yang aku minta pada Harriz biarpun Harriz berat untuk melakukannya. Dengan lafaz Bismillah aku membuka lembaran surat tersebut dan akhirnya....

"Bahawasanya saya HARRIZ BIN HASHIM dengan ini menceraikan NURUL AIN BT HAMDI dengan talak satu. Segalanya adalah mengikut kontrak perkahwinan yang telah kami tandatangani iaitu bertarikh 30 DISEMBER 2002"

-HARRIZ BIN HASHIM-

Dia benar-benar melakukannya...Pertama kali air mataku mengalir. Aku kini bukan milik Harriz lagi. Tahniah untuk diriku sendiri kerana permainkan undang-undang Tuhan dan natijahnya aku yang terima sekarang. Ooohh..Harriz. Kenapa kau berlalu pergi begitu saja. Tiada langsung
ucapan selamat tinggal yang keluar dari mulutmu. Kenapa hatimu terlalu lembut? Kenapa kau tidak memujuk aku supaya jangan berpisah ? Andai ianya berlaku sudah pasti aku tak mahu engkau meninggalkan aku. Aku mula menyayangi
dirimu Harriz.. Benih-benih cinta dan kasih dalam diri ini pada Harriz sudah bercambah tapi aku tak mampu untuk tunaskannya...

**********************************************************
Hampir 2 bulan selepas perceraian kami aku tidak pernah bertemu dengan Harriz. Dia menghilangkan diri begitu sahaja. Aku tidak tahu ke mana Harriz membawa diri. Sudah puas aku mencari tapi Harriz tidak juga aku temui. Aku sudah bernekad bahawa aku mesti mencari Harriz. Aku ingin mengikat semula tali perhubungan kami yang terputus. Aku telah bersumpah bahawa tiada lelaki lain selain Harriz yang boleh menjadi suamiku. Aku ingin bina semula istana cinta kami yang telah aku runtuhkan dahulu disebabkan kebodohan aku. Tapi, di mana aku nak mencari Harriz? Sudah merata tempat aku pergi. Telah pelbagai cara aku lakukan namun gagal. Adakah sengaja Harriz tidak mahu berjumpa dengan aku? Terlalu besarkah dosa aku padanya?
Ibu dan ayah sudah tahu mengenai perceraian aku dan Hariz. Mereka benar-benar terkejut dengan tindakan kami pada mulanya. Ayah marahkan aku, begitu juga ibu. Aku tahu aku yang bersalah. Namun marah mereka tidak lama kerana mereka tahu takdir sudah tertulis bahawa aku dan Harriz tidak boleh kekal bersama cuma mereka kesal dengan sikap dan perangai aku yang tidak pernah berubah. Aku terlalu degil dan sukar untuk dibentuk. Tapi itu dulu, sebelum kehadiran Harriz. Sekarang, aku bukan seperti aku yang dulu. Harriz telah mengubah pendirian aku. Dialah punca segala-galanya. Dia jugalah yang telah membuka pintu hati ini untuk mengenal apa itu erti cinta, kasih, sayang dan rindu.

Aku terlalu rindukan kehadiran Harriz di sisi. Cinta, kasih dan sayang pada Harriz semakin hari semakin bertambah. Nama Izham terus hilang dari ingatan aku. Dia bukanlah lelaki yang boleh dipercayai. Segala kegiatan jahatnya terbongkar apabila satu hari aku terbaca diari Harriz yang tertinggal di rumahku selepas Harriz menghilangkan diri pada pagi yang keramat itu. Setiap detik dan hari sudah pasti ada kisah aku dan Izham di London tertulis di dalam diarinya. Dari situlah aku tahu, Izham bukanlah seorang lelaki yang jujur. Dia banyak memainkan perasaan wanita seperti aku. Sampai sekarang Harriz tidak tahu bahawa aku telah membaca diarinya. Segala isi hatinya dan perasaannya pada aku ditulis dalam diari itu. Barulah aku tahu memang Harriz lebih mengenali aku daripada aku mengenali diriku sendiri. Dia begitu hebat di hati aku kini. Harriz.....Di mana kau sekarang...

Suatu hari, aku dapat berita yang rasanya boleh meluruhkan jantung aku di saat itu jua. Berita tentang orang yang sangat-sangat aku ingin jumpa. Akhirnya dapat juga aku mendengar berita tentang Harriz tetapi malang kerana ketika itu aku berada di luar negara menguruskan perniagaan ayah yang ada masalah. Aku menggantikan kerja-kerja Harriz kerana Harriz bukan sahaja berpisah dengan aku malah jawatannya sebagai CEO di syarikat ayah juga turut dilepaskan. Ibu yang menelefon aku ketika itu mengkhabarkan berita tidak baik tentang Harriz. Harriz kini berada di wad jagaan rapi (ICU). Harriz sakit kuat sekarang. Begitulah kata-kata terakhir yang sempat aku dengar dari ibu kerana perbualan kami terputus disebabkan cuaca buruk di New Zealand yang ketika itu mengalami musim sejuk. Aku tidak dapat menghubungi ibu untuk mengetahui berita selanjutnya tentang Harriz. Aku menangis semahu-mahunya. Aku ingin pulang segera tapi semua penerbangan dibatalkan untuk beberapa hari kerana cuaca buruk. Aku takut andai aku akan kehilangan Harriz dan aku tak sanggup untuk mendengar berita kehilangan Harriz sekali lagi. Harriz...Ya Tuhan, selamatkan Harriz.

Andai ada jodohku bersama Harriz, pertemukanlah kami di bawah limpahan rahmat kurniamu... Aku tidak dapat tidur lena selepas mendengar berita Harriz. Setiap waktu yang berlalu aku terkenangkan Harriz. Bagaimana keadaan Harriz sekarang? Jariku tidak putus asa ligat mendail nombor telefon ibu, namun tidak berjaya. Setiap saat degup jantung ini dapat aku rasakan semakin laju. Semuanya kerana mengenangkan keadaan Harriz. Mungkin sekarang Harriz amat memerlukan aku berada di sisinya tapi aku tak boleh Harriz. Kita terpisah dengan benua dan lautan. Aku jauh darimu tapi hati ini terlalu dekat padamu. Andai kau dapat mendengar suara hati ini, ingin aku katakan bahawa di saat ini aku sentiasa mendoakan agar dirimu selamat dan dijauhkan dari segala kesulitan hidup.

Akhirnya malam keramat itu telah merubah takdir hidupku sekali lagi. Tidak dapat aku lupakan, bagaimana sayunya suara ibu menyampaikan berita yang paling takut untuk aku dengar. Mungkin ini adalah balasan Tuhan di atas keangkuhan aku memainkan undang-undang ciptaan Tuhan selama ini. Harriz...Nama itu kini hanya tinggal bayangan masa silam. Dia benar-benar telah meninggalkan aku bersama kenangannya. Harriz tidak lagi akan aku temui sampai bila-bila...

"Maafkan ibu, Ain. Ibu tak dapat hubungi Ain dua hari yang lalu. Harriz sudah tiada lagi di dunia ini. Dia dah tinggalkan kita semua buat selama-lamanya. Maafkan ibu, ibu lambat beritahu Ain. Kanser hatinya dah semakin merebak dalam tubuh Harriz. Dia terlalu rindukan Ain tapi dia tak mampu untuk bertahan lama. Ibu benar-benar minta maaf Ain....."
Kata-kata ibu tidak berupaya lagi untuk aku dengar. Aku terasa berada di awangan. Semuanya bagaikan halilintar yang membelah bumi. Aku terduduk. Air mata mengalir tanpa henti. Aku menangis dan terus menangis tanpa henti. Tidak sempat untuk aku sujud di kakinya, memohon ampun dan maaf. Dosa aku terlalu banyak pada Harriz.

"Maafkan Ain, Harriz. Ain bersalah pada Harriz dan Ain tidak sempat untuk sujud di kaki Harriz. Maafkan Ain, maafkan Ain..." Aku menjerit sekuat hati tapi siapalah yang mampu untuk menenangkan aku di saat itu. Aku keseorangan. Ibu dan ayah tiada di sisi. Hanya semangat Harriz yang wujud dalam diri ini tapi kini Harriz meninggalkan aku secara tiba-tiba. Aku hilang arah tuju. Dunia dapat aku rasakan gelap. Harriz tidak pernah menceritakan pada aku tentang penyakitnya. Patutlah kata-kata Harriz malam itu aku rasakan lain. Dia benar-benar maksudkannya. Kalaulah aku tahu begini jadinya tidak akan aku bertindak bodoh untuk berpisah dengan orang yang ikhlas mencintai aku. Akan aku jaga Hariz sehingga dia mengucapkan lafaz kematian di hadapan mata aku sendiri. Tapi, itu semua telah terlambat untuk dijadikan realiti dalam hidup aku. Hariz meninggalkan aku di saat-saat cinta ini telah berputik.

Kepulangan aku ke bumi Malaysia tidak membawa apa-apa makna pada aku kerana orang yang ingin sangat aku jumpa selama ini sudah pergi. Hanya pusara yang tinggal untuk aku lawati. Setitis demi setitis air mata ini jatuh mengalir tatkala aku sampai di pusara Harriz. Aku dapat merasakan Harriz seakan berada di sebelah aku melihat aku mengalirkan air mata kerana meratapi kematiannya. Harriz, jika dapat kau dengar luahan hati ini, ingin sekali aku bermohon ampun dan maaf padamu yang tidak pernah sempat terucap di bibir ini biarpun ketika kita bersama. Baru kini aku dapat menilai erti cintamu yang mendalam terhadap diri ini. Aku terlalu angkuh dan keegoan ini telah memakan diri aku sendiri. Sepucuk surat yang terakhir kau tujukan untukku baru kini dapatku baca.

Meruntun hati ini tatkala aku membaca bait-bait puisi yang engkau karangi hanya semata-mata untukku. Aku tahu aku benar-benar bersalah !!!.. Ikhlasnya cintamu itu tidak setanding dengan apa yang ada di dalam hati ini untuk aku beri. Rendahnya martabat diri ini jika kita dapat bersama.

Selafaz doa aku bacakan untukmu, begitu jua jutaan kemaafan aku pohon padamu Harriz... Sajak yang ditujukan khas buat diri ini tidak puas aku membacanya. Sekali lagi aku menatap agar ia dapat menenangkan aku kerana tidak dapat melihat di saat-saat pemergianmu yang tidak dirancang tapi telah ditentukan Tuhan. Sesungguhnya...syurga seorang suami adalah ketika bersama isterinya dalam susah dan senang...

Permata hati buat isteri yang disayangi Nurul Ain Bt Hamdi...
Dunia saya sewaktu bersama awak dirasakan amat luas.... Awak adalah anugerah Tuhan yang tak ternilai buat saya... Biarpun cinta ini tidak pernah wujud dalam diri awak... Namun, harapan itu tetap ada dalam impian saya Saya sayang awak lebih dari segalanya Saya mencintai awak dengan setulus hati Tatkala lafaz nikah terucap di bibir ini Memiliki awak adalah amanat yang harus saya jaga sebagaimana Tuhan menciptakan Adam untuk Hawa... Namun, pemergian saya tak dirancang... Bila-bila masa sahaja
nyawa ini akan menghentikan nafasnya. Biarpun saya tiada di sisi awak lagi Saya harap awak tidak pernah lupa akan diri ini yang sentiasa mencintai awak...
-HARRIZ BIN HASHIM-
01 JANUARI 2003

1 comment:

  1. da baca kt ukhwah.com..akhinya dpt gak bca ending cte nie..sgt sdih la...

    ReplyDelete