Wednesday, July 28, 2010

Bukan Cinta Biasa - 17

"Awak kata tadi, Lisa nak ikut sama?"Siti muncung. Dia rasa tertipu
petang itu. Mati-mati dia ingat Wari akan mengambil Lisa di sekolahnya.
Kalau dia tahu awal-awal, sumpah dia tak nak ikut.
"Lisa dah balik naik bas....nak buat macamana?"Wari menjawab malas.
Tidak dipandangnya wajah gadis itu. Dalam hati dia ketawa sendiri.
"Kalau macam tu, kita balik sajalah...."Siti bungkam lagi. Dia
teringatkan Didi dan Fifi yang pastinya sudah sampai di rumah
waktu-waktu begini. Siapa yang akan melayan makan mereka?
"Dah alang-alang keluar ni, kita pergi je lah terus...."Balas Wari
lagi. Tumpuannya tetap di jalan raya. Tak berani pula rasanya memandang
wajah gadis itu. Dia tahu Siti marah. Tapi, bukan mudah bagi alasan
untuk ajak dia keluar. Kalau tak gunakan nama Lisa, pasti gadis itu
menolak ajakannya. Sebelum Siti pulang ke kampung, baik dia mulakan
dulu tindakan gilanya itu.
"Awak nak pergi mana sebenarnya?"Siti toleh ke arah Wari.
"Siti temankan saya pergi ke ofis ye..."
"Ofis siapa?"
"Ofis kak Mar....ofis arwah Papa....."Wari menoleh sekilas. Siti
cepat-cepat alih pandangan.
"Kenapa bawa saya, seganlah...."Dengus Siti. Hujung bajunya
ditarik-tarik perlahan.
"Saja....saya pun dah lama tak jenguk ofis Papa....."Balasnya lagi.
"Saya nak tunjukkan pada Siti. Mana tahu satu hari nanti Siti boleh
kerja kat situ...."
Siti ketawa kecil. Dia menggeleng kepala. Manalah layak aku bekerja di
pejabat yang besar-besar begitu. Setakat SPM aku ni, jadi pembantu
rumah jelah nampaknya.

"Kenapa Siti diam?"Siti menggeleng.
"Tak ada apa-apa....."Balasnya perlahan. Pandangan tertancap ke depan.
Dadanya yang berdebar-debar sejak tadi sudah mula mereda.
"Siti marah ke saya bawak Siti keluar ni?"Siti geleng lagi.
"Tak lah.....buat apa saya nak marah. Saya tak ada hak nak
marah....sebagai pekerja, saya kenalah ikut apa saja arahan majikan...."
"Siapa majikan Siti. Saya?"Wari tertawa besar. "Siti bekerja dengan
Mama, bukan dengan saya. Saya tak rasa pulak Siti ni bekerja dengan
kami semua. "Dia menarik nafas panjang. "Siti cuma menolong saja,
kan....bukan bekerja..."
"Tapi saya diberi gaji.."
"Itu imbuhan....sebagai rasa terima kasih....bukan gaji.."Wari ketawa
lagi. Dipandangnya wajah Siti yang bungkam.
"Kenapa tiba-tiba awak jadi baik macam ni?"Siti mendongak. Menentang
wajah lelaki itu.
"Baik?"Wari telan liur. Dia terdiam sebentar.
"Iyelah...tiba-tiba je awak jadi peramah dengan saya ni, kenapa?"Wari
garu kepala yang tidak gatal. Sombong dipersoal, jadi baik pun
dipersoal.
"Tak ada apa-apa....saya....memang macam ni....salahke?"Wari
memperlahankan keretanya. Siti memandang bangunan besar di hadapannya.
Tinggi memuncak. Agaknya ini syarikat milik keluarga Wari. Dia
menjengukkan kepalanya.
"Buat apa jenguk-jenguk macam tu, kita dah sampai pun....jom!"Wari
mematikan enjin kereta.
"Saya tunggu kat bawah je la...."Siti bersuara sebaik turun dari
kereta. Wari memandang Siti dengan dahi berkerut.
"Tak nak ikut saya naik atas ke?"Siti menggeleng.
"Siti tunggu kat dalam la. Sejuk sikit.."Siti menuruti langkah Wari.
"Saya naik atas kejap ambik barang....tak lama..."Wari bergegas menekan
punat lif. Siti melabuhkan punggung di atas kerusi yang tersedia
disitu. Ruang yang dingin itu benar-benar memberi kesegaran. Dia
memerhatikan sekeliling. Cantik sungguh pemandangan sekitarnya.
Kalaulah dia dapat bekerja di situ!

Wari masuk ke pejabat di tingkat 10. Sudah lama rasanya dia tidak
menjejak kaki di situ. Kalaulah bukan kerana permintaan Maria, rasanya
berat hati untuk dia memulakan kerjaya di situ. Dia belum bersedia lagi
untuk melalui suasana yang formal sebegitu. Dia tidak teruja walaupun
jawatan yang dijanjikan nanti bukan calang-calang bagi seorang graduan
sepertinya. Tapi otaknya sendiri sudah tepu, dan payah untuk diasak
dengan isu-isu politik kerja begitu. Kalau boleh dia ingin bebas
memilih kerjaya sendiri. Tapi apa boleh buat. Tak sanggup dia melihat
airmata Maria yang menitis tempohari. Maria dah tak berdaya untuk
menyambung usaha Papa. Maria ingin bersara walaupun masih terlalu awal
rasanya.

Wari mengambil dokumen di atas meja di dalam biliknya. Bilik itu masih
dalam peringkat baik pulih. Bingkai-bingkai gambar masih belum
digantung. Kerusi dan meja juga masih belum ditukar baru. Menurut
Azimin, proses pemasangan tersebut mungkin mengambil masa selama 2-3
hari. Wari tidak kisah berapa lama pun. Lagi lambat lagi bagus. Dia
tidak suka bergelar orang korporat terlalu awal. Dunia korporat bukan
dunia dambaannya. Lainlah Azimin.

Pejabat Azimin di tingkat 8. Tetapi Wari tidak bercadang untuk
menjenguk abang iparnya itu. Entah kenapa, sejak dulu, dia memang tidak
begitu rapat dengan lelaki itu. Walaupun sudah bertahun usia
perkahwinannya dengan Maria, sehingga lahir Didi dan Fifi, Wari tetap
berasa janggal dengan lelaki itu. Mungkin kerana jarak usia mereka yang
tidak berbeza. Azimin muda dua tahun dari Maria. Sebelum berkahwin,
jawatannya bukanlah mewah sangat. Selepas Papa meninggal, barulah dia
menjadi pengurus besar di bahagian kewangan. Dan setelah Maria jatuh
sakit, segala kuasa mutlak jatuh di bahunya. Wari tidak pula keberatan.
Walaupun dia tidak berapa gemar dengan perangai Azimin, tetapi dia
tidak pula melarang Azimin daripada menguruskan syarikat tersebut.
Sekurang-kurangnya ada orang yang boleh diharapkan selain dia. Nak
harapkan dia, berbuih mulut Mama menasihatkannya. Ini pun, kalau tak
kerana Maria, memang dia tak akan sentuh dokumen-dokumen yang hanya
memeningkan kepalanya nanti.

Wari turun ke bawah semula. Dokumen dalam fail dikepit kemas. Dia
bercadang untuk makan dahulu sebelum menghantar Siti pulang. Walaupun
sekejap, dapat juga dia keluar dengan gadis itu hari ini. Mungkin ini
yang pertama dan terakhir. Mana tahu esok lusa Siti sudah pulang ke
kampung. Ahh....Siti..., teruslah tinggal di sini. Tak perlu pergi!

Sampai di tingkat bawah, dia memerhatikan sekeliling. Tiada kelibat
Siti di situ. Kemana dia? Aku naik pun, bukannya lama sangat. Dah
hilang dah...Gerutu Wari. Dia menjenguk ke luar. Tapi Siti tidak
kelihatan di dalam kereta. Pastinya kerana kereta itu telah dikunci
sebaik mereka keluar tadi. Takkan diculik pulak? Mustahil. Ahh....gadis
secomel itu, pak guard Bangla ni pun boleh sapu agaknya.

Wari menghela nafas panjang. Dia duduk di atas kerusi sambil membuka
fail biru di tangan. Berkerut dahinya menatap angka-angka yang tercatit
di setiap helaian. Sesekali dia menggeleng. Betul ker aku nak study
benda ni, semua? Issh....
Dia melemparkan pandangan ke pintu lif yang terbuka. Seorang gadis
berjalan perlahan ke arahnya.

"Siti ke mana?"Wari bingkas bangun.
"Kenapa? Cari Siti ker?"Siti sedikit terkejut.
"Iyelah....saya turun Siti tak ada....ingatkan dah kena culik.."Wari
tersengih. Siti ketawa kecil. Wajahnya memerah.
"Emm..saya ke surau tadi....tu ada signboard dia....kat tingkat
1..."Balas Siti. "Minta maaflah kalau buat awak tercari-cari...
Wari tarik nafas lega. Dia mendekati Siti.
"Buat apa kat surau?"Siti kerut dahi. Wajah Wari dipandang lama. Buat
apa?
"Errr...solat...solat zuhur..."Wari tergegau. Wajahnya merah padam.
Bodohnya aku nih.....pergi surau tentulah nak solat. Apalah aku bagi
soalan bawah umur macam tu.
"Emm....awak tak pergi solat dulu ker?"Wari tersengih tawar. Dia
menggaru kepalanya. Terasa wajahnya sudah mula membiru.

*****************************

Macamana nak solat, tubuh aku ni penuh dengan benda haram! Mengalir di
segenap uratku. Telah menjadi darah dan dagingku. Dan memang sudah
sekian lamanya aku tidak pernah sujud di sejadah itu. Menghadap Tuhanku.

Wari menelentang atas katil. Dia meraup wajahnya dua-tiga kali. Rasa
panas menjalar ke segenap tubuh. Nafas ditarik dalam-dalam lalu
dihelanya perlahan. Fikirannya terawang.

Dia rasa malu pada Siti. Malu pada diri sendiri. Ya, malu pada diri
sendiri. Setelah sekian lama, dia tidak pernah sedar dan menginsafi
diri. Sudah terlalu lama dia tidak menghadap Yang Esa. Sudah terlalu
lama dia tidak mengalunkan bacaan-bacaan suci yang suatu masa yang
lampau dulu, dia amat suka membacanya. Sudah terlalu lama wajah dan
tubuhnya tidak dibasahi air suci wuduk. Agghh.....berdosanya aku!

Macamana dia ingat itu semua kalau setiap malam dia lebih suka
terkinja-kinja di ruang dansa, menikmati cahaya lampu yang
bertukar-tukar warna. Setiap malam rela membasahi kerongkong dengan air
setan yang berbusa. Setiap malam diulit tubuh-tubuh gebu yang rela
menemani hingga ke pagi. Bagaimana dia ingat untuk sujud nasuha kalau
malam-malam yang dilalui terasa singkat benar. Dinginnya subuh tidak
pernah menggamit tidurnya untuk menghadap yang Maha Pencipta. Pencipta
siang dan malam. Dingin subuh baginya adalah saat yang paling enak
untuk menutup mata.

Terlalu jauh perjalanan hidupnya dahulu. Perjalanan hidup yang banyak
dicemari dengan pengisian material, bukan kerohanian. Kerohanian yang
sering diajar oleh arwah Papa dulu-dulu. Arwah Papa yang tidak
jemu-jemu mengingatkan dia tentang ketakwaan dan kehambaan. Bukankah
tangan Papa yang sering memiat telinganya dulu-dulu, tiap kali dia
tersasul membaca Mukaddam. Tangannya juga yang selalu menjentik hujung
hidung ini tiap kali malas bangun di Subuh hari. Tegasnya Papa waktu
itu. Tapi tegasnya itu tidak kekal lama. Bila Papa pergi, dia sendiri
lupa. Sendiri hanyut.

Kasihan Papa. Kalau dia masih hidup sekarang ini, pasti dia berduka
hati. Pasti dia kecewa dengan sikap anaknya ini. Tapi Papa telah pergi!
Apa yang ada pada Papa sekarang ini? Papa tidak punya apa-apa. Papa
hanya punya anak-anak yang tidak pernah menitipkan doa untuk
kesejahteraannya di sana. Papa punya anak-anak yang mewah tapi tidak
mampu menghadiahkan walau sekalung doa atau bacaan surah. Papa punya
anak-anak yang lupa diri.

Ya Allah! Wari mengesat pelupuk mata. Pandangannya berkaca. Dia
mengalih mata.. Menghadap potret besar di atas meja. Potret mereka
sekeluarga. Dia lihat wajah Maria yang segar bugar dulu. Maria yang
dulu juga terkinja-kinja, kini hanya memencil diri. Tiada lagi hilai
tawanya. Tiada lagi lagak lincahnya. Sekelip mata saja nikmat yang
diberi diambil semula. Kini, wang yang banyak juga tidak mampu
mengembalikan tawanya. Wang yang banyak tidak mampu mengembalikan
bahagianya.
Apa yang ada pada Maria kini? Hanya sisa-sisa pengharapan. Dan
keajaiban dari Tuhan.

Kalau itu yang Tuhan mahu. Sekelip mata!

Wari menggeleng kepala. Sesak di dadanya semakin terasa.

1 comment: