Sunday, July 25, 2010

Bukan Cinta Biasa - 16

Tempohari, selepas balik dari Perak, lelaki itu menghilang diri.
Hampir 2-3 hari lamanya. Lisa kata mungkin dia ke rumah Rina. Buat apa?
Bukankah mereka baru lepas bertengkar beberapa hari yang lepas. Adakah
Wari bermalam di sana? Adakah itu memang cara hidup mereka. Atau mereka
sudah berbaik-baik semula.

Kenapa dia harus mengambil tahu. Semua itu tidak ada kaitan dengan
dirinya. Tapi dia selalu memikirkannya. Kenapa ya? Kadang-kadang dia
merasakan dirinya begitu tidak adil. Dia cuba menjauhi Huzair dengan
alasan dirinya belum bersedia, belum layak untuk melalui semua itu.
Tapi dalam masa yang sama, hatinya sering berkata-kata. Berkata-kata
tentang lelaki lain. Tentang Wari.

Kenapa aku jadi begini??

"Siti!"Siti tergegau. Didongakkan wajahnya. Wajah Kak Melah nampak
berbalam.
"Apa duduk dalam gelap ni?"Suis lampu dipetik. Siti mengesat pelupuk
matanya. "Petang tadi pergi mana?"
"Jumpa Shidah dan Murni..."Balas Siti perlahan. Dia bangun, mencapai
tualanya.
"Huzair?"
"Issh..akak ni!"Siti merengus. Melah ketawa.
"Siti kemaskan dulu baju. Esok kita balik pagi...."
"Kenapa nak balik pagi pulak kak....kata balik petang...."
"Malam Mak Ungku nak amik anak dia kat airport...."Balas Melah sambil
tangan pantas menutup tingkap satu persatu.
"Maria?"
"Maria balik malam ni. Baru tadi dapat tahu...."
"Pembedahan dia tu dah habis ye, kak?"
"Agaknya.....dah sebulan.....takkan tak siap lagi...."Siti senyum
tawar. Maria dah balik, bernama tugasnya akan berakhir pada bila-bila
masa. Bermakna dia akan pulang ke kampung semula. Menjadi seperti
dulu-dulu. Bermakna dia tidak akan bertemu lagi anak-anak kecil itu.
Mak Ungku, Lisa dan......Wari.

****************************************************

"Kenapa dengan aku ni?"

Wari bingkas dari katil. Dia menjengah ke tingkap. Tiada apa-apa yang
menarik perhatian. Hanya kesuraman malam disinari lampu neon keliling
kolam. Wari menarik nafas panjang. Ditebarkan pandangannya. Malam
minggu begini alangkah seronoknya dapat berlibur bersama teman-teman.
Seperti yang selalu dia lakukan. Mengunjungi pub-pub yang sentiasa
dipenuhi manusia-manusia yang kehausan. Kehausan hiburan. Atau
menghabiskan masa sepanjang malam bersama Rina. Menghadiri pesta atau
makan-makan. Ahh...Rina! Gadis itu terlalu mudah untuk ditewaskan.
Cukup dengan sebotol minuman dan belanja makan, dampingilah dia
sepanjang malam. Walau dengan aku, atau lain-lain jantan! Wari kertap
bibir. Bayangan dua susuk tubuh yang terdampar di sofa malam itu bukan
mudah untuk dia lupakan. Walau hanya di atas sofa!

Rina mabuk malam itu. Dia tahu. Dia juga sudah pening-pening lalat.
Dia tidak sedar apa-apa saat dia tersembam atas lantai itu. Dan biarkan
Rina bersama-sama lelaki lain.
"Ri, you pun mabuk malam tu. You pun tidur ramai-ramai dengan
betina-betina lain!"Jerit Rina, tidak dapat mengawal perasaannya. "So,
apa yang you nak marah sangat!"
"I, tak tidur dengan siapa-siapa. Even dengan you sekalipun I tak
pernah, isn't it? Apa lagi dengan perempuan lain."
"I mabuk, I tak ingat apa-apa. I cuma tidur, dan bila bangun Fadzli
dah ada sebelah I."Rina mencemik."Ri, I tak sengaja. I'm so
sorry...."Digenggamnya jemari Wari lalu dikucup berkali-kali. "Lagipun,
kitaorang tertidur kat sofa. Mimi dan Darlin pun ada sekali."
"Tapi dia peluk you..."
"I tahu....that's why I mintak maaf sangat...I tak sengaja.
Please...."Rengek Rina. "Fadzli ada call you?"
"Handphone I dah hancur....tak payah nak call..."Wari tarik tangannya
lantas dicapainya helmet atas meja.
"You nak balik ke? Malam ni?"Rina mengekori Wari ke pintu.
"Malam ni I tak ada mood. Kirim salam kat parents you. Sorry I tak
dapat tunggu.."Rina hanya terkebil-kebil memandang Wari.

Wari tahu dia tak sepatutnya marah Rina begitu. Bukan salah Rina
seratus peratus pun. Salah dia juga. Dia juga yang bawa Rina ke
tempat-tempat begitu. Jadi dia harus tanggung risikonya. Dia yang ajar
Rina dengan kehidupan begitu. Dia yang ajar atau Rina yang banyak
mempengaruhinya? Anak Datuk itu memang lincah. Hidupnya lepas bebas.
Aku yang selalu hanyut bila disampingnya. Wari menggeleng. Tekaknya
terasa perit. Sejak balik dari Perak tempohari, badannya letih lesu.
Mungkin penat memandu. Dia juga kurang tidur. Mungkin matanya yang
selalu berjaga hingga ke pagi sudah payah benar untuk dilelapkan.
Itulah kesannya kalau suka jadi kutu embun.

Esok Kak Maria pulang dari London. Bagaimana keadaan dia. Sudah sihat
ke? Atau semakin teruk. Harap-harap Kak Maria masih ada harapan. Kalau
Kak Maria terus-terusan sakit, siapa yang akan menggantikan tempatnya.
Siapa yang akan menguruskan syarikat arwah Papa? Dia? Dia belum
bersedia dan dia tidak mahu memikul tanggungjawab besar itu. Dia masih
muda dan tak mahu masa mudanya terikat dengan bebanan itu. Dia masih
perlukan masa untuk menyiapkan diri.

Dan esok mungkin antara hari-hari terakhir Siti di sini. Kak Maria
sudah balik, tentu Siti akan pulang ke kampung. Siti tak akan menjaga
Didi dan Fifi lagi. Dan dia tak akan tinggal di sini lagi. Aku
bagaimana? Wari tarik nafas panjang. Kenapa perasaan aku jadi begini?
Apa yang aku risaukan? Siti bukan sesiapa di rumah ini. Dia orang asing.

Kenapa aku marah bila dia bersama Hadi tempohari? Kenapa hati aku jadi
sakit begitu. Aku benci melihat kemesraan mereka berdua. Aku benci
melihat renungan Hadi yang penuh makna itu. Dan aku jadi benci bila
melihat Siti melayannya mesra. Kenapa tidak aku? Kenapa Siti tidak
senyum dan ketawa seperti itu. Siti takut melihatku. Siti takut pada
renunganku.

Sememangnya hati ini tiba-tiba jadi kalut begini. Adakah kerana
marahku pada Rina? Adakah aku amat sakit hati pada Rina sehingga aku
sengaja beralih pada Siti. Adakah aku sengaja jadikan gadis itu
tempelan untuk menutup sakit hatiku ini?
Siti terlalu berbeza. Mustahil untuk aku jatuh hati padanya. Terlalu
pantas. Dan dia akan pergi selepas ini.

Dan perasaan ini?

***************************************

"Kak Maria...."Lisa memeluk tubuh kurus di hadapannya. Lama pelukan
itu. Siti jadi terharu menyaksikannya. Wajah Maria yang cengkung itu
ditatap lama.
"Didi dan Fifi tak ikut sama?"Matanya meliar ke sekeliling.
"Tak. Fifi dah tidur...tak sampai hati nak kejutkan dia.."Maria
tersenyum. Walau wajah cengkung, matanya bercahaya. Nampak kegembiraan
terpancar di situ.
"Mama sihat?"Dia beralih pada Wari pula. Wari mendakap kakaknya lama.
"Mama makin sihat...."Balas Lisa tersenyum. "Akak macamana?"
"Okay!"Maria mengangkat ibu jarinya.
"Abang Min mana?"
"Dia tunggu beg tadi....ha tu pun dia!"Semua mata beralih ke belakang.
Seorang lelaki sedang menyorong troli menuju ke arah mereka. Senyuman
lebar terukir di bibir.
"Lama betul tunggu beg-beg ni..."Dia bersuara sebaik berdiri di
sebelah Maria. Dipeluknya bahu wanita itu.
"Jom, Mama dah lama tunggu kat rumah tu..."Wari menurunkan beg dari
troli.
"Haa....lupa nak kenalkan kak Mar....ni Siti, dialah yang jaga Didi
dan Fifi masa akak kat sane..."Lisa tarik tangan Siti ke depan."Abang
Min, kejaplah....nak kenalkan Kak Siti ni..."
Maria memandang Siti tunak. Siti melemparkan senyuman. Rasa serba
salah dengan penerimaan Maria nanti.
"Oh, ni Siti yang Mama citer dulu. Adik Melah, kan?"Siti angguk
pantas. Maria mendekati Siti. Digenggam erat jemari Siti.
"Terima kasih sebab tolong jaga Didi dan Fifi. Mereka tu nakal. Mesti
Siti penat jaga mereka, kan?"
"Eh, taklah Kak Mar. Diorang tu baik sangat..nakal sikit-sikit
jer.."Siti ketawa halus. Maria memeluk bahu Siti, sambil berjalan
beriringan ke pintu keluar. Wari sudah hilang dari penglihatan. Mungkin
dia mendapatkan kereta yang diparking agak jauh dari pintu masuk.

Perjalanan malam itu agak lancar dengan Maria rancak bercerita tentang
pengalamannya di sana. Siti hanya mematikan diri. Tidak ada satu pun
perbualan mereka yang membolehkan dia mencelah. Cuma sesekali dia turut
ketawa bila ada sesuatu yang lucu dipendengarannya. Dia rasakan ada
baiknya dia tinggal di rumah saja tadi, tak perlu ikut serta menjemput
Maria. Selepas mengangkat Fifi ke bilik tadi, dia berkira-kira untuk
terus melelapkan mata, sementelah dia rasa terlalu letih sepanjang
perjalanan dari kampung ke KL pagi tadi. Tapi ajakan Lisa yang
beriya-iya tidak mampu ditolak. Kata Lisa dia tidak mahu pergi berdua
dengan Wari kerana lelaki itu 'moody' sejak akhir-akhir ini.Kalau ada
dia, bolehlah dibuat teman berbual.

Sampai di rumah, Siti menolong sama memunggah beg dari bonet kereta.
Maria sudah naik ke atas bertemu Mamanya. Lisa juga sudah tidak
kelihatan. Siti cepat-cepat masukan beg ke dalam rumah dan bersedia
untuk masuk ke bilik. Dia sudah mengantuk benar. Bantal dan katil sudah
terbayang-bayang di ruang mata.

"Siti..."Siti sedikit terkejut. Langkahnya terhenti, lalu dia
berpaling. Wari berdiri di hadapannya.
"Boleh buatkan minuman. Kopi ker....nescafe ker..."Siti
terangguk-angguk.
"Untuk Wari?"
"Untuk semua..."Satu suara menambah. Azimin yang berdiri di muka
pintu, tersenyum.Pandangan matanya bercahaya.
memandang Siti penuh makna.

Sejak dua tiga hari yang lepas, Siti sudah mula mengemas
barang-barangnya. Baju-baju kurung yang rasanya tidak dipakai lagi
telah dilipat elok-elok untuk disimpan dalam beg. Dia sudah bersedia
untuk dipanggil bila-bila masa oleh Mak Ungku. Kalau hari ini juga
disuruh pulang ke kampung, dia tidak akan menolaknya. Dia tahu
khidmatnya tidak diperlukan lagi. Maria sudah kembali. Dia sudah punya
banyak masa untuk mengurus anak-anaknya sendiri. Didi dan Fifi pula
sudah jarang bersamanya. Mereka lebih banyak menghabiskan masa bersama
Mama mereka. Cuma sesekali anak-anak itu meminta dibawakan ke taman
permainan di taman tersebut, Siti akan tetap menjadi peneman setia.
Anak-anak itu tetap manja dengannya.
Maria sejak pulang dari London, masih belum keluar ke mana-mana. Ke
pejabat juga tidak. Dia lebih banyak menghabiskan masa bersama Mak
Ungku. Setiap pagi selepas menghantar suaminya di muka pintu, dia akan
kembali ke kamar, mengurung diri. Didi dan Fifi tetap Siti yang
uruskan. Bila tengahari, dia akan turun sebentar. Menjamah makanan
sedikit, sambil menunggu anak-anaknya pulang. Wajah Maria pucat benar.
Kadang-kadang Siti kasihan melihatnya. Dibandingkan dengan Azimin yang
segak itu, terlihat benar perbezaannya. Derita sungguh dia menanggung
kesakitan itu. Sehingga memamah kecantikan dan kesegaran tubuh badannya.

Tapi Siti tidak tahu, sampai bila dia harus menunggu. Sehingga kini,
Mak Ungku belum lagi memanggilnya untuk memperkatakan tentang
khidmatnya di rumah itu. Setiap kali dia bawakan sarapan ke bilik,
tidak pula Mak Ungku menyebut tentang penamatan khidmatnya itu. Mak
Ungku tetap seperti biasa. Rajin berbual dan ramah bercerita.
Kadang-kadang bila dia bersama Maria mengambil angin di tepi kolam,
Siti diajak sama minum petang. Siti turutkan juga. Manalah tahu Mak
Ungku izinkan dia untuk pulang ke kampung, dan tak perlu menjaga Didi
dan Fifi lagi. Tapi Mak Ungku tetap tidak sebut apa-apa.

Tergerak juga hati Siti untuk menanyakan sendiri pada Mak Ungku, bila
dia akan diberhentikan.Bila dia boleh segera pulang ke kampung. Tapi
lidahnya kelu bila berhadapan dengan orang tua itu. Tak sampai hati.
Tak patut rasanya kalau dia memulakannya.Nampak sangat aku yang hendak
berhenti cepat-cepat. Apa anggapan Mak Ungku nanti. Maria pun belum
pulih benar. Wajahnya masih pucat, dan semalam dia muntah-muntah lagi.
Kasihan!

Sudahnya, Siti masih meneruskan tugasnya di rumah tersebut. Selain
menguruskan kedua anak kecil itu, Siti cuba-cuba membantu Kartini.
Walaupun Kartini memandang endah tak endah padanya, tetapi Siti
tebalkan muka juga. Dia cuba beramah mesra. Sudah sebulan di situ,
sukar benar rasanya menjalin hubungan dengan wanita itu. Apalah yang
dia pandang rendah sangat kat aku nih! Siti selalu mengeluh begitu.
Tapi Siti tidak pernah ambil hati. Dia cuba membuang anggapan yang
bukan-bukan terhadap Kartini. Walaupun dia sendiri hairan. Sejak Maria
pulang, kerap kali Kartini hilang dari pandangan.

No comments:

Post a Comment