Monday, July 12, 2010

Terlanjur mencintaimu - 4

Aku terlalu rindukan Izham. Kenapa Izham tiba-tiba sahaja menghilangkan diri. Sudah lama dia tak menghubungi aku. Hampir 3 bulan aku tak mendengar suaranya. Izham masih lagi di London. Dahulu, di awal usia perkahwinan
kami Izham sering menelefon aku. Suaranya benar-benar memberi aku semangat. Izham tahu mengenai masalah aku dan Harriz. Dia juga tahu rancangan aku mengenai 'perkahwinan kontrak' ini. Izham langsung tidak memarahi aku. Dia tahu bahawa aku menerima Harriz bukan atas dasar cinta tapi atas dasar hormat aku pada ayah. Dia jugalah yang menyokong aku dan katanya lagi bahawa dia sanggup menunggu aku bukan saja setahun malah selama hayatnya masih hidup dia sanggup menanti aku. Aku dapat rasakan ketika itu akulah wanita yang paling bertuah kerana dapat memiliki cinta Izham yang betul-betul ikhlas menyayangi aku.
Namun suara Izham hanya dapat aku dengar 3 bulan yang lalu. Di mana Izham sekarang? Mungkinkah dia terlalu bosan menunggu dan terus menunggu kehadiran aku dalam hidupnya? Ahh... kalau aku jadi Izham pun sudah pasti perkara yang sama akan aku lakukan. Satu tahun bukannya tempoh yang singkat. Sedangkan hati boleh berubah inikan pula penantiannya yang boleh dianggap satu angan-angan yang tak pasti. Ini semuanya berpunca daripada Harriz. Kadangkala aku terlalu bencikan Harriz tetapi kehadiran Harriz jugalah sedikit sebanyak telah mengubah hidup aku. Tidak dapatku sangkal bahawa dia seorang suami yang baik, dan benar-benar mengambil berat tentang diri ini. Aku sahaja yang tidak pernah menghargai kehadirannya dalam hidup aku. Tiada lelaki lain selain Harriz yang tulus ikhlas menyayangi, menyintai, dan menghormati aku. Bila
difikir-fikirkan, aku rasa bertuah kerana punya seorang suami yang terlalu memahami aku. Memanjakan aku seolah-olah aku ini budak kecil yang perlu didodoi. Aku sakit dia menjadi doktorku, aku lapar dia menjadi tukang masakku malah bila aku terlambat ke pejabat dia sanggup menghantarku sedangkan ketika itu dia punya urusan lain. Tapi, kenapa mesti Harriz? Bukan Izham?
Tiba-tiba saja hati aku terdetik, mungkinkah jodohku memang bersama Harriz. Sisa-sisa hayatku adalah hidup bersama Hariz sehingga aku mati. Di mana Izham sekarang? Kenapa dia menghilangkan diri? Sudah tiada lagi cintakah di dalam hatinya untukku? Atau aku sahaja yang mengangankan sesuatu yang bukan milikku. Sedangkan sesuatu yang sudah tentu menjadi milikku aku abaikan begitu saja. Antara Harriz dan Izham?? Siapa yang harus aku pilih? Ooohhh...Terlalu sukar hidup ini.
"Masih panas lagi suhu badan awak ni. Saya bawa awak ke klinik.." Aku ingat lagi peristiwa pertama yang mencetuskan rasa sayang aku pada Harriz dan wujudnya rasa cinta dan kasih di hati ini pada Harriz. Ketika itu aku
demam panas. Memang aku tak mampu nak berbuat apa-apa kerja ketika itu. Nak bangun dari katil pun tak terdaya. Mungkin waktu itu aku terlalu rindukan Izham dan dalam masa yang sama aku juga sibuk dengan kerja-kerjaku di pejabat.
"Tak pe, saya sihat. Panas sikit je. Lepas makan Panadol, sihatlah. Awak tak payah nak risaukan saya. Saya tahu apa yang saya buat. Awak buatlah kerja awak. Jangan ganggu saya, boleh tak?" Aku meninggikan suara. Tapi bukannya aku marahkan Harriz, cuma aku tak tahan dengan kesakitan di kepala yang aku alami. Harriz masih tak berganjak. Dia meletakkan tangannya di dahiku. Aku menepis dengan kuat tangan Harriz. Berkerut-kerut dahiku menahan sakit. Aku cuba bangun tapi tak mampu. Dengan pantas tanpa pedulikan kemarahanku, Harriz terus mendukungku keluar dari bilik. Aku benar-benar terkejut dengan tindakannya. Habis tubuh Harriz menjadi sasaran aku untuk memukul.
"Awak nak bawak saya ke mana ni ? Lepaskan saya!!" Aku cuba menjerit tapi badan aku terlalu lemah dan tak mampu untuk aku meninggikan suara.
"Awak sakit di hadapan mata saya. Takkan saya nak jadi orang bodoh untuk dengar kata-kata awak supaya tinggalkan awak dalam keadaan macam ini. Saya nak bawak awak ke klinik. Nyawa awak lebih penting sekarang." Harriz....Sungguh mulia hatimu. Aku buta untuk menilai kasih sayangmu yang mencurah-curah mencintai diri ini sedangkan aku terus bodoh menanti pada orang yang tak pasti. Sedikit demi sedikit hati wanitaku mulai cair. Sepanjang aku terlantar sakit Harriz menjaga aku siang dan malam. Dia sanggup mengambil cuti semata-mata untuk menemani aku. Segala makan dan pakai semuanya Harriz yang lakukan untuk aku, biarpun pada mulanya aku malu dengan tindakan Harriz. Entah mengapa, perasaan benci dan marah dalam diri ini pada Harriz berubah menjadi kasih dan sayang pada Harriz. Aku benar-benar terharu dengan keikhlasannya selama ini dan aku juga bangga dengan ketabahan Harriz yang sanggup hidup bersama aku susah dan senang. Dia tidak pernah kisah dengan caci makiku dan kutukan aku pada dirinya selama ini. Kesabarannya terhadap kedegilan aku membuatkan aku mula jatuh cinta pada Harriz. Tetapi keegoan aku mengatasi segalanya. Aku malu untuk meminta maaf pada Harriz walaupun selama ini aku yang banyak melakukan kesilapan.

Aku tahu, aku seorang isteri tapi aku tak pernah menjalankan kewajipanku. Aku gagal menjadi isteri yang sempurna pada Harriz. Dua minggu lagi akan tamatlah ikatan kontrak perkahwinan kami. Sepatutnya aku boleh gembira sekarang kerana tidak lama lagi Harriz akan melafazkan kata-kata keramat bagi seorang isteri. Namun, kegembiraan itu tidak dapat aku rasakan sekarang. Buat pertama kali dalam hidup aku, aku dapat melupakan ingatan aku pada Izham. Kerinduan pada Izam sudah tiada lagi. Yang terbayang di dalam fikiran aku sekarang hanyalah Harriz Bin Hisham, seorang suami yang terlalu agung darjatnya dalam hati aku. Aku benar-benar takut untuk berpisah dengan Harriz. Selepas ini Harriz bukanlah lagi
peneman setia aku. Aku dapat rasakan bahawa hidupku selepas ini akan sunyi. Tiada lagi senyuman Harriz dan gurauan Harriz. Ooohh..TuHAN!! Apa yang telah aku lakukan sekarang?
"Selagi awak di hadapan mata saya dan awak hidup bersama saya, selagi itulah kewajipan saya sebagai suami akan saya lakukan. Biarpun dalam kontrak tidak tertulis, namun sudah menjadi tanggungjawab seorang suami supaya menjaga isterinya samada dalam keadaan susah mahupun senang. 2
minggu lagi, hubungan kita akan tamat. Tapi, percayalah biarpun sehari malah sesaat pun, awak tetap di hati saya. Saya tahu kebencian awak pada saya tidak akan hilang. Begitu juga dengan cinta saya. Ianya tidak akan pernah pudar. Andai diberi peluang sekali lagi, saya mahu teruskan hidup ini bersama awak Nurul Ain. Nama awak sudah terpahat di dalam hati saya."
Harriz mengusap rambutku dengan kain basahan sewaktu memandikan aku yang terlantar sakit. Tiba-tiba satu ciuman diberikan di dahiku. Terasa ingin mengalir air mata ini, namun aku dapat bertahan. Mataku ketika itu masih tertutup. Mungkin Harriz menyangkakan aku sedang tidur tetapi tidak sebenarnya. Segala kata-kata luahan hati Harriz dapat aku dengar cuma aku tidak berani untuk menatap wajah Harriz ketika itu. Harriz, kenapa kau terlalu baik pada diri ini yang seharusnya tidak layak untuk berada di hatimu yang suci itu. Aku tidak mampu untuk menyintai seperti mana engkau menyintai aku. Andai engkau dapat mendengar luahan hati ini, berjuta-juta kemaafan ku pohon darimu tapi untuk meluahkannya hati aku amat berat. Aku malu sebenarnya Hariz. Terasa kecil diri ini di hadapan matamu Harriz.
"Kenapa awak menerima saya untuk menjadi isteri awak sedangkan sebelum ini kita tidak pernah berjumpa. Awak tak pernah mengenali saya, tapi awak sanggup berkahwin dengan saya. Bukankah itu satu tindakan yang bodoh namanya?" Aku memberanikan diri untuk bertanya pada Harriz sewaktu kami menjamu selera di sebuah restoran selepas balik dari berjumpa dengan ibu dan ayah. Harriz tersenyum. Dia memandang aku. Aku jadi kaget.
"Soalan itu rasanya sudah saya jawab sebelum kita menjadi suami isteri lagi. Nama awak sebenarnya sudah lama terpahat di dalam hati saya. Hampir dua tahun saya mengenali awak sebelum saya berjumpa dengan awak." Harriz
sengaja menoktahkan ayatnya di situ supaya aku semakin keliru. Kali ini aku yang memandang wajahnya dengan seribu pertanyaan di kepala.
"Dunia ini tidaklah sebesar mana. Tuhan mentakdirkan hidup saya supaya bertemu dengan awak bukan di bumi Malaysia. Saya juga pernah belajar di luar negara dan sama universiti dengan awak." Aku ternganga. Ligat otakku mengingati semula wajah-wajah pelajar Malaysia yang pernah aku jumpa di London. Rasanya tiada langsung wajah Harriz yang pernah aku jumpa. Betulke dia ni atau sengaja nak memainkan aku?
"Setahu saya pelajar Malaysia tidaklah sebanyak mana pun, tapi kenapa saya tak pernah berjumpa dengan awak? Awak jangan nak bergurau dengan saya." Aku seakan tidak percaya. Benarkah apa yang Harriz cakapkan sebentar tadi?
"Saya belajar part time. Awak memang tidak akan perasan saya. Saya belajar waktu malam, tapi awak dan Izham selalu datang makan di restoran tempat saya bekerja. Ingat tak Café Bistroze? Saya jadi pelayan bar di situ.
Maklumlah, saya ni orang miskin, tak mampu nak belajar sepenuh masa. Siang saya bekerja dan malam saya belajar. Ketika itulah saya sempat mengenali awak." Harriz menamatkan ayatnya di situ. Dia menghabiskan minuman. Aku terdiam. Sungguh tak ku sangka, dunia ini terlalu kecil. Tuhan menemukan aku dan Harriz tanpa aku mengenali siapa dirinya. Harriz terlalu pandai menyimpan rahsia.
"Esok, genap setahun kita menjadi suami isteri yang sah seperti mana termaktub dalam kontrak yang telah saya tandatangani. Biarpun hati ini berat untuk melepaskan awak tapi saya tidak pernah lupa dengan janji saya.
"Melukakan hati dan perasaan awak adalah satu dosa paling besar di mana saya tidak dapat memaafkan diri saya sendiri. Awak terlalu suci di mata saya. Awak tak pernah bersalah dengan saya. Saya yang seringkali melukakan hati awak selama ini. Saya benar-benar berharap agar awak dapat ampunkan dosa-dosa saya." Harriz tertunduk menahan sebak di dada.
"Terus terang saya katakan, esok adalah hari yang paling saya takutkan. Saya dapat rasakan bahawa esok akan mengubahkan segala takdir hidup saya yang selama ini saya rasakan indah. Hidup bersama awak adalah satu kenangan yang paling manis buat saya. Segalanya berubah bila awak hadir dalam diri saya. Awak adalah semangat saya untuk saya teruskan hidup ini yang kian singkat...."
Aku rasa hairan dengan kata-kata terakhir Harriz. Apa yang dia cuba maksudkan? Hariz yang berada di hadapan aku sekarang bukanlah Harriz yang selama ini aku kenal. Aku dapat lihat perubahan di wajahnya. Lain benar seakan menyimpan satu rahsia yang tidak aku ketahui. Aku juga dapat lihat air mata lelakinya hampir mengalir tapi mampu ditahan.
"Awak tak pernah bersalah dengan saya. Saya yang sepatutnya memohon ampun dan maaf dari awak kerana dosa saya sebagai isteri adalah terlalu besar. Saya kagum dengan awak kerana menghormati saya dan keputusan saya selama ini. Awak seorang lelaki yang terlalu baik dan saya tidak layak untuk berada di hati awak. Saya percaya, selain saya akan ada seorang wanita lain yang akan muncul dalam hidup awak dan benar-benar menerima cinta awak dan menyayangi awak lebih dari segala-galanya di dunia ini."
Aku juga menahan sebak. Tidak mahu air mata ini mengalir di hadapannya. Percayalah Harriz, sesungguhnya hati ini telah lama engkau miliki tapi aku tak mampu untuk berterus terang. Aku perlukan masa. Tidak tahu berapa
lama lagi. Aku sebenarnya terlalu malu untuk berhadapan dengan dirimu yang tulus ikhlas mencintai aku. Aku tahu, aku bodoh selama ini kerana tidak nampak sebutir permata yang boleh menerangi sepanjang hidupku. Harriz hanya
mampu tersenyum. Dia memegang tanganku lantas ciuman kasihnya diberikan. Aku dapat rasakan mungkin itu adalah ciumannya yang terakhir sebelum kami berpisah.
"Selepas ini, saya harap awak tidak akan hilangkan ingatan awak pada saya. Biarpun diri saya ini hanyalah sebesar zarah di hadapan mata hati awak, namun awak jangan lupakan saya. Kalau boleh, biarlah berkekalan sampai ke akhir hayat awak. Setahun adalah satu tempoh yang singkat untuk saya lebih mengenali awak.
"Kalau Tuhan mentakdirkan umur saya panjang ingin rasanya sekali lagi saya harungi hidup ini bersama awak di dalam satu keadaan yang berbeza di mana awak benar-benar mencintai saya dan menyayangi saya sepenuh jiwa dan hati awak. Andai terjadi, saya dapat rasakan bahawa sayalah manusia yang paling bertuah dapat memiliki awak." Kami bertentangan mata buat kali terakhir. Aku jadi sayu apabila memandang wajahnya. Takdir kami akan berubah esok. Mungkinkah ianya terjadi....

No comments:

Post a Comment