Monday, July 19, 2010

Bukan Cinta Biasa - 15

"Assalamualaikum!"Suara garau terdengar dari arah belakang. Siti
terkejut, spontan dia berpaling. Seorang anak muda, berkulit sawo
matang tunak memandangnya. Di dahinya ada bintik-bintik peluh yang
halus.
"Awak ni, anak Makcik Latifah ker?"Siti masih gamam. Mulutnya terkumat
kamit. Makcik Latifah? Siapa pula?
"Anak Haji Zainudin?" Oh! Siti baru teringat.
"Bukan!....errr..saya bukan anak Mak Ungku..."Siti teragak-agak. Wajah
lelaki itu berkerut.
"Habis tu, saya nampak awak keluar dari rumah Makcik Latifah tadi?"
"Ohh....eemmm...saya ni..."Siti garu kepala. Takkan aku nak cakap aku
babysitter cucu Mak Ungku!
"Tak apalah....saya tahu Makcik nak balik hari ni. Ayah saya yang
bagitahu..."Lelaki itu tersenyum."Ayah saya ada kat rumah tu...."
"Awak ni siapa?"Siti berganjak. Takut juga dia berhadapan lelaki yang
tak dikenali itu.
"Saya Hadi, anak Pak Din.."Dia senyum lagi.
"Oh....anak Pak Din..."Siti tersenyum malu.Dia mula mengatur langkah.
Dah lama sangat rasanya dia di luar.Takut Mak Ungku tercari-cari.
"Awak nak balik ke?"Siti angguk. Hadi jalan sama.
"Siapa nama awak?"
"Emm..Siti...."
"Siti ....siti aje?"
"Siti Nuranis..."Siti kerling sekilas lelaki itu. Rambutnya ikalnya
basah disimbahi peluh.
"Awak tidur sini ke malam ni?"Siti angguk.
"Iyelah....habis nak tidur mana pulak?"
"Tak adalah. Rumah Pakcik Zainudin ni dah lama kosong. Baguslah kalau
awak tidur di sini..."
"Mak Ungku memang nak bermalam di sini. Malam ni kan ada kenduri
tahlil?"Hadi terangguk-angguk.
"Ayah saya dah jemput orang-orang kampung. Barang-barang untuk masak
pun dah siap. Petang nanti dalam pukul 2 saya hantarlah barang-barang
dapur."Siti senyum nipis. Peramah betul mamat ni! Aku tak tanya pun,
dia sibuk bercerita.
"Pokok-pokok pisang tu, ayah awak ke yang tanam?"Hadi tersenyum lebar.
"Ayah saya yang tanam. Tanah belakang tu luas sangat. Sayang kalau
dibiar bersemak. Sebab tu ayah tanam pisang, rambutan, sayur. Ada jugak
hasilnya...."
"Rajin ayah awak ye.."Hadi ketawa.
"Orang kampung memang macam ni la, Siti. Kerja sendiri. Tanam sayur,
berkebun....."Perbualan mereka terhenti sebaik mereka sampai di laman
rumah. Ada sebuah motor kapcai di tepi tangga. Motor Pakcik Din
agaknya, fikir Siti. Siti dan Hadi naik ke atas rumah.
"Siti ke mana?"Mak Ungku bersuara sebaik Siti masuk ke
dalam.Tersipu-sipu Siti dibuatnya Apalagi Wari dan Lisa juga ada di
situ. Semua mata memandang ke arahnya dan Hadi.
"Saya kat belakang tadi, Mak Ungku. Tengok-tengok kebun pisang.
Terjumpa Hadi, anak Pakcik Din ni.."Balas Siti lalu duduk di sebelah
Mak Ungku.
"Ni Pakcik Din, ayah si Hadi ni...."Lelaki tua bermisai lebat itu
tersenyum. Bersih wajahnya walaupun urat-urat sudah berselirat di
setiap tubuh. Siti bersalaman dengan lelaki itu.
"Petang ni bolehlah kita gotong royong masak lauk. Barang-barang semua
dah siap tu.."Pak Din bersuara sambil ketawa.
"Terima kasih lah Pak Din sebab susah-susah siapkan semua ni..."Mak
Ungku bersuara perlahan. Wajah sayunya mula kelihatan.
"Apa yang susahnya..Ungku..bukannya selalu Ungku balik. Ni...nak dekat
10 tahun baru nampak muka. Sesekali balik apa salahnya kita buat
kenduri besar sikit..."Pak Din tarik nafas. "Lagipun...saya ni memegang
amanat Zainudin....rumah ni rumah pusaka, kenalah dijaga..."
"Kalau boleh saya nak duduk terus di sini, Pak Din. Tapi Pak Din
tahulah....perniagaan arwah kat KL tu....kena ditengok-tengokkan
jugak..."Pakcik Din mengangguk tersenyum.
"Tak apalah Ungku. Selagi hayat saya, bolehlah saya jaga rumah ni.
Esok lusa kang, anak saya Hadi ni pulak jadi pewarisnya...."

Hadi tersenyum manis. Walaupun kulitnya agak gelap sedikit, tapi
wajahnya yang manis, menyejukkan pandangan. Saling tak tumpah wajah
Pakcik Din yang bersih itu. Melihat wajah Hadi, Siti terkenangkan
kawan-kawan sekampungnya. Begitulah perwatakannya. Serba sederhana.

******************************************

Kenduri tahlil selesai hampir pukul 10 malam. Orang-orang kampung
sudah mula beredar setelah menjamah hidangan. Mak Ungku cukup gembira
dan bersyukur dengan kehadiran orang-orang kampung. Walaupun Mak Ungku
jarang benar balik ke situ, tetapi orang-orang kampung tetap
menghormati dia. Masih mengingati arwah suaminya. Jiran-jiran terdekat
juga ringan tangan sama-sama memasak lauk pauk dan mengemas pinggan
mangkuk. Semuanya berjalan dengan lancar.

Siti masih lagi belum selesai mencuci pinggan. Banyak lagi periuk
belanga yang belum digosok. Lenguh pinggangnya mencangkung tepi paip
di luar rumah. Lisa yang tadi ada bersamanya sudah tidak kelihatan.
Mana peginya budak ni? Curi tulang agaknya! Siti merengus. Dia
menyingsing lengan baju kurungnya tinggi-tinggi. Sudah basah separuh.

"Banyak lagi ker yang nak dibasuh?"Satu suara menegur. Siti mendongak.
Wajah Hadi samar-samar dalam kegelapan malam itu.
"Banyak...."Balas Siti lemah.
"Kesian...mehlah saya tolong.."Hadi pula menyingsing lengan baju
melayunya.
"Eh, tak apalah. Awak balik lah dulu..."
"Tak apa. Biar saya habiskan. Periuk ni biar saya yang basuh. Siti
tolong bilas aje..."Siti tersenyum. Dalam hati dia sedikit lega.
Bolehlah dia tarik nafas sekejap. Baik hati betul si Hadi ni. Dahlah
peramah, ringan tulang pulak tu. Nak harapkan Wari, ntah mana dia pegi.
Dari tadi tak nampak batang hidung!

Wari yang berdiri di muka pintu, terhenti langkahnya. Pinggan kotor di
tangannya dipegang kejap. Pandangannya tertancap pada dua susuk tubuh
di pili air. Hatinya jadi tawar. Semangatnya yang berkobar-kobar
sebentar tadi padam tiba-tiba. Dia masuk semula ke rumah. Tak sanggup
dia melihat kemesraan yang telah berputik itu.

"Mek Ti!!!!!"Dua tubuh itu menerpa ke arahnya. Siti terdorong ke
belakang, cuba mengimbangi badannya dari jatuh.
"Wei, korang nih!"Siti terjerit. "Lemas aku!"
"Bila kau balik Mek Ti?"Shidah melepaskan pelukan. Murni di sebelah
tersengih lebar. Siti menarik nafas panjang. Semput dia dibuatnya.
Wajah dua teman baiknya itu dipandang silih berganti.
"Pagi tadi!"Siti senyum.
"Kau balik sorang ke? Naik bas?"
"Taklah...dengan akak aku....dia mana kasi aku naik bas...."Shidah dan
Murni tarik tangan Siti duduk atas pangkin bawah pokok buah saga.
"Ingatkan tak nak balik sini lagi...."Murni bersuara pula.
"Eh, apa pulak. Kalau boleh tiap-tiap minggu aku nak balik tau. Tapi,
mana boleh. Ini pun bos aku baik hati kasi cuti."
"Hari minggu kan hari cuti. Nak balik tiap-tiap minggu pun boleh,
kan."Shidah mendengus. "Macamana kerja kau, best tak?" Siti telan liur.
Bab ni yang dia malas nak jawab.
"Kerja aku biasa jer......."Balasnya perlahan.
"Mesti best kerja kat ofis besar. Pakai cantik-cantik. Tengok baju dia
ni...ni mesti baju baru...."
"Mana ada!"Siti geleng kepala. Baju ni Lisa yang bagi dia sebelum dia
bertolak balik semalam. Entah apa angin gadis itu, tiba-tiba dia
bersungguh-sungguh minta Siti ambil saja baju tersebut. Katanya baju
itu sudah lama tak dipakai. Daripada disimpan, baik diserahkan kepada
orang lain.
"Mesti gaji kau besar, kan Siti?"Murni menyampuk.
"Tak adalah.....gaji aku kecik jer...nantilah kalau ada masa aku
belanja korang makan eh. Tapi sekarang ni kita citer pasal lain pulak.
Aku malaslah nak citer pasal keja aku tu.."Dengus Siti. Dia bangun dari
pangkin. Berjalan mundar mandir di depan Shidah dan Murni.
"Ala..Mek Ti...kitaorang nak tahu juga kau duduk KL tu macamana...best
ker tak best. Pakwe-pakwe kat sana hensem-hensem tak?"Siti ketawa.
Manalah ada pakwe sangat. Paling tak pun si Wari saja yang dia jumpa.
Lainlah kalau dia ke sana ke mari. Mesti ramai lelaki yang dia temui.
"Kau jumpa pakwe baru, meranalah Huzair.."Siti telan liur. Mendengar
nama Huzair hatinya mula berdebar. Dia tidak nampak kelibat Huzair di
padang petang itu. Kemana dia? Masih adakah lagi dia di kampung ini?
"Huzair...mana?"Tanya Siti perlahan. Ditebarkan pandangannya ke
tengah padang. Beberapa susuk tubuh terkinja-kinja mengejar bola sesama
sendiri. Tidak pula terlihat Huzair. Siti paling kenal susuk tubuh
lelaki itu. Tegap dan sasa, jauh beza dengan saiz budak-budak kampung.
Dan kulitnya yang putih kemerahan itu terlihat jelas setiap kali dia
bermandikan peluh.
"Zair dah balik KL..."Shidah turut bangun. Rambutnya yang lurus itu
berkibar-kibar di tiup angin petang.
"Balik KL?"Siti gigit bibir. "Bila?"
"2-3 hari lepas kau bertolak ke KL, dia pun pergi sama."Balas Shidah
lagi. "Kesian dia....lain macam je aku tengok. Apa yang berlaku antara
korang ha, Siti?"
"Emm...tak ada apa-apa. "Siti geleng kepala."Dia ada cakap dengan aku
dia nak kerja kat KL." Itupun kalau aku terima pinangan dia dulu! Siti
tarik nafas panjang. Tapi aku dah tolak. Dia pergi KL nak cari aku ker?
Isssh....mustahil. Bukankah mak ayah dia ada di KL. Buat apa dia susah
payah nak cari aku. Lagipun dia bukan tahu aku kerja di mana. Mungkin
dia betul-betul nak mencari kerja di sana. Siapa tahu?

Dia tahu Huzair kecewa, mungkin. Tapi itu semua bukan salah dia. Dia
tidak pernah menganggap lelaki itu lebih dari sepatutnya. Huzair saja
yang punya perasan itu. Tapi tidak dia. Jadi, salahkah dia kiranya
menolak hasrat murni Huzair itu. Rasanya tidak. Dia ada hak. Hak untuk
memilih jalan hidupnya sendiri. Kalau ditakdirkan jodohnya dengan
Huzair pun, dia boleh terima, tetapi bukan buat masa ini. Dia terlalu
muda untuk melalui semua itu. Dan Wari?

No comments:

Post a Comment